IKUT RASA BINASA IKUT HATI MATI

Posted by mayc_pkbm | 8:03 PM | 0 comments »


Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-31, 1985.

Saudara-saudara yang saya hormati sekalian, pada malam ini kita berada dalam acara Perasmian Mesyuarat Agung.

PERISTIWA TERPENTING

Bagi MAYC, mesyuarat agung merupakan satu peristiwa penting. Bagi yang beragama Islam, maka meriahnya mesyuarat agung ini dapat dibandingkan seperti meriahnya sambutan Hari Raya, sama seperti perayaan Thaipusam bagi orang berketurunan India/Tamil. Seperti Krismas bagi yang beragama Kristian, ataupun Wesak bagi mereka yang beragama Buddha.

Mesyuarat agung MAYC saya katakan sebagai satu peristiwa penting kerana bagi sesuatu pertubuhan, mesyuarat seperti ini merupakan kemuncak segala kegiatan.

Setiap ahli MAYC menghadiri mesyuarat agung, lantaran itu mereka akan bersemangat semula. Dengan sendirinya mereka akan merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada satu keluarga yang besar. Pada mesyuarat agung ini kita menghubungkan semangat setia kawan antara sesama kita.

Itulah sebabnya saya berasa gembira apabila berada sesama kita. Itulah sebabnya saya berasa gembira apabila melihat veteran MAYC yang masih muda remaja, seperti Sd. Nasir dan Sdr. Taib Wahab berada bersama-sama kita pada malam ini.

Mesyuarat agung ini merupakan peristiwa yang yang penuh erti kerana pada mesyuarat agung inilah kita memilih tokoh belia yang telah berjasa. Tokoh belia yang berjasa tersangatlah ramai, tetapi kita hanya memilih empat atau lima orang sahaja setiap tahun.

Bukan mudah bagi seorang tokoh dalam negara untuk mendapat penganugerahan Jasa Cemerlang dari MAYC jika dibandingkan dengan pertubuhan lain. Tokoh MAYC kebangsaan menaikkan kembali namanya dengan menerima Pinggat Jasa Cemerlang. Tokoh yang saya maksudkan ialah Datuk Hussein Ahmad.

Oleh sebab saya telah melewati umur 40 tahun dan masih menunggu siapnya bangunan Wisma Tunku, maka sebagai seorang yang memimpin MAYC, saya berasa diri ini sudah lama berada dalam tampuk kepimpinan.

MANUSIA DAN PERGOLAKAN

Pada malam ini saya ingin menghuraikan dengan panjang lebar akan keadaan manusia dalam pergolakan atau huru-hara. Saudara-saudara yang memimpin di berbagai-bagai peringkat diharap dapat memberikan perhatian yang teliti kepada apa yang ingin saya katakan ini, semoga apa yang akan saya perkatakan ini dapat dijadikan bahan renungan untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.

Apabila berbicara soal negara, ada beberapa perkara yang saudara perlu ketahui sebagai ahli MAYC, perkara yang mungkin saudara tidak tahu pada masa lalu.

RAMALAN

Pada tahun 1905, iaitu lima puluh dua tahun sebelum negara ini merdeka ada seorang ahli fikir Perancis bernama Eugene Noah. Beliau meramalkan bagaimana negara kita akan menjadi huru-hara.
   
Pada tahun 1905, pengarang Perancis ini telah menghasilkan  satu karangan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Dalam karangan ini dia menyatakan bahawa pada suatu masa nanti  di dalam negara Malaya pada waktu itu, pihak British akan menubuhkan sebuah negara Islam yang akan membawa kegagalan cita-cita Melayu dan cita-cita Islam.

Karangan ini telah dihasilkan oleh seorang berbangsa Perancis yang tidak pernah mengunjung negara kita. Dia meramalkan ada ilmu atau cara untuk memecah-belah kita, dan katanya mereka yang merancangkan pertubuhan-pertubuhan di negara Islam ini ialah British.

Pertubuhan Islam ini, kata Eugene Noah, bertujuan untuk menggagalkan cita-cita Melayu dan cita-cita Islam.

Kemudian pada tahun 1945, Malaya dijajah Jepun. Indonesia begitu juga. Apabila Jepun menyerah kalah, orang putih belot pada Malaya, pada waktu itu, Belanda kembali ke Indonesia.

