KERJA DAHULU PANGKAT KEMUDIAN

Posted by mayc_pkbm | 2:51 AM | 0 comments »


Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-32, 1986.

Saudara Taib Wahab telah mengendalikan mesyuarat agung dengan begitu baik. Saudara Taib dengan tabah dapat terus membantu kita mengendalikan majlis ini. Saya juga ucapkan tahniah kepada koir MAYC.

KOIR MAYC HEBAT

Waktu koir sedang bersenandung pagi tadi, saya berbisik kepada Y. A. B. Perdana Menteri, saya tanya pendapat beliau tentang kemampuan koir kita itu, adakah setara hebatnya dengan koir di rumah Naib Presiden Amerika Syarikat sewaktu lawatan beliau ke Amerika Syarikat dahulu. Beliau bersetuju, sama hebat.

Menyentuh tentang usul untuk mewujudkan satu lagi pertubuhan belia Hindu di peringkat nasional yang mungkin bertujuan untuk meluputkan separuh daripada pemimpin yang tidak disenangi pihak tertentu, akan ditentang habis-habisan. Saya bercakap sebagai Presiden MAYC, bukan sebagai Menteri.

Saya juga mengucapkan syukur kepada Allah kerana Romantika Satu selesai. Kita ada romantika dua, romantika tiga dan Johor menyarankan romantika empat. Saya tidak mahu campur tangan dalam romantika empat kerana saya tidak pasti tentang tujuan romantika empat itu adakah ia akan menguntungkan ahli MAYC ataupun sebaliknya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk membetulkan sedikit fakta mengenai pertandingan saya sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984.

Sebenarnya dalam hidup saya, saya tidak pernah merebut jawatan untuk melakukan sesuatu kerja, saya biasanya bekerja dahulu dan memikirkan jawatan kemudian.

BERTANDING

Dalam bank, saya sempurnakan kerja dahulu, kemudian saya perolehi jawatan. Begitu juga apabila saya bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1974, saya tidak meminta untuk menjadi calon. Cerita bagaimana saya menjadi calon begini. Tun Razak ada menghubungi saya meminta saya memujuk PAS menyertai Barisan Nasional. Pada waktu itu lebih kurang 22,000 orang ahli PAS meminjam wang di Chartered Bank melalui saya, dan mereka semua dari Kedah.

Oleh sebab PAS di Kedah waktu itu dipimpin oleh Abu Bakar Osman yang tidak mahu menyertai Barisan Nasional, maka Tun Razak menggunakan saya bagi menghubungi PAS untuk mendesak PAS Kedah menyertai Barisan. Ini telah saya jayakan dan itulah sebabnya saya bertanding pada tahun 1974.

Sebenarnya pada tahun 1974 saya tidak mahu bertanding. Saya sudah tahu saya akan menjadi Setiausaha Agung UMNO sebelum pertandingan, kerana Presiden telah menyatakan selepas pertandingan ini saya jadi Setausaha Agung.

Apabila saya menyatakan saya tidak mahu menjadi Naib Presiden beliau setuju saya tidak bertanding, tetapi kerana pencalonan naib Presiden terlalu banyak maka pada waktu itu, Presiden memanggil saya.

Lebih baik bertanding, cuba sahaja, dan saya mencuba dan saya beritahu pasti kalah. Akhirnya sayapun kalah dan saya tidak sedih atas kekalahan ini, dan tidak tersinggung. Cuma saya terkilan sedikit kerana banyak cerita ataupun fitnah dilemparkan waktu saya menghadapi pertandingan.

Ada orang yang saya tolong telahpun menjadi wira. Saya ikut berkempen menaikkan seseorang, tetapi budi saya itu dibalas dengan tuba. Ada yang sampai memanggil saya petualang. Kata mereka, “Kalau hendak berhenti, berhentilah, jangan cakap banyak”. Walau bagaimanapun tidak mengapalah. Sudah menjadi resam dunia begitu. Kita beralih kepada perkara lain.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MAYC Negeri Johor kerana buat pertama kalinya mula dilambung gelombang dahsyat ini. Barangkali MAYC Johor dahulupun tidak kenal pahit dan getir perjuangan. Sewaktu MAYC Selangor menghadapi tekanan politik, MAYC Johor sebaliknya mendapat sokongan politik.

