Bersatu Teguh Bercerai Roboh

Posted by mayc_pkbm | 11:18 PM | 0 comments »


Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-34, 1988.

Saya ucapkan terima kasih kepada para perwakilan yang masih sudi menunggu sehingga majelis kita ini selesai.

Pada pandangan saya adalah penting bagi ahli MAYC yang menghadiri mesyuarat perwakilan supaya menunggu sehingga mesyuarat selesai barulah para perwakilan boleh pulang ke tempat masing-masing.

IKUTI MESYUARAT

Saya berharap ahli MAYC yang belum pulang beritahu kepada para perwakilan yang sudah pulang awal jangan menghadiri mesyuarat perwakilan akan datang jika mereka tidak sanggup menunggu sehingga mesyuarat selesai.

Sikap dan perbuatan mereka adalah satu pembaziran yang amat besar bagi MAYC kerana wang berpuluh ribu dibelanjakan untuk mengatur setiap Mesyuarat Agung. Walaupun tempat tidur kurang selesa sekalipun, ataupun makanan tidak sempurna, adalah penting diingat bahawa yang penting sekali ialah menghadiri mesyuarat.

Adakalanya orang datang Mesyuarat Agung tidak dapat makan ataupun tidak dapat tempat tidur yang baik, tetapi perlu diingat, ada pertubuhan lain langsung tidak ada bangunan sendiri, dan tidak ada kemudahan-kemudahan seperti yang ada pada MAYC, tetapi mereka sanggup bermesyuarat sehingga tamat mesyuarat mereka.

Saya ucapkan tahniah kepada saudara sekalian dan saya rasa sungguh sedih apabila saya melihat sebahagian kerusi dalam dewan ini sudah kosong sebelum mesyuarat dimulakan. Saya tidak ada dalam mesyuarat tadi kerana kebetulan Setiausaha Akhbar saya mengadakan perkawinannya hari ini.

Pada waktu makan tengah hari saya pergi ke Seremban dan bergegas balik kerana saya fikir pada petang ini saya ingin menyampaikan pesanan yang saya anggap penting bagi kita memasuki tahun seterusnya mulai tahun 1988 ini.


HUTANG

Saudara sekalian, saya difahamkan bahawa ada sedikit kegelisahan di kalangan ahli MAYC berkaitan dengan hutang yang ada dan bangunan yang belum selesai hutangnya.

Sebenarnya kegelisahan ahli-ahli ini adalah kegelisahan yang wujud oleh sebab adanya kempen-kempen menjelang hari pertandingan.

Pertandingan adalah satu perkara biasa sebagaimana juga dalam UMNO, orang akan berkempen untuk cuba mencari keburukan pada tokoh-tokoh yang bertanggung jawab baik dalam pentadbiran bangunan ataupun dalam pentadbiran kewangan Wisma Tunku dan Wisma Belia ini.

Tetapi saya berharap walaupun segala kempen untuk mencela itu tidaklah sampai jadi seperti keadaan UMNO sehingga berpecah UMNO kepada dua gara-gara kempen.

Malahan, dahulu seperti yang saya katakan malam tadi, semua orang marahkan Dr. Mahathir kerana semua harga komoditi turun. Sekarang apabila harga komoditi naik, tiada seorang pun yang memuji beliau.

PERBAIKI PENTADBIRAN

Saya mengaku ada kelemahan yang saya sendiri tidak berpuas hati dalam usaha mentadbir bangunan ini.

Saya sendiri mengetahui cerita bahwa saudara Ali mempunyai konflik kepentingan kerana menjadi Pengarah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Justeru, dalam konflik kepentingan ini mungkin perhatian yang menyeluruh kepada bangunan ini tidak dapat diberikan.

Saya berharap kita semua bermufakat dan jika ini menjadi sebabnya, saya boleh pisahkan jawatan Bendahari daripada Ali dan jawatan untuk mengaturkan jawatankuasa menguruskan Wisma Tunku dan Wisma Belia ini kepada orang lain.

