ERTI TEORI 18 TAHUN

Posted by mayc_pkbm | 1:17 AM | 0 comments »


Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-34, 1988.

Y. A. B. EN. ABDUL GHAFAR BABA, bagi kami dalam MAYC, kehadiran  Y. A. B. pada malam ini merupakan satu peristiwa yang amat bermakna, diharapkan semoga malam ini juga merupakan satu peristiwa yang membawa keberkatan kepada Y. A. B. dan kita semua yang hadir.

DENGAN IZIN ALLAH

Daripada pengalaman MAYC pada masa lampau, apabila seorang pemimpin merasmikan Mesyuarat Agung MAYC maka Insya Allah sinarannya lebih berseri.

Y. A. B. Dato’ Seri Mahathir Mohamad setelah beliau merasmikan satu kursus MAYC di Kota Bharu, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga, Y. B. Teugku Razaleigh Hamzah pernah sewaktu menjadi Pengerusi Petronas, kita jemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung MAYC dan dalam Mesyuarat Agung MAYC itu kita mendoakan semoga beliau diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Dua tahun selepas itu beliau menjadi Menteri Kewangan.

Pada tahun 1981, Y. B. Datuk Musa Hitam bertanding melawan Y. B. Tengku Razaleigh Hamzah, MAYC telah menjemput Y. B. Datuk Musa Hitam untuk merasmikan Mesyuarat Agung MAYC di Alor Setar dan sekaligus melancarkan kempen menyokongnya dalam pertandingan dengan Tengku Razaleigh. Syukur Alhamdulillah, Datuk Musa Hitam juga telah diberkati untuk naik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Kita tidak tahu apakah dengan berkat doa kita dan rahmat kepada Y. A. B. Encik  Ghafar Baba dan Dato’ Seri Dr. Mahathir, mereka kini sudah pun menduduki tempat yang tertinggi dalam pemerintahan negara.

Sama-samalah kita mendoakan kedua-dua tokoh ini dipanjangkan umur dan diberikan lebih tenaga oleh Allah SWT.

Saudara para perwakilan sekalian, kita telah memilih Y. A. B. Encik Ghafar Baba merasmikan Mesyuarat Agung kita pada malam ini bukan bertujuan meminta sesuatu daripada beliau.

GHAFAR BABA PEJUANG BANGSA


Kita menjemput beliau ke mari kerana kita menganggap beliau dan Y. A. B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad merupakan dua tokoh yang paling aktif dan masih aktif dalam separuh kedua abad kedua puluh ini.

Sebagaimana Y. A. B. Encik Ghafar Baba telah bergelumang dan berjuang dalam kancah politik sepanjang setengah abad kedua puluh, bahagian kedua abad kedua puluh ini bagi kita adalah satu peristiwa yang sangat penting kerana yang ada di sini, mungkin bukan saya, tetapi generasi yang akan aktif meneruskan kesinambungan perjuangan pada abad kedua puluhan ini.

18 TAHUN SEKALI

Saudara sekalian, daripada penelitian yang saya buat, saya dapati pergolakan dalam negara Malaysia khususnya bangsa Melayu berlaku mengikut corak 18 tahun sekali.

Saya tidak mahu membawa saudara ke abad ke-19 tetapi jika kita ambil abad ke-20, kita mulakan dari tahun 1915.

Pada tahun 1915, selesailah usaha British untuk memecahbelahkan negeri-negeri Melayu dengan melantik residen-residen mereka di setiap negeri dan negeri terakhir yang menerima penasihat British ialah negeri Johor, iaitu pada tahun 1914.

Pada tahun 1915 bermulalah berbagai-bagai agenda untuk mewujudkan semangat kenegerian dalam negeri-negeri Melayu.

Sejak itulah kita dapati setiap negeri dengan lagu negerinya, dan masing-masing sibuk dengan bendera negerinya. Semangat kenegerian pada waktu itu sungguh ketara.

Pada tempoh 18 tahun kemudian, 1915 campur 18 = 1933, 1933 merupakan bermulanya satu era baru.

Pada tahun 1929, Dunia menghadapi satu keadaan ancaman ekonomi, iaitu apa yang dikatakan ‘World Economic Depression’ (Kemelesetan Ekonomi Dunia).

Pada tahun 1929, seluruh ekonomi dunia terancam, sehingga rata-rata simpanan wang di bank, kalau ada beribu-ribu ringgit jatuh nilainya menjadi beberapa ringgit sahaja.

Tekanan Ekonomi Dunia yang bermula pada tahun 1929 telah berakhir pada tahun 1932.

Pada tahun 1933, orang-orang Eropah merasakan Economic Base mereka perlu dipindahkan ke negara-negara jajahan dengan lebih pesat lagi.

