ISIKAN CINTA DI HATI

Posted by mayc_pkbm | 2:56 AM | 0 comments »


Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32, 1986.

Bagi pihak ahli jawatankuasa MAYC, saya mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Perdana Menteri dan Datin Seri ke majlis bersejarah ini.

PEJUANG BANGSA

Sebagai pemimpin veteran MAYC, Y. A. B. tentu gembira datang ke sini dan pada mulanya kami ingin menyenandungkan lagu ‘Baby Come Home’ untuk menyambut kehadiran Datin Seri. Dan kehadiran Y. A. B. Datuk Seri dan Datin Seri ke majlis pada pagi Ahad ini sungguh membanggakan semua ahli.

Kami terpaksa membataskan kehadiran perwakilan kepada 1,400 daripada 250,000 ahli MAYC yang berdaftar di dalam komputer untuk mengurangkan kesesakan tempat duduk. Walau bagaimanapun, rakaman ucapan ini akan diedarkan ke seluruh negara untuk tatapan ahli.

Dahulunya ahli MAYC berasa bangga dengan kewujudan Wisma Belia. Walaupun Wisma Belia tidak sehebat Wisma Tunku tetapi nilai kos binaan pada masa itu jika dibandingkan dengan nilaian sekarang, nilainya setara, mungkin lebih tinggi kerana usaha untuk mendapatkan wang 1 juta ringgit pada tahun 60-an lebih sukar daripada mencari wang 10 juta pada tahun 1985/1986. Alhamdulillah sekarang MAYC sudah ada dewan ini, Dewan Besar PKBM.

MAYC juga sudah mendirikan Wisma Tunku sebagai tanda ingatan generasi muda kepada jasa pemimpin lalu. Ibu pejabat MAYC sebelum wujudnya Wisma Belia sudah kita jadikan surau. Kita namakan gabungan struktur-struktur ini sebagai Kompleks MAYC.

JASA TIDAK DILUPAKAN

Sebagai Presiden MAYC, saya memberi jaminan kepada Presiden UMNO bahawa kita tidak akan saingi Pusat Dagangan Dunia Putra. Ahli MAYC juga berasa gembira dengan kehadiran ketiga-tiga bekas presiden yang sama-sama berada di atas pentas pada hari ini.

Walaupun bekas-bekas presiden MAYC sudah lama meninggalkan pentas kepimpinan MAYC, jasa tuan-tuan tidak pernah kami lupakan. Catatan perkembangan MAYC dari mula lagi menjadi bahan rujukan dan sumber inspirasi bagi kita semua. Tuan-tuan sekalian laksana bintang di langit sentiasa menjadi pedoman kepada organisasi ini.

Pendek kata setiap masa, sebelum kami mengorak langkah mengerjakan sesuatu kami perlu memikirkan apa kata presiden-presiden yang lalu.

Tanpa asas yang kukuh pada masa silam, MAYC tidak mungkin sampai ke tahapnya masa kini.
Semenjak rancangan menubuhkan MAYC yang bermula pada tahun 1953 dan pendaftarannya selesai pada 23 Januari 1954, MAYC telah berkembang sehingga mempunyai sebanyak 17 kelab gabungan pada tahun 1956; 120 kelab gabungan pada tahun 1959; 804 kelab gabungan pada tahun 1973; dan 1.351 kelab gabungan pada tahun 1986.

Untuk makluman Datuk Seri, MAYC merupakan satu-satunya organisasi yang padu, mantap dan berdiri teguh di belakang, di hadapan, di kiri dan di kanan Datuk Seri dalam menghadapi sebarang kemelut, kemelut perlembagaan dan kemelut 2M gugur satu.

Ahli MAYC di semua peringkat menyokong segala tindakan Y. A. B. Walaupun kadang-kadang mereka tidak tahu sebab-sebabnya Y. A. B. mengambil sesuatu tindakan itu.

Mereka bersikap sedemikian kerana yakin Y. A. B. Datuk Seri tidak akan mendurhakai cita-cita bangsa dan negara.