Saya berharap tuan-tuan yang berkebolehan akan menawarkan diri untuk duduk dalam jawatankuasa ini supaya pada tahun hadapan kita dapat melihat prestasi yang lebih baik tetapi perlu diingat bahawa pada tahun hadapan prestasi mestilah lebih baik.

Saudara sekalian, saya berharap cerita-cerita mengenai bangunan ini hendak dilelong dan sebagainya haruslah jangan kita sematkan di hati kerana harta kita ini dekat RM19 juta, hutang kita baru RM10 juta, ada lebih setengah. Kalaupun bunganya naik setahun sejuta, kita ada 11 tahun lagi sebelum muflis.

Bukan harta, duit atau bangunan MAYC yang kena lelong, MAYC ini sendiri akan terlelong kalau semangat perwakilannya seperti sekarang keadaannya.

Saudara yang ada di sini bagus, semangat tinggi.

Saya harap lebih ramai lagi daripada saudara-saudara akan berada di sini untuk memastikan bahawa MAYC ini akan maju dan MAYC ini akan menggembleng tenaga menjayakan semua programnya.

Saya sendiri sudah pun mendapatkan sekeping tanah di Pulau Langkawi dan saya berharap selepas ini sama ada MAYC atau Syarikat Nurharapan dapat membeli tanah ini dengan keluasannya kira-kira dua ekar di tengah-tengah pekan Kuah. Jika boleh diperbesarkan Kompleks Pelancongan kita dan Syarikat Perbadanan Perikanan Laut Dalam Malaysia yang pengerusinya adalah juga Ahli Jawatankuasa MAYC. Exco MAYC, saudara Yassin sudahpun bersetuju menderma RM5,000 dan saya sendiri sudah membuat keputusan untuk menderma daripada peruntukan saya sebagai Menteri kira-kira RM10,000 kepada setiap negeri.

Tetapi jika begini keadaannya tahap kehadiran di majlis penutupan mesyuarat agung, barangkali lambat sedikitlah wang itu sampai.

Saya sudahpun meluluskan RM 50,000 lebih awal daripada itu untuk Pusat Latihan kita di Perak yang baru kita peroleh.

SHAMELIN

Saudara sekalian, saya berasa begitu bangga kerana salah seorang daripada perwakilan tadi telah datang dan menyeru supaya MAYC menyokong Shamelin sebagai sebuah Koperasi.

Saudara harus tahu bahawa Shamelin telah saya asaskan melalui berbagai-bagai cara menghadapi gelombang dan badai.

Sebagai pengasas Shamelin, saya tidak dapat menjamin Shamelin akan untung tetapi selagi saya kekal sebagai Menteri dan selagi mempunyai keupayaan, saya akan memberikan jaminan yang semua saham ahli Shamelin tidak akan hilang, walau Shamelin rugi sekalipun.

Saudara sekalian, Shamelin dahulu adalah sebuah Koperasi yang berjaya, sewaktu saya memimpinnya, kemudian Shamelin menghadapi berbagai-bagai masalah lantaran putaran politik semasa ini sehingga Shamelin hampir muflis.

Kemudian Shamelin hidup semula dengan bantuan di sana-sini dengan susunan pentadbiran baru.

Saya meninggalkan Shamelin dalam keadaan yang cukup kukuh tetapi malangnya Shamelin menceburi bidang perumahan sewaktu ekonomi Malaysia meleset.

Projek perumahan diharapkan dapat memberikan keuntungan kepada Shamelin sebanyak lebih RM50 juta malahan anggaran awal dekat-dekat RM70 juta.

Sekarang projek yang diharapkan memberikan keuntungan yang banyak sudah menjadi projek dengan kerugian yang besar, berjuta-juta.

Lantaran itu sudah tentulah Shamelin memberi cuti ataupun memberhentikan pekerjanya kerana kemampuannya dari segi kewangan sudah pun tenat.

