BUKAN MANUSIA PESIMIS

Posted by mayc_pkbm | 1:48 AM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC ke-35 1989.

Assalaamu’alaikum Warahmatulaahi Wabarakaatuh.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Pengerusi Mesyuarat yang telah mengendalikan mesyuarat begitu baik.

Perkara yang kedua yang ingin saya jelaskan ialah mengenai diri saya.

DISIPLIN HIDUP

Oleh sebab saya telah mengidap penyakit jantung, maka saya terpaksa hidup dengan cara yang lebih disiplin, makan ubat, saya perlu patuh kepada nasihat doktor mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh saya lakukan.

Kebetulan saya ada satu masalah. Saya biasanya tidak boleh tidur malam sebelum saya membaca buku sekurang-kurangnya sejam.

Pada malam tadi saya balik dari sini pukul dua pagi. Apabila saya sampai di rumah, saya makan ubat yang namanya “Persintin Aisodil Aisosobite”. Ubat ini, menurut doktor, tidak boleh dimakan kecuali setelah enam jam berlalu. Justeru, dari pukul dua pagi saya baca buku setelah makan ubat sampai pukul tiga pagi baru saya tidur.

Bangun pukul 5.30 untuk mengerjakan sembahyang subuh, kemudian saya rehat semula.

Oleh sebab ubat terakhir yang saya makan pada pukul dua pagi, maka saya terpaksa lewat datang ke sini.

Aisosobite dengan Diatosin saya terpaksa makan satu jam setelah selesai makan Persentin dan sebelum saya makan Aisosobite dan Diatosin saya perlu bersarapan terlebih dahulu.

Ini bermakna pukul 8.00 saya sekali lagi perlu bersarapan dan setelah pukul 9.00, setelah selesai makan ubat barulah saya boleh turun ke sini, kerana selepas makan ubat, saya terpaksa melompat 5-6 minit menurut pesanan doktor.

Itulah sebabnya saya sampai lewat sedikit.

Namun begitu, saya tidak pernah menahan Mesyuarat Agung daripada dimulakan tepat pada masanya, malah malam tadi pun saya datang sebelum mesytuarat agung berlangsung, tetapi oleh sebab perwakilan belum masuk ke dalam dewan, saya terpaksa menunggu di luar sehingga semua perwakilan masuk.

Oleh sebab itu saya berharap mendapat persepahaman daripada saudara supaya jangan ada ahli-ahli MAYC nanti apabila lambat kerana hendak ikut cara Presiden. Kalau hendak ikut cara Presiden, saudara perlulah melalui proses pembedahan jantung dulu, barulah sempurna ikut cara Presiden.

BURUNG SUBSIDI

Saudara sekalian,

Pernah satu masa dahulu saya bercerita di hadapan ahli MAYC negeri akan kisah burung gagak di Denmark. Saya terpaksa mengulangi cerita ini kerana saya dapati sudah ada gejala-gejala tertentu meracuni pemikiran ahli MAYC.

Gejala ini sudah terhapus sepanjang tiga tahun yang lalu kerana sepanjang tempoh itu barangkali cerita ini masih tersemat di hati para perwakilan. Oleh sebab para perwakilan negeri sudah lupa, atapun mungkin ada perwakilan baru, ataupun ada perwakilan yang tidak membaca ucapan-ucapan yang sudah, maka cerita burung gagak di Denmark ini sudah dilupakan.

Suatu masa dahulu, beberapa orang Profesor di Denmark bermusyawarat.

Dalam mesyuawarat itu mereka memikirkan cara menolong burung yang datang sekali setiap kali musim bunga, iaitu burung hijrah dari negara Scandinavia menuju negara Mediterrania iaitu Itali, Greece dan Sicily.

Burung-burung itu terpaksa terbang beribu-ribu kilometer ke selatan kerana mereka tidak tahan cuaca musim sejuk di negara Scandinavia iaitu Denmarak, Norway, Sweden dan Greenland.

Ahli-ahli fikir ini sepakat untuk membina satu khemah besar di Denmark dan menjemput burung ini supaya berhenti di negara itu, dan diberi makanan secukupnya. Pada tahun pertama kira-kira 50,000 ekor burung telah berhenti di perkhemahan ini.