Mereka kenal Y. A. B. Datuk Seri, perjuangan Datuk Seri dan menganggap Datuk Seri sebagai sebahagian daripada sejarah mereka sendiri. Saya dan ahli-ahli jawatankuasa juga berasa gembira atas kesudian Datuk Pairin dan Datin.

Pada waktu Datuk Pairin belum menjadi Ketua Menteri Sabah, MAYC telah menghubungi Kerajaan Sabah dan Sarawak dan bercadang untuk menghasilkan projek Wisma Tunku sebagai projek bersama SANYA, SEBERKAS, dan MAYC di Semenanjung.

Gabungan tenaga dan sumber tiga organisasi ini dijangkakan dapat mewujudkan asrama belia di Kota Kinabalu, Kucing dan Pulau Pinang di atas tanah yang sudah dijanjikan beberapa tahun dahulu walaupun belum diberikan lagi.

INTEGRASI KAUM

Gabungan usaha ini akan membantu proses integrasi nasional dan keperluan akan wujud nanti apabila Feri Malaysia dilancarkan pada 31 Ogos 1986 nanti.

Hubungan MAYC dengan Sabah dan Sarawak telahpun wujud sebelum Sabah dan Sarawak turut merdeka dalam Malaysia. Hubungan ini perlu dijalinkan kembali dan diperkukuh.

Y. A. B. Datuk Seri,

Setelah terwujudnya Kompleks MAYC ini, perhatian MAYC terus ditumpukan kepada rancangan jangka panjangnya untuk membangunkan mental, jasad dan rohani ahli, singkatnya MENJARO.

Dengan pembangunan Men-Mental, Ja-Jasad dan Ro-Rohani, kami yakin dapat membekalkan Negara dengan pemimpin-pemimpin di semua peringkat, semoga prestasi mereka dalam bidang politik, ekonomi dan masyarakat atau singkatnya POLEMAS akan meningkat.

Dalam pilihan raya yang baru lalu, seorang yang telah dilatih oleh MAYC dalam bidang sukan dan bukan politik telah dilantik sebagai calon Barisan Nasional, beliau kandas dan perlu dilatih semula.

Ramai pemimpin MAYC berjaya dalam bidang politik, ramai juga yang sudah menjadi kaya-raya dalam bidang ekonomi dan profesional seperti yang ada di atas pentas ini dan di kalangan dif yang hadir.

TAHUN MENEMPUH BAHAYA

Presiden pertama MAYC adalah contoh pemimpin masyarakat yang dihormati, sanggup meninggalkan negara dan agama asalnya untuk berada bersama-sama kita di sini. Kita perlu mencontohi pengorbanan dan kegigihan beliau.

Tradisi membela rakyat dengan cara membekalkan pemimpin-peminpin di semua peringkat secara berterusan adalah amalan MAYC, MAYC mendukung cita-cita mewujudkan bangsa tegas supaya negara kukuh.

MAYC pada permulaan kepimpinan saya pernah dianggap sebagai sebuah organisasi antikerajaan. Maka tahun 1971, 1972  kami namakan tahun-tahun menempuh bahaya. Syukur Alhamdulillah selepas itu kita lihat pemimpin-pemimpin MAYC sudah bersama-sama dalam kerajaan.

Maka tahun-tahun 1973, 1974, 1975 kita namakan tahun-tahun menikmati projek. Setelah itu rata-rata di seluruh negara kita lihat pemimpin gugur satu demi satu. Ada yang meninggal kerana tua, ada yang meninggal kerana sakit, ada yang meninggal kerana kemalangan, ada yang meninggal di luar negara, ada yang meninggal dalam negara, ada yang tumpas di angkasa. Maka pada tahun 1976, 1977 kita namakan tahun-tahun kursus kepimpinan.

Kerana dalam merasai kekosongan, kerana kekurangan pemimpin ataupun kehilangan pemimpin, MAYC rasa bertanggungjawab untuk turut melatih pemimpin di semua peringkat.

