BANYAK BERCAKAP MERUBAH TABIAT

Posted by mayc_pkbm | 9:47 PM | 0 comments »


Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke 33, 1987.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Persidangan yang mengendalikan persidangan dengan begitu teratur dan tertib sekali.

Saya juga ucapkan tahniah kepada para perwakilan sekalian yang telah mengambil bahagian dalam majlis ini.

Saudara sekalian,

Kita telah mendengar berbagai-bagai teguran dan pandangan dalam ucapan-ucapan penangguhan tadi. Ingin saya nyatakan bahawa oleh sebab semua ucapan ini dirakamkan maka laporan mengenainya akan disediakan oleh Ibu Pejabat untuk diberikan perhatian sewajarnya.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengharapkan dengan satu ucapan dalam persidangan MAYC, maka seluruh dunia akan berubah kerana pendapat kita sebentar tadi.

Oleh sebab semua wakil dari negeri-negeri sudah bangun, sudah menegur, maka pada mesyuarat tahun hadapan, kita tanya mengapa kerajaan belum laksanakan.

TIDAK BERHENTI MENEGUR

Kalau dirasakan begitu mustahak maka dalam forum lain seperti forum politik, forum masyarakat, dalam majlis-majlis dialog dan taklimat, ahli MAYC dapat terus mendedahkan sehingga masalah ini sampai kepada penggubal dasar melalui berbagai-bagai saluran dan bukan lagi menjadi masalah yang tersendiri atau masalah yang terpisah. Masalah ini sebenarnya masalah nasional yang sudah dihadapi oleh orang ramai, bukannya masalah segelintir wakil belia sahaja.

Oleh itu kita tidak boleh merasa gundah, resah, gelisah, dan susah hati apabila kita rasakan seolah-olah hujah kita itu tidak diberikan perhatian.

Jika kita telah berhujah dengan sungguh-sungguh, jika apa yang kita katakan itu menyentuh naluri para perwakilan, maka dengan sendirinya ia akan bersemarak dan idea kita akan berkembang dari tahun ke tahun, dari masa ke masa sehinggalah sesuatu perubahan positif berlaku. Mungkin, mengikut cara yang kita cadangkan ataupun sebaliknya.

Semua teguran ini akan ada dalam khazanah perbendaharaan pandangan ahli MAYC dan kita akan kemukakan melalui berbagai-bagai saluran.

Tetapi kita tidak akan bersikap angkuh dengan mengatakan bahawa semua yang kita katakan itu orang akan terima pakai. Malahan firman Tuhan pun banyak orang tidak indahkan apatah lagi pendapat wakil MAYC dalam sesuatu persidangan maka belum tentu semua orang akan terima. Tetapi tidak bermakna kita harus lemah semangat dan berhenti bercakap.

Ada wakil yang menegur mengatakan saya bercakap di tahap lama. Tetapi, selagi saya lihat wakil itu sendiri pun belum berubah bagaimana saya hendak bercakap mengenai perkara baru.

Selagi saya menjadi presiden, saya akan bercakap berulang-ulang mengenai perkara itu, selagi tidak ada perubahan.

Kita harus tahu, Nabi Besar Muhammad SAW, sewaktu beliau belum wafat bukan semua orang patuh pada baginda. Itu nabi yang ada mukjizat, inikan pula saya manusia biasa. Masakan apa yang saya cakapkan pada hari ini, esok berlaku perubahan dengan serta merta.

Tentu tidak.

Bukan semua ahli MAYC ini berubah menurut apa yang sudah saya nasihatkan.

Saya tahu, banyak perkara saya sentuh berulang-ulang kali. Mereka yang hadir berturut-turut selama 18 tahun tentulah sedia memahami hakikat ini. Tetapi kita mesti ingat bukan semua yang berulang-ulang itu tidak elok.

Banyak perkara kita buat berulang-ulang, malahan kalau perkara itu baik kita tidak peduli berapa banyak hendak diulang. Cuma benda yang tidak baik yang tidak kita ulang.


BENDA BAIK MESTI DIULANG-ULANG

Kita dengar tiap-tiap tahun orang membaca ayat suci al-Quran, terutamanya Surah al-Fatihah, ayat itu juga berulang-ulang setiap hari ketika bershalat. Masakan kita nak kata jangan baca kerana ayat itu sudah beratus tahun orang mengulang-ngulang membacanya.