Sewaktu MAYC Melaka menghadapi tekanan politik, MAYC di tempat lain pula beristirehat.

Sekarang giliran Johor pula menghadapi tekanan, semoga saudara menjadi lebih dewasa selepas mengharung gelombang lautan yang dalam ini.

KELUAR NEGARA

Saya juga turut mengucapkan terimakasih dan tahniah kepada calon-calon Barisan Nasional daripada MAYC. Ingin saya nyatakan di sini kepada ahli MAYC bahawa saudara adalah sahabat saya. Dan sebagai manusia yang berpegang teguh kepada prinsip persahabatan, kita tidak pernah membelakangkan sahabat.

PM YAKIN PADA MAYC

Oleh itu, saya berharap apabila saudara-saudara pulang ke kampung, ke kawasan, ke daerah masing-masing berusahalah menubuhkan kelab-kelab MAYC sebagai menyahut seruan Perdana Menteri. Beliau sangat yakin akan kemampuan MAYC sebagai sebuah pertubuhan sederhana berbilang kaum dan agama, untuk ikut terlibat dalam usaha mewujudkan bangsa Malaysia yang baru.

Saya ucapkan tahniah kepada semua yang berucap. Saya lihat semuanya bersemangat dan saya berasa sangat bangga wujudnya kumpulan-kumpulan baru dalam perhimpunan agung MAYC ini.

Mengenai MAYC dalam MBM, saya rasa ini persoalan pokok yang kurang difahami. Kita memang boleh menyertai Majelis Balia Malaysia, tetapi ada perkara yang tidak boleh dipinda. Kita tidak mahu, umpamanya, kerajaan mengatur siapakah yang akan menjadi pemimpin dalam satu-satu kelab belia. Di Negeri Sembilan umpamanya, tidak ada undang-undang begini. Di sesetengah negeri, mungkin undang-undang ini ada yang sudah dipinda.

Justeru, saya berharap ahli MAYC, walaupun di negeri sendiri tidak ada apa-apa masalah, perlu menggambarkan pendirian MAYC walaupun tidak menjadi ahli Majlis Belia Malaysia.

Kalau kita menjadi ahli MBM, paling banyak pun 20-30 orang sahaja yang pergi ke luar negara dan itu tentunya tidak akan memuaskan hasrat 250,000 ahli MAYC. Saya juga berasa bangga setelah kita keluar daripada MBM, ahli kita lebih banyak menumpukan perhatian kepada MAYC.

Dahulu sewaktu MAYC berada dalam MBM, saya lihat kita sibuk dalam jawatan MBM, malah ahli MAYC rata-rata mengenalkan diri mereka ketua Majlis Belia Negeri, jawatankuasa MBM dan mereka menganggap MAYC ini second rule. Sekarang mereka menyatakan akulah MAYC dan I’m damn proud of it.

Saudara dan saudari sekalian, saya ingin mengucapkan tahniah kepada yang telah menang tanpa bertanding seperti Johar Rusi, Mohd. Noor Bedah, veteran Naib Presiden Ahmad Rastom, tokoh kita di Pantai Timur, dan Ahmad Haji Ali. Saya kagum padanya, selama 17 tahun beliau bertanding untuk menjadi ahli jawatankuasa pusat, namun tidak pernah menang. Dan dua tahun yang lepas dia menang, barangkali dengan berkat doanya kali ini dia menang jawatan Naib Presiden.

Naib Presiden di Johor akan menjadi pengerusi Zon Selatan. Ahmad Rastom menjadi pengerusi Zon Timur, dan Mohd. Noor Bedah menjadi pengerusi Zon. Utara. Sebagai Setiausaha Agung, saya akan melantik semula saudara Mohamed Nazim Yahaya. Pada tahun hadapan kita akan lakukan sedikit perubahan.

