JADILAH MANUSIA BERTANGGUNG-JAWAB

Posted by mayc_pkbm | 9:25 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-31, 1985.

Saya rasa para perwakilan bersetuju dengan saya bahawa pada tahun ini kita mempunyai pengerusi majlis yang cekap. Oleh itu kita berikan tepukan kepada beliau dan saya bagi pihak MAYC mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau yang menunjukkan kebolehan memimpin mesyuarat MAYC pada hari ini.

Memanglah kita tidak sedar bahawa perjumpaan ini telah berjalan lancar kerana kebolehan orang yang memimpin, tetapi jika perjumpaan ini tersalah pimpin, maka ia akan menjadi huru-hara. Pemimpin yang berucap dalam ucapan penangguhan sudah bertambah baik mutu ucapannya.

Bagaimanakah caranya saya menghayati akan pentingnya mesyuarat agung?

Saya menganggap mesyuarat agung satu acara yang penting sebagai pesta atau satu upacara kemuncak bagi sesuatu pertubuhan. Saya meminta kepada seluruh ahli MAYC yang tidak terpilih menjadi wakil sekalipun supaya hadir dalam mesyuarat agung MAYC. Mereka boleh hadir sebagai pemerhati.

Ahli MAYC yang veteran atau ahli MAYC yang tidak aktif, mereka dipersilakan untuk hadir sebagai pemerhati.

Saya bersetuju dengan saranan wakil Perlis dan wakil Kedah. Dan saya amat tertarik dengan kenyataan pemimpin Kedah supaya kita dalam MAYC ini biarlah jatuh tertiarap, misai jangan kena tanah.

Saya rasa terkejut apabila wakil dari Pulau Pinang bercerita mengenai isu ‘meninggal’. Saya berharap beliau cuma meninggalkan MAYC, jangan meninggal dunia kerana doa para perwakilan ini makbul. Perwakilan dari Kedah jika pergi ke Pulau Pinang jangan cuma pergi melihat kera di Taman Bunga sahaja. Pergilah bertemu dengan orang MAYC di sana. Sebagaimana yang saya dengar tadi MAYC Perak ada melawat Melaka. Bagus usaha itu. Saya ingin melihat lebih banyak lagi interaksi antara MAYC negeri.

Sekarang sudah ada banyak rombongan. Jika kita bercakap mengenai lawatan ke luar negara, sesetengah ahli MAYC lebih arif tentang kota Medan daripada Terengganu dan negeri lain di negara sendiri.

Baru-baru ini kita telah menjual saham kita dalam Tugu Insurance. Kita memperoleh untung RM2.7 juta. Dengan itu, MAYC tiada lagi memiliki saham dalam Tugu Insurance. Sebagaimana saudara tahu, kita jual tanpa modal satu senpun, tetapi setelah menjualnya, sekarang kita untung RM2.7 juta. Wang kita gunakan untuk membayar sebahagian daripada projek Wisma Tunku.

JAMBATAN PERTAMA

Satu lagi pencapaian MAYC ialah walaupun pembinaan Wisma Tunku menelan belanja RM9.4 juta, sekarang ini nampaknya SANYA, iaitu Kelab Belia Sabah dan SABERKAS (Kelab Belia Sarawak) sudah setuju masing-masing memberikan sumbangan RM 4 juta. Ini bermakna bangunan itu kita dapat percuma dan tidak ada hutang. Kita mempunyai RM2.7 juta sekarang, ada RM10.7 juta maka selesailah hutang kita. Dan segala pendapatan Wisma Belia kita peroleh sebagai keuntungan.

Bagi Wisma Tunku pula, disebabkan kita mendapat sumbangan daripada Sabah dan Sarawak selama 30 tahun, kita dapat 5 % daripada pendapatan, dan Sabah dan Sarawak masing-masing mendapat 25 %.