SAMA-SAMA  SUSAH SAMA-SAMA SENANG

Dalam keadaan Shamelin demikian tidak heranlah kalau orang meninggalkan Shamelin kerana waktu Shamelin menghadapi masalah, Shamelin menjadi yatim piatu tetapi apabila Shamelin menjadi senang maka pada waktu itu ramailah yang menyokong Shamelin.

Saya berharap kita dalam MAYC tidaklah mengamalkan sikap sedemikian. Kita berjuang pada waktu sesuatu organisasi itu susah dan kita cuba dengan segala kebolehan kita untuk menegakkan kejayaan.

Saya tidak dapat menafikan hakikat bahawa ada dalam Shamelin kejadian-kejadian yang tidak kita ingini tetapi jika ada sebarang penyelewengan dalam Shamelin, kita mesti mengambil tindakan dan saya tahu tindakan sewajarnya sedang diambil.

Kalaulah selama 17 tahun segala usaha memimpin MAYC tidak dapat wujudkan semangat di kalangan ahli MAYC, semangat untuk setia kepada organisasi, setia kepada kawan, sewaktu kawan atau organisasi susah, bermaknalah 17 tahun itu tempoh masa yang sia-sia sahaja.

SERANGAN AKHBAR

Saudara sekalian, sekarang ini kita dengar serangan yang cukup hebat daripada akhbar Watan dan Harakah.

Kita tahu Harakah adalah akhbar parti PAS, sudah tentulah parti PAS tidak akan menceritakan yang baik-baik mengenai Menteri UMNO.

Baru-baru ini saya bercakap tentang Zaman Melaka. Raja Melaka, Parameswara beragama Hindu kemudian bertukar menjadi Islam, bermakna Raja pada zaman Melaka dahulu beragama Hindu. Dalam akhbar keluar isu saya kata Melayu keturunan Hindu. Ini propaganda jahat. Apabila orang memfitnah Presiden saudara maka dengan sendirinya We are wasting our time sitting here, buang-buang umur duduk dalam MAYC ini.

BELAJAR BERKAWAN

Kita harus belajar bagaimana berkawan kalau kita berkawan sesama kita dalam MAYC, kalau orang mengata kawan kita, kalau kita rasa curiga kita perlu selidiki. Selidiki betul-betul akan kebenaran tohmahan itu.

Tetapi sebelum kita mendapat kepastian tentang perkara itu, kita perlu pertahankan kawan kita. Kita perlu bertegas dalam usaha mempertahankan kawan kita itu.

“Kalau ada perkara yang kamu tidak setuju dengan saya, kamu perlu beritahu saya!” Sebagai contoh, saya berkawan dengan Johar dan Nazim. Jika orang mengadu kepada saya mengatakan Nazim jahat, Johar jahat, saya akan memberi amaran, saya kata Johar dan Nazim itu kawan saya.

Kalau dia jahat, kamu ceritalah baik-baik jangan beritahu orang lain. Kalau kamu bercerita kepada orang lain, kamu perlu berhadapan dengan saya dahulu baru kamu bergaduh dengan Johar dan Nazim.

Itu namanya kawan.

Begitu juga jika orang cerca saya, kepada Johar, kepada Nazim, kepada Exco dan kepada ahli MAYC. Saudara beritahu bahawa ini sahabat kami, tidak boleh saudara bercakap begitu. Kalau ada salah beritahu, kita tegur, jangan cerca.

Beritahu dia seperti pantun ini:

Pisang emas dibawa belayar,
Makan sebiji Laksamana Bentan,
Saya budak baru belajar,
Ditegur boleh dicaci jangan.

Maknanya kalau caci padahlah jawabnya.

Justeru, saudara sekalian kita dalam MAYC tidak kira Melayu, tidak kira India, tidak kira Cina asal kita ahli MAYC. Jika orang mengata MAYC kita perlu pertahankan. Saya ini ahli MAYC, apa-apa tak kena dengan MAYC kalau ada salah, beritahu bukannya mengata. Kami semua bersetia kawan.