Pada tahun kedua, apabila musim salji tiba 150,000 burung turun makan free.


DAYA TAHAN

Pada tahun ketiga, 600,000 ekor burung berhenti di Denmark. Pada tahun keempat hampir 2-3 juta ekor burung berhenti di negara itu. Tahun kelima bilangan ini bertambah menjadi 5 juta ekor.

Maka pada tahun keenam program menolong burung di Denmark ini dibatalkan. Apabila tiba musim sejuk, berjuta-juta ekor burung sampai di situ dan mendapati tidak ada makanan.

Burung-burung ini telah dihambat supaya terus terbang dan meninggalkan tempat itu. Setelah lima hingga enam jam berjuta-juta ekor burung berpatah balik dan mati di padang. Apabila pegawai veterinar (doktor haiwan) memeriksa burung ini, mereka dapati burung-burung ini mati keletihan.

Terbuktilah bahawa burung-burung ini yang sudah terlalu lama makan percuma di Denmark tidak sanggung lagi terbang jauh ke Mediterranean.

Saudara sekalian,

Ahli MAYC sewajarnya memberi sumbangan kepada persatuan sekadar mampu, kerana persatuan tidak ada duit. Walau kita ada bangunan, kita jangan fikir bangunan ini milik kita. Bangunan ini masih milik bank dan sebagai orang yang tidak berduit kita terpaksa meminjam jika kita hendak melaksanakan sesuatu.

JANGAN TUNGGU

Jika kita menunggu cukup duit baru mahu berbuat sesuatu, sampai kiamat pun kita tidak mungkin cukup duit. Oleh itu wujudnya bangunan ini merupakan satu cabaran kepada ahli MAYC supaya mereka terus mengembangnkan daya fikir mereka.

Itulah sebabnya sewaktu menghadiri perjumpaan dengan MAYC negeri Selangor saya menyatakan betapa gembiranya saya mendengar adanya usul untuk mewujudkan tabung bagi menguji sebanyak mana kita boleh kumpul wang daripada ahli MAYC dengan melaksanakan berbagai-bagai projek.

Saudara sekalian,

Dalam kita mengendalikan hidup kita tidak boleh terlalu gopoh untuk membuat keputusan mengenai sesuatu perkara.

PENGALAMAN

Saya sudah lama berkecimpung dalam arena politik, begitu juga penglibatan saya dalam persatuan belia dan saya dapati bahawa salah satu daripada masalah besar orang kita ialah apabila mereka berhadapan dengan sesuatu isu atau perkara, mereka tidak menyelidikinya dengan teliti, sebaliknya berfikir mereka sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah.

Oleh itu apabila saudara mengeluarkan hujah tadi, dan saya pula mengeluarkan hujah yang bertentangan, tidak semestinya saudara fikir saudara silap. Saudara hanya dapat mengatakan yang saudara tidak dimaklumkan ataupun tidak tahu.

Saudara harus menerima segala teguran ini dengan hati terbuka supaya dapat menjadi manusia yang lebih berilmu pada setiap masa. Saya sendiri kadangkala tersilap, dan saya selalu bertanya kepada orang yang lebih tahu supaya diri saya menjadi lebih tahu.

Dalam MAYC janganlah pula apabila saya tegur seseorang yang bercakap dan memberikan hujah yang berlainan, orang itu berjauh hati. Dia mesti sanggup menerima teguran kalau masih mahu saya menjadi Presiden.

Pandangan saya yang berbeza itu mesti dianggap sebagai perbendaharaan ilmu yang dapat digunakan pada suatu masa nanti.

Bagaimanapun saya begitu gembira kerana ahli MAYC dapat kesempatan dalam forum ini untuk bercakap-cakap di depan orang yang kebanyakannya mereka tidak kenal.

Saudara hendaklah menguunakan kesempatan mesyuarat agung seperti ini untuk mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan.

Walaupun kita lihat mesyuarat ini seolah-olah tidak serius, tetapi kita serius. Kalau kita pergi ke mesyuarat agung UMNO kita lihat orang bergelak ketawa sepanjang masa.