Kita tidak akan tergamak membaca ayat lain sebagai gantinya, masakan kita sanggup merosakkan shalat kita. Justeru, perangai tidak mahu berulang-ulang ini satu masalah. Kalau ada perangai seperti ini, lama-lama isteri kita pun kita tukar. Tiap-tiap minggu tukar isteri lain. Maksud saya jangan ikut sedap mulut sahaja apabila bercakap.

Saya sangat gembira kerana adanya cadangan supaya kita adakan jawatankuasa cambah fikiran atau brainstorming committee. Saya fikir kita perlu wujudkannya. Saya telah melawat negeri-negeri dan memberi ceramah kepada ahli MAYC. Isi ceramah itu saya huraikan pula dalam Perhimpunan Agung kita pada majelis pembukaan malam tadi. Kita perlu adakan Sesi Cambah Fikiran dengan lebih kerap bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga di peringkat negeri dan di peringkat daerah, dan kelab.

Kita perlu sentiasa bertanya ke manakah hala tuju kita, matlamat kita. Bagaimana cara kita mencapai matlamat kita. Bagaimana pula jangka masanya. Kita perlu bertanya perkara ini selalu. Saya percaya biasanya apabila kita bertanya ke manakah hala tuju kita, bagaimanakah cara kita untuk sampai ke matlamat, dan bilakah kita akan sampai di sana, jawabnya:

“Tak tahu. Wallahu’alam”.

Kalau itulah cara jawaban yang kita berikan, maka tidak ada kemajuan pada diri kita.

Kita mesti sanggup dan berani bercakap.

Apa yang saya perkatakan itu adalah hasil daripada kajian yang banyak, tetapi saya menyampaikannya dengan cara yang mudah difahami. Saya ceritakan yang sesuai untuk orang ramai mendengarnya.

Tetapi apabila saya bercerita seperti itu, secara mudah orang fikir saya tidak serius. Kalau kita cerita sampai sukar dimengerti orang, mereka jadi susah juga.

Saya teringat pada satu peristiwa. Seorang kawan saya pergi ke Langkawi merasmikan Mesyuarat Agung UMNO. Dalam ucapannya dia mengatakan “Kita, UMNO, hendaklah peka kepada segala masalah yang ada dalam masyarakat”. Ada orang menanyakan makna peka. Kawan saya menjawab mengatakan “Peka itu maknanya sensitif”. Alhamdulillah, dia pun duduk.

Selepas tamat mesyuarat, saya bertanya kepada Pak Mat Derani. “Pak Mat, sensitif itu apa? Jawabnya, “Wallahu’alam”.

Justeru apabila saya bercakap saya mahu orang faham. Jadi apabila kita nahu orang faham, kita bercakap dengan bahasa yang mudah.  Justeru, saya fikir kita perlu cambahkan fikiran kita. Kita perlu mencari idea baru selalu.

Dalam mesyuarat MAYC ini pun kita mahu ahli MAYC berpuas hati. Jangan mentang-mentang saya sudah lama menjadi Menteri, sudah lama menjadi Setiausaha Agung UMNO, sudah lama menjadi Presiden sampai nasihat saya pun tidak lagi diterima.

Jadi cubalah ambil sedikit. Kalau tidak 100%, ambillah 10% yang kita nasihatkan itu. Masalah yang paling penting sekali kalau kita mahu ubah masyarakat kita perlu ubah tabiat. Apabila saya sebutkan ubah tabiat, ramai orang kata suruh ubah sikap.

Ubah tabiat sebenarnya mudah.

Saya ingin mencabar saudara.

Saudara bangkit pagi pukul berapa?

Biasa pukul 7.00 bukan? Yang shalat subuh bangkit pukul berapa? Pukul 6.00 selepas bershalat tidur semula pun ada.

Cuma saya hendak cadangkan cuba amalkan satu tabiat baru. Bangkit pukul lima, jangan tidur lagi. Tiap-tiap hari buat seperti itu. Kalau saudara boleh buat itu sahaja bermakna saudara sudah mula berubah. Nasib sudah mula hendak menjadi baik. Bukan senang untuk melakukannya.

Semua manusia yang berjaya dalam dunia ini ialah manusia yang boleh ubat tabiat, dan untuk ubah tabiat ini kita perlu banyak-banyak bercakap, apabila kita berubah tabiat, ekonomi pun turut berubah.

Kita lihat isu air kelapa muda.

