Manusia Mati Meninggalkan Jasa

Posted by mayc_pkbm | 5:30 AM | 0 comments »


Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MAYC ke-35 1989.

Assalaamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan selamat malam kepada semua yang hadir.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Presiden yang sudi menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung pada malam ini.

Saudara sekalian,

Pada malam ini sementara kita bersuka ria meraikan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC yang ke-35, setelah saya menjadi Presiden selama 17 tahun, saya masih teringat akan beberapa tokoh MAYC yang berkhidmat dalam jawatankuasa pusat dan dalam jawatankuasa negeri yang telah pergi meninggalkan kita.

MENINGGAL DUNIA

Baru-baru ini kita mendapat berita Dr. Hussein, seorang pakar dalam bidang galian, meninggal dunia di Ipoh, Sdr. Hamat Salleh meninggal dunia di Kedah beberapa tahun yang lalu, juga Sdr. Salleh Kasmin meninggal dunia di Johor.

Tiga tokoh yang istimewa ini perlu saya sebut pada malam ini kerana mereka mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang berbeza yang mungkin boleh menjadi satu contoh kepada kita yang masih hidup dalam keadaan segar bugar ini.

Dr. Hussein pakar dalam bidang galian. Saudara tentunya dapat menyaksikan kegigihan beliau, seorang anggota MAYC yang gigih bertanding bertahun-tahun semenjak zaman Tunku Abdullah, kadang-kadang menang kadang-kadang kalah.

Sama ada dalam keadaan beliau menang atau kalah kita dapati beliau sentiasa tenang dan tersenyum kerana beliau tahu harga diri.

MENJADI CONTOH

Oleh sebab Allahyarham Dr. Hussein memiliki sifat-sifat demikian, beliau patut menjadi contoh bukan saja kepada ahli MAYC biasa, tetapi juga kepada ahli MAYC yang berminat menceburi dunia politik yang serba mencabar.

Semoga sebagai pemimpin, kita mengambil iktibar daripada Allahyarham Dr. Hussein sebagai salah seorang yang cukup sporting, seorang yang menerima keputusan dengan hati terbuka dan berlapang dada, tanpa mempunyai perasaan dendam dan perasaan jatuh hati.

Walaupun beliau seorang intelek, seorang yang berkelulusan amat tinggi, tetapi beliau tidak pernah memisahkan diri daripada masyarakat.

Apabila saya menerangkan sifat Dr. Hussein ni maka dengan sendirinya saya terasa, walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi, tetapi kakinya masih berpijak di bumi. Beliau sedar bahawa masyarakat di kampung memerlukan kepimpinannya walaupun kegiatannya di tahap yang sederhana.

Seorang lagi tokoh yang saya sebutkan tadi ialah Allahyarham Hamat Salleh yang meninggalkan dunia tanpa meninggalkan harta yang banyak. Sdr. Hamat Salleh mempunyai watak yang paling istimewa, beliau boleh menubuhkan satu Kelab MAYC setiap hari.

SERIBU DAYA

Sewaktu saya menjadi Wakil Rakyat di Jerai dulu, saya pernah memanggil Hamat Salleh dan bertanya sama ada dia boleh menubuhkan kelab MAYC di Kawasan Pilihan Raya saya?

Dia bertanya, “berapa kelab hendak ditubuhkan?”

Saya menjawab, “sebanyak mungkin”, dan dia berkata “kita boleh tubuhkan sehari satu kelab”. Saya rasa terkejut dengan kenyataan Sdr. Hamat Salleh ini.

Tetapi Sdr. Hamat Salleh ini apabila diberi tugas, dia dapat melaksanakannya dengan cemerlang.

Dia membawa beberapa biji bola raga takraw di dalam keretanya sambil menjelajah merata-rata tempat dalam kawasan Jerai.

Apabila melihat ada orang bermain sepak takraw, dia berhenti dan turut bermain sama. Selepas itu dia pun keluarkan bola baru sambil memberitahu budak-budak itu, “Tahukah kamu, bagaimana kamu boleh mendapat bola baru?”

Ini semua wakil rakyat yang berikan, kalau kamu hendak benda-benda lain daripada kerajaan, kamu perlu tubuhkan persatuan.

Budak-budak itu pun bertanya, “Bagaimanakah caranya untuk menubuhkan persatuan?”

Mereka pun pulang berbincang dengan ibu bapa mereka. Maka dalam pertemuan tidak resmi di dangau tengah sawah dilantiklah Ahli Jawatankuasa. Ada tiga keping gambar mereka berikan saya. Ahli Jawatankuasa semuanya berlenggeng, tidak pakai baju, kerana mereka semua baru lepas bermain sepak takraw.

Di sini jelas kita lihat bahawa Hamat Salleh yang berlulusan LCE pun boleh menjadi pemimpin yang terkemuka kerana dia tahu apa kehendak masyarakat, dia tahu menyelesaikan diri dengan orang yang hendak dipimpinnya.