Kemudian kita lihat pada tahun 1978 setelah berlakunya keadaan yang begitu sengit di dalam negara, apabila puak satu-satu kaum berselisih sesama sendiri, apabila kita melihat negara dalam keadaan berpecah-belah, maka MAYC telah menyenandungkan slogan perpaduan “bersatu untuk semua”.

Dalam usaha ini MAYC melihat bahawa masyarakat rata-rata sudah kurang mengenang budi orang tua-tua, rata-rata orang tidak mengenang budi mereka yang sudah berbudi dan berjasa. Dalam pilihan raya rakyat berbudi memilih kerajaan, maka setelah pilihan raya kerajaan mengenang dan membalas budi rakyat dengan membantu mereka.

Segala bantuan sepanjang zaman sejak merdeka telah dilupai kerana kempen sengit pilihan raya tahun 1978. Maka tahun 1978, 1979, 1980 kita namakan tahun-tahun menghayati sejarah kerana dengan kembalinya kita kepada sejarah maka kita akan menjadi bangsa yang berbudi dan berbahasa.

Dari tahun 1981 dan seterusnya, sementara presiden MAYC bersiap untuk bersara, kita perlu menentukan satu program jangka panjang yang tidak mungkin selesai, maka kita namakan program untuk tahun 80-an sebagai ‘The Romances of MAYC’ atau ‘The Three Romances of MAYC’ ataupun Tiga Romantika MAYC.

Romantika satu merupakan kenyataan daripada hasrat MAYC untuk mewujudkan satu kompleks raksasa di tengah kota raya, maka sementara kita membeli rumah sebelah, kita sudah berunding dengan tuan rumah sebelah lagi dan kita sudah berunding dengan Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan geran 34,000 kaki persegi di sebelah sana.

Mudah-mudahan Menteri yang mengambil tempat menguasai bidang-bidang kuasa tertentu nanti bersimpati dengan kita di sini. Tentang duit, kita tidak akan mengalami masalah kerana pada musim kemelesatan ekonomi, sementara faedah di bank tidak melebihi 8%, sebagai bekas pegawai bank, saya fikir inilah waktu untuk meminjam asalkan bank tidak menuntut pokok, faedah beres.

Romantika yang pertama MAYC ataupun romantika satu sudah hampir selesai dan kita bersyukur kepada Allah kerana kita berjaya mendirikan Kompleks MAYC sebagai pelengkap kepada usaha pimpinan lama yang telah mewariskan kita Wisma Belia. Wisma Belia inilah laksana lembu yang kita perah susunya untuk membiayai projek-projek seterusnya.

Romantika dua ialah mendirikan kompleks sukan di tengah-tengah hutan belantara. Usaha ini sedang kita laksanakan, duit sudah ada, Cuma tanah yang sesuai sahaja belum dikesan. Dalam hal ini bantuan kerajaan belum lagi diperlukan.

Romantika ketiga ialah mendirikan kompleks belia di Pulau Mutiara, iaitu di Pulau Pinang. Saya mewarisi daripada Tunku Abdullah dan Tuan Syed Ahmad sekeping tanah di Jalan Waterfall Garden yang kebetulan itu tanah T. O. L. Setelah berpuluh tahun kita miliki tanah itu, kita disuruh keluar.

Saya telah menulis surat menyatakan bahawa Sultan Kedah juga tidak menyerahkan Pulau Pinang secara bulat-bulat kepada British, tetapi Pulau Pinang sudah wujud sebagai sebuah negeri yang kekal, apa salahnya tanah T. O. L. itu juga dibuat begitu?

Alhamdulillah Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menawarkan sekeping tanah sebagi ganti. Tawaran ini telah disampaikan kepada Perdana Menteri. Malangnya tanah yang diberi ialah tanah tempat didirikan Jambatan Pulau Pinang dan tanah ini diberikan kepada kita setelah diketahui jambatan akan dibina.

Saya berharap dengan simpati Y. A. B. dan Ketua Menteri Pulau Pinang tercapailah hasrat dan cita-cita kita untuk mendirikan asrama belia bukan saja untuk MAYC tetapi juga untuk SANYA dan SABERKAS nanti. Maka wujudlah Kompleks Romantika Tiga di Pulau Mutiara.