PEMUDA ISLAM

Pada waktu itu, seorang pemuda yang amat cerdik dan pandai telah dihantar oleh Belanda ke Indonesia untuk menubuhkan apa yang dinamakan the Islamic Youth of Indonesia, ataupun Pemuda Islam Indonesia.

Pada pengamatan saya, Pemuda Islam Indonesia yang telah ditubuhkan oleh Belanda yang dipimpin oleh saudara Syed Hussein adalah untuk mempersoalkan kemerdekaan Indonesia kerana kepadanya kemerdekaan Indonesia itu tidak Islam.

Ini bermakna Belanda mendakwa seolah-olah Indonesia di bawah Belanda lebih Islam daripada Indonesia di bawah Sukarno dan Hatta.

Pemuda Islam telah gagal kerana rakyat Indonesia tidak dapat menerima sebarang pertubuhan Islam yang pada hakikatnya menjadi perkakas kepada penjajah Belanda. Liga Islam di Indonesia diiktiraf oleh rakyat Indonesia, begitu juga kemerdekaan Indonesia di bawah Sukarno dan Hatta.

Soalnya ialah adakah ramalan Eugene Noah itu tidak berlaku di Malaysia tetapi berlaku di Indonesia? Jawabnya ialah wallahu a’lam.

Oleh sebab Indonesia itu sendiri adalah sebahagian daripada negara kepulauan Melayu, maka mungkin ramalan Eugene Noah itu tidak berlaku di Malaysia tetapi berlaku di Indonesia.

BRTISIH ANGKUH

Saudara sekalian, pada tahun 1946, setelah Pihak Bersekutu mengalahkan Jepun, British dengan angkuh kembali ke Malaya dan kerana merasakan tidak ada kuasa lain lebih kuat daripada mereka, maka pada waktu itu British membuat keputusan untuk menjajah Malaya untuk selama-lamanya.

Pada waktu itu orang Melayu dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Semua pertubuhan Melayu dari semua negeri bermusyawarat untuk menentang rencana atau gagasan British untuk menubuhkan Malayan Union.

Walaupun gagasan British yang bernama Malayan Union ini diketahui umum, tetapi mungkin tidak berapa jelas kepada para belia. Oleh itu, saya ingin menyatakan pada malam ini bahawa semua pertubuhan Melayu pada ketika itu bergabung tenaga menubuhkan UMNO.

Yang tidak masuk ke dalam UMNO hanya satu pertubuhan, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Mengapa? Kerana pemimpin PKMM tidak mahu bersatu dalam UMNO untuk menentang gagasan British untuk kembali menjajah negara ini.

PARTI KOMUNIS

Salah seorang pemimpin itu ialah Dr. Burhanuddin Helmi yang kemudiannya menjadi pemimpin Parti PAS.

Siapakah lagi pemimpin PKMM? Selain Dr. Burhanuddin, yang memimpin PKMM ialah Ahmad Boestamam yang kemudian menjadi pengasas Parti Rakyat di negara ini.

Siapa lagi yang menjadi pemimpin PKMM? Yang memimpin PKMM ialah Abdullah CD, Shamsiah Pakeh (yang kemudian ikut menjadi ahli Parti Komunis Malaya).

Ini bermakna Pemimpin Parti Komunis Malaya ialah Abdullah CD dan Shamsiah Pakeh, bekas pemimpim PKMM.

Yang menerajui dan memimpin PAS ialah pemimpin PKMM.

Gerombolan yang tidak bersetuju untuk bersatu pada tahun 1946 inilah yang meneruskan perjuangan tradisi mereka untuk terus memecah-belahkan bangsa kita.

Maka mengertilah kita siapa-siapa yang memecah-belahkan bangsa kita. Kita sudah kenal siapa mereka.

Apakah hubungan antara pemimpin PAS dengan pemimpin Sosialis? Mengapa Parti Sosialis ditubuhkan? Apabila Ahmad Bostamam menubuhkan Parti Rakyat, yang mempengerusikan penubuhan parti itu ialah Dr. Burhanuddin Helmi, orang yang kemudiannya menubuhkan Parti PAS.

Mungkin saudara bertanya siapakah yang menubuhkan Parti PAS dan siapakh yang memimpin PAS?