Tokoh ketiga yang saya sebutkan tadi ialah Allahyarham Salleh Kasmin. Saya baru mendapat berita pemergiannya dua tiga minggu yang lalu apabila saya berjumpa dengan seorang kawan dari Johor.

Kata kawan saya dari Johor ini dua hari sebelum Salleh kasmin meninggal dunia, dia pernah bertengkar dengan Allahyarham. Waktu itu katanya Allahyarham telah menegurnya.

Walaupun ada kawan-kawan di sini yang menjatuhkan Salleh Kasmin daripada Jawatan Naib Presiden, tetapi apabila Allahyarham ditanya pandangannya mengenai tokoh MAYC, berlinang air matanya mempertahankan mereka yang pernah menjatuhkannya.

Mungkin inilah apa yang disebutkan oleh Johar Rusi sebagai semangat setia kawan yang ada dalam MAYC.

BUDI DAN JASA

Semangat setia kawan yang kita bina selama ini hendaklah terus dipupuk agar sentiasa subur, di samping itu jangan pula kita lupa membalas budi kawan-kawan kita, kepada mereka yang berjasa kepada kita.

 Kita jangan tendang kawan kita daripada belakang apatah lagi menikam mereka. Sanggupkah kita mengumpat kawan kita sedangkan kita sering makan semeja dan sama-sama bergiat dalam persatuan.

Saudara sekalian.

Baru-baru ini ada orang yang bertanya kepada saya “Dato, mengapakah sesetengah orang dahulu kita bawa menyertai MAYC, kita terima mereka masuk ke dalam kumpulan kita, kita tolong dan sokong mereka sehingga menjadi wakil rakyat. Tiba-tiba apabila mereka mendapat kedudukan yang tinggi dan menjadi orang besar, mereka tidak peduli lagi pada kita?”

Saya menjawab “Orang yang mempunyai jawatan dalam politik sama keadaannya dengan orang yang bermain bola di padang.

Yang menjadi penonton ialah masyarakat.

Ibarat sebiji bola dimasukkan ke dalam gelanggang, apabila permainan dimulakan, bola disepak ke sana ke mari.

Hasrat pemain bola adalah untuk memasukkan bola ke dalam gol. Tetapi sewaktu bola itu berada di belakang siapa pun tidak mempedulikannya. Waktu itu bolehlah kita sepak bola tinngi. Sebagai pemain pertahanan kita boleh menyepak bola itu naik ke atas. Tetapi apabila bola itu sampai ke kaki penyerang tengah, dia akan menendang bola itu ke dalam gol. Maka yang diingat oleh penonton ialah penyerang tengah yang menendang masuk bola itu.

Penonton jarang akan mengenang pemain pertahanan yang mula-mula menyepak bola. Setiap orang daripada kita dalam MAYC tidak mampu untuk memasukkan bola ke dalam gol. Tetapi kita mampu menolak bola naik ke atas dan menghantarnya kepada barisan penyerang.

Apabila kita berada di atas, lihat-lihatlah ke bawah.

Ingatan ini kita berikan kepada ahli MAYC, baik yang duduk di atas atau yang duduk di bawah. Kerana saya lihat dengan kegiatan yang begitu aktif, potensi masa depan cukup baik. Tetapi kita, apabila sudah menjaringkan gol, janganlah lupa kepada barisan pertahanan. Satu masa apabila bola melantun ke belakang, maka pemain pertahanan mungkin akan menendangnya keluar dari gelanggang.

Saudara sekalian.

Semangat setia kawan penting dalam MAYC.

Sdr. Salleh Kasmin adalah contoh yang baik dalam konteks ini. Banyak lagi contoh lain yang saya tidak sebutkan.

Di sini ada Syed Hamid yang setia pada kawan.

Taib Wahab, kita kata apa pun dia gelak.

Sdr. Khalid, orang tidak memilih dia, dia datang juga.

Semua orang baik ini, kita tidak boleh puji sangat kerana mereka masih hidup. Yang duduk di atas ini kita tidak boleh puji, kalau dipuji sangat nanti mereka lupa diri.

Saudara sekalian.

Pada malam ini kita perlu bertanya kepada diri kita, apakah peranan kelab belia dalam masyarakat Malaysia?

Kadang-kadang kita terlupa bahawa ada kalangan orang di kampung bertanya, “apakah peranan kelab belia?”

PERANAN KELAB BELIA

Kita tidak boleh menjawab, “masuklah sebagai ahli dahulu. Kalau tidak ada niat hendak menjadi ahli jangan tanyalah peranannya.

Sebenarnya peranan kelab belia ini penting.

Kerana apa?

Sewaktu bayi dilahirkan, tanggungjawab menjaga bayi terletak pada ibu bapa bayi.