CARA PERSEMBAHAN PENTING

Seorang pemidato tidak boleh memikat pendengar sekiranya dia tidak pandai menyelitkan unsur jenaka.

Tetapi ini bukan bermaksud Perhimpunan Agung UMNO itu tidak serius sedangkan UMNO parti pemerintah, tetapi ini adalah cara orang kita menyampaikan fakta-faktanya untuk menyelindungkan segala fakta yang pahit dengan dikocakkan dengan gula-gula yang manis.

Kerana mesej itu lebih penting daripada cara persembahan, maka cara persembahan itu hendaklah menarik supaya mesejnya dapat diselami dan difahami.

Saudara sekalian,

Kita hendaklah menggunakan Mesyuarat Agung MAYC sebagai satu pengalaman yang berguna bagi kita.

Walaupun kita datang ke mesyuarat agung ini kita bukan sahaja dapat bertemu dengan kawan-kawan kita dari negeri lain, tetapi kita juga dapat menggunakan kesempatan ini untuk bercakap di khalayak ramai.

PELUANG BERCAKAP

Jika kita sudah biasa berucap di kampung, sudah biasa berucap di negeri, kita perlu ada kesempatan untuk mengasah bakat kita untuk berucap di hadapan satu kumpulan yang kebanyakannya jarang kita ketemu.
Saya fikir mula tahun hadapan kita perlu adakan tapisan usul lebih awal supaya ahli MAYC di peringkat negeri dapat menerima usul sebulan sebelum Mesyuarat Agung.

Hal ini sedemikian bertujuan supaya setiap orang yang hendak berucap, mereka dapat melakukannya dengan berkesan dalam batasan masa antara 7 hingga 10 minit. Mereka juga mempunyai masa yang panjang untuk membuat kajian tentang apa yang kendak diperkatakan.

Saya dengar ada antara kita yang bercadang supaya MAYC mempunyai wakil dalam MAPEN (Majlis Perundingan Negara).

Dalam MAPEN walaupun suara itu halus, tetapi fakta-fakta yang tercatat adalah mustahak. Kalau ada ahli MAYC yang ingin umpamanya, mengatakan sesuatu kepada MAPEN, kita boleh mencari kawan-kawan kita yang berada dalam MAPEN untuk bercakap bagi pihak kita.

Bagaimanapun saya ingin menumpukan perhatian kepada perkara ini pada akhir ucapan nanti kerana saya fikir ahli MAYC hendaklah menjadi seorang talking encyclopedia, supaya kita boleh bercakap mengenai perlbagai fakta.

Itulah sebabnya saya telah mencanangkan usul supaya diadakan peperikasaan, dengan itu ahli MAYC akan gigih membaca bagi memperdalam pengetahuan mereka.

Saudara sekalian,

Ada yang bangkit berucap tentang hakikat betapa usul demi usul diterima namun tidak ada pelaksanaannya. Memang kita tahu tidak ada pelaksanaan, dan tahun hadapan pun kita tahu tidak ada pelaksanaan. Oleh itu tahun hadapan kita tidak usah bawa usul.

Jika kita tidak usul, maka kita hendak bercakap tentang apa?

Kita perlu kemukakan usul sebab kita ada banyak perkara yang perlu diutarakan. Apakah sebabnya maka surat kita tidak dijawab? Sebabnya ialah kita kelab belia, kita tidak ada kuasa.

UMNO sendiri pun apabila ada usul, kita hantar kepada Kementerian. Dua atau tiga bulan sebelum mesyuarat agung kita terpaksa tulis surat bertalu-talu kepada Kementerian, barulah mendapat jawapan. Itu UMNO. Kita, lebih-lebihlah lagi.

Kita yang tidak ada kuasa eksekutif, tidak ada kuasa apa-apa, jika kita mengemukakan usul, jarang usul kita itu berjawab.

Apakah faedah usul?

Inilah yang penting kita fikirkan.

Sebenarnya tujuan kita membawa usul itu pertama-tamanya untuk memberikan kesempatan kepada ahli kita untuk mematangkan fikiran mereka semasa mendengar ataupun membahaskan usul-usul itu.