Kita tahu yang kemudian memimpin PAS ialah Dr. Burhanuddin Helmi, tetapi yang mula-mula mencetuskan idea untuk menubuhkan Parti PAS itu tidak lain dan tidak bukan ialah Haji Ahmad Fuad.

Haju Ahmad Fuad yang mula-mulanya menjadi pemimpin Biro Agama UMNO, telah keluar daripada UMNO untuk menubuhkan Parti PAS. Justeru, timbul satu persoalan.

Apakah manfaat bagi Haji Ahmad Fuad setelah tertubuhnya Parti PAS? Sedangkan beliau tidak menjadi Presiden Parti PAS, jadinya apa? Haji Ahmad Fuad telah dilantik oleh British untuk menjadi Ahli Perundangan Negeri Pulau Pinang.

Soalannya ialah mengapakah Haji Ahmad Fuad yang menubuhkan Parti PAS tidak memimpin Parti PAS? Mengapa British telah menganugerahkannya ahli yang berhormat dengan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sedangkan dia baru sahaja menubuhkan Parti PAS?

Soalnya ialah apakah peranan atau sumbangannya sehingga dia dihadiahkan jawatan ahli yang berhormat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang?

Kerana apa?

Kerana dia telah berjaya memecah-belahkan bangsa kita.

Pada tahun 1951, wujud lagi dalam masyarakat Melayu satu pertubuhan yang bernama Persatuan Melayu Semenanjung.

Persatuan Melayu Semenanjung telah menentang UMNO. Persatuan itu juga menentang kemerdekaan Tanah Melayu kerana katanya Tanah Melayu ini patut diserahkan kepada Melayu, sedangkan mereka tahu kalau Tanah Melayu ini Melayu sahaja yang mahu merdeka tidak mungkin negara ini dimerdekakan oleh pihak British.

Tidak mungkin Melayu mahu berperang dengan British pada tahun 1951 sedangkan pada tahun 1946 waktu Jepun menjajah kita, kita tidak mampu berperang dengan mereka.

Persatuan Melayu Semenanjung telah cuba menghalang cita-cita memerdekakan negara kita, dan mereka tidak bergerak atas nama agama, mereka tidak bergerak atas nama bangsa, itulah sebabnya UMNO tidak menjadi popular pada tahun 60-an kerana pemimpin UMNO ketika itu nyaris lari daripada konsep Melayu dan konsep Islam Dato’ Onn.

PEJUANG KEMERDEKAAN

Pada waktu itu pemimpin seperti Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sedar bahawa jika Persatuan Melayu Semenanjung bawah pimpinan Dato’ Onn insaf kerana tidak mementingkan bangsa Melayu, jika UMNO tidak dapat kemerdekaan, jika tidak mendapat sokongan rakyat, Persatuan Melayu Semenanjung juga tidak dapat membawa kemerdekaan kerana orang putih tidak akan memberikannya tanpa berperang.

Maka UMNO telah bertukar pemimpin daripada Dato’ Onn kepada Tunku Abdul Rahman.

Pada waktu itulah, saudara sekalian, semangat UMNO diwujudkan dan disemarakkan kembali, semangat bangsa membara semula, semangat agama begitu juga halnya.

Pada waktu itu, Melayu memerlukan UMNO sebagai parti mereka. Bangsa Cina dan India pula bersatu melalui parti bukan Melayu, MCA dan MIC.

Saudara sekalian, orang yang memimpin Persatuan Melayu Semenanjung terdiri dari orang yang datang dari Indonesia yang keadaan perjuangan mereka amat mirip perjuangan rakyat Indonesia. Kemudian pertubuhan ini senyap seketika.

Pada tahun 1963, sekitar zaman konfrontasi, maka sekali lagi Persatuan Melayu Semenanjung hadir dengan rancangan untuk membunuh Tun Abdul Razak, membunuh Tun Dr. Ismail, dan sekali lagi Persatuan Melayu Semenanjung ingin menyerahkan Malaysia kepada Indonesia.

Ini bermakna pada tahun 1951, apabila Persatuan Melayu Semenanjung menentang kemerdekaan Malaysia, sebenarnya mereka mahu serahkan negara ini kepada Indonesia. Kita bernasib baik negara ini tidak terserah kepada Indonesia. Kalau negara ini sudah terserah kepada Indonesia masa ini kita tidak mungkin menikmati kemajuan seperti yang sedang kita nikmati.