Tadi barangkali saudara telah mendengar saudara Aziz, ketua dari Melaka berucap. Beliau ini saya kata wakil ABIM, PERKIM, dan Tabligh India, segala-galanya ada dalam dirinya. Sebenarnya yang duduk di atas ini orang yang boleh bercakap juga. Tetapi, oleh sebab dia sudah menjadi jawatankuasa, malahan Ahmad Haji Ali kita lantik menjadi ahli jawatankuasa kerana mahukan supaya dia diam, dengan berada di bawah dia banyak mulut.

MALAM BUDAYA MAYC

Saya berharap kepada saudara sekalian, pada tahun hadapan mungkin kita boleh adakan satu malam, malam pertunjukan kebudayaan. Setiap ahli jawatankuasa diberi peluang bercakap.

Saudara Rahim Bakar terlalu sibuk dengan urusan kementerian, dan setiap kali ada mesyuarat jawatankuasa, dia terpaksa berurus dengan urusan kementerian pada waktu yang sama. Oleh itu, dia menghantar Syed Ahmad sebagai wakil tetap. Tidak ada dalam perlembagaan, tugas presiden digantikan oleh orang lain. Oleh sebab Syed Ahmad selalu hadir, kewujudannya dalam jawatankuasa jadi begitu ketara. Perkara ini telah menimbulkan soalan mengapa Syed Ahmad menjadi wakil tetap negeri dalam pusat, selain dia wakil negeri yang tetap.

Memandangkan tidak ada peruntukan sedemikian dalam perlembagaan, mari kita pinda perlembagaan. Saya berharap Tuan Syed Ahmad akan menjadi wakil dan dalam laopran tahun hadapan, kita senaraikan nama Syed Ahmad di atas.

PETANI MUDA

Ini kali pertama kita bermesyuarat setelah saya menjadi Menteri Pertanian. Bidang pertanian ini merangkum berbagai-bagai hal termasuk urusan lembu kerbau, ayam itik, jagung, sayur, termasuklah bermacam-macam jenis buah-buahan.

Saya berharap saudara akan melibatkan diri dalam Koperasi Petani Muda, satu program yang akan saya wujudkan. Saya tidak mahu kelab-kelab belia memelihara ayam sebagai hobi. Ini bukan hobi.

Kalau hendak berniaga, berniaga betul-betul. Kalau hendak beternak, beternak betul-betul. Jangan main-main.

Jangan pelihara 50 ekor ayam, 100 orang datang melawatnya, ayampun ‘naik pening dan pelik’ jadinya.

Saya berharap MAYC akan menerimanya sebagai program untuk memajukan diri dalam bidang ini dan saya juga mahu MAYC menggalakkan ahli berusaha menanam sayur-sayuran di kampung. Bukan untuk dijual tetapi untuk dimakan sendiri. Kalau tanam untuk dijual, ramailah antara kita yang menjual timun kerepot, terung kerepot. Tetapi kalau kita cuba makan sendiri barulah kita tahu buah yang kerepot itu payah masak. Saya berharap saudara usahakanlah dengan tanaman yang baik.

Saya berharap supaya rakyat Malaysia mengurangkan pergantungan pada makanan jenis nasi, bukan untuk berlapar, tetapi menggantikannya dengan lebihkan memakan sayur, sayur yang kita tanam.

Kita perlu makan makanan seimbang dan berkhasiat dengan memakan lebih banyak buah, lebih banyak bahan protein seperti telur ayam dan daging ayam. Kita perlu minum susu lembu. Semua bahan ini sekarang berlebihan dalam negara.

Kurangkan makan nasi. Apabila kurang makan nasi, impor beras pun kurang. Penanam padi juga akan mendapat untung yang lebih besar kerana tiada lagi bersaing dengan pengeluar beras luar negara. Penanam padi bukan lagi menjadi profesion orang kampung yang miskin. Cukup bekalan beras negara kalau kita kurang makan nasi. Harga beras dapat dikawal dengan lebih baik dan menguntungkan petani kita.

Namun begitu janganlah pula kurangkan makan nasi sehingga kelaparan. Kurangkan makan nasi, tetapi banyakkan makan sayur. Apabila kita banyak makan sayur, kita kurang impor beras, langkah ini tentunya dapat membantu menyelamatkan tukaran asing beratus-ratus juta.