Apabila bayi itu besar, kita hantar dia ke Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA). Jadi berkongsilah tanggungjawab mendidik anak antara Pemaju Masyarakat (KEMAS) dan ibu di rumah. Kemudian, anak itu ke sekolah, berkongsi pula tanggungjawab antara guru dan ibu bapa. Anak ini pun menduduki pemeriksaan demi pemeriksaan, bermula daripada UPSR, PMR, SPM dan STPM. Selepas tamat STPM anak itu pun keluar.

Setelah lulus STPM, ada antara mereka yang melanjutkan pelajaran ke Universiti, ada yang tidak – mereka keluar di tengah-tengah masyarakat. Ramai juga antaranya yang tinggal di kampung menganggur.

Ibu dan ayahnya bingung memikirkan keadaan anaknya yang tidak bekerja. Anak pun merasa serba salah, niat hendak membalas jasa ibu bapa, tetapi apakan daya, diri sendiri pun bermasalah.

Kerja tak ada. Jadinya, pandai tidak boleh ditumpang, bodoh tidak boleh diajar.

Waktu itu siapa yang boleh diharapkan membimbing belia dan beliawanis ini?

Siapa?

Ibu dan ayah sudah tentu tak boleh membimbing kerana kelulusan anak lebih tinggi daripada ibu dan ayah. Anak lulus SPM, STPM, Diploma dan Ijazah, sedangkan ibu dan ayah Tingkatan 3 pun tak lepas.

Wujud satu suasana ada orang berilmu tetapi tidak boleh digunakan.

“Ilmu yang tidak diamalkan seperti pokok yang tidak berbuah”, begitu kata pepatah Melayu.

Pokok tidak berbuah tentunya tidak berguna.

Justeru, siapakah yang dapat diharapkan untuk membimbing golongan seperti ini?

Golongan seperti inilah yang memerlukan kelab belia.

Kelab belia yang bagaimana?

Kelab belia yang seperti kita, yang tidak membataskan kegiatan belia kepada satu satu fungsi. Ada kelab belia yang hanya khusus dalam hal keagamaan, tidak ada kursus ternak ikan, tidak ada kursus tanam pokok, tidak ada kursus masak-memasak, jahit-menjahit, baiki kereta, radio dan TV.

Ada pula kelab belia yang memberikan tumpuan kepada pendidikan dan bahasa sahaja.

Salah satu kejayaan kita dalam MAYC ialah kita dapat menarik belia yang berminat dalam beberapa jenis sukan, dan kitra sediakan untuk mereka berbagai-bagai jenis latihan, sampai satu masa mereka menjadi belia yang bertanggungjawab.

Hakikat samaada seseorang itu lulus tinggi ataupun rendah, samaada orang itu mempunyai pendidikan tinggi atau rendah, tidak penting.

Untuk menjadi pemimpin sebenarnya tidak perlu sekolah. Kita mesti letak dia di tengah-tengah masyarakat dan dia terpaksa berhempas pulas.

Ingat,

Tidak akan bersinar sesuatu yang tidak bergesel.

Air mengalir tidak akan busuk.

Sendi pintu bergesel tidak akan dimakan bubuk.

Saudara sekalian.

Setelah kita menjadi ahli belia, kita harus tanya pada diri kita sendiri apakah fungsi kita sebagai ahli belia?

Kita mesti belajar memimpin, mula-mula kita memimpin belia, selepas itu kita belajar memimpin masyarakat.

Kita harus tahu takrifan pemimpin.

Dalam MAYC yang dikatakan pemimpin ialah “Penyelesai Masalah

Orang yang ada pengikut tidak semestinya dipanggil pemimpin.

Kalau kepala perompak kita panggil dirinya pemimpin maka kita sudah tidak patut bercita-cita untuk menjadi pemimpin, kerana perkataan pemimpin itu sudah menjadi cukup kotor.

Saudara sekalian.

Baru-baru ini beliawanis kita menyertai kursus masakan antarabangsa di MARDI, anjuran Kementerian Pertanian.

Ramai orang tidak tahu bahawa yang menyertai kursus ialah tiga puluh orang beliawanis MAYC.

Mereka belajar menyediakan masakan Hungarian Goulash, Japanese Tempura, Australian Steak, antara 12 jenis masakan antarabangsa.

Mereka ini berkemampuan seperti tukang masak di five star hotel, padahal beliawanis dari kampung.

Semasa saya mengiringi Dr. Mahathir ke Amesrika Syarikat mengunjungi Presiden Ronald Reagan, kami dijamu makan di rumah Naib Presiden Bush.

Sewaktu Bush jadi pengarah CIA dia jumpa dengan Tan Sri Ghazali. Die beritahu, “I like nasi lemak”. Beliau suka nasi lemak rupanya.

Reagan bertanya “What is nasi lemak?” Bush jawab coconut rice. Kasihan Reagan, sudah jadi Presiden Amerika Syarikat nasi lemak pun tidak kenal, tidak pernah makan.