Lebih baik kita lakukan cara ini. Kita peroleh keuntungan lebih 60 % hingga setakat ini jika kita bekerjasama dengan Sabah dan Sarawak. Bermakna sudah ada jambatan pertama dalam proses integrasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Cita-cita ini tidak tercapai oleh Majelis Belia Malaysia dan mana-mana pertubuhan belia di negara ini.

Pada mesyuarat agung tahun hadapan, kita akan adakan solat subuh berjamaah di atas padang sebagai menyahut saranan dari Terengganu. Kita adakan kuliah subuh dan Insya Allah saya sendiri akan turut serta mendengar kuliah subuh pada tahun hadapan.

Saya memang bersetuju dengan cadangan wakil Pahang mengenai orang lama. Saya berasa seronok apabila melihat saudara Arshad ada bersama. Walaupun pada tahun-tahun lepas saya berasa sedih. Orang veteran telah mula meninggalkan MAYC tetapi kembalinya saudara Arshad ke dalam MAYC Pahang bersama kawan-kawan yang lain, maka dengan sendirinya MAYC Malaysia akan bertambah kukuh.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepasa saudara Supian. Beliau tokoh yang sungguh matang dan memahami hakikat bahawa teguran saya mengandungi hikmah.

Saya bersetuju dengan teguran beliau mengenai pentadbiran MAYC. Kita perlu perkemaskannya. Pentadbiran MAYC perlu mematuhi sistem perlembagaan dengan betul supaya tidak mendatangkan kesulitan pada masa hadapan.

Saya amat bersetuju cawangan baru MAYC ditubuhkan. Saya fikir kita perlu ada satu skim bantuan kewangan bagi mempertingkat penubuhan cawangan.

Kita perlu ada satu perbincangan dengan semua kaum bukan Melayu dalam MAYC untuk memikirkan bagaimana menarik orang bukan Melayu beramai-beramai menyertai MAYC. Kita hidup bersama Cina dan India. Oleh itu kita perlu mengenal mereka dengan lebih dekat lagi.

Kita akan merasmikan Wisma Tunku tidak lama lagi dan saya berharap setiap negeri akan menghantar wakil. Dewan kita boleh menampung kira-kira 500 orang. Sekiranya ahli MAYC duduk rapat-rapat, boleh mencecah hingga angka 1000 orang. Untuk makluman, kita bercadang membeli sekeping tanah di belakang Wisma Tunku. Insya Allah dalam bulan ini.

Saya ucapkan terima kasih kepada wakil Negeri Sembilan yang meminta saya agar terus bertanding pada tahun hadapan. Sekiranya saya berhenti persatuan ini haru-biru, ramai yang mahu merebut jawatan.

POLITIK ANTARABANGSA

Mengenai orang yang menentang kerajaan dan bertelingkah sesama sendiri yang ditimbulkan oleh MAYC Selangor dan Negeri Sembilan, saya rasa ada eloknya saya kemukakan senario politik antarabangsa. India sekarang ini bermusuhan dengan China. China dengan Rusia pula musuh ketat. India bermusuh dengan Pakistan. Maka India dan Rusia membuat perjanjian supaya Rusia bermusuh dengan Pakistan. Jikalau Rusia tidak mahu maka India tidak mahu bersekutu dengan Rusia. Jadi Rusia terpaksalah bermusuh dengan Pakistan. Maka berkelahilah mereka.

Apabila Pakistan berkelahi dengan Rusia, Iran berkawan baik dengan Amerika dan berbaik dengan Rusia. Iran pula bermusuh dengan Iraq. Inilah politik antarabangsa yang MAYC perlu ambil tahu.

Tidak lama lagi ada satu kelompok terdiri daripada Pakistan, Iran dan Amerika. Satu kelompok Iraq, India dan Rusia. Satu kelompok lagi China dengan Pakistan.

