BUKAN MANUSIA PESIMIS

Posted by mayc_pkbm | 1:48 AM | 1 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC ke-35 1989.

Assalaamu’alaikum Warahmatulaahi Wabarakaatuh.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Pengerusi Mesyuarat yang telah mengendalikan mesyuarat begitu baik.

Perkara yang kedua yang ingin saya jelaskan ialah mengenai diri saya.

DISIPLIN HIDUP

Oleh sebab saya telah mengidap penyakit jantung, maka saya terpaksa hidup dengan cara yang lebih disiplin, makan ubat, saya perlu patuh kepada nasihat doktor mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh saya lakukan.

Kebetulan saya ada satu masalah. Saya biasanya tidak boleh tidur malam sebelum saya membaca buku sekurang-kurangnya sejam.

Pada malam tadi saya balik dari sini pukul dua pagi. Apabila saya sampai di rumah, saya makan ubat yang namanya “Persintin Aisodil Aisosobite”. Ubat ini, menurut doktor, tidak boleh dimakan kecuali setelah enam jam berlalu. Justeru, dari pukul dua pagi saya baca buku setelah makan ubat sampai pukul tiga pagi baru saya tidur.

Bangun pukul 5.30 untuk mengerjakan sembahyang subuh, kemudian saya rehat semula.

Oleh sebab ubat terakhir yang saya makan pada pukul dua pagi, maka saya terpaksa lewat datang ke sini.

Aisosobite dengan Diatosin saya terpaksa makan satu jam setelah selesai makan Persentin dan sebelum saya makan Aisosobite dan Diatosin saya perlu bersarapan terlebih dahulu.

Ini bermakna pukul 8.00 saya sekali lagi perlu bersarapan dan setelah pukul 9.00, setelah selesai makan ubat barulah saya boleh turun ke sini, kerana selepas makan ubat, saya terpaksa melompat 5-6 minit menurut pesanan doktor.

Itulah sebabnya saya sampai lewat sedikit.

Namun begitu, saya tidak pernah menahan Mesyuarat Agung daripada dimulakan tepat pada masanya, malah malam tadi pun saya datang sebelum mesytuarat agung berlangsung, tetapi oleh sebab perwakilan belum masuk ke dalam dewan, saya terpaksa menunggu di luar sehingga semua perwakilan masuk.

Oleh sebab itu saya berharap mendapat persepahaman daripada saudara supaya jangan ada ahli-ahli MAYC nanti apabila lambat kerana hendak ikut cara Presiden. Kalau hendak ikut cara Presiden, saudara perlulah melalui proses pembedahan jantung dulu, barulah sempurna ikut cara Presiden.

BURUNG SUBSIDI

Saudara sekalian,

Pernah satu masa dahulu saya bercerita di hadapan ahli MAYC negeri akan kisah burung gagak di Denmark. Saya terpaksa mengulangi cerita ini kerana saya dapati sudah ada gejala-gejala tertentu meracuni pemikiran ahli MAYC.

Gejala ini sudah terhapus sepanjang tiga tahun yang lalu kerana sepanjang tempoh itu barangkali cerita ini masih tersemat di hati para perwakilan. Oleh sebab para perwakilan negeri sudah lupa, atapun mungkin ada perwakilan baru, ataupun ada perwakilan yang tidak membaca ucapan-ucapan yang sudah, maka cerita burung gagak di Denmark ini sudah dilupakan.

Suatu masa dahulu, beberapa orang Profesor di Denmark bermusyawarat.

Dalam mesyuawarat itu mereka memikirkan cara menolong burung yang datang sekali setiap kali musim bunga, iaitu burung hijrah dari negara Scandinavia menuju negara Mediterrania iaitu Itali, Greece dan Sicily.

Burung-burung itu terpaksa terbang beribu-ribu kilometer ke selatan kerana mereka tidak tahan cuaca musim sejuk di negara Scandinavia iaitu Denmarak, Norway, Sweden dan Greenland.

Ahli-ahli fikir ini sepakat untuk membina satu khemah besar di Denmark dan menjemput burung ini supaya berhenti di negara itu, dan diberi makanan secukupnya. Pada tahun pertama kira-kira 50,000 ekor burung telah berhenti di perkhemahan ini.