Di kalangan saudara yang ada di sini, antaranya ada ahli UMNO, ada ahli PAS, ada ahli MCA, ada ahli Gerakan, ada ahli DAP.

Tidak semestinya segala yang kita bincangkan dalam forum terhenti setakat forum ini.

Dan apabila kita pulang ke tempat masing-masing, kita boleh ulang semula usul kita ini dalam forum-forum lain yang kita tahu akan memberi kesan.

Itulah gunanya perdebatan mengenai usul-usul seperti ini supaya semua orang yang mendengarnya, apabila pulang ke tempat masing-masing akan mencadangkannya dalam forum lain.

Untuk melihat sesuatu kesan bukanlah perkara yang susah sangat, tetapi memakan masa.

Pada tahun 1983, sewaktu saya menjadi Pengerusi Jawatan Kuasa Sambutan Hari Kebangsaan, Dato’ Seri Dr. Mahathir telah mengarahkan saya supaya mewujudkan semangat patriotik di kalangan masyarakat.

Antara program yang saya fikirkan ialah mengadakan Pertandingan Menggubah Lagu-lagu Patriotik.

Hari ini, enam tahun setelah program itu diusahakan, rata-rata orang sudah mula menyanyi lagu Patriotik.

Cuma kita sahaja dalam MAYC menyanyi tanpa semangat. Lagu begitu elok tetapi kita menyanyikannya tanpa semangat, mulut sahaja yang menguit. Mujurlah muzik itu deras, hingga menenggelamkan suara kita yang sumbang. Hari ini kita akan memainkan muzik, dan kita mahu semua ahli menyanyikan lagu persatuan sekuat-kuatnya hingga bangkit semangat cintakan MAYC.

Dalam majlis kita perlu menyanyi. Kita jadikan negara Malaysia a singing nation. Rata-rata kita menyanyi. Bukankah marhaban itu pun satu bentuk nyanyian beramai-ramai?

Sewaktu Nabi Besar Muhammad SAW hendak mendirikan shalat kali pertama di Mesjid Quba, baginda mengajak para sahabat sama-sama memikirkan cara mengumandangkan azan untuk memanggil orang ramai berjemaah bersama baginda. Saidina Omar mencadangkan agar Bilal yang memiliki suara yang amat nyaring dan merdu melaungkan azan dengan berlagu sebagaimana yang kita warisi sekarang. Bukankah laungan azan yang mendayu-dayu merupakan satu bentuk nyanyian untuk menarik orang ramai berduyun-duyun datang ke rumah Allah?

MUSIK YANG DIREDHAI

Justeru, muzik itu dibolehkan asalkan tidak mengkhayalkan. Lagu-lagu bersifat mendidik, mempromiosi makanan dan buah-buahan, semua ini dalam masa yang singkat antara 6 hingga 10 tahun berjaya memberikan kesan kepada masyarakat.

Siapa tahu ada antara saudara ini suatu hari nanti akan menjadi ADUN, berkesempatan menggunakan bahan-bahan daripada usul kita dalam forum-forum yang lain.

Oleh itu, tidak usah gundah, susah, resah, sebab usul kita tidak mendapat sambutan. Tidak perlu tergesa-gesa, kalau dijawab pun sekedar melepaskan batuk di tangga, kita pun sakit hati jadinya.

Saya setuju dengan ahli MAYC yang bercakap tadi yang menyatakan mengenai sistem pengurusan melalui mesyuarat.

Saya dengan Syed Ahmad, Pengerusi bahagian Penulisan sudah setuju supaya semua ucapan saya dibukukan.

Saya bercakap berdasarkan intipati bahan ilmu yang saya baca. Jika orang ikut apa yang telah saya utarakan, saya rasa orang itu akan menjadi hebat. Saya sendiri pun tidak mampu melaksanakan apa yang saya cakap, sebab terlalu banyak. Seseorang manusia itu tidak mampu melaksanakan semua idea yang ada dalam kepalanya.