Apa kita buat? Mudah sahaja. Jangan bagi orang percaya air itu boleh melemahkan tenaga batin. Apabila kita berjaya dengan propaganda yang kuat mengenai air kelapa orang berubah tabiat. Apabila berubah tabiat, orang minum air kelapa. Pendapatan orang yang ada kebun kelapa meningkat berjuta-juta ringgit.

Dengan apa?

Dengan hanya mengubah tabiat.

Kempen kutip tayar buruk itupun ubah tabiat. Tabiat kita tayar buruk kita buang. Kita buat pasu bunga. Kita bubuh cat buat pintu gerbang. Kita perlu ubah tabiat. Tayar buruk kita letakkan dalam laut. Setelah enam bulan lumut naik. Kemudian ikan mula datang dan dalam masa tiga tahun berpuluh-puluh juta ikan membiak. Jangan buang tayar. Himpunkan tayar. Sekarang ini kita hendak berkempen ubah tabiat pemakanan supaya lebih banyak orang makan sayur, lebih bayak orang makan ulam.

MAKAN ULAM

Kita buat kerja sebagai Menteri Pertanian, mahu otak rakyat cergas. Kita perlu makan banyak ulam dan sayur. Lebih banyak makan sayur kita dapat lebih banyak protein, lebih banyak vitamin dan lebih banyak serat. Kesihatan kita akan menjadi lebih baik. Memanglah elok kalau makan banyak ulam sayur-sayuran, seperti orang di Sunda. Orang di Sunda pilih makanan sepuluh pinggan. Lapan pinggan sayur. Itu sebabnya di sanan jarang orang da jerawat. Kulit mereka licin dan jarang orang kena semput, kencing manis, darah tinggi, tak pernah dengar di Sunda, Jawa Barat.

Tujuan kita baik untuk ubah tabiat. Kalau kita ubah secara kencang namanya revolusi. Sama keadaannya dengan usaha kita hendak menukarkan desa kepada desa permai, kita namakan revolusi desa.

Kita perlu revolusi sikap.

Kita perlu revolusi tabiat.

Tak usahlah bawa usul apapun. Selepas kita bawa usul ekonomi, kerajaan buat dasar. Buat pelaksanaan. Selepas pelaksanaan kita perlu buat kerja. Apabila kita buat kerja, kita tak buat, kita buat tak jadi.

Pernah saya cerita mengenai orang yang ingin bershalat. Silap-silap dapat dosa kerana shalat tak betul, niat nak bershalat memang elok tetapi dia shalat tak betul.

Sesetengah orang pula hendak mencuri, dia niat hendak mencuri dia belum mendapat dosa. Tetapi dia pandai mencuri dia kaya. Dosa dapat kerja jadi.

Ada pula sesetengah orang ingin mencuri tetapi tidak profesional, kena tangkap, dosa dapat kerja tak jadi.

Yang kita hendak orang membuat sesuatu program dengan niat yang baik, kerja pandai, maka pahala dapat kerja berhasil.

Saya sudah katakan tentang soal menyelesaikan masalah. Pemimpin adalah penyelesai masalah, dan untuk menyelesaikan masalah, kita perlu kaji sebab-musababnya.

Bukan bermakna jika kaki sudah berkudis kita tengok kudis itu buruk sangat kita ambil plaster dan bubuh di tempat kudis, kudis tiada lagi.

Itu sebabnya apabila saya mengulas tentang kesetiaan dan sebagainya, saya dengar ada orang yang tersinggung. Kalau kita hendak tahu sebab-musabab isu sesuatu masalah yang wujud, kita sebagai belia jangan jadi macam orang yang sudah reput.

Kita mesti mampu berdepan dengan kenyataan.

Kalau salah walaupun kawan tetap salah.

Salah tetap salah walaupun asal dari satu negeri. Kalau bukan dari satu negeri dan satu tempat bukan dari satu keturunan pun kalau betul tetap betul.

Itu sikap yang perlu kita pegang. Kita perlu selidik kerana kita tidak boleh menjadi belia semput. Belia semput akan lari apabila berdepan dengan kenyataan.

Belia yang sanggup menyelidik, mengorek, dan melihat kepada punca berlakunya perpecahan dalam masyarakat ialah belia yang dinamik.

SELIDIK DAN KOREK

Saya sendiri seorang manusia yang amat keras kepala, tetapi apabila tersilap, saya meminta maaf. Sebelum kita berbuat sesuatu kita mesti kaji dan kita mesti sanggup mengkaji kesan kerja kita.