Apabila kita banyak makan sayur dan banyak makan telur itik, telur ayam, daging ayam maka dengan sendirinya protein, vitamin A, B, D, E, K dan sebagainya dalam diri kita bertambah. Kita menjadi lebih sihat di samping menyelamatkan tukaran asing negara.

Saya juga berharap saudara akan menyertai Koperasi Pembangunan daerah supaya saudara dapat menjayakan apa yang dinamakan revolusi desa yang saya lancarkan sewaktu bertugas di Kementerian Pembangunan Negara dahulu.

GUNA SIMEN

Jalan raya sudah mula dibuat dengan menggunakan simen, tentunya ada antara saudara-saudara kita di kampung sudah pandai menggaul simen. Apabila kita sudah pandai menggaul simen kita boleh buat rumah sendiri daripada simen maka dengan sendirinya rumah kita tahan seratus tahun.

Sekarang rumah orang Melayu cuma tahan 20 hingga 30 tahun, itu sebabnya orang Melayu tidak kenal moyangnya, Cuma setakat mengenal datuk dan neneknya sahaja. Datuk nenek bapanya mereka tidak kenal sebab rumah datuk nenek bapanya sudah tinggal tapak sahaja.

Sebaliknya, kalau kita tanya orang keturunan Cina, mereka tahu nama moyangnya hingga tujuh dan lapan keturunan yang lalu.

Saya dengar riuh rendah tadi mengenai penerapan nilai-nilai Islam, semua berminat belajar menulis tulisan Jawi, tapi saya tak dengar sedikitpun orang riuh rendah bercerita tentang kisah malam tadi, kisah Hang Jebat berasmara di tengah khalayak ramai.

Sebenarnya ini bukan salah jawatankuasa, skrip Matinya Seorang Pahlawan saya yang luluskan. Bahagian humour ini tidak ada dalam skrip.

Bertumbuk, hingar, bising, buka baju itu semua tidak ada dalam skrip yang saya luluskan dan latihan pun tidak teruk seperti itu, jadi jawatankuasa yang tonton pun dia tonton tidak seteruk itu. Tapi malam tadi memanglah kita lihat lebih daripada biasa. Kalau itulah yang dinamakan peningkatan perfileman Melayu, saya cadang diturunkan setingkat.

Peristiwa malam tadi adalah satu contoh yang kita tidak perlu lakukan. Dalam hal ini, saya sebagai Presiden MAYC ingin menjelaskan sedikit kepada saudara tentang pengertian ‘kotor’.

Apa erti kotor?

Saya selalu bersyarah dalam mesyuarat MAYC. Kotor itu umpama najis di dalam perut, kotor bukan? Apabila ingin bershalat, kita perlu bersihkannya. Apabila kita keluarkan najis kita, kita bubuh di atas kepala, bolehkah kita bershalat dalam keadaan begitu? Tidak boleh, mengapa? Najis itu tempatnya di dalam perut sekarang di atas kepala.

Najis di atas kepala dikatakan kotor, najis di dalam perut dikatakan tidak kotor.

Mengapa?

Kerana perut itu tempat najis, atas kepala bukan tempat najis.

Begitu juga jika kita ke Padang Kelab Selangor. Kita lihat rumput yang cantik menghijau, kita kata, “Wah! Padang Kelab Selangor begitu indah dan cantik”.

Kita ambil rumput di atas Padang Kelab Selangor, kita bubuh dalam pinggan kita, bersih atau kotor? Kotor, pinggan itu kotor jadinya. Kecoh dibuatnya jika perkara ini berlaku dalam majlis jamuan makan, bagaimana boleh berlaku sampai rumput ada dalam pinggan.

Apakah sebabnya?

Sebab meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, salah tempat. Rumput tempatnya di padang bukan dalam pinggan.

Begitu juga kuah, kalu tumpah di atas nasi, kita kata nasi itu tak kotor, malah membangkitkan selera. Tetapi jika kuah tumpah ke baju, kita kata baju itu kotor! Kotor?