Pada tahun kedua, apabila musim salji tiba 150,000 burung turun makan free.

Manusia Mati Meninggalkan Jasa

Posted by mayc_pkbm | 5:30 AM | 0 comments »


Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MAYC ke-35 1989.

Assalaamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan selamat malam kepada semua yang hadir.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Presiden yang sudi menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung pada malam ini.

Saudara sekalian,

Pada malam ini sementara kita bersuka ria meraikan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC yang ke-35, setelah saya menjadi Presiden selama 17 tahun, saya masih teringat akan beberapa tokoh MAYC yang berkhidmat dalam jawatankuasa pusat dan dalam jawatankuasa negeri yang telah pergi meninggalkan kita.

MENINGGAL DUNIA

Baru-baru ini kita mendapat berita Dr. Hussein, seorang pakar dalam bidang galian, meninggal dunia di Ipoh, Sdr. Hamat Salleh meninggal dunia di Kedah beberapa tahun yang lalu, juga Sdr. Salleh Kasmin meninggal dunia di Johor.

Tiga tokoh yang istimewa ini perlu saya sebut pada malam ini kerana mereka mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang berbeza yang mungkin boleh menjadi satu contoh kepada kita yang masih hidup dalam keadaan segar bugar ini.

Dr. Hussein pakar dalam bidang galian. Saudara tentunya dapat menyaksikan kegigihan beliau, seorang anggota MAYC yang gigih bertanding bertahun-tahun semenjak zaman Tunku Abdullah, kadang-kadang menang kadang-kadang kalah.

Sama ada dalam keadaan beliau menang atau kalah kita dapati beliau sentiasa tenang dan tersenyum kerana beliau tahu harga diri.

MENJADI CONTOH

Oleh sebab Allahyarham Dr. Hussein memiliki sifat-sifat demikian, beliau patut menjadi contoh bukan saja kepada ahli MAYC biasa, tetapi juga kepada ahli MAYC yang berminat menceburi dunia politik yang serba mencabar.

Semoga sebagai pemimpin, kita mengambil iktibar daripada Allahyarham Dr. Hussein sebagai salah seorang yang cukup sporting, seorang yang menerima keputusan dengan hati terbuka dan berlapang dada, tanpa mempunyai perasaan dendam dan perasaan jatuh hati.

Walaupun beliau seorang intelek, seorang yang berkelulusan amat tinggi, tetapi beliau tidak pernah memisahkan diri daripada masyarakat.

Apabila saya menerangkan sifat Dr. Hussein ni maka dengan sendirinya saya terasa, walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi, tetapi kakinya masih berpijak di bumi. Beliau sedar bahawa masyarakat di kampung memerlukan kepimpinannya walaupun kegiatannya di tahap yang sederhana.

Seorang lagi tokoh yang saya sebutkan tadi ialah Allahyarham Hamat Salleh yang meninggalkan dunia tanpa meninggalkan harta yang banyak. Sdr. Hamat Salleh mempunyai watak yang paling istimewa, beliau boleh menubuhkan satu Kelab MAYC setiap hari.

Bersatu Teguh Bercerai Roboh

Posted by mayc_pkbm | 11:18 PM | 0 comments »


Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-34, 1988.

Saya ucapkan terima kasih kepada para perwakilan yang masih sudi menunggu sehingga majelis kita ini selesai.

Pada pandangan saya adalah penting bagi ahli MAYC yang menghadiri mesyuarat perwakilan supaya menunggu sehingga mesyuarat selesai barulah para perwakilan boleh pulang ke tempat masing-masing.

IKUTI MESYUARAT

Saya berharap ahli MAYC yang belum pulang beritahu kepada para perwakilan yang sudah pulang awal jangan menghadiri mesyuarat perwakilan akan datang jika mereka tidak sanggup menunggu sehingga mesyuarat selesai.