Kita perlu kaji sejarah. Banyak peristiwa yang berlaku di dunia ini berlandaskan sejarah. Umpamanya Hitler, dahulu sewaktu dia menjajah Eropah dia sudah hampir menang, tiba-tiba dia berlagak pandai, dia serang Rusia.

Apakah tindakan Rusia?

Sebelum dia sampai di Leningrad, orang Rusia bakar ladang-ladang gandum hingga askar Hitler mati kebuluran. Hitler sepatutnya tidak buat begitu kalau dia belajar daripada sejarah.

Sebab sebelum Hitler, Napoleon pun pernah menyerang Rusia. Hitler patut kaji bagaimana Kaisar Rusia membunuh tentera Napoleon.

Oleh sebab Hitler mengabaikan sejarah maka Hitler pun musnah seperti Napoleon. Itu sebabnya askar Hitler ramai yang terkorban di Rusia.

Kaisar Rusia belajar daripada mana?

Dia belajar sejarah empat ratus tahun sebelum Nabi Isa. Kira-kira 2,300 tahun dahulu ada seorang Maharaja Rom bernama Fabius. Waktu Hanibal hendak melanggar Rom, Fabius bakar semua bekalan makanan di Alps Switzerland sehingga tatkala Hanibal sampai, tenteranya mati kebuluran.

Kaisar Rusia baca sejarah.

Kalau kita hendak menyelesaikan masalah Melayu, kita perlu membaca sejarah.

Kita perlu kaji apakah perkara yang kita buat hari ini sudah pernah dibuat oleh orang terdahulu?

Memang banyak perkara yang orang kita lakukan pada hari ini bukan yang asli kerana sudah pernah dilakukan oleh orang terdahulu. Ahli MAYC sekalian hendaklah cuba memahami semua perkara ini.

Apabila Soekarno berkata, “Berikan kepadaku sepuluh orang pemuda, maka aku akan goncang dunia ini”. Soekarno ambil daripada Hitler dan Hitler pula belajar daripada Julius Caesar.

Justeru kita perlu mengkaji sejarah.

Kita tahu bahawa orang itu bukan bercakap perkara baru, tetapi kita tak pernah membaca sejarah kita tak tahu lama atau baru, terpaksalah kita cari sendiri.

SOKONG PERJUANGAN

Ada perkara yang MAYC lakukan sendiri dan ada perkara yang orang lain lakukan kita sokong. Ada perkara yang orang lakukan kita ambil bahagian yang sama. Perkara yang kita lakukan antara lain pada akhir-akhir tahun ini ialah mewujudkan Wisma Tunku, mewujudkan Kompleks MAYC, dan kita telah berjuang begitu lama untuk mendapatkan tanah di Pulau Pinang. Perkara yang kita perjuangkan ini bukan perkara yang sekali berjuang terus selesai.

Kompleks MAYC ini akan kekal sampai seratus tahun yang akan datang. Kita buat sekali. Tentulah perkara yang kita mahu buat sekali itu memakan masa yang lama.

Kompleks MAYC Pulau Pinang umpamanya, apabila siap nanti akan kekal berpuluh-puluh tahun, beratus tahun kalau MAYC terus wujud. Itu perkara yang kita lakukan sendiri.

Saya fikir patut dijelaskan dalam mesyuarat kita, ada perkara yang orang lain lakukan kita tumpang sama. Kempen antidadah umpamanya. Pemadam anjurkan, kita pun ada peranan dalam kempen ini. Ada perkara yang orang lakukan kita sokong.

Ada satu cadangan tadi meminta kita mengeluarkan kenyataan mengenai jemaah haji yang terkorban dalam tragedi Mekah. Cuma dalam hal ini saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan. Timbalan Presiden, Setiausaha Agung boleh keluarkan kenyataan tersebut.

Apabila saya keluarkan kenyataan orang akan keliru, saya bercakap ini atas kedudukan sebagai apa? Apabila saya bercakap sebagai Presiden MAYC, orang tulis dalam akhbar “Menteri Pertanian merangkap Setiausaha Agung UMNO berkata...” Nama MAYC tidak keluar juga.

Apabila saya bercakap orang nanti berkata, orang ini bercakap atas nama UMNO kah atau atas nama kerajaan kah atau nama belia kah?

Kadang-kadang pandangan belia berbeza dengan pandangan UMNO, berbeza dengan pandangan kerajaan, tetapi saudara boleh buat kenyataan, asalkan yang membuat kenyataan itu bukan saya.