Pada waktu itulah orang Cina dan orang India dibawa oleh British ke negara kita.

Kita sedih kerana pada tahun 1933 lah bermula satu era; orang Cina diletakkan sebagai buruh di lombong-lombong dan dijadikan masyarakat niaga, orang India dijadikan buruh dan orang Melayu kekal sebagai pak tani dan nelayan, selainnya menjawat jawatan rendah dalam kerajaan.

Tahun 1933 merupakan tahun bermulanya polarisasi kaum di negara kita.

1933 kita campurkan 18 = 1951.

Pada tahun 1951, Haji Ahmad Fuad yang menjadi Ketua Ulama UMNO membawa keluar ulama-ulama UMNO untuk menubuhkan satu parti baru yang dinamakan PAS.

UMNO yang telah ditubuhkan pada tahun 1946 telah berjalan dengan begitu baik sehinggalah berpecah dan wujudnya Parti PAS dan Parti UMNO.

Yang anehnya, Haji Fuad yang mengepalai rombongan keluar beramai-ramai daripada UMNO, pada tahun 1951 tidak pernah memimpin PAS malah telah dihadiahkan oleh British jawatan Ahli Dewan Perundangan Negeri Pulau Pinang.

Kita kurang pasti apakah jasa beliau setelah beliau keluarkan orang-orang alim daripada UMNO lalu menubuhkan PAS dan memecahbelah orang Melayu atau Pertubuhan Melayu sehingga beliau dianugerahkan jawatan Ahli Dewan Perundangan Negeri Pulau Pinang.

Seterusnya, 1951 campur 18 = 1969.

Berlakulah Peristiwa 13 Mei. Peristiwa 13 Mei ini adalah akibat daripada perpecahan kaum, polarisasi kaum mengikut aktiviti ekonomi yang diasaskan oleh British pada tahun 1933.

Oleh sebab UMNO berpecah menjadi PAS dan UMNO pada tahun 1951, maka perpecahan UMNO dan PAS ini juga menyebabkan Politik Melayu dan Perikatan menjadi lemah sehingga pada tahun 1969 hancur lebur demokrasi dalam negara.

Pada waktu itu, kita telah mewujudkan Dasar Ekonomi Negara kerana orang Melayu lebih banyak politik daripada ekonomi. Mulai tahun 1969, penekanan diberikan pada ekonomi. Malangnya masyarakat kita yang telah diberikan kemudahan ekonomi oleh kekuatan kuasa politik yang ada di tangan mereka, telah lupa dan lalai.

Hanya beberapa kerat sahaja apabila berniaga masih teringat pada politik, antaranya ialah Y. A. B Encik Ghafar Baba. Beliau tidak lupa UMNO waktu beliau berniaga.

Saudara sekalian, dari tahun 70an mulalah zaman mengejar kuasa ekonomi.

Kemudian, 1969 campur 18 = 1987, tahun malang kerana peristiwa perebutan kuasa inilah yang menyebabkan UMNO diharamkan.

Saudara sekalian, sebagaimana saya berucap di Ipoh tengah hari tadi, saya katakan semua itu berdasarkan pemerhatian saya dari jauh melihat pemimpin-pemimpin politik sejak 13 Oktober 1963 waktu saya mula menjadi ahli UMNO di Seremban.

TOHMAHAN

Selama ini setiap kali kita memilih pemimpin kita bertanya, apakah pemimpin itu cukup berwibawa sehingga dapat membawa bukan sahaja perpaduan nasional dalam negara berbilang kaum dan berbilang agama?

Perhitungan kita apabila memilih pemimpin selalunya dari segi kemampuan memimpin tetapi pada tahun 1987, kempen UMNO sudah berubah kepada ekonomi.

Sehingga kejatuhan harga getah kononnya disebabkan oleh Dr. Mahathir, kejatuhan harga minyak kelapa sawit angkara Dr. Mahathir, kejatuhan harga minyak juga kononnya angkara Dr. Mahathir.

Oleh sebab semua harga barangan jatuh, kutipan cukai merosot, maka gaji tidak naik angkara Dr. Mahathir. Sedangkan harga minyak jatuh di Great Britain, orang tidak menyalahkan Margaret Thatcher.

Harga minyak jatuh di Amerika Syarikat, orang tidak menyalahkan Ronald Reagan.

Harga bijih timah dan getah jatuh di Thailand, orang tidak menyalahkan Perdana Menterinya.

Apabila harga getah, harga minyak, harga kelapa sawit, harga bijih timah jatuh di seluruh dunia semuanya gara-gara Dr. Mahathir. Alangkah bijaknya beliau kerana dapat menurunkan semua harga barangan di seluruh dunia.