Barangkali apabila beliau melawat Malaysia nanti kita boleh jamu beliau menikmati nasi lemak, tose dan macam-macam jenis makanan lagi. Itu yang mereka belum rasai, yang mereka makan tapi kita tidak pernah makan, kita tidak sedar.

MASAKAN ANTARABANGSA

Dengan sebab inilah kita minta kaki tangan MARDI menghimpunkan semua bahan masakan di dunia, cari makanan yang paling sedap daripada tiap-tiap negara.

Siapkan menu Menu Antarabangsa dan ajarkan kepada beliawanis kita supaya nanti apabila kita masuk ke kampung-kampung kita boleh menikmati makanan Mexico, Uruguay, Paraguay, Chile, Brazil dan berbagai-bagai makanan lain.

Kalau kita hendak pergi ke Peru semata-mata hendak merasai makanan Peru, siapakah antara kita yang mampu ke sana? Saya pun tidak pernah sampai ke sana. Kita boleh belajar, kita boleh makan masakan Peru.

Ini bermakna dari segi nikmat makanan antarabangsa boleh kita bawa balik, kita boleh buat sendiri. Pendek kata, kita harus cuba menyelesaikan masalah secara tersendiri.

Kalau kita lihat belia-belia tidak ada kerja, kita perlu adakan kursus-kursus supaya belia menjadi lebih pandai. Belia mesti belajar bertani. Macam-macam jenis pertanian yang boleh kita buat, ada belia pelihara puyuh, ada belia pelihara arnab, ada yang boleh tanam pokok cili.

CARI AKAL

Kalau sudah tidak ada akal untuk berfikir mencari rezeki, masuk ke kedai ambil satu barang tanya kepada diri apakah yang boleh dilakukan dengan barang itu.

Di kedai-kedai runcit ada 1001 jenis barang, masakan satu pun kita tidak boleh fikir untuk dimanfaatkan?

Di kampung masalahnya apa? Kemiskinan.

Maka kalau kita ingin menjadi pemimpin kita mesti mampu menyelesaikan masalah kemiskinan.

Bagaimana caranya menyelesaikan masalah kemiskinan?

Ada satu pepatah Jerman yang bermaksud, apabila kamu banyak belajar kamu akan menjadi kaya.

Kalau begitu halnya, kalau kita hendak menjadi orang kaya di kampung, kita perlu belajar, kita perlu belajar supaya lebih cerdik daripada orang kampung di tempat kita tinggal.

Orang tanam pokok, kita jual hasilnya. Orang tanam pokok kelapa, kita jual buahnya. Orang pelihara lembu, kita sembelih dan jual dagingnya. Pendek kata kita menyambung usaha mereka, tapi dengan cara lain.

Kalau mahu kaya, kita kena pandai. Itu sebabnya kita perlu belajar daripada orang Cina.

BELAJAR DARIPADA CINA

Orang Cina, jika tinggal di Kuala Lumpur dia tidak boleh senang, dia pindah pergi duduk di Klang. Dia pergi Klang dia tidak boleh senang, dia pindah ke Tanjung Karang. Dia duduk di Tanjung Karang dia tidak boleh senang, dia pergi ke Kuah, dia duduk di Guar Cempedak.

Di Guar Cempedak dia tidak boleh senang, dia pindah ke Rantau Panjang, Kelantan.

Di Rantau Panjang dia tidak boleh senang, dia pindah ke Kampung Perigi. Di Kampung Perigi, dia tidak boleh senang, dia pindah ke kampung Gunung, dia pelihara babi.

Akhirnya dia senang.

Orang Melayu lain perangai mereka, kalau duduk di kampung dia tidak senang, dia pindah ke pekan besar sikit.

Berangkatlah dia pergi duduk di Guar Cempedak. Kalau di Guar Cempedak, dia tidak boleh hidup dan lagi susah, dia pindah ke Alor Setar. Kalau di Alor Setar dia pun susah, dia pindah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur susah senang, dia takut hendak balik kampung sebab sewaktu dia keluar dia act lebih sikit. Dia akan berusaha sedaya upayanya sehingga senang.

Saudara sekalian.

Pendek kata, kalau kita ingin menjadi senang, kita perlu lebih cerdik daripada persekitaran kita.

Kalau kita lebih cerdik daripada pokok kelapa, pokok itu boleh kita jadikan rumah. Daun kelapa, kita boleh buat berbagai-bagai anyaman, lidi boleh kita buat lekar. Tempurung kita boleh buat kraftangan, isi kelapa kita boleh buat minyak, airnya kita boleh minum supaya kuat tenaga batin kita.

Pendek kata jika kita lebih cerdik daripada kelapa, pokok kelapa menjadi hamba dan kita menjadi boss.

Kalau kita lebih cerdik daripada tanah liat, tanah liat kita boleh jadikan pasu.

