PEMIMPIN ADALAH PENYELESAI MASALAH

Posted by mayc_pkbm | 12:18 AM | 0 comments »



Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-33, 1987.

Dalam lawatan saya ke negeri-negeri dan dalam kursus-kursus MAYC, saya selalu mengingatkan hakikat bahwa pergolakan yang berlaku dalam sejarah adalah disebabkan tiga perkara yang begitu ketara.

NAFSU BESAR

Pertama; wujudnya di dalam dunia ini manusia-manusia bernafsu besar.

Kerana nafsu begitu besar maka usaha memuaskan nafsu sentiasa tidak mengenal erti puas, maka manusia menjadi punca berlakunya huru-hara.

Saya ingin mengingatkan saudara mengenai tokoh seperti Julius Caesar yang begitu ghairah, begitu bernafsu dan nafsunya yang besar ialah terhadap Celopatra.

Julius Caesar menjadi punca masalah, darah mengalir di merata-rata tempat, anak menjadi yatim, isteri kehilangan suami, kerana Caesar tidak puas kecuali ia sudah menakluki dunia ataupun telah menakluki negara-negara lain.

Kemudian kita melihat bagaimana Napoleon menjadi sebab berlakunya pergolakan di Eropah. Napoleon juga seorang yang bernafsu besar, yang mempunyai kekasih bernama Josephine. Tentang kisah Napoleon dan Josephine pemimpin-pemimpin MAYC di seluruh negara tentunya telah sedia maklum.

Tokoh sejarah yang lebih dekat kepada kita ialah Hitler. Hitler dengan Eva Braun telah menyebabkan berjuta-juta rakyat Eropah terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

Justeru, berdasarkan hakikat sejarah, kita membuat kesimpulan bahawa pergolakan di dunia adalah angkara manusia yang bernafsu besar dan rakus.

PUNCA MASALAH

Nafsu adalah salah satu punca masalah, begitu kata seorang ahli fikir Sigmund Freud dalam bukunya.

Selain nafsu, harta juga menjadi punca masalah, sehingga pengasas fahaman Komunis, Karl Marx menyatakan apabila yang kaya terus kaya, dan terus menidas, yang papa terus papa, maka pada waktu itu wujudlah di dalam negara satu jurang perbezaan yang luas lagi bertentangan antara dua golongan manusia, iaitu yang kaya dan yang miskin.

Maka usaha untuk menghapuskan atau meleburkan pertentangan itu akan membawa negara kepada satu revolusi berdarah yang akhirnya hilanglah yang kaya dan yang papa kerana semuanya menjadi susah.

Manusia yang mencapai kekayaan yang begitu besar dan hebat biasanya akan lupa asal-usul mereka, tidak ingat lagi kepada mereka yang kurang berada dan malah, kadangkala menggunakan harta untuk memuaskan nafsu.

Faktor ketiga yang mencetuskan pergolakan ialah kuasa. Mengenai kuasa ini Bertrand Russel dengan jelas menyatakan:

“Bukan nafsu, bukan harta, tetapi kuasalah yang menyebabkan berlakunya pergolakan dalam masyarakat”.

KUASA PUNCA PERGOLAKAN

Bagi kita di negara ini, bangsa Melayu akan lumpuh kerana perebutan kuasa. Perebutan kuasa di kampung, perebutan kuasa di dalam mukim, perebutan kuasa di dalam negara.

Timbullah persoalan apakah nafsu itu tidak penting?

Sebagai seorang yang berpandukan Islam sebagai agama yang dianuti, kami yakin bahawa Islam tidak menafikan akan peri pentingnya nafsu, tidak menafikan hakikat bahawa harta perlu dicari, begitu juga kuasa perlu dipertahankan.

Tanpa nafsu tiada zuriat.

Nabi dan para sahabat hampir kesemuanya ahli perniagaan, mereka menggunakan kekayaan untuk agama dan mereka tidak memperalat agama untuk mencari pangkat ataupun kekayaan.