Mengapa?

Sebab nasi memang tempat letaknya kuah, baju bukan tempat kuah.

KONSEP KOTOR

Yang dikatakan kotor itu kerana salah tempatnya diletakkan sesuatu. Itu saja. Salah tempat. Sama halnya dengan orang bermain bola. Jika bermain bola di atas padang memanglah bagus. Tetapi cuba bermain bola di tempat tidur, apa jadinya? Itu kerja orang pengotor! Satu contoh lagi, majlis akad nikah diadakan di rumah. Betul atau tidak betul?

Betul.

Tetapi kalau orang adakan majlis akad nikah di atas padang bola, tentulah tidak betul! Itu kerja orang kurang siuman dan pengotor. Ada perkara kita lakukan di dalam bilik bukannya di atas padang. Ada perkara kita yang lakukan di dalam bilik dan tidak kita lakukan di atas pentas.

Ini kali pertama kita adaakan persembahan di dalam Dewan Besar PKBM ini. Saudara pulang ke tempat saudara dan beritahu seluruh rakyat Malaysia bahawa kita sudah ada Kompleks MAYC.

Jangan kita tengok pada keindahan bangunan ini kita rasa masalah sudah selesai tetapi sebenarnya hutang kita masih banyak.

Kalau saudara mengatur rombongan melawat Kuala Lumpur, kita boleh beri diskaun untuk kelab, dan kelab boleh cari duit, kongsi dengan MAYC. Kelab dapat duit, kita pun dapat duit. Oleh itu bawalah rombongan melihat Kuala Lumpur dari kawasan masing-masing.

Saya fikir program ini akan segera berjaya dan juga dapat mempromosi MAYC. Saya juga akan menganjurkan tayangan filem di sini supaya pengunjung Kompleks akan dapat melihat filem yang akan menjelaskan peranan MAYC dan perkembangan MAYC sebagai pertubuhan yang semakin hebat.

Saya ucapkan terima kasih kepada ahli MAYC kerana sepanjang tempoh saya menjadi Setiausaha Agung UMNO, MAYC telah berjaya melalui dua, tiga kemelut besar.

Pertama kemelut perlembagaan dan sepanjang kemelut ini sudah mendapat sokongan yang bulat daripada semua ahli MAYC, tidak kira sama ada mereka faham atau tidak kemelut sebenarnya.

Kemudian saya terpaksa mendaftar semula 3 hingga 4 ribu cawangan UMNO, ini juga berjaya dilalui dengan selamat.

Kemudian saya telah melalui kemelut gugurnya satu M daripada dua M. Saya berasa bangga kerana ahli MAYC bulat berdiri di belakng saya dan faham bahawa Presiden saudara bukanlah busuk sifatnya.

Saya hidup sekeluarga secara sederhana dan sunyi. Walaupun saya berada di tengah-tengah gelanggang, berada di tengah-tengah orang ramai, kadangkala berucap di hadapan 1,000 orang, 5,000 orang, 10,000 orang, tetapi hidup saya tetap seperti biasa, ringkas dan sederhana.

Pada masa lapang saya berada di rumah bersama keluarga, pada waktu lain saya berada di tengah-tengah masyarakat.

HIDUP DI JALAN ALLAH

Tidak ada dalam kamus hidup saya, menganiaya orang ini, menganiaya orang itu, hidup ini terlalu singkat.

This life is damn challenging but this is the only life we have with us. Memang hidup di dunia ini banyak getir dan cabarannya tetapi inilah sahaja hidup yang ada pada kita.

Oleh itu, tidak ada sebab mengapa Presiden MAYC, ahli-ahli Exco MAYC, ahli MAYC perlu melalui hidup yang singkat ini dengan perasaan duka cita.

Keluarlah dari dewan ini, ketepikanlah perasaan gundah dan resah. Benamkanlah dalam-dalam perasaan sedih perasaan tumpul harapan. Saudara ceburkan diri dalam masyarakat dan jadilah pemimpin yang tersohor.

0 comments

Post a Comment