Inilah maksud saya apabila saya katakan kita mesti lebih cerdik daripada persekitaran. Antaranya, kita mesti tahu memanfaatkan atau menggunakan bahan asli untuk kepentingan kita dan kita dapat memanfaatkan tenaga kerja untuk memberi faedah kepada kita dan orang lain.

Saudara sekalian,

Inilah antara cara belia dapat mengatasi kemiskinan.

Saya pernah berkunjung ke Austria. Saya terkejut, Austria negara yang membangun, jualan kraftangan, ekspor negara itu lebih kurang 1,000 juta dolar setahun.

Begitu juga Filipina, ekspor kraftangan negara itu beribu juta dolar setahun.

Semua ini adalah duit yang boleh masuk ke dalam poket orang kampung melalui usaha kerja tangan, industri kecil, di samping kerja-kerja pertanian, penternakan dan perniagaan.

Pendek kata dalam apa perkara yang kita usahakan, kita mesti lakukannya dengan bersungguh-sungguh supaya kita berjaya.

Kita buka restoran, kita mesti jayakan restoran itu. Tidak kira sama ada restoran kita di tengah bandar mahupun di pekan kecil, kita mesti pastikan orang rasa sekali, teringat untuk datang makan lagi.

Kita pernah dengar Din Murtabak, mengapa murtabak pak Din sahaja orang kenal? Mengapa murtabak kita orang tidak kenal?

Apakah ahli MAYC tidak boleh membuat mee yang cukup istimewa? Tidak dapatkah MAYC berbuat begitu? Apakah kita ini tidak mempunyai komitmen yang cukup serius untuk menjayakan sesuatu perkara ataupun kita sudah berputus asa.

Pendek kata kita perlu serius dalam segala hal.

Kita perlu serius dalam bidang sukan.

Kita perlu serius dalam bidang perniagaan.

Kita perlu serius dalam bidang pertanian.

Kita perlu serius dalam bidang industri kecil.

Serius dalam menjaga kesihatan kita.

Serius dalam menjaga makanan kita.

Serius dalam usaha memperbanyak bahan bacaan kita.

Serius dalam menghadiri berbagai-bagai kursus.

Serius sebagai pemimpin.

Inilah yang saya mahukan daripada ahli MAYC.

Saudara sekalian.

MAYC sudah mencatat kejayaan pada September 1989 dengan mengadakan International Youth Village.

MAYC telah menandatangani perjanjian persahabatan dengan Kelab Belia Fukuoka.

Datuk Bandar Fukuoka bersahabat dengan kita, MAYC sudah pandang ke Timur menyambut seruan kerajaan.

Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir look east, MAYC pun look east.

Jepun mampu sampai ke tempat kita kerana Jepun kaya. Kita terima kedatangan mereka. Hendak ke sana, kita terpaksa menuggu Jepun memberikan Scholarship.

Sampai bila?

SIMPAN DUIT

Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, bertungkus lumus, bekerja dengan gigih, ikat perut sedikit, simpan duit, kita boleh berjaya. Ahli MAYC bolehlah ikut cara Presiden, sekarang ini sudah muda daripada dahulu, makan sudah kurang, apabila makan kurang boleh simpan duit sedikit.

Kalau kita ingin menyimpan duit, jangan menunggu duit lebih, sampai bila-bila pun duit itu tidak akan lebih.

Kita perlu menyimpan daripada apa yang ingin kita belanjakan.

Dahulu saya Pengurus Bank, pernah saya memegang jawatan itu saya menyaksikan akauntan saya yang bergaji RM1,800 menyerahkan sampul surat berisi wang sebagai bayaran kepada penjaga.

Pegawai yang bergaji RM1,800 berhutang dengan penjaga pintu berbangsa Punjabi yang bergaji RM350.

Mengapa?

Sebab selepas kita menyuruh orang kerja kita tidak suruh orang berjimat cermat.

Duit, kalau ada di tangan, panas. Jika tidak ditadbir urus dengan baik, sampai bila-bila pun tidak akan mencukupi. Orang yang ada RM 5 bilion pun menggelabah datang pinjam bank. Pendek kata, duit satu kuasa yang penting dalam kehidupan kita dan perlu ditadbir urus sebaik-baiknya.

IKUT YANG BAIK

Tentang cara menyimpan duit, kita perlu pelajari petua orang India. Adakah saudara masih ingat nama orang India yang berjalan ke merata benua India menyuruh orang menyimpan duit?

Itulah Awoyar orangnya, dalam usia 60 tahun, dia berjalan ke merata benua India sambil bernyanyi, “Aren sayya Virumbu, aruvathu sinam iyalvathu kayavil, iivathu vivakkil, attama-naiiru”.

Antara maksud kata-kata Awoyar, dia mengajar kita, kalau hendak memasak nasi satu periuk untuk lima atau enam orang, setelah beras kita bubuh dalam periuk, kita ambil segenggam untuk simpan.

Setiap kali hendak memasak kita simpan segenggam. Cukup setahun kita ada seguni, bermakna kita simpan apa yang hendak kita makan.