Sikap dan perbuatan mereka adalah satu pembaziran yang amat besar bagi MAYC kerana wang berpuluh ribu dibelanjakan untuk mengatur setiap Mesyuarat Agung. Walaupun tempat tidur kurang selesa sekalipun, ataupun makanan tidak sempurna, adalah penting diingat bahawa yang penting sekali ialah menghadiri mesyuarat.

Adakalanya orang datang Mesyuarat Agung tidak dapat makan ataupun tidak dapat tempat tidur yang baik, tetapi perlu diingat, ada pertubuhan lain langsung tidak ada bangunan sendiri, dan tidak ada kemudahan-kemudahan seperti yang ada pada MAYC, tetapi mereka sanggup bermesyuarat sehingga tamat mesyuarat mereka.

Saya ucapkan tahniah kepada saudara sekalian dan saya rasa sungguh sedih apabila saya melihat sebahagian kerusi dalam dewan ini sudah kosong sebelum mesyuarat dimulakan. Saya tidak ada dalam mesyuarat tadi kerana kebetulan Setiausaha Akhbar saya mengadakan perkawinannya hari ini.

Pada waktu makan tengah hari saya pergi ke Seremban dan bergegas balik kerana saya fikir pada petang ini saya ingin menyampaikan pesanan yang saya anggap penting bagi kita memasuki tahun seterusnya mulai tahun 1988 ini.

ERTI TEORI 18 TAHUN

Posted by mayc_pkbm | 1:17 AM | 0 comments »


Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-34, 1988.

Y. A. B. EN. ABDUL GHAFAR BABA, bagi kami dalam MAYC, kehadiran  Y. A. B. pada malam ini merupakan satu peristiwa yang amat bermakna, diharapkan semoga malam ini juga merupakan satu peristiwa yang membawa keberkatan kepada Y. A. B. dan kita semua yang hadir.

DENGAN IZIN ALLAH

Daripada pengalaman MAYC pada masa lampau, apabila seorang pemimpin merasmikan Mesyuarat Agung MAYC maka Insya Allah sinarannya lebih berseri.

Y. A. B. Dato’ Seri Mahathir Mohamad setelah beliau merasmikan satu kursus MAYC di Kota Bharu, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga, Y. B. Teugku Razaleigh Hamzah pernah sewaktu menjadi Pengerusi Petronas, kita jemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung MAYC dan dalam Mesyuarat Agung MAYC itu kita mendoakan semoga beliau diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Dua tahun selepas itu beliau menjadi Menteri Kewangan.

Pada tahun 1981, Y. B. Datuk Musa Hitam bertanding melawan Y. B. Tengku Razaleigh Hamzah, MAYC telah menjemput Y. B. Datuk Musa Hitam untuk merasmikan Mesyuarat Agung MAYC di Alor Setar dan sekaligus melancarkan kempen menyokongnya dalam pertandingan dengan Tengku Razaleigh. Syukur Alhamdulillah, Datuk Musa Hitam juga telah diberkati untuk naik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Kita tidak tahu apakah dengan berkat doa kita dan rahmat kepada Y. A. B. Encik  Ghafar Baba dan Dato’ Seri Dr. Mahathir, mereka kini sudah pun menduduki tempat yang tertinggi dalam pemerintahan negara.

Sama-samalah kita mendoakan kedua-dua tokoh ini dipanjangkan umur dan diberikan lebih tenaga oleh Allah SWT.

Saudara para perwakilan sekalian, kita telah memilih Y. A. B. Encik Ghafar Baba merasmikan Mesyuarat Agung kita pada malam ini bukan bertujuan meminta sesuatu daripada beliau.

GHAFAR BABA PEJUANG BANGSA


Kita menjemput beliau ke mari kerana kita menganggap beliau dan Y. A. B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad merupakan dua tokoh yang paling aktif dan masih aktif dalam separuh kedua abad kedua puluh ini.

Sebagaimana Y. A. B. Encik Ghafar Baba telah bergelumang dan berjuang dalam kancah politik sepanjang setengah abad kedua puluh, bahagian kedua abad kedua puluh ini bagi kita adalah satu peristiwa yang sangat penting kerana yang ada di sini, mungkin bukan saya, tetapi generasi yang akan aktif meneruskan kesinambungan perjuangan pada abad kedua puluhan ini.