Kalau seperti itu sikap kita barulah wujud semangat setia kawan.

Contohnya, jika saya tidak berjumpa Johar sudah dua tahun, kemudian saya jumpa Nazim, Nazim beritahu saya Johar Rusi sekarang ini sudah jadi Playboy.

“Saya dengar-dengar Johar Rusi jadi Playboy, saya pun kata “Yakah?”. Ya, esok saya jumpa Mohd. Nor Bedah. Saya kata tidak sangka Johar Rusi jadi Playboy.

Saya jumpa pula Rosnah, saya kata Rosnah, Johar Rusi Playboy. Rosnah pula jumpa dengan geng perempuannya, Maznah memberitahu hal Johar Rusi menjadi Playboy.

Maznah jumpa Rokiah beritahu Johar Rusi Playboy. Rokiah jumpa wakil rakyat di Kedah beritahu Johar Rusi Playboy.

Satu hari saya berjumpa Nazim, saya tanya, “Ada jumpa Johar Rusi, dia kata sudah empat tahun tak jumpa, “Dulu kamu kata Johar Rusi Playboy”, “Ah! Saya bergurau saja”.

Yang saya ini sudah cerita habis dah.

Sebab apa?

Sebab kita ini senang percaya buruk orang.

Apabila orang bercerita tentang buruk kawan kita, kita pun percaya. Tetapi katakanlah Johar Rusi ini jahat, orang beritahu Johar Rusi sekarang ini sudah baik. Orang tidak percaya, tidak mungkin. Kalau Nazim kata Sanusi, Johar sekarang cukup baik. Oh! Tidak mungkin, tidak mungkin. Kalau orang cerita baik tidak mungkin, oh! Tidak mungkin, tidak mungkin.

Tetapi kalau orang cerita jahat, mungkin sahaja, tolong canang pula. Itu bukan kawan namanya.

Oleh itu, saya berharaplah semangat setia kawan dalam MAYC ini perlu ditingkatkan.

Sekarang saya sedang berusaha menjadikan MAYC ini pertubuhan yang bersungguh-sungguh berhasrat menjalin semula hubungan dengan Sabah dan Sarawak.

Kita perlu ingat sekarang sudah ada perpecahan, Cina dengan Cina berkelahi. India tidak kiralah, yang hendak puasa sampai mati pun ada.

Melayu sama Melayu berkelahi cukup hebat, kalau begini keadaan negara kita, 18 tahun akan datang saya rasa semuanya hancur.

OPTIMIS

Oleh sebab itu MAYC perlu sedar. Kita Melayu perlu hidup dengan Melayu, perlu hidup dengan Cina, perlu hidup dengan India. Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban semua makhluk Tuhan juga, dan kita perlu mulai hidup bersama sekarang.

Kita mahu perhatian turut diberikan kepada kelab-kelab Cina dan kelab-kelab India semoga belia dalam negara ini bersatu.

Saudara sekalian, saya ini manusia yang optimis. Pada saya tidak ada istilah duka cita, sedih, kecewa dan susah dalam kamus hidup saya.

Dalam suasana apapun saya tetap yakin kerana fikiran saya belum celaru dan saya berkeyakinan kita mempunyai masa depan yang amat cerah.

Syaratnya, MAYC perlu bergerak terus dengan lebih aktif dari masa ke masa, tingkatkan kesadaran ilmu kepimpinan dengan bergurukan pengalaman dan kebenaran. Ilmu tidak tersorok hanya di menara gading.

Kalau dahulu belia menganggur, sekarang ada mahasiswa yang menganggur. Dari segi usaha mencari kerja peluang ada di mana-mana.

Kalau jadi nelayan laut dalam pun bukan ada beza, lulusan universiti dan yang bukan lulusan universiti. Ikan tidak iktiraf ijazah. Ikan di laut, ombak di laut, dia tidak peduli pada ijazah.