Ini tidak, kalau orang mengingatkan kita, setiap kali hendak menanak nasi, ambil segenggam beras dalam periuk, simpan, kita menjawab, “Ah! Tidak payah buat macam itulah, nanti yang lebih dalam guni kita simpan”.

Tentu tidak ada yang lebih, silap-silap gunipun masuk ke dalam periuk sama, betul atau tidak?

Amalkan tabiat menyimpan atau menabung. Kalau kita bekerja sebagai tukang kasut, jual mee, jual bihun, jual kuih, usahakan kraftangan, jadi tukang gunting, buak kedai runcity, setelah kita buat apa kerja sekalipun, cukup sebulan kita kira gaji kita, contohnya RM180 ambil RM20 simpan, baki RM160 mesti cukup sampai hujung bulan. Kalau pada tarikh 25 haribulan, duit itu sudah habis, lima hari lagi tidak ada duit, pergi ke ladang, cari makanan.

RM20 yang disimpan jangan usik.

Pergi berhutang manapun tetapi simpanan RM20 ini jangan diusik.

Manusia yang tiaa simpanan tidak boleh bermimpi apa-apa “men without saving, is a man without a dream”.

Hendak mimpi apa, boleh mimpi kosong cara berterusan, macam motokar tidak ada minyal.

Ahli MAYC perlu faham semua ini.

CARA LAWAK TAPI SERIUS

Walaupun kita cerita sambil melawak tapi perkara ini serius.

Pada tahun ini selepas Mesyuarat Agung, MAYC akan memberikan tumpuan kepada kelab-kelab di dalam bandar pula, kerana kelab-kelab di luar bandar sudah kita atur.

Masalah kita ialah hasil dari luar bandar heandak dijual di bandar, tidak ada contact kerana ahli kita semua dalam kampung. Ahli dalam pekan ada tetapi mereka sibuk dengan kerja mereka.

Tapi kalau ahli dalam pekan banyak tidak bekerja, haisl kita di kampung boleh dibawa ke pekan untuk dijual, waktu itu ahli belia MAYC yang duduk di pekan ini boleh menjual hasil daripada kampungnya.

Mudah-mudahan dengan cara itu, kerjasama antara bandar dan kampung akan bertambah baik.

Saudara sekalian, baru-baru ini saya ada membuat pengumuman kita akan adakan peperiksaaan bagi mengeluarkan sijil-sijil MAYC.

Cara MAYC sekarang ialah pertamanya, ahli dipilih ke Kelab Gabungan, wakil Kelab Gabungan dipilih untuk duduk dalam Cawangan Daerah, wakil Kelab Cawangan Daerah dipilih untuk duduk dalam jawatankuasa negeri, jawatankuasa pusat dipilih oleh semua perwakilan.

Tetapi kalau kita tanya seorang ahli mengenai MAYC, ada yang tidak tahu menjawabnya. Lama-kelamaan semua lupa, dan kita pun tidak tahu sejauh mana pemikiran ahli MAYC. Jadi ahli MAYC digalakkan menduduki peperikasaan, ada tiga sijil.

Pertamanya Sijil Kepimpinan Belia.

Mata pelajaran sijil ini adalah ringkas dan melibatkan antara lain, Sejarah Belia dan Sejarah MAYC.

Kedua, Sijil Pentadbiran Organisasi iaitu cara-cara mentadbir projek dan mentadbir organisasi, termasuklah cara menganjur mesyuarat dan memastikan mesyuarat tidak kecoh dan berjalan lancar.

Yang ketiga, memahami konsep pembangunan MENJARO (mental, jasad dan roh) dan memahami apakah sasaran-sasaran nasional daripada perjuangan MAYC.

Apabila lulus, ahli akan dianugerahkan Sijil Kepimpinan MAYC.

Kalau sudah lulus tahap pertama, ahli boleh naik ke tahap kedua, yang tinggi sedikit yaiutu konsep perjuangan POLEMAS (politik, ekonomi dan masyarakat). Untuk lulus POLEMAS, ahli harus mengerti sejarah politik negara dan masalah-masalahnya.

Ahli harus mengerti sistem ekonomi negara, pelaksanaannya dan aktivitinya. Ahli juga harus mengetahui masalah-masalah masyarakat.

Sekarang pengarang, pakar serta ahli MAYC yang berkebolehan memberikan pertolongan kepada ahli kita. Kita perlu sediakan buku-buku supaya ahli-ahli MAYC boleh menjawab semua soalan apabila mereka memegang sijil, kita tahu, mereka tahu semua.

Ini bagi memastikan MAYC ada continuity dan supaya sejarah perjuangannya dapat dimanfaatkan oleh semua ahli-ahli MAYC. 

Ada satu lagi jenis sijil, Sijil Kepimpinan Cemerlang.

Untuk mendapatkan sijil ini, ahli MAYC tidak perlu menduduki peperiksaan.