Saya bersetuju dengan ahli fikir kita tadi yang mentakrifkan perkataan “MELAYU” – Malu-Lembut-Yakin-Was-Was. Ini saya fikir perkara yang perlu mendapat perhatian. Melayu, satu bangsa yang tidak akan melakukan sesuatu perkara sekiranya dipaksa.

Saudara perlu faham perangai orang Melayu. Itu sebabnya apabila Portugis datang menjajah dahulu dengan tujuan antaranya mahu orang Melayu memeluk agama Kristian, mereka datang dengan lagak, orang Melayu tidak boleh terima.

Tetapi apabila orang Arab datang, mereka datang ke Melaka bawa al-Quaran, mereka bawa tikar shalat, mereka bawa pula permaidani, jadi orang Melayu pun senang, Alhamdulillah.

Cara kita dengan orang Melayu ini tidak boleh dengan cara kasar tapi tak boleh juga dengan cara berlembut sangat. Apabila berlembut sangat kepala kita dipijaknya, perlu kena caranya barulah mereka dapat menerima kita.

Saya berharap agar MAYC dalam usaha mendampingi masyarakat untuk mendekati hati mereka perlulah menekankan aspek diplomasi, berbaik dengan mereka dan buatlah apa-apa yang saudara boleh demi kebaikan.

Akhir-akhir ini saya dapati di sana sini orang bercakap tentang isu kafir mengkafir.

Kadang-kadang didapatinya orang lain tidak betul sedikit sahaja sudah dituduh kafir. Tuduhan kafir terhadap orang Islam satu perkara serius. Bukan mudah menuduh orang kafir. Orang yang tidak beribadat itu tidak boleh terus dicap sebagai kafir. Kafir itu itikad. Kalau dia menolak Tuhan, telah menduakan Tuhan, itu baru dikatakan kafir. Ini dia masih mengaku adanya Tuhan dan adanya Nabi.

Cuma, dia malas beribadat. Kalau sudah kafir bila mati masuk neraka sampai bila-bila. Tapi kalau Islam, berdosa masuk neraka buat tempoh masa tertentu, cukup tempoh masuk ke syurga. Cuma adalah tanda di dahi, tapi dia itu belum kufur, dia baru berdosa.

Ini tidak, dilihatnya kita berbeza sedikit sahaja dengan mereka, kita capnya kafir. Nauzubillahiminzalik.

Saya fikir tidak sukar untuk kita menawan kembali mereka ini, tetapi kita perlu gunakan cara lembut dan berhikmah. Sebenarnya mereka kurang faham apa yang mereka katakan itu.

Saya rasa kerap benar saya memperkenalkan kepada MAYC bahawa tujuan konsep tida romantika, Satu – Dua – dan Tiga adalah untuk mengembangkan fikiran MAYC, bukan untuk menimbulkan persoalan bila romantika-romantika itu boleh siap.

Apabila kita sebut tentang romantika satu-dua-tiga, kita sebenarya sedang merayu kepada imaginasi kita supaya MAYC ini punya angan-angan besar, impian besar.

Kalau manusia itu berniat untuk memanjat pokok kelapa takat setengah sahaja, sampai bila pun dia tidak akan sampai di atas. Kalau dia berniat mahu sampai di atas mungkin dia sampai setengah, tetapi kalau dia berniat mahu sampai setengah pasti dia tidak sampai di atas. Silap-silap dia sampai takat suku sahaja.

Apabila kita bercerita mengenai romantika maksud kita supaya imagimasi ahli menjadi luas atau mengembang. Selepas itu saya memperkenalkan Sasaran Nasional.

Ada ahli mengeluh pertandingan sepak takraw cuma diadakan di peringkat kelab, daerah dan negeri sahaja. Di peringkat nasional tidak ada pertandingan. Saya fikir kita perlu rangka program sasarn nasional. Program ini, umpamanya sepak takraw, perlu ada peringkat kelab dan peringkat nasional.

HATI

Pertandingan pidato ada di peringkat kelab, di peringkat negeri dan ada di peringkat nasional. Saya telah menerangkan kepada saudara konsep ilmu yang menghapuskan kekuatan. Saya juga telah menerangkan konsep rukun organisasi, saya telah memperkenalkan MENJARO – POLEMAS.

Pada hari ini saya mencadangkan supaya kita arif dengan konsep 4P ataupun HATI.