India takut Pakistan sebab Amerika bekal senjata kepada Pakistan. India latih satu gerakan Islam yang dinamakan Gerakan Tabligh. Gerakan tabligh yang bermula di India ini adalah yang mula-mula memberi kesedaran kepada India sendiri.

Jika kita suka kepada keadaan berpecah-belah dan bertelingkah sesama sendiri, maka risikonya amatlah besar. Pertaruhannya ialah keamanan dan kestabilan negara. Ancaman luar sentiasa mengintai dan menunggu peluang untuk menakluki kita dengan pelbagai cara, sama ada secara penjajahan ekonomi, budaya, politik, malah melalui kekuatan ketenteraan.

Baru-baru ini ada perjumpaan antara Majlis Belia Malaysia dengan Belia Glasgow di Kementerian Luar Malaysia. Untuk makluman, saya telah bercakap selama tiga jam baru mereka faham selok-belok sejarah gerakan belia di sini.

Saya ingin mengumumkan bahawa mesyuarat agung tahun hadapan akan diadakan di Terengganu dan saya difahamkan Datuk Wan Mukhtar, Ahli Majlis Penasihat kita akan membiayai seluruh perbelanjaan mesyuarat itu.

Saya ucapkan terima kasih kepada Kelantan walaupun tidak banyak cerita tetapi penuh dengan kekaguman.

Bukan tujuan saya mengharapkan penjelasan, tetapi ada perkara yang pemimpin perlu tahu atau perkara yang kita harus fikir.

Justeru, dalam mesyuarat agung begini saya mengambil kesempatan, sewaktu berucap pada majlis perasmian, waktu membentang usul dan waktu menjawab ucapan-ucapan penangguhan.

Saya memahami semua hujah yang dikemukakan. Tujuan kita dalam MAYC yang penting antaranya ialah mengembalikan semangat persaudaraan sesudah bertanding. Kalau MAYC tidak ada salah faham, maka tidak adalah kemelut. Bagaimanapun kita ada semangat kekeluargaan, semangat persaudaraan.

MASIH ADA KEKURANGAN

Sudah 10 tahun saya memimpin MAYC, masih ada kekurangan dalam MAYC. Kekurangan yang ada dalam MAYC ini disebabkan banyak sangat biro. Sesetengah biro tidak buat kerja, ada biro yang buat kerja sampai tidak ada yang hendak berhenti. Itulah sebabnya saya ada rancangan untuk mengecilkan biro.

Sekarang saya cuba tumpukan kepada lima biro sahaja. Biro Ekonomi, Biro Pelajaran, Biro Latihan, Biro Sukan dan Biro Tugas-tugas Khas. Daripada biro-biro itu saya nampak kepimpinan MAYC bergerak.

Saya akan menghasilkan satu karangan mengenai pengalaman saya sepanjang memimpin MAYC supaya saudara dapat idea, perubahan idea dari semasa ke semasa untuk dijadikan bahan rujukan.

Kita akan adakan kursus, kursus ini hanya boleh dihadiri oleh kelab gabungan yang mengadakan Mesyuarat Agung sahaja.

Kita mahu MAYC mengemaskinikan semua rekod di kelab, rekod di cawangan daerah dan rekod di negeri-negeri supayta nama saudara ada dalam sejarah MAYC. Kursus di peringkat kebangsaan sudah ada 200 orang. Sekarang kita turun dari atas ke bawah. Pada tahun hadapan kita akan belanja RM100,000 lagi untuk mengadakan kursus sampai ke peringkat bawah.

Saya memohon sedikit masa untuk mengatakan bahawa sebagai pemimpin, saya perlu membuat keputusan yang saudara akan merasai perbezaannya. Apabila saudara memimpin kelab gabungan, apabila saudara menjadi bendahari, menjadi setiausaha, menjadi ahli jawatankuasa, saudara akan sedar bahawa saudara sudah menjadi manusia bertanggungjawab. Langkah pertama ialah saudara perlu berfikir sebagai pemimpin, saudara perlu menyediakan kertas kerja.