Dahulu, sebelum ke universiti, orang tinjau, semak universiti mana yang kerajaan iktiraf supaya apabila lulus ada peluang kerja.

Sekarang lain pula keadaannya, yang diiktiraf tidak ada peluang kerja, yang tidak diiktiraf pula ada peluang kerja.

Jadi, tuntutlah ilmu tentang cara memimpin.

Kalau kita sudah berkelulusan universiti, keluar masih terhegeh-hegeh menunggu pertolongan orang  tidak guna juga. Yang penting tulang belakang kita mesti tegak, rasa bangga diri mesti ada, ringan tulang, otak sentiasa berfikir.

Apa juga ilmu tidak ada faedah kalau sekiranya kita tidak gunakan ilmu itu untuk memimpin rumah tangga, untuk memimpin kawan-kawan, untuk memimpin masyarakat ke arah kejayaan.

Sekiranya kita tidak segera bangkit lantaran tiada ilmu, kerana kita tidak ada daya usaha, kita akan terus ketinggalan.

SAYUR DAN ULAM

Cuba kita bertani untuk makan sendiri. Dengan adanya kempen makan sayur, makan ulam, bekalan ulam sekarang sudah tidak cukup lagi sebab orang tidak menanam ulam.

Ulam ini orang ambil dalam hutan. Sekarang ulam tidak ada, kerana apa?

Sebab sudah tidak ditanam. Tanam sayur pun tidak berjaga, tak lama selepas itu, jual timun bantut, terung bantut, bayam kuning. Tak laku.

Bidang pertanian semua belia boleh usahakan. Tidak payah berkursus. Pergi dapatkan benih, tanam dan jaga baik-baik. Selebihnya Allah Ta’ala yang uruskan.

Jika seorang belia MAYC usahakan sepuluh rumput kemuncup pun, kalau dijaga elok-elok kemuncup menjadi subur dan boleh dikeringkan, dianyam, dijadikan tempat letak barang atas meja, jadi hiasan, boleh buat talam dengan kemuncup.

Saudara-saudara, Y.A.B Encik Ghafar Baba berkata malam tadi, kita boleh kembangkan industri kecil. Berbuih mulut saya cerita tentang industri kecil ini.

Semasa di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, saya suruh kraftangan buat tempurung, sikit punya orang tidak mahu percaya. Sekarang tempurung dijual di Harrod’s London.

Lihatlah bagaimana Sulaiman, Pengarah Karyawan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar pergi ke kawasan pilihan raya saya di Jerlun tepi laut, orang kampung diajar mengukir tempurung, tekap dengan daun getah dan tempurung ada pasarannya.

Orang dari seluruh dunia terpaku melihat keunikan tempurung Jerlun.

Jangan hairan! Ini perkara yang hendak kita usahakan.

Janganlah saban hari dirundung dukacita, kita terpandang seorang gadis, berkenan, tahu-tahu dia main senyum dengan orang lain, kecewa jadinya.

Kita dahagakan belia yang berkeyakinan, beliawanis yang berkeyakinan, berbakat, ceria, gigih dan bersemangat waja. Itu baru belia namanya.

USIA

Saya baru berusia 45 tahun. Kita sekarang belia tualah tetapi baru-baru ini saya dibedah doktor, kata doktor selepas dibedah saya muda kembali 10 tahun.

Sekarang saya 35 tahunlah. Kalau dahulu saya 5 tahun lebih tua daripada isteri saya, sekarang isteri saya lebih tua daripada saya 5 tahun.

Umur tidak boleh diambil kira sangat. Kadang-kadang orang baru berusia 25 tahun jiwanya seperti orang 85 tahun.

Kita hendak walaupun sudah lima enam puluh tahun tetapi berjiwa muda. Seperti Dr. Hussein, beberapa kali lawan kalah. Dia lulus doktor falsafah dalam kejuruteraan perlombongan, dia tidak kecewa, dia bertanding terus Exco MAYC. Kita tidak boleh bandingkan kelulusan, ada yang tidak ada kelulusan pun tetapi boleh menang.