SALAH FAHAM

Oleh itu terpulanglah kepada kita semua untuk memanfaatkan perkara-perkara yang telah diutarakan.

Mengenai calon yang akan dihantar ke Jepun, saya fikir ada sedikit salah faham. Sebenarnya, calon yang dipilih mula-mula itu bukan dipilih oleh negeri tetapi dipilih oleh pusat dan calon itu tidak mewakili negeri tetapi mewakili MAYC Malaysia.

Apabila kita pergi ke luar negara, kita wakil Malaysia. Justeru, jika kita dipilih dari Selangor atau mana-mana negeri, itu bermakna tokoh itu difikirkan oleh MAYC Pusat sebagai tokoh yang layak pergi. MAYC Pusat pula sewaktu memikirkan mengenai tokohnya, mereka ada senarai. Justeru, sekiranya yang pertama tidak boleh pergi, maka yang kedua akan menggantikannya.

Yang kedua itu pula kebetulannya bukan dari Selangor, katakan. Kita tidak usahlah berjauh hati kerana kerani yang pergi itu pun ahli MAYC juga. Supian itu tak apalah, dia banyak duit. Dia boleh pergi sendiri.

Dia walaupun menjadi ahli MAYC sejak tahun 1969 dia boleh pergi sendiri, tapi bagi yang lain kita fikir tak usah kita jadikan ini sebagai isu.

Saya ingin menghapuskan pertelingkahan dari segi konsep, dan dari segi idea tentang cara hendak maju.

Dalam program Kurnia Belia Jaya, ahli yang datang ke sini tidak duduk di Wisma Belia. Sebenarnya bukan kita yang pilih tempat tidur, mereka yang pilih. Ini urusan Majlis Belia Malaysia. Justeru apabila MBM menjemput mereka ini untuk diberikan hadiah takkan orang kata: “Saya tidak mahu tidur, kecuali di Wisma Tunku”. Kalau kita letakkan syarat seperti itu, lain kali tidak menanglah.

Saudara sekalian,

Kadang-kadang bapa kita menyuruh kita belajar rajin-rajin, sedangkan dia sendiri tidak ada kelulusan. Bapa suruh kita belajar rajin-rajin kerana dia hendak kita menjadi lebih baik, walau pun dia sendiri tidak berpeluang untuk belajar.

Daewoo, antara syarikat antarabangsa terbesar di dunia, baru-baru ini muflis. Begitu juga, Hyundai yang mempunyai kilang perkapalan yang terbesar di dunia baru-baru ini juga muflis.

Bolehkah kita katakan orang Korea tidak lagi boleh mengajar Malaysia cara memajukan ekonomi industri kerana syarikat kilang dan kapal mereka muflis, sedangkan ekonomi Korea masih mantap?

Kegagalan kilang itu bukan bermakna kegagalan dalam setiap aspek kerana aspek masalah masing-masing berbeza.

Begitu juga keadaannya dengan Shamelin dan MAYC.

MAYC ada bangunan, Shamelin ada program perumahan. Shamelin menceburi bidang perumahan sewaktu harga rumah merosot gara-gara kemelesetan ekonomi dunia. Kita menceburi bidang industri pada masa yang tidak sesuai. Serupalah kisahnya seperti orang berniaga ais krim pada musim hujan.

JANGAN MELULU

Justeru, tindakan melaksanakan projek sedemikian dalam keadaan yang tidak merangsang seperti itu tentulah berakhir dengan kerugian. Sementara itu kita meminjam duit yang banyak untuk melaksanakan projek besar, sebagai contoh, kita terpaksa meminjam duit bank untuk mendirikan bangunan ini.

Namun begitu, masalah seperti ini jangan dijadikan alasan untuk menghentam kerajaan, kononnya kerajaan tidak tegas.

Kerana apa?

Apa yang kita lakukan tidak menjadi, apa yang Kerajaan lakukan juga tidak menjadi. Kerajaan mengusahakan pengeluaran kereta nasional, Proton Saga baru sekarang untung, PERWAJA terus kerugian bukan sedikit. Bank Bumiputera pula kerugian RM2 ribu juta.