Di negara kita, perpecahan bangsa berlaku kerana mereka tidak meletakkan agama lebih tinggi daripada politik. Politik diberikan kedudukan lebih tinggi daripada agama. Politik tidak dijadikan alat untuk menyempurnakan agama sebaliknya agama diperalatkan untuk kepentingan politik.

POLITIK ATASI AGAMA

Itulah sebabnya di seluruh dunia sekarang ini umat Islam bersengketa sesama sendiri, malah insiden kematian jemaah haji yang berlaku di Makkah al-Mukarramah adalah akibat tindakan meletakkan politik lebih tinggi daripada agama.

Harta perlu kita tuntut kerana Nabi dan sahabat-sahabatnya menggunakan harta untuk agama dan tidak menggunakan agama untuk mencari pangkat dan harta. Umat Islam diwajibkan berperang untuk mempertahankan haknya, untuk mempertahankan agama dan hartanya.

Ini bermakna walaupun nafsu menjadi puca masalah, walaupun harta menjadi punca masalah, walaupun kuasa menjadi punca masalah; nafsu, harta dan kuasa wajib ada pada kita.

Kita perlu berusaha mendapatkan segala-galanya dengan cara yang diizinkan Allah dan kita gunakannya juga dengan cara yang diizinkan Allah.

Harta juga amanah daripada Allah. Hendaklah kita cari dengan cara yang halal dan menggunakannya dengan cara yang halal. Begitu juga dengan kuasa, hendaklah kita dapatkan dengan cara yang tidak dimurkai Allah.

Jika saudara ingin menjadi tenaga yang membawa perubahan dalam negara, sudah tentu saudara tidak perlu melayani nafsu sehingga menjadi seperti Caesar, seperti Napoleon ataupun seperti Hitler.

Saudara tidak perlu mencontohi orang yang bernafsu sebagai dorongan kepada mencapai tahap yang tinggi baik di peringkat kampung, di peringkat negeri ataupun di peringkat nasional.

KUASA MEMBERI

Sebagai ahli MAYC, saudara tidak mempunyai kemampuan untuk menghimpun harta sehingga cukup, sehingga saudara boleh menggunakan harta itu untuk membawa perubahan besar dalam negara. Bagi saudara yang ada hanya KUASA, maknanya kita beri perhatian sejenak kepada kuasa ini supaya kita mengetahui dari mana datangnya kuasa yang ada pada kita yang dapat kita gunakan untuk membawa perubahan dalam negara.

Perdana Menteri dikatakan berkuasa kerana boleh melantik menteri-menteri. Perdana Menteri boleh melantik Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Parlimen, Menteri-Menteri Besar. Ini bermakna Perdana Menteri berkuasa kerana boleh memberi kuasa kepada orang-orang bawahannya.

Serupa juga halnya jika saudara menjadi pegawai atau pemimpin di sesebuah kampung.

Saudara boleh memegang tampuk kepimpinan di dalam kampung. Jika saudara boleh membawa orang kampung bertemu dengan orang atasan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, maka lama-kelamaan saudara mendapat sedikit sebanyak kuasa, iaitu kuasa memberi.

Ada berbagi-bagai jenis kuasa: Kuasa yang ada pada jeneral untuk menaikkan pangkat, kuasa yang ada pada ketua-ketua polis untuk recommend naik pangkat, kuasa yang ada pada wakil-wakil rakyat untuk membahagikan peruntukan.

Mereka dikatakan berkuasa kerana mereka boleh memberi sesuatu.

Satu lagi kuasa ialah kuasa menghukum, iatu kuasa yang ada pada raja, umpamanya untuk menandatangani, untuk mengesahkan hukuman mati atas seseorang; kuasa yang ada pada Perdana Menteri untuk memecat menteri yang melawan tuan, kuasa yang ada pada ketua jabatan untuk menangguhkan kenaikan pangkat, kuasa yang ada pada pegawai polis ataupun tentera untuk menghukum polis ataupun tentera yang ingkar perintah.