Dr. Hussein kalah, tetapi yang penting sekali dia tidak pernah kecewa. Saya lihat dia manusia hebat. Tidak pernah kecewa, inilah manusia yang kita inginkan dalam masyarakat kita.

Kita mahu orang yang tidak kecewa, adat berlawan ada yang menang ada pula yang kalah. Jangan gusar tentang hakikat itu.

Sekarang yang jadi kemelut dalam negara kerana apa?

Kerana orang tidak yakin menang, dalam segala hal, Allah Ta’ala atur. Kadang-kadang belum tiba masanya, kadang-kadang dimenangkannya untuk beri peluang. Kadang-kadang kalah kerana Dia hendak menguji kita.

Kita tinjau apa terjadi apabila orang yang tidak boleh menerima hakikat bahawa kalah menang dalam suatu pertandingan ataupun naik turun dalam suatu mesyuarat adalah bergantung pada ketentuan Tuhan.

Yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama ialah Dato’ Onn. Beliau Presiden UMNO yang pertama tetapi rancangan Dato’ Onn menjadi PM tidak ada dalam perancangan Tuhan.

Untuk menjadi sebab, Dato’ Onn buat perangai, dia pun berhenti daripada UMNO.

Tunku Abdul Rahman waktu itu belajar di London, tetapi dalam perancangan Tuhan, Tunku Abdul Rahman jadi PM, Tuhan tahu Tunku Abdul Rahman itu panjang umurnya.

Kalau Tunku Abdul Rahman tidak meletakkan jawatan PM, sampai kini dia masih jadi PM lagi. Beliau panjang umur, Allah takdirkan berlaku Peristiwa 13 Mei, jadilah Peristiwa 13 Mei.

Tun Abdul Rahman berhenti, Tun Razak jadi PM. Tun Razak jadi perancangan Tuhan. Tun Ismail jadi Timbalannya. Tun Razak sakit, Tun Ismail seorang doktor, tentunya tahu keadaan dirinya sakit ataupun tidak, Tun Razak bukan doktor.

Tun Razak sakit, sepatutnya yang sakit mati dahulu tetapi Allah tidak ada perancangan bagi Tun Ismail menjadi PM. Allah takdirkan Tun Ismail mati dahulu, selepas itu Tun Razak lantik Tun Hussein Onn menjadi Timbalan PM.

Tun Hussein dengan Tun Razak, Tun Hussein lebih tua, beliau bernikah dengan kakak, Tun Razak bernikah dengan adik.

Mengikut adat, Tun Hussein mati dahulu tetapi Allah telah tetapkan Tun Razak mati dahulu, Tun Hussein naik.

Apabila Tun Hussein naik, beliau diapit tiga orang Naib Presiden, Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh dan Encik Ghafar Baba.

Beliau lihat Encik Ghafar Baba, Encik Ghafar Baba tidak boleh sebab Encik Ghafar pernah berkelahi dengan bapanya, Dato’ Onn, Encik Ghafar tersingkir.

Tengku Razaleigh, beliau anak teruna. Tun Hussein ada dua anak dara. Orang yang ada anak dara paling takut anak terunalah. Dia pun tidak jadi melantik Tengku Razaleigh.

Tinggal Dr. Mahathir, Dr. Mahathir dengan Datin Seri Dr. Siti Hasmah ke mana pun berdua-duaan. Jadi Tun Hussein kata ambil Dr. Mahathir. Dr. Mahathir jadi Timbalan PM. Allah tahu Tun Hussein sakit jantung. Allah tahu lepas sakit itu dia baik balik.

Tetapi beliau sendiri berfikir, beliau tidak berupaya, beliau pun berhenti. Dr. Mahathir naik jadi PM. Waktu itu Dr. Mahathir hendak memilih Timbalan, beliau lihat ada dua calon orang muda, Tengku Razaleigh dan Dato’ Musa. Encik Ghafar sudah tua, tersingkir.