Apabila orang lain berseronok, saudara terketar-ketar sendirian. Apabila orang lain berucap, saudara terpaksa mendengar. Apabila orang lain berkata macam-macam tentang saudara, saudara terpaksa menerimanya dengan tabah.

Pendek kata apabila saudara telah menerima jawatan di kelab-kelab gabungan, di cawangan-cawangan daerah, sebagai bendahari, sebagai setiausaha ataupun di peringkat negeri atau di peringkat kebangsaan, saudara perlu ingat bahawa saudara sudah berbeza, bukan seperti dahulu lagi. Maka saudara tidak akan gelisah kerana saudara kini lebih yakin.

Saudara perlu berani mengutarakan pendapat. Sebagaimana tadi kita dapat lihat berbagai-bagai pendapat dikemukakan, maka saudara perlu menjawabnya, perlu tangani semuanya. Kita perlu mendengar pendapat walaupun pendapat itu salah, kita perlu catat.

Ini semua menunjukkan kekayaan kita, kekayaan kita dari segi mengeluarkan pendapat, iaitu satu tradisi yang wujud dalam MAYC.

Perkara penting yang saudara harus lakukan sekarang ialah dalam setiap mesyuarat saudara perlu lakukan secara bersistem. Setiap kali bahagian negeri mengadakan mesyuarat pastikan agenda 4 dibentangkan.

Akhir sekali yang penting saudara perlu memberikan perhatian kepada diri saudara sebagai pemimpin. Sebagai pemimpin seperti yang saya katakan tadi, saudara berbeza daripada orang lain.

Oleh sebab saudara sudah berbeza maka saudara mesti menghidupkan semangat. Saudara memimpin MAYC perlu menganggap bahwa kesediaan memegang tampuk jawatan ini sebagai suatu perkara yang serius. Saudara jangan bekerja sambil lewa, dan dalam apa-apa pertubuhan lain yang saudara turut terlibat, saudara perlu kelihatan cergas dan berkaliber.

PENCUCI KASUT

Saudara perlu tenang, dalam keadaan apapun saudara perlu tenang. Ilmu sahaja tidak memadai, kita perlu bersikap tenang. Apa sahaja cabaran disambut dengan tenang.

Saya ada satu cerita. Semasa berada di Los Angeles, saya mendapat khidmat cuci kasut daripada seorang bangsa kulit hitam. Sewaktu dia mencuci kasut saya, dia menyanyikan lagu rock ‘n’ roll. Dia bekerja dengan penuh semangat sambil menyayi-nyanyi. Saya melihat gelagat dia dengan penuh minat. Semenjak itu saya sering mengulanginya bersama anak-anak saya untuk mencuci kasut. Dia tetap seperti selalu, menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh semangat padahal kerjanya hanya mencuci kasut.

Lalu saya bertanya kepadanya, “Hello Sir, what shall I call you?”. Dia menjawab ringkas, “Just call me John”. Saya katakan kepadanya, “I admire the way you attend to your job, it is so fantastic!”

Dia menjawab, “Yes I like this job. I have been enjoying this since 30 years ago!”.

Dia cuci kasut Presiden Reagan, dia cuci kasut Presiden Wilson, dia pernah cuci kasut Presiden Kennedy, dia pernah cuci kasut Presiden Nixon. Begitu hebat pengalamannya mencuci kasut.

Kita lain pula halnya, apabila bertemu budak Melayu cuci kasut di tepi jalan, kita tanya awak tak cari kerja lainkah? Apa salahnya kita beri galakan kepadanya untuk meningkat dalam bidang itu pada masa hadapan, sebagai contoh, mengambil tender membuat, membaiki pulih dan mengkilatkan kasut anggota pasukan keselamatan yang saya rasa nilainya berjuta-juta ringgit.