Ini namanya kuasa memberi.

Satu lagi ialah kuasa yang datang daripada adat resam;

Kuasa bapa terhadap anak, kuasa suami terhadap isteri,

Kuasa pemimpin terhadap yang dipimpin,

Kuasa imam terhadap makmum,

Kuasa ini bukan kuasa memberi atau kuasa menghukum, tetapi kuasa yang datang daripada adat resam.

Di dalam mesjid, imam membaca makmum ikut, apabila makmum baca lebih cepat daripada imam, bermaknalah makmum itu melanggar kuasa imam. Ini sifat-sifat kuasa daripada agama dan adat.

Sumber kuasa yang keempat ialah kuasa daripada organisasi.

Bagi kita dalam MAYC, jika kita ingin membawa perubahan tetapi tidak mempunyai kekuatan kewangan maka cara kita membawa perubahan adalah melalui kuasa.

Jika kuasa itu kita tidak peroleh melalui hak menghukum seperti hakim, jika kuasa kita tidak peroleh kerana tidak mempunyai kemampuan untuk memberi, jika kita tidak memperoleh kuasa kerana tidak ada dalam asuhan adat kita diletak sebagai raja waris yang berkuasa, maka satu cara bagi kita untuk memberikan sumbangan yang boleh membawa perubahan dalam masyarakat ialah melalui organisasi, seperti organisasi MAYC ini.

RUKUN ORGANISASI

Organisasi mempunyai rukun. Secara ringkas saya sebutkan rukunnya itu.

Rukun yang pertama ialah kuasa.

Kita perlu tahu siapakah yang memberi kuasa kepada kita.

Saya sebagai Presiden MAYC mempunyai kuasa dalam organisasi MAYC kerana undi saudara-saudara. Ini bermakna apabila saya berada di atas pentas lupa kepada saudara yang memberikan undi kepada saya, maka pada waktu itu ahli organisasi boleh bertindak.

Saudara yang datang dari negeri harus insaf darimana datangnya kuasa yang diberikan kepada saudara.

ASALNYA KUASA

Kuasa yang ada pada saudara sebagai pemimpin negeri diperoleh kerana dipilih oleh pemimpin cawangan-cawangan daerah.

Jika saudara sebagai pemimpin negeri membiarkan semua cawangan daerah itu mati dan lemah, ini bermakna saudara sebagai pemimpin tidak mempunyai kuasa.

Jika saudara yang datang daripada cawangan daerah membiarkan kelab-kelab gabungan mati, maka dengan sendirinya kepimpinan saudara di cawangan daerah tidak ada kuasa.

Saudara harus ingat kekuatan di peringkat negeri bergantung pada pemimpin di cawangan daerah, dan kalau kami yang ada di sini dikatakan kuat, sebenarnya kekuatan kami bergantung pada kekuatan di peringkat negeri, cawangan daerah dan kelab gabungan.

Oleh itu, apabila pulang ke tempat masing-masing, cermin diri sendiri dan sedarlah bahawa organisasi yang kuat bergantung pada sumber kuasa yang mereka peroleh.

Rukun organisasi yang kedua ialah komunikasi atau perhubungan.

Walau apapun program yang saudara ingin lakukan dalam organisasi, ahli tidak akan berterima kasih jika program itu berjaya lantaran ahli tidak mengetahui mengenainya.

Jika program itu gagal saudara sudah tentu dimaki hamun kerana ahli-ahli tidak mengetahui tentang apa yang ingin saudara lakukan.

Oleh itu, ahli MAYC sekalian hendaklah, apabila melaksanakan sesuatu program, gunakan masa yang cukup untuk memberikan penerangan kepada semua ahli mengenai program itu. Jika tidak ada komunikasi yang baik, tidak ada perhubungan yang baik, maka kerja yang dilakukan menjadi sia-sia.