Tengku Razaleigh dan Dato’ Musa kedua-dua elok. Tengku Razaleigh, Dato’ Musa hobi serupa, perangai serupa, yang mana hendak diambil. Hendak ambil Tengku Razaleigh, Dato’ Musa pun hebat juga. Hendak ambil Dato’ Musa, Tengku Razaleigh tidak kurang juga hebatnya.

Beliau suruh bertanding, Dato’ Musa menang. Dato’ Musa pun jadi TPM tetapi dalam perancangan Tuhan, tidak lama.

Pada tahap ini Allah tidak izin beliau menjadi TPM lama, beliau pun buat perangai dan tersingkir.

Dr. Mahathir teliti-teliti, beliau mahu orang yang setia, yang tahan lasak, yang boleh menyelesaikan banyak masalah, sama veteran dengannya ialah Encik Ghafar Baba.

Ambil Encik Ghafar Baba, dia bukan teringin pun menjadi TPM. Kalau dia teringin, pada tahun 1981, sewaktu Tengku Razaleigh lawan Dato’ Musa dia boleh masuk bertanding. Pada tahun 1984 juga beliau boleh bertanding, beliau tidak bertanding, tahu-tahu sudah menjadi TPM.

Allah hendak uji. Encik Ghafar Baba hendak bertanding TPM semua orang tunggu, Dr. Mahathir 63 tahun, Encik Ghafar pun umur 63 tahun.

Sekiranya Dr. Mahathir dan Encik Ghafar tiada, siapakah yang akan mengganti mereka?

Sama-samalah kita berusaha dan menyerahkannya kepada Allah menentukannya.

PELANCONGAN

Dalam bidang pelancongan banyak peluang tersedia menunggu.

Saudara sekalian, persepsi kita perlu betul, mungkin kita tidak dapat lakukan 100% seperti yang Siam lakukan.

Maklumlah orang Perlis, orang Kedah selalu pergi beli syia di Siam. Tahukah saudara-saudara apa erti syia? Mangkuk tingkat, bawa pulang beri orang rumah. Kadang-kadang isteri hairan, sudah banyak syia di rumah, suaminya beli lagi. Dia pergi Siam beli syia, pergi ke Siam beli syia.

Malaysia kita ada berbagai-bagai tarikan lain, keindahan Kuala Lumpur, keindahan pantai, keindahan belukar, adat resam dan budi bahasa.

Kita perlu tonjolkan kita ada Pulau Langkawi, kita beritahu it is the oldest island in the world sejak Nabi Adam sudah wujud, tiada siapa boleh menafikannya. Kita ada pantai Teluk Cempedak, kita beritahu batu ini hampir tiga ribu tahun usianya dan timbul dari laut. Dahulu ada dinasour timbul di Laut China. Kita perlu cerita dan hebahkan keindahan negara kita.

Apabila pelancong mengunjungi Malaysia, mereka berasa aman dan santai. MAYC perlu ada kemudahan, kita sudah ada dua hotel, satu mahal, satu lima bintang, walaupun tidak cukup syarat.

Kita akui kita ada hotel lima bintang, harga murah, kita beritahu mereka harga kita murah, kita adakan publisiti siapa yang tidur di Kompleks MAYC semalam boleh tidur percuma di Kompleks MAYC Langkawi.

Di Langkawi kita perlu beli tanah, buat khemah, itu sahaja cara yang kita perlu buat di Langkawi. Kita harap beroleh kemudahan ini di Pulau Pinang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin membantu kita. Beliau kata MAYC kurang daya usaha, bukannya kerajaan, yang sudah menjadi ahli jawatankuasa ini tolonglah usahakan betul-betul.