Walaupun Kerajaan telah banyak kali gagal tetapi Kerajaan hari-hari menasihati usahawan supaya berniaga, membaiki kedudukan kita kerana yang rugi, atau yang berjaya kita juga.

Apabila kita menjadi manusia pesimis, kita tidak mahu lagi mencari kemajuan, semata-mata kerana kita gagal.

Kalau kita putus kaki sebelah kerana penyakit kencing manis adakah kita tidak mahu berjalan lagi?

Apakah kita perlu menunggu hingga kaki kita pulih barulah kita mahu berjalan?

Di mana ada kegagalan kita cuba baiki.

Apabila berjaya sesuatu projek memang banyak bapak angkat, tetapi apabila projek menghadapi masalah, projek menjadi yatim piatu. Kita mestilah pada setiap masa memastikan bahawa semangat ahli MAYC pudar. Kebanyakan kritikan orang terhadap Shamelin dan sebagainya adalah berbau politik.

Mereka yang cuba mengkritik untuk menggambarkan bahawa kita adalah masusia yang begini, begitu. Mereka adalah orang-orang yang memperalatkan orang lain untuk kepentingan politik pribadi mereka.

Mereka merasakan bahawa kida adalah saingan mereka dalam arena politik nasional.

Apakah sebabnya Shamelin tidak didakwa di mahkamah?

Kita ada banyak kerja lain, kita perlu perbaiki dahulu Shamelin. Kita perbaiki dahulu segala yang tidak baik sebelum kita ke mahkamah. Apabila semuanya selesai, waktu itu kita akan heret mereka.

Kita tunggu.

Setiap orang ada harinya.

Saya ucapkan tahniah kepada kumpulan dari Kedah kerana kelihatan seolah-olah mereka sudah mencapai taraf antarabangsa. Ini menunjukkan bahawa ahli MAYC sekarang sudah menjadi orang penting.

Saudara sekalian.

Saya juga berasa gembira kerana sejak akhir-akhir ini ada sambutan yang baik dalam soal masakan antarabangsa. Saya dengar di Kelantan ada dua orang yang sudah buka restoran, orang ini telah dilatih memasak masakan antarabangsa. Saya berharap pada tahun-tahun hadapan, seribu orang beliawanis MAYC akan dilatih dalam masakan antarabangsa. Saya sudah mengarahkan MARDI dan juga institusi-institusi pertanian supaya terus memberikan kursus-kursus masakan antarabangsa. Orang yang sudah belajar dan pandai jangan pula kedekut untuk menunjuk ajar orang lain.

Yang menjadi masalah orang kita ialah apabila dia belajar, gurunya tidak mengajarkan semua. Tetapi apabila dia mengajar, yang terbaik sekali dia tidak ajarkan kepada orang lain.

TIDAK CEMBURU

Kalau kita banyak membaca sesuatu kita tidak akan berasa cemburu apabila seseorang itu mencapai sesuatu sama ada dalam bidang ekonomi, politik atau lain-lain.

Saya tidak cemburu pada apa orang yang lain capai daripada usaha mereka. Kalau saya mahu mencapai sesuatu saya ada cara dan idea saya sendiri.

Dalam hal ini adalah lebih baik kita bekerjasama, semua orang perlu bekerjasama. Kalau orang tidak mahu bekerjasama kita, mereka itu akan ketinggalan sebab kita terus berusaha dengan pelbagai idea yang ada.

Idea-idea ini adalah apa yang terdapat dalam buku dan idea yang ahli MAYC sumbangkan, bukan idea saya sendiri sahaja.

Itulah sebabnya saudara perlu pada setiap masa membaca dan meningkatkan kemampuan saudara.

Saya berharap dalam hal masak-memasak kita perlu up-grade masakan Malaysia samp[ai betul-betul bersifat antarabangsa hinggakan pada suatu masa nanti bangsa lain di dunia berasa kagum akan pencapaian rakyat Malaysia, hinggakan mereka berpeluang menikmati masakan antarabangsa di kampung-kampung pedalaman.

Kita mesti berusaha sehingga ke taraf itu.

Sekian dan Wassalaamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

0 comments

Post a Comment