Kalau seseorang ahli MAYC itu berjaya menjalankan sesuatu projek dengan cemerlang dan menyiapkan satu kertas kerja mengenai projek, kita boleh anugerahkan sijil ini.

Tokoh yang naik di dalam MAYC yang menjadi pemimpin lama dan berjasa dengan MAYC pula akan mendapat JC (Jasa Cemerlang).

Pingat JC adalah satu anugerah kepada ahli MAYC yang memberikan dan menunjukkan kepinpinan cemerlang walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik. Kadang-kadang ada orang cuma pandai dalam peperiksaan tapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Akhir sekali biasanya pada tiap-tiap tahun saya berucap, saya ringkaskan apa yang pernah saya ucapkan, di merata-rata tempat sepanjang tahun dan di dalam mesyuarat agung, saya ceritakan satu atau dua perkara yang saya tidak pernah sentuh di tempat lain dalam majlis-majlis MAYC.

Pada hari ini saya ingin ahli-ahli MAYC merenung seketika mengenai agama.

ALLAH MAHA KUASA

Walaupun para Nabi, baik Nabi Noh, Nabi Musa atau Nabi lain tidak merantau ke seluruh dunia tapi hari ini hampir seluruh dunia orang mengatakan Tuhan itu satu.

Di Amerika Utara orang mengatakan Tuhan itu satu, Red Indian percaya Tuhan itu satu walaupun tidak ada seorang pun Nabi yang sampai di Amerika Utara.

Daripada dahulu lagi sebelum datang orang membawa agama, orang Red Indian sudah percaya Tuhan itu satu.

Di Amerika Selatan, walaupun Nabi tidak sampai ke sana orang Aztec sudahpun percaya Tuhan satu. Saya bercakap ini kisah sebelum zaman paderi-paderi dan ulama-ulama pergi menjelajah ke seluruh dunia.

Di negeri China, Rusia, mahupun Jepun, sebelum ada agama lagi orang sudah percaya Tuhan satu.

Bagaimana saya tahu hakikat ini?

Saya baca sebuah buku, buku itu turut memaparkan gambar-gambar yang dilukis oleh seorang zaman dahulu di atas batu-batu.

Baru ini saya pergi ke Iraq, saya pergi ke Babylon, saya lihat jalan yang dibuat di zaman Hanil Rabi, jalan yang berumur 3,000 tahun masih wujud.

Saya lihat ada lukisan-lukisan di dinding yang dilukis beribu tahun dahulu.

Lukisan-lukisan yang dilukis di Amerika Utara, di Amerika Latin, di China, di Jepun, di Rusia, di Britain, di Norway, di Sweden semuanya menunjukkan kepercayaan kepada Tuhan yang satu.

Dari mana datangnya akal orang ini sedangkan Nabi tidak sampai ke sana? Akal ini datang sebenarnya dari mimpi.

Semua lukisan yang dibuat di batu atau kayu oleh orang-orang dahulu semuanya manifestasi daripada mimpi.

MIMPI

Apabila orang-orang dahulu bermimpi, dia terus lukis apa yang diimpikan apabila bangun.

Siapakah yang bertanggungjawab pada mimpi ini?

Mimpi ada dua jenis.

Satu mimpi pribadi.

Satu lagi dikatakan mimpi masyarakat.

Mimpi pribadi ini contohnya, apabila kita berkelahi dengan seseorang yang kita berdendam dengannya.

Mimpi masyarakat pula termasuk dalam bidang “mitology” ataupun dalam bahasa Melayu mitos. Mimpi masyarakat ini datang daripada pertembungan organ-organ dan sel-sel dalam badan manusia yang bergerak berhempas pulas mengikut rentak yang ditentukan oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Maka Tuhan memperkenalkan dirinya sebagai Esa kepada manusia sama ada didatangkan oleh Nabi ataupun melalui mimpi-mimpi yang dikatakan desire mimpi ataupun mimpi organik.

Saudara sekalian.

Apakah yang mempengaruhi sel-sel di dalam badan manusia?

Yang mempengaruhi sel-sel di dalam tubuh manusia ialah makanan yang kita makan.

Itu sebabnya mengapa pada zaman Yunani Purba dahulu apabila seseorang itu sakit, orang itu akan diberi ubat dan lepas itu terus dibawa ke satu bilik yang dimainkan dengan lagu-lagu, muzik-muzik supaya sel-sel dalam badan itu menjadi tenteram semula, agar semuanya bergerak dalam satu nada.

Itu satu cerita, cerita kedua bersambung dengan yang satu.

Di Kuala Lumpur saya sudah lama mencari-cari orang sudah berumur yang boleh kita katakan orang tua yang masih sihat, masih boleh bawa kereta, masih boleh berfikir, tetapi belum bertemu lagi.