Kalau kita dapat tanah di tepi laut, kita tak payah buat bangunan kita buat tapak perkhemahan. Yang penting tempat buang air besar, tempat buang air kecil, tempat mandi, tempat simpat barang cukup. Yang lain buat khemah dan apabila hujan turun, kita beritahu pelancong asing, kita mahu mereka peroleh pengalaman mandi dalam hujan.

Sekarang Perak sudah ada pusat latihan dilengkapi pelbagai kemudahan, boleh lakukan berbagai-bagai kegiatan. Saya rasa kalau pusat latihan itu tidak boleh hidup, kita terpaksa jadikan muziumlah tempat itu.

Kalau kita dapat tanah di Langkawi, di Pulau Pinang, di Perak dan kita sudah ada kompleks di sini, yang penting bagi kita ialah sebuah bas untuk pergi ke kompleks-kompleks ini.

Kita sudah ada Maynee Tours, semua ini perlu diusahakan bersungguh-sungguh.

Pada kali ini, kita perlu kaji semula jawatankuasa MAYC kerana saya dengar tadi ada teguran yang mengatakan jawatankuasa kurang bergerak.

Saudara sekalian, tidak bergeraknya jawatankuasa ini ada dua sebab.

Pertama, duit tidak berapa cukup tetapi itu bukan masalah.

Kedua ialah komitmen menghadiri kursus, mesyuarat dan menjalankan aktiviti seperti pada hari ini.

Tetapi sekiranya semua sambut baik dan komited maka cerahlah harapan masa depan kita.

Kalau daerah fikirkan negeri tidak berapa cergas, daerah itu perlu cergas. Apabila daerah cergas, negeri dengan sendirinya akan cergas.

Paling penting kita perlu laksanakan projek dan kita dalam MAYC perlu berkawan dengan orang-orang yang ada duit.

Ahli MAYC perlu ada kerja.

Tidak kira sama ada ahli itu gajinya RM800 sebulan, ahli jawatankuasa itu gajinya RM1000. Pengerusi pula gajinya RM1,500 sebulan. Apabila hendak melaksanakan projek, sumbangan RM200 tidaklah begitu sukar diberikan.

Masakan 15 orang dalam jawatankuasa tidak teringat langsung hendak berkorban sedikit. Dahulu, MAYC hidup atas ihsan ahli jawatankuasa dan atas ihsan penderma.

Saya dahulu dalam kelab belia Seremban, yang majoritinya Cina, satu sen pun MAYC pusat tidak beri kepada kita melainkan apabila kita adakan kursus sahaja.

Sekarang kita perlu kembalikan semangat sukarela kita. Masing-masing cuba sumbang sekadar termampu demi kepentingan bersama.

KAWAN

Sekiranya seseorang itu berkawan dengan kita kerana kita Menteri, pencen Menteri orang sudah tidak peduli lagi. Saya pernah sakit jantung, yang dengar cerita saya sakit yang melawat saya ialah kawan-kawan dalam MAYC, kawan-kawan dalam Shamelin, kawan-kawan yang saya kenal di sekolah dahulu. Orang yang kenal setelah saya menjadi orang besar tidak datang, lebih-lebih lagi apabila mereka fikir kita akan mati. Justeru, saya berharaplah supaya dalam MAYC ini semangat persaudaraan diwujudkan dan dikekalkan.

Kata pepatah Melayu “Bersatu teguh, bercerai roboh”. Kita perlu bersatu.

Orang Cina kata, kalau tidur satu bantal pun belum tentu mimpi serupa. Lebih baik tidur bantal lain-lain, asalkan sama mimpi.

Orang India pula kata Taniwaratupuahad dengan hanya satu pokok, tidak boleh menjadi kebun. Kalau ada satu pokok sahaja itu bukan kebun. Justeru, kalau mahu tanah menjadi kebun, perlu tanam banyak pokok.

Niat kita perlu sama dan kalau kita nahu teguh kita perlu bersatu, kalau bercerai kita akan roboh. Sekian, terima kasih.

0 comments

Post a Comment