Apabila semua ahli faham tentang sesuatu program tetapi program itu gagal, mereka akan simpati dan tidak marah. Kalau program itu berjaya pula, semua orang akan puji dan menaruh kepercayaan pada pemimpin yang bertanggungjawab.

Rukun organisasi yang ketiga ialah pengeluaran.


Setiap kelab gabungan, setiap cawangan daerah, setiap bahagian negeri mesti ada projek, perlu laksanakan projek. Pergi menghadiri mesyuarat agung sahaja, itu bukan projek.

Bagi pemimpin kelab, cawangan, daerah yang tidak ada lagi kemampuan berfikir maka projek yang dibuat hanyalah mesyuarat. Mesyuarat tiap-tiap bulan. Mesyuarat tiap-tiap bulan habis dengan bercakap sahaja.

Kalau mesyuarat pun tidak mahu, tidak ada idea maka pada malam ini saya beri petua supaya diadakan mesyuarat secara bergilir-gilir di rumah jawatankuasa. Apabila bergilir-gilir rumah jangan pula lawan jamuan siapa yang paling sedap. Sebuah rumah jamu teh “o”, sebuah rumah lagi jamu teh susu, sebuah rumah lagi jamu minuman bercoklat, sebuah rumah adakan jamuan di Ramada Restoran, satu rumah lagi makan mee goreng, beriyani dan macam-macam lagi. Lama-lama jawatan kuasa yang pokai. Maka pada ketika itu mesyuarat menjadi tidak sah.

Saya cadangkan pemimpin-pemimpin MAYC di peringkat kelab adakan mesyuarat dengan menjamu teh dan roti kosong, jangan lebih daripada teh “o”.

Kalau ini yang saudara lakukan, saya percaya kelab-kelab akan hidup dengan subur.

Rukun yang keempat, Maruah.

Di peringkat kampung ataupun di peringkat negeri, kita ada 1,300 kelab dan jumlah ahli melebihi satu per empat juta. Rata-rata setiap kampung ada ahli, saudara perlu anjurkan program, fikir elok-elok, jangan buat lima projek, empat gagal, satu berjaya. Habis satu kampung orang pandang belia selekeh. Silap-silap belia di situ membujang sampai tua kerana orang kampung tahu ahli kelab itu tidak boleh buat kerja. Lima projek buat, empat gagal. Projek yang berjaya hanyalah projek mesyuarat. Itu saja.

Saudara perlu pastikan maruah organisasi tinggi.

Cara bagi menjamin maruah organisasi itu tinggi adalah dengan memastikan bahawa, kalau ada lima projek, jika tiga berjaya dua gagal, OK – tetapi peratus yang berjaya perlulah lebih daripada peratus yang gagal. Itu maruah namanya.

Rukun organisasi yang kelima ialah ‘change’ atau perubahan.

Kita perlu bawa perubahan ke dalam kelab, kalau kita hendakkan perubahan, kita perlu ubah dahulu, kepala ini. Pemikiran perlu diubah. Kalau kita hendak ubah pemikiran, kita perlu banyakkan membaca.

Kita perlu berubah.

Sekiranya kita mahu perubahan kita perlu tingkatkan cara kita berfikir. Kalau kita hendak tingkatkan cara kita berfikir, kita perlulah banyak membaca. Dengan membaca kita boleh membawa perubahan kepada diri kita dan organisasi kita.

Jika pemimpin MAYC di peringkat cawangan, di peringkat kelab gabungan, di peringkat cawangan daerah, di peringkat negeri, dan di peringkat pusat sedar tentang rukun organisasi, iaitu sumber kuasa, komunikasi, pengeluaran, maruah dan perubahan, maka organisasi boleh menjadi kuat dan layak menjadi harapan bangsa dan negara.

Lapan belas ribu orang pemimpin MAYC di semua peringkat hendaklah mengetahui cara untuk memperkuat organisasi dan mengetahui peranan pemimpin.