18 TAHUN SEKALI

Saudara sekalian, daripada penelitian yang saya buat, saya dapati pergolakan dalam negara Malaysia khususnya bangsa Melayu berlaku mengikut corak 18 tahun sekali.

Saya tidak mahu membawa saudara ke abad ke-19 tetapi jika kita ambil abad ke-20, kita mulakan dari tahun 1915.

Pada tahun 1915, selesailah usaha British untuk memecahbelahkan negeri-negeri Melayu dengan melantik residen-residen mereka di setiap negeri dan negeri terakhir yang menerima penasihat British ialah negeri Johor, iaitu pada tahun 1914.

BANYAK BERCAKAP MERUBAH TABIAT

Posted by mayc_pkbm | 9:47 PM | 0 comments »


Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke 33, 1987.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Persidangan yang mengendalikan persidangan dengan begitu teratur dan tertib sekali.

Saya juga ucapkan tahniah kepada para perwakilan sekalian yang telah mengambil bahagian dalam majlis ini.

Saudara sekalian,

Kita telah mendengar berbagai-bagai teguran dan pandangan dalam ucapan-ucapan penangguhan tadi. Ingin saya nyatakan bahawa oleh sebab semua ucapan ini dirakamkan maka laporan mengenainya akan disediakan oleh Ibu Pejabat untuk diberikan perhatian sewajarnya.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengharapkan dengan satu ucapan dalam persidangan MAYC, maka seluruh dunia akan berubah kerana pendapat kita sebentar tadi.

Oleh sebab semua wakil dari negeri-negeri sudah bangun, sudah menegur, maka pada mesyuarat tahun hadapan, kita tanya mengapa kerajaan belum laksanakan.

TIDAK BERHENTI MENEGUR

Kalau dirasakan begitu mustahak maka dalam forum lain seperti forum politik, forum masyarakat, dalam majlis-majlis dialog dan taklimat, ahli MAYC dapat terus mendedahkan sehingga masalah ini sampai kepada penggubal dasar melalui berbagai-bagai saluran dan bukan lagi menjadi masalah yang tersendiri atau masalah yang terpisah. Masalah ini sebenarnya masalah nasional yang sudah dihadapi oleh orang ramai, bukannya masalah segelintir wakil belia sahaja.

Oleh itu kita tidak boleh merasa gundah, resah, gelisah, dan susah hati apabila kita rasakan seolah-olah hujah kita itu tidak diberikan perhatian.

Jika kita telah berhujah dengan sungguh-sungguh, jika apa yang kita katakan itu menyentuh naluri para perwakilan, maka dengan sendirinya ia akan bersemarak dan idea kita akan berkembang dari tahun ke tahun, dari masa ke masa sehinggalah sesuatu perubahan positif berlaku. Mungkin, mengikut cara yang kita cadangkan ataupun sebaliknya.

Semua teguran ini akan ada dalam khazanah perbendaharaan pandangan ahli MAYC dan kita akan kemukakan melalui berbagai-bagai saluran.

Tetapi kita tidak akan bersikap angkuh dengan mengatakan bahawa semua yang kita katakan itu orang akan terima pakai. Malahan firman Tuhan pun banyak orang tidak indahkan apatah lagi pendapat wakil MAYC dalam sesuatu persidangan maka belum tentu semua orang akan terima. Tetapi tidak bermakna kita harus lemah semangat dan berhenti bercakap.

Ada wakil yang menegur mengatakan saya bercakap di tahap lama. Tetapi, selagi saya lihat wakil itu sendiri pun belum berubah bagaimana saya hendak bercakap mengenai perkara baru.

Selagi saya menjadi presiden, saya akan bercakap berulang-ulang mengenai perkara itu, selagi tidak ada perubahan.

Kita harus tahu, Nabi Besar Muhammad SAW, sewaktu beliau belum wafat bukan semua orang patuh pada baginda. Itu nabi yang ada mukjizat, inikan pula saya manusia biasa. Masakan apa yang saya cakapkan pada hari ini, esok berlaku perubahan dengan serta merta.

Tentu tidak.