Saudara sekalian, sekarang ini semua barangan telah naik harga, getah sudah naik harga, minyak sudah naik harga, bijih timah sudah mula naik harga, kelapa sawit sudah mula naik harga, tetapi apabila negara bermasalah semua orang mencari punca, mencari seseorang untuk dijadikan tempat basuh tapak kaki, untuk dijadikan tempat maki hamun kononnya semua masalah disebabkan beliau.

KEBIJAKSANAAN DR. MAHATHIR

Tetapi sekarang apabila kita berjaya membawa pelabur asing dengan begitu hebat, apabila kita sudah berjaya kerana naiknya harga barangan komoditi negara di pasaran dunia, tidak ada seorangpun daripada pengkritik tadi yang bangun mengucapkan tahniah kepada beliau kerana telah berjaya menyebabkan harga barangan naik.

Itulah sebabnya saya selalu mengatakan apabila sesuatu itu gagal, susah dan rugi, beliau dipersalahkan tetapi apabila berjaya ramailah tukang angkat yang mengaku kebaikan beliau.

Saudara yang saya hormati sekalian, 1988 ialah tahun kita memasuki kembali  pusingan 18 tahun seterusnya. Tahun ini bermula dengan tragedi yang begitu banyak, bukan bagi MAYC tetapi bagi Presidennya.

UMNO yang saya menjadi Setiausaha Agungnya sudah haram, jantung pada badan saya yang begitu sihat terpaksa dirawat sehingga pejabat saya pun terbakar pada tahun ini.

Saudara-saudara, kita bermula dengan masalah semoga mulai tahun 1988 kita dapat memantapkan MAYC untuk memenuhi cabaran pada masa yang akan datang.

Seterusnya, 1987 campur 18 = 2005.

Saudara sekalian, soalnya pada tahun 2005, apakah kita akan kekal sistem Raja Berparlimen?

Apakah akan kekal sistem Demokrasi Berparlimen?

Apakah keutuhan politik Melayu yang menyebabkan wujudnya keamanan berbilang bangsa dalam negara akan kekal?

Jawapannya bergantung pada cara kita mengasakan gerakan mulai tahun 1988.

Saudara sekalian, selain kajian-kajian akademik dan pemerhatian secara teliti, kita memerlukan pengalaman.

Saudara-saudara yang kebanyakannya generasi muda yang tidak merasai asam garam perjuangan, kami yang sudah lama adalah generasi berpengalaman dalam MAYC.

CABARAN 2005

Kita memerlukan nasihat daripada tokoh yang berpengalaman. Kita perlukan bimbingan daripada tokoh yang berpengalaman, tidak mungkin memadai dengan hanya satu ucapan pada malam ini segala cabaran dapat diatasi.

Tetapi kita sungguh bertuah kerana bersama-sama kita adalah seorang tokoh yang gigih berjuang sepanjang tempoh separuh abad ke-20, dari tahun 50an sehingga sekarang, iaitu Encik Ghafar. Beliau masih aktif hingga sekarang, iaitu hampir ke ambang akhir abad ke-20. Beliau suka berdamping dengan kita untuk membantu.

Mungkin bukan saya yang akan menghadapi cabaran yang lebih bergelora dari sekarang hinggalah tahun 2005.

Saudara sekalian.

Bukanlah resmi saya berkokok di depan pemimpin yang lebih tinggi daripada saya, saya hanya sekedar memberi ucapan pengenalan, sekadar ingin menghubungkan dua generasi untuk memastikan kesinambungannya.

BERSATU

Mulai tahun-tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang, MAYC hendaklah membawa slogan bersatu kerana saya rasa tahun 2005 akan membawa punah kepada negara jika perpecahan dalam negara tidak dibendung dari sekarang.

Saya mempunyai keyakinan yang penuh. Saya tahu Allah SWT mengasihani bangsa dan negara kita. Itulah sebabnya kepimpinan negara berada di tangan mereka yang cukup pengalaman. Barisan kepimpinan ini harus disusun dengan cepat semoga generasi muda dapat mempelajarinya dengan sungguh-sungguh dan mendalam dan hubungan antara generasi lama dan generasi akan datang begitu baik bagi menjamin masa depan.

Saudara sekalian, kita berharap semoga yang lebih muda dapat menerima warisan ilmu, warisan pengalaman daripada tokoh-tokoh semoga apabila mereka sudah tiada, kita masih ada untuk menerima cabaran yang lebih hebat.

Dengan ini, saya menjemput Y. A. B Encik Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung kita. Sekian, terima kasih.

0 comments

Post a Comment