Dalam MAYC kita sudah memberikan takrifan tentang pemimpin.

Pemimpin bagi kita, adalah penyelesai masalah.

Pemimpin bagi kita adalah pencetus harapan.

Pemimpin bukan pencetus masalah dan kemudian lari daripada masalah.

Pemimpin itu bukan sekadar pengikut sahaja.

Ada pengikut belum tentu boleh bergelar pemimpin kerana ketua lanun juga ramai pengikutnya sudah tentu tidak boleh digelar pemimpin.

Jika ketua lanun kita namakan pemimpin maka tiada bezanya antara kita dengan ketua lanun. Ketua lanun kerjanya merompak, membuat huru-hara, mencetuskan masalah, bukan penyelesai masalah.

Pemimpin menurut takrif MAYC adalah penyelesai masalah.

Apabila seseorang ahli MAYC atau pemimpin MAYC masuk ke kampung, sebagai pemimpin dia perlu menyelesaikan masalah dalam kampung itu. Kalau dia masuk kampung untuk mengurat anak orang dan bukan menyelesaikan masalah maka dia bukan pemimpin, kecuali jika dalam kampung itu ada masalah dalam mencari calon menantu.

PENYELESAI MASALAH

Jika kita pergi ke Langkawi, umpamanya, kita hendak bertindak sebagai pakar dalam pencegahan pencemaran alam, mustahil orang di sana akan memilih kita sebagai pemimpin kerana di Langkawi tiada masalah pencemaran alam.

Jika kita tinggal di tengah-tengah Petaling Jaya sampai hidung kita dimasuki berbagai-bagai jenis habuk, tiba-tiba datang seorang yang pakar dalam pencegahan pencemaran alam, maka sudah ada masalah yang hendak diselesaikan, maka orang terima dia sebagai pemimpin.

Jika kita sebagai doktor kulit pergi ke kampung orang buta, sudah tentu dia tidak dapat menolong orang-orang di situ kecuali kita sebarkan penyakit kulit kepada semua orang kampung....selepas itu kita mengubati mereka, kita bolehlah dipanggil pemimpin tetapi pemimpin jahat. Kita bawa masalah kemudian kita sendiri yang selesaikan.

Jika kita masuk ke kampung yang ramai pemudanya menganggur, kita anjurkan kursus pertanian, kursus perniagaan yang mudah, maka kita sedang menyelesaikan masalah di kampung tersebut.

Jika kita pergi ke sebuah kampung dan kita dapati ramai beliawanis yang tiada kemahiran kita cuba anjurkan kelas jahitan, kelas masak-memasak, kelas bimbingan dan berbagai-bagai kelas lagi, maka ini namanya kita sedang menyelesaikan masalah.

Contohnya, Abdul Ghani Othman seorang pakar ekonomi, pensyarah ekonomi di UM dahulu, sekarang sudah menjadi Timbalan Menteri, sebagai Exco Pemuda UMNO. Beliau sedang memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ekonomi. Beliau pemimpin.

Jika saudara masuk ke kampung saudara dapati di dalam kampung itu nyamuk Aedes membiak sebab banyak tayar buruk, saudara angkut tayar-tayar itu ke Kementerian Pertanian maka dengan sendirinya saudara menyelesaikan dua masalah.

Saudara masuk ke kampung saudara dapati ramai orang mengalami sakit ceret beret, mungkin sistem penyaliran dan telaga tidak begitu beres. Korek telaga yang baik, atur perparitan supaya najis mengalir ke tempat lain, aturkan projek gotong-royong, maka saudara menyelesaikan masalah.

Apabila kita dapati sebuah kampung mengalami masalah keruntuhan akhlak pemuda-pemudinya, kita panggil ustaz baca doa dan Insya Allah selepas itu kita anjurkan kursus dan ceramah agama, dengan sendirinya moral penduduk kampung akan meningkat, maka dalam hal ini kita menjadi pemimpin.