Bukan semua ahli MAYC ini berubah menurut apa yang sudah saya nasihatkan.

Saya tahu, banyak perkara saya sentuh berulang-ulang kali. Mereka yang hadir berturut-turut selama 18 tahun tentulah sedia memahami hakikat ini. Tetapi kita mesti ingat bukan semua yang berulang-ulang itu tidak elok.

Banyak perkara kita buat berulang-ulang, malahan kalau perkara itu baik kita tidak peduli berapa banyak hendak diulang. Cuma benda yang tidak baik yang tidak kita ulang.

PEMIMPIN ADALAH PENYELESAI MASALAH

Posted by mayc_pkbm | 12:18 AM | 0 comments »



Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-33, 1987.

Dalam lawatan saya ke negeri-negeri dan dalam kursus-kursus MAYC, saya selalu mengingatkan hakikat bahwa pergolakan yang berlaku dalam sejarah adalah disebabkan tiga perkara yang begitu ketara.

NAFSU BESAR

Pertama; wujudnya di dalam dunia ini manusia-manusia bernafsu besar.

Kerana nafsu begitu besar maka usaha memuaskan nafsu sentiasa tidak mengenal erti puas, maka manusia menjadi punca berlakunya huru-hara.

Saya ingin mengingatkan saudara mengenai tokoh seperti Julius Caesar yang begitu ghairah, begitu bernafsu dan nafsunya yang besar ialah terhadap Celopatra.

Julius Caesar menjadi punca masalah, darah mengalir di merata-rata tempat, anak menjadi yatim, isteri kehilangan suami, kerana Caesar tidak puas kecuali ia sudah menakluki dunia ataupun telah menakluki negara-negara lain.

Kemudian kita melihat bagaimana Napoleon menjadi sebab berlakunya pergolakan di Eropah. Napoleon juga seorang yang bernafsu besar, yang mempunyai kekasih bernama Josephine. Tentang kisah Napoleon dan Josephine pemimpin-pemimpin MAYC di seluruh negara tentunya telah sedia maklum.

Tokoh sejarah yang lebih dekat kepada kita ialah Hitler. Hitler dengan Eva Braun telah menyebabkan berjuta-juta rakyat Eropah terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

Justeru, berdasarkan hakikat sejarah, kita membuat kesimpulan bahawa pergolakan di dunia adalah angkara manusia yang bernafsu besar dan rakus.

PUNCA MASALAH

Nafsu adalah salah satu punca masalah, begitu kata seorang ahli fikir Sigmund Freud dalam bukunya.

Selain nafsu, harta juga menjadi punca masalah, sehingga pengasas fahaman Komunis, Karl Marx menyatakan apabila yang kaya terus kaya, dan terus menidas, yang papa terus papa, maka pada waktu itu wujudlah di dalam negara satu jurang perbezaan yang luas lagi bertentangan antara dua golongan manusia, iaitu yang kaya dan yang miskin.

Maka usaha untuk menghapuskan atau meleburkan pertentangan itu akan membawa negara kepada satu revolusi berdarah yang akhirnya hilanglah yang kaya dan yang papa kerana semuanya menjadi susah.

Manusia yang mencapai kekayaan yang begitu besar dan hebat biasanya akan lupa asal-usul mereka, tidak ingat lagi kepada mereka yang kurang berada dan malah, kadangkala menggunakan harta untuk memuaskan nafsu.

Faktor ketiga yang mencetuskan pergolakan ialah kuasa. Mengenai kuasa ini Bertrand Russel dengan jelas menyatakan:

“Bukan nafsu, bukan harta, tetapi kuasalah yang menyebabkan berlakunya pergolakan dalam masyarakat”.

KERJA DAHULU PANGKAT KEMUDIAN

Posted by mayc_pkbm | 2:51 AM | 0 comments »


Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-32, 1986.

Saudara Taib Wahab telah mengendalikan mesyuarat agung dengan begitu baik. Saudara Taib dengan tabah dapat terus membantu kita mengendalikan majlis ini. Saya juga ucapkan tahniah kepada koir MAYC.