Dalam pembahasan mengenai Dasar Ekonomi, untuk makluman saudara pada tahun-tahun yang akan datang, bidang yang akan mendapat tumpuan Kerajaan ialah HATI iaitu, Housing, Agriculture, Tourism dan Industry.

Housing (Perumahan) cabaran membina 80,000 rumah murah setahun.

Agriculture (Pertanian) Menuju Era Baru – petani, penternak dan nelayan yang lebih maju dan berjaya.

Tuorism (Pelancongan) – menggalakkan perkembangan industri pelancongan negara untuk menambah tukaran mata wang asing sehingga kita adakan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.

Industri perojek-projek besar untuk membangun negara dikritik sebagai projek-projek mahal, membazir, dans sebagainya.

Inilah bidang yang akan membawa negara kita yang sedang membangun kepada negara maju.

Dalam bahasa Melayu: PERUMAHAN, PERTANIAN, PELANCONGAN, PERINDUSTRIAN (4P).

Ingatlah bidang-bidang ini apabila saudara bersyarah di mana-mana.

Saudara sekalian,

Akhir sekali saya ingin mengingatkan ahli mengenai Rukun Organisasi dan takrifan Pemimpin.

RUKUN ORGANISASI

1)      Sumber Kuasa
2)      Perhubungan
3)      Pengeluaran
4)      Maruah
5)      Perubahan

Apa takrifan pemimpin?

Pemimpin adalah penyelesai masalah.

SETIA KAWAN

Perkara ketiga yang hendak saya perkenalkan ialah Semangat Setia Kawan.

Maksud Setia Kawan ialah sekiranya antara kita sesama ahli MAYC ada perkara yang kita tidak berkenan kita tulis surat, dan kita perlu kemukakan, ataupun dalam Mesyuarat Agung kita cakap terus terang. Saya suka sekali sekiranya ahli-ahli berani bercakap.

Tetapi kalau ada cacat dan cela kita jangan pergi ke luar dari kelab, kita komen sakan. Apabila kita berjumpa kita baik. Di belakang kita mengaata dia teruk, itu bukan setia kawan namanya.

Yang dikatakan kawan dalam MAYC, dalam jawatankuasa apabila kita sudah menjadi kawan, apabila ada kesilapan ataupun kelemahan kawan, kita tegur secara peribadi ataupun dalam mesyuarat.

Di luar orang menghentam dia kita perlu membelanya, kemudian kita balik dalam mesyuarat kita sental dia. Dengan cara itu barulah MAYC sebagai sebuah organisasi akan menjadi kuat dan akan menjadi organisasi harapan bangsa.

UCAPAN

Pada tahun hadapan, Insya Allah saya akan bukukan dahulu ucapan saya sebelum Mesuarat Agung.

Saya akan senaraikan semula daripada saya menjadi Setiausaha Agung sehingga saya menjadi Presiden, segala program yang kita laksanakan dan apakah falsafah dan pemikiran yang ada di sebalik program itu.

Mungkin ucapan saya akan memakan masa tiga atau empat jam, dan kita terpaksa berehat di pertengahan majlis. Saya berharap saudara akan pulang dan fikir apa yang hendak saudara cakapkan pada tahun hadapan.

Kerana pada tahun hadapan saya akan huraikan daripada A sampai Z segala apa yang sudah kita buat dan falsafah yang kita pegang. Kerana saya bimbang setiap tahun ada sahaja ahli MAYC yang baru datang ke Mesyuarat Agung dengan fikiran kosong, yakni tidak tahu latar belakang apa yang telah kita bincangkan pada masa lalu.

Mengenai laporan Ucapan Penangguhan dibuat dalam bahasa asing, ini dibuat demikian kerana dahulu apabila kita sunting ada pula orang yang marah.

Justeru, sekarang apa yang saudara cakap semuanya dimuatkan sekali supaya tidak ada orang membantah dalam hal ini. Tetapi kalau sekiranya saudara fikir ada yang salah dari segi isi itu dapatlah kita pinda sendiri.

Saudara sekalian,

Sekian ucapan saya dan saya ucapkan selamat pulang ke negeri masing-masing.

Kirimkan salam kepada ibu, bapa, adik-adik, abang dan kakak, dan beritahu mereka bahawa MAYC dari tahun ke tahun sedang menuju ke arah yang lebih cemerlang.

Sekian, dengan nama Allah saya merasmikan penutupan majlis pada petang ini.

0 comments

Post a Comment