Yang penting, kita usahakan sesuatu itu bersungguh-sungguh hingga mencapai tahap yang membanggakan. Contoh, kalau saudara seorang pengamal perubatan tradisional, jadilah pengamal perubatan tradisional yang berjaya. Saudara boleh mengusahakan ladang herba ubat-ubatan yang mempunyai potensi pasaran eksport. Atau saudara boleh mengusahakan kilang pengeluaran ubat-ubatan tradisional.

Kalau saudara seorang tukang gunting rambut, jadilah tukang gunting rambut terkenal, style gunting saudara mestilah elok. Apabila pegang kepala orang bacalah Bismillah, pasang cermin besar dan bergilap selalu, tempatnya tidak berhabuk dan letakkan papan tanda “Tukang Gunting Terkemuka di Melaka”, “Tukang Gunting Terkemuka Pulau Pinang”.

Begitu juga halnya apabila kita ingin membuka restoran. Masaklah berbagai-bagai jenis makanan. Janganlah lauk sejenis sahaja dan pastikan masakan kita adalah yang tersedap.

Sebagai pemimpin saudara perlu ada semangat, dan ciri terakhir sekali, pemimpin perlu memiliki ‘ketokohan’, dan watak pemimpin. Kita semua juga harus menerima hakikat bahwa kita akan lebih banyak berfikir. Semakin tinggi kedudukan kita dalam masyarakat, semakin banyak masa kita gunakan untuk berfikir. Waktu kita duduk di peringkat bawah, memang segala perkara kita rasakan senang dibuat.

Tetapi apabila kita sudah menjadi jawatankuasa, kita bermenung dan memikirkan apakah yang kita perlu lakukan. Memimpin peringkat cawangan daerah lebih berat tugas dan tanggungjawab, di peringkat negeri lagi berat. Apatah lagi di peringkat nasional lebih-lebih lagi beratnya.

Samalah keadaannya dengan saya yang menjadi presiden MAYC. Untuk makluman saudara, banyak ‘lonely moments in my life’, saat-sat duduk bersunyi-sunyi berfikir seorang diri.

Saya perlu tabah mengahadapi cabaran dan meikirkan apa yang perlu dilakukan.

Ke manakah akan kubawa MAYC?

Keputusan mesti dibuat.

Justeru, pada waktu-waktu tertentu, walaupun saudara tidak sampai ke peringkat tertinggi sekali dalam mana-mana institusi atau pertubuhan, saudara akan mengalami detik-detik sunyi.

Pada saat-saat sunyi inilah berbagai hasutan, berbagai akal buruk dan akal baik menjelma dan saudara perlu sedar dan hati-hati. Sebagai pemimpin, setiap tindakan mesti dirancang sebaik-baiknya. Jangan biarkannya tidak terurus.

Kita sekarang ini telah melantik secara automatik semua ketua yang saudara pilih di peringkat negeri berada dalam jawatankuasa pusat. Dengan itu, tidak ada satu perkara yang jawatankuasa pusat ini buat, negeri tidak tahu. Kemudian kita ada sistem mesyuarat. Sistem ini membuatkan semua negeri lebih harmoni dalam MAYC.

Jelas, semuanya bukan terjadi sendiri, bukan secara kebetulan.

Tetapi yang penting ialah saudara gunakan saat sunyi itu untuk keberkesanan kepimpinan saudara. Sebagai seorang pemimpin yang cekap dan berkesan, saudara menggunakan saat-saat dan detik-detik sunyi itu untuk berfikir tentang apa yang harus saudara lakukan untuk MAYC.

Sekian sahaja ucapan saya pada hari ini dan saya ucapkan tahniah, selamat kembali ke tempat masing-masing dan sampaikanlah salam saya kepada semua anggota MAYC yang menjadi ahli kelab di kelab-kelab gabungan.

Dengan nama Allah, saya tutup mesyuarat petang ini.

0 comments

Post a Comment