KOIR MAYC HEBAT

Waktu koir sedang bersenandung pagi tadi, saya berbisik kepada Y. A. B. Perdana Menteri, saya tanya pendapat beliau tentang kemampuan koir kita itu, adakah setara hebatnya dengan koir di rumah Naib Presiden Amerika Syarikat sewaktu lawatan beliau ke Amerika Syarikat dahulu. Beliau bersetuju, sama hebat.

Menyentuh tentang usul untuk mewujudkan satu lagi pertubuhan belia Hindu di peringkat nasional yang mungkin bertujuan untuk meluputkan separuh daripada pemimpin yang tidak disenangi pihak tertentu, akan ditentang habis-habisan. Saya bercakap sebagai Presiden MAYC, bukan sebagai Menteri.

Saya juga mengucapkan syukur kepada Allah kerana Romantika Satu selesai. Kita ada romantika dua, romantika tiga dan Johor menyarankan romantika empat. Saya tidak mahu campur tangan dalam romantika empat kerana saya tidak pasti tentang tujuan romantika empat itu adakah ia akan menguntungkan ahli MAYC ataupun sebaliknya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk membetulkan sedikit fakta mengenai pertandingan saya sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984.

Sebenarnya dalam hidup saya, saya tidak pernah merebut jawatan untuk melakukan sesuatu kerja, saya biasanya bekerja dahulu dan memikirkan jawatan kemudian.

BERTANDING

Dalam bank, saya sempurnakan kerja dahulu, kemudian saya perolehi jawatan. Begitu juga apabila saya bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1974, saya tidak meminta untuk menjadi calon. Cerita bagaimana saya menjadi calon begini. Tun Razak ada menghubungi saya meminta saya memujuk PAS menyertai Barisan Nasional. Pada waktu itu lebih kurang 22,000 orang ahli PAS meminjam wang di Chartered Bank melalui saya, dan mereka semua dari Kedah.

Oleh sebab PAS di Kedah waktu itu dipimpin oleh Abu Bakar Osman yang tidak mahu menyertai Barisan Nasional, maka Tun Razak menggunakan saya bagi menghubungi PAS untuk mendesak PAS Kedah menyertai Barisan. Ini telah saya jayakan dan itulah sebabnya saya bertanding pada tahun 1974.

Sebenarnya pada tahun 1974 saya tidak mahu bertanding. Saya sudah tahu saya akan menjadi Setiausaha Agung UMNO sebelum pertandingan, kerana Presiden telah menyatakan selepas pertandingan ini saya jadi Setausaha Agung.

Apabila saya menyatakan saya tidak mahu menjadi Naib Presiden beliau setuju saya tidak bertanding, tetapi kerana pencalonan naib Presiden terlalu banyak maka pada waktu itu, Presiden memanggil saya.

Lebih baik bertanding, cuba sahaja, dan saya mencuba dan saya beritahu pasti kalah. Akhirnya sayapun kalah dan saya tidak sedih atas kekalahan ini, dan tidak tersinggung. Cuma saya terkilan sedikit kerana banyak cerita ataupun fitnah dilemparkan waktu saya menghadapi pertandingan.

Ada orang yang saya tolong telahpun menjadi wira. Saya ikut berkempen menaikkan seseorang, tetapi budi saya itu dibalas dengan tuba. Ada yang sampai memanggil saya petualang. Kata mereka, “Kalau hendak berhenti, berhentilah, jangan cakap banyak”. Walau bagaimanapun tidak mengapalah. Sudah menjadi resam dunia begitu. Kita beralih kepada perkara lain.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MAYC Negeri Johor kerana buat pertama kalinya mula dilambung gelombang dahsyat ini. Barangkali MAYC Johor dahulupun tidak kenal pahit dan getir perjuangan. Sewaktu MAYC Selangor menghadapi tekanan politik, MAYC Johor sebaliknya mendapat sokongan politik.

Sewaktu MAYC Melaka menghadapi tekanan politik, MAYC di tempat lain pula beristirehat.

Sekarang giliran Johor pula menghadapi tekanan, semoga saudara menjadi lebih dewasa selepas mengharung gelombang lautan yang dalam ini.