KESIHATAN PENTING


Saya jumpa seorang wanita namanya, Kontik Kamariah. Pada umur 76 tahun dia bawa kereta sendiri, boleh duduk bermesyuarat dengan raja-raja, boleh menghadiri persidangan. Badan dia masih sihat, rupa manis lagi.

Saya tanya dia, “Mak cik, mak cik buat apa hari-hari?”

Dia memberitahu saya, “Mak cik pagi-pagi pergi dapatkan fresh air, mak cik sedut, mak cik hembus sepuluh kali”.

Apabila mak cik duduk dalam pejabat, mak cik runsing dengan kerja, mak cik keluar di tingkap mak cik sedut udara, lepas itu hembus sepuluh kali. Apakah penjelasan saintifik terhadap apa yang mak cik ini buat? Apa yang beliau buat sebenarnya adalah menyedut oksigen.

Apabila kita berjalan sejauh tiga batu, paru-paru dan jantung kita mengepam oksigen. Apabila kita minum teh China kita dapat sebatian penjana oksigen, apabila memakan ginseng kita dapat sebatian penjana oksigen yang dinamakan Germanium. Pendek kata untuk mendapatkan oksigen inilah antara perkara yang menyebabkan kita perlu menjalani latihan jasmani.

Ahli MAYC memang suka bersukan.

Balik dari sini saya hendak tengok ahli MAYC anjurkan walkathon, jogathon, buat program jalan dari Seremban ke Port Dickson, Port Dickson ke Kuala Pilah, dari Kuala Pilah ke Tampin. Tetapi sebelum jalan daripada Port Dickson ke Seremban, lebih baik training dulu, hari-hari dua tiga batu. Ahli MAYC yang gemuk-gemuk macam saya tolong periksa berat badan dahulu.

Saudara sekalian.

Saudara juga perlu menjaga kesihatan, kerana ada peluang lagi saudara hidup bahagia dengan suami isteri dengan anak pinak sebagai rezeki daripada Allah.

Saudara berusaha menjaga badan yang diberi oleh Allah semoga badan sihat, fikiran sihat, jiwa sihat dan sejahtera rumah tangga.

Kita mesti tahu bahawa seseorang yang tidak mendapat bekalan oksigen selama tiga minit di otak, dia akan mati.

Kalau cukup oksigen tetapi tiga hari tanpa minum air, dia gering, atau jika minum air cukup, oksigen cukup, tujuh malam dia tidak tidur, dia akan menjadi gila.

Kalau dia tidur cukup, oksigen cukup, minum air cukup dia boleh tidak makan satu bulan.

KESEJAHTERAAN

Oleh itu ahli MAYC di seluruh negara hendaklah sentiasa bersukan, beriadah, berolah raga, dalam kompleks melatih sistem paru-paru supaya oksigen cukup di dalam badan. Ahli MAYC perlu beristirahat dengan sempurna, ini semua tidak payah diajar. Ada sesetengahnya terlajak sampai subuh tidak bangkit.

Ahli MAYC hendaklah makan, dengan serba sederhana dan ahli-ahli MAYC hendaklah makan makanan yang berkhasiat. “You must enjoy your food, enjoy your sleep, enjoy your drink and enjoy your heatlh”.

Nikmatilah pernafasan yang baik, minuman yang bersih, rehat yang mencukupi dan makanan yang seimbang dan sempurna. Maka pada waktu itu anda akan menjadi sihat dan mimpi anda bukan mimpi huru-hara tetapi mimpi kesejahteraan.

Saudara sekalian.

Saya berharap bila ada peperiksaan, kepada ahli yang ingin memasuki peperiksaan, fahamilah falsafah perjuangan yang diperkenalkan tahun demi tahun untuk kemajuan bersama. Semoga kegigihan ahli MAYC dalam bidang pertanian, dalam bidang perniagaan, dalam bidang perindustrian akan terus meningkat.

Dengan adanya usaha MAYC yang berterusan dan kegiatan MAYC dalam bidang sukan olah raga dan berbagai-bagai kegiatan riadah, maka kita akan dapat terus mengekalkan sifat MAYC sebagai sebuah pertubuhan dengan ciri multiracial, multifunction dan multireligion.

SUMBER INSPIRASI

Dalam melatih pemimpin-pemimpin sebagai penyelesai masalah, dengan adanya program MAYC untuk membasmi kemiskinan dan menjayakan masyarakat, maka diharapkan rakyat akan menjadi lebih bahagia.

Kita jadikan tokoh yang sudah pergi, seperti Allahyarham Salleh Kasmin, Allahyarham Hamat Salleh dan Allahyarham Dr. Hussein sebagai sumber inspirasi.

Dengan adanya cetusan falsafah, dengan adanya program bertindak, MAYC akan menjadi satu organisasi yang akan disegani oleh masyarakat dan berjasa kepada bangsa untuk selama-lamanya.

Sekian, dengan nama Allah saya merasmikan Mmesyuarat Agung pada malam ini.

Terima kasih.

0 comments

Post a Comment