Kalau kita dapati di dalam kampoung orang tidak lagi mempedulikan soal perpaduan negara, kita adakan kursus sivik, kiuta adakan kursus politik, kita juga menjadi penyelesai masalah.

Justeru, pemimpin adalah penyelesai masalah.

BUDI BAHASA

Bangsa kita sekarang dalam keadaan yang teruk. Kita lihat rata-rata budi dan bahasa mula runtuh. Orang tidak lagi mengenang budi orang yang telah berbudi kepadanya. Kita lihat orang alim pun diketepikan di dalam majlis. Kita lihat orang menghisap rokok di depan bapa mertua. Dahulu, jika kita hendak merokok, seandainya bapa mertua lalu di hadapan kita, puntung rokok yang berbara itu kita genggam apinya sampai jadi arang.

Sekarang lain pula halnya. Hisap rokok di hadapan bapa mertua, hembus asap di atas kepalanya, malah bapa mertua pula bertanya, “Can I have one? Boleh saya minta sebatang?”

Oleh itu, dalam keadaan demikian kita perlu betulkan semangat. Kita perlu mertul di pasak masalah yang kita perlu mertul. Tahu apakah itu Mertul? Tukul.

Kita perlu masuk ke kampung. Kita perlu masuk ke pelosok rantau seluruh negara. Kita hidupkan kembali budi dan bahasa yang ada pada bangsa kita. Kita kembalikan sikap hormat kepada orang tua. Kita hormat orang yang berilmu, hormat kepada orang yang beragama supaya mereka juga hormat kepada kita dan mereka juga kasih kepada kita.

Rata-rata kita lihat keruntuhan akhlak, rata-rata kita lihat orang tidak mengenang budi lagi sedangkan budi itulah yang menjadi simen yang menyatupadukan bangsa kita.

Masih ingat lagikah akan teori penumbuk? Teori bersatu? Bagi saudara yang tidak ingat biar saya ulangi. Masuk ke kampung suruh orang kampung bersatu kembali. Beritahu mereka, zaman sekarang berbagai-bagai bala sudah menimpa.

Dahulu ada penerapan nilai Islam, tidak pernah dengar orang Melayu menjadi Kristian, tidak pernah dengar orang Melayu menjadi paderi. Sekarang waktu Kerajaan sedang cerita bab penerapan nilai Islam, ada pula cerita orang Melayu menjadi Kristian, menjadi paderi.

Dahulu kita tidak pernah mendengar orang menentang orang yang menolongnya. Perdana Menteri lantik Menteri. Menteri lawan Perdana Menteri. Kalau letak jawatan dahulu baru lawan itu kira okey, itu mengikut adat timur. Kita tidak akan menggigit jari orang yang menyusukan kita.

Ini letak jawatan pun tidak. Timur tidak Barat pun tidak. Serupa dengan orang yang ke Syurga tidak ke Neraka pun tidak. Ke manakah mereka pergi?

Kita sekarang ini perlu bersatu. Teori penumbuk padi perlu saudara popularkan di kampung kerana pada tahun ini “Setia Bersatu, Berusaha Maju”. Kita ini sudahlah tidak setia, tidak setia pada kawan, tidak setia pada perjuangan, tidak setia kepada prinsip persaudaraan, kalau hendak naik pijak siapa sahaja yang dapat.

Sekarang kita perlu setia dan bersatu.

Bersatu itu perkara penting. Kita perlu bersatu pada setiap masa kerana keadaan bersatu ini merupakan pemangkin dan penggerak kepada banyak perkara yang baik dan positif, menjana kemakmuran rakyat dan negara kerana segala aktiviti menjadi mudah terlaksana apabila kita bersatu. Bersatu bagaikan jari-jari penumbuk yang padu. Bersatu kita menegakkan maruah bangsa dan negara. Bersatu kita menegakkan keadilan sejagat. Bersatu kita membangunkan ekonomi negara. Bersatu kita dalam apa keadaan sekalipun. Bersatu meretas zaman, dari zaman batu hingga ke zaman nuklear. Tetapi jika ada orang yang tidak sopan terhdap kita, senjata yang spontan ada pada kita bukan senjata nuklear, tetapi penumbuk.