PEMBINAAN WATAK

Pada kesempatan ini saya ingin menyatakan bahawa MAYC dalam usahanya untuk membangunkan belia sentiasa mementingkan pembinaan watak daripada pembinaan material. Pembangunan Kompleks MAYC ini tidak mungkin wujud kalau tidak dengan watak-watak belia MAYC yang meyakinkan selama ini dan Insya Allah kita akan mewujudkan belia dan beliawanis yang berbudi dan berbahasa, yang tegas dan teguh semangat, yang memiliki cita-cita murni, yang berusaha gigih untuk mengikis perasaan hasad dengki dan untuk memupuk cita-cita besar kerana kita bersaing bukan sesama belia di negara ini.

MAYC telah menolak hasrat untuk bersaing sesama belia di negara ini kerana MAYC hanya mahu bersaing dengan belia Jepun, belia Korea, belia Taiwan, belia Perancis, belia Amerika Syarikat, belia Jerman dan belia seluruh dunia.

Apabila sudut pandangan dan persepsi dikembangkan, yakni dibawa ke arah perspektif yang lebih luas dan lebih besar, maka jiwa akan menjadi besar, dan cita-cita dan hasrat tidak menjadi cetek lagi. Dalam usaha ini, MAYC sentiasa memupuk semangat. Sementara itu, MAYC juga mengajak ahli-ahlinya supaya meningkatkan diri dalam pencapaian ilmu pengetahuan.

Pada setiap mesyuarat agung, kita membakar semangat ahli MAYC, kita menyemarakkan jiwa ahli MAYC semoga dalam setiap sudut yang terluang di hati ahli MAYC terisi cinta kepada agama, bangsa dan tanah air. Apabila sudut-sudut yang terluang di setiap hati anak bangsa sudah terisi dengan perasaan cinta kepada agama, bangsa dan tanah air, maka individu yang tadinya lesu akan menjadi insan yang positif, optimis dan bersemarak jiwanya untuk memajukan negara serta membela maruah bangsa.

PUNTUNG YANG MEMBARA

Puntung-puntung yang belum dibakar dengan perasaan cinta kepada agama, bangsa dan tanah air, dan puntung-puntung yang lembab basah apabila diisi dengan perasaan cinta kepada agama, bangsa dan tanah air, pastinya akan membara. Puntung yang membara ini apabila disatukan dan dihembuskan tentunya akan menyala-nyala dengan bersemarak.

Di situlah letaknya harapan bangsa.

Apabila bercakap mengenai belia, kita bercakap mengenai masa depan.

Saya yakin penuh bahawa pada tahun 2986, tamadun masa itu akan melihat kembali pada akhir-akhir abad ke 20-an sebagai zaman bermulanya kegemilangan bangsa dan negara. Itulah sebabnya kita menyambut mandat kemenangan Barisan Nasional baru-baru ini dengan penuh rasa gembira dan kita berharap kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi Kerajaan yang tidak pernah gentar, tidak kenal takut untuk memperjuangkan usaha-usaha ke arah membangunkan dan merealisasikan hasrat negara yang nikmatnya kini telahpun mula dirasai dan disyukuri oleh semua lapisan rakyat.

Untuk itu, ahli MAYC diajar supaya berbudi dan mengenang budi, berbahasa.

Ahli MAYC diajar memupuk semangat untuk cinta sesama kita. Kita suka melihat setiap orang berjaya dalam bidang politik. Ahli MAYC suka melihat setiap orang berjaya dalam masyarakat.

Kita tidak akan melayani perasaan hasad dengki apabila melihat kemajuan orang lain ataupun kemajuan sesama kita. Kita hanya akan melayani mereka yang berfikiran terbuka kerana masih terlalu banyak ruang untuk kita mencipta kegemilangan. Justeru, terokailah dan isikanlah ruang-ruang yang masih kosong itu dengan segala usaha positif ke arah memajukan diri, bangsa dan negara.

0 comments

Post a Comment