Yang padu itu bukan roket, tetapi penumbuk. Sebelum roket datang, sebelum senjata sampai, yang ini sampai dahulu.

Tetapi anehnya, yang hebatnya jari lima ini ialah keupayaannya untuk bersatu secara spontan, tidak perlu menunggu perintah. Lihat saja muka musuh dan tanda-tanda bahaya, genggaman penumbuk secara spontan bersedia untuk menyerang sasaran.

Justeru, saudara sekalian, jari yang lima ini merupakan lima golongan masyarakat yang beragama, yang berketurunan, yang berfungsi dan yang kerdil semua sepakat, seia sekata bersatu untuk melaksanakan tanggungjawab.

Saya ingin sarankan cara Malaysia bersatu.

Melayu sama Melayu berkelahi, Cina sama Cina berkelahi. India baru berhenti berkelahi dan kini mula berkelahi semula. Dahulu tidak ramai orang Melayu belajar undang-undang tetapi sekarang sudah ramai peguam Melayu sampaikan saya menerima 12 surat saman daripada mereka.

Dahulu Dato’ Senu, sewaktu beliau menjadi Setiausaha Agung UMNO, beliau menguar-uarkan slogan “Kita perlu revolusi mental”.

Apabila mental Melayu sudah baik, lain pula keadaannya. Kalau dahulu Melayu menipu dua tiga ratus ringgit, sekarang Melayu ‘kebas’ dua ribu juta sebab ‘mental’ sudah baik.

Oleh itu saudara sekalian, pada malam ini kita ingin betulkan, kita ingin perbaiki, kita ingin tekankan, kita ingin mertulkan tempat-tempat pasak yang perlu dimantapkan.

Kita perlu pulang ke desa sebagai pemimpin belia.

Kalau ada masalah dalam kampung beritahulah. Bukan presiden suruh pergi berlagak dalam kampung. Saah satu masalah Melayu ialah act lebih. Yang jadi pegawai berlagak cara pegawai. Yang kaya lagak cara mereka, tidak mahu berkawan dengan orang yang tidak berduit dikhuatiri mereka yang tidak berduit minta derma, minta pinjam.

Apabila sudah menjadi orang kaya baru, takut mendengar telefon berdering. Orang panggil mesyuarat tidak muncul-muncul lagi. Dengan segala kecanggihan ilmu yang kita miliki sekarang pun kita tidak tahu cara untuk memanfaatkannya. Ada orang menggunakan ilmu untuk menipu bangsa. Orang Melayu pula kalau menipu, mereka menipu kerajaan.

Hormat tidak ada. Budi bahasa tidak ada. Semua tidak ada.

Saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada negara ini pada tahun 1990, kalau jiwa bangsa kita keadaannya ternoda seperti sekarang. Masa depan amat kelam sekiranya trend seperti ini terus berlaku.

Oleh itu masanya telah tiba bagi saudara, sebagaimana yang saya seru setiap tahun dalam mesyuarat MAYC, pulanglah ke kampung masing-masing dan tiupkanlah semangat kesedaran. Tegakkanlah kepimpinan saudara. Hembuskanlah ke dalam susut-sudut yang terluang di hati anak-anak bangsa dengan perasaan cinta pada bangsa, agama dan tanah air agar apinya terus membara dan bersemarak. Puntung yang membara ini kita satukan dan kita hembus sehingga bernyala-nyala. Di sinilah letaknya harapan negara.

Dengan nama Allah saya merasmikan Mesyuarat Agung saudara pada malam ini.

Terima kasih.

0 comments

Post a Comment