Isu ini telah membawa kepada bangsa kita.

13 MEI

Pada 13 Mei tahun 1969 berlakulah huru-hara.

Pada waktu itu orang Melayu dan orang Cina di negara ini berpecah-belah, bunuh-membunuh, mayat bergelimpangan di sekitar Kuala Lumpur. Negara bermandi darah.

Mengapakah semua ini berlaku? Waktu kita Merdeka pada tahun 1957, kita menandatangani satu perjanjian dengan orang putih, bahawa jika dalam masa 10 tahun selepas merdeka ada huru-hara di negara kita, maka orang putih akan kembali memerintah.

Nasib baik pada tahun 1957, 1958, 1959, 1960, 1961, 1962, 1963 tidak terjadi huru-hara. Pada tahun 1964, 1965, 1966, 1967 dan 1968 juga tidak berlaku huru-hara.

Nasib abaik huru-hara berlaku pada tahun 1969, maka orang putih tidak boleh kembali menjajah kerana sudah melebihi tempoh 10 tahun.

Adakah semuanya ini ciptaan penjajah British?

Adakah betul ramalan Eugene Noah pada tahun 1905?

Selama ini kita dilaga-lagakan orang luar, orang luarlah yang suka melihat kita berlaga sesama kita.

BANGSA LAWAN BANGSA

Saya sudah bincangkan mengenai bangsa dan agama, kita lihat sebentar mengenai dunia.

Kita tahu dunia ada empayar.

Ada Empayar Rom, ada Empayar Parsi, ada Empayar Majapahit. Setiap kurun ada empayar.

Akhirnya empayar berperang sesama empayar. Saya telah ceritakan dalam mesyuarat agung yang lalu dan perkara ini penting bagi yang belum mendengar dan yang tidak pernah hadir dalam perjumpaan begini.

LAWAN-MELAWAN

Empayar sesama empayar, empayar sudah hancur, sekarang empayar hanya tinggal memori sahaja.

Tiada empayar, no more empire. Sebab apa? Empayar lawan sesama empayar. Apabila empayar lawan empayar, hancur jadinya. Negara-negara yang ada adalah serpihan empayar yang hancur.

Kemudian negara lawan negara. Negara mesti lawan negara. Kita pun lawan Indonesia, kita berkonfrontasi.

Negara Thai lawan negara Cina, Jepun lawan Korea, India lawan Pakistan.    Rata-rata negara lawan negara sehingga semuanya keletihan. Lebanon, Israel, Iran dan Iraq masih berlawan, masih berperang. Mereka belum letih.

Apabila negara sudah letih berperang, negara tidak akan lawan negara lagi. Apakah pula yang akan berperang? Bangsa perangi bangsa, walaupun tanpa alasan yang munasabah untuk mewajarkannya. Tidak peduli asal boleh berperang.

Di England, orang Inggeris bermazhab Katholik berperang dengan orang Irish bermazhab Protestan.

Di Kanada, keturunan Perancis menentang keturunan Inggeris. Lawan, rata-rata lawan.

Di Malaysia juga berlaku lawan-melawan ini. Pada 13 Mei 1969, Malayu berlawan dengan Cina.

Baru-baru ini apabila Indira Gandhi dibunuh, di Malaysia Tamil lawan dengan Punjabi. Malahan di Taiping, saya dimaklumkan ada orang Tamil memukul orang Punjabi. Melayu sama menyokong, sebab Melayu suka menolong lawan. Pendek kata lawan Cina, lawan Melayu, lawan India, lawan Punjabi.

Kita ada peristiwa 13 Mei, sekarang sudah letih berlawan sesama sendiri.

Sekarang ini Melayu lawan sesama Melayu, Melayu tubuh UMNO, Melayu tubuh PAS. UMNO dengan PAS berlawan sesama mereka.

Cina dengan India tubuh MIC, MCA, DAP. Jadi kita tidak perlu berlawan dengan bangsa lain. Kita lawan sesama kita. Kita wujudkan pertubuhan, sekarang pertubuhan sesama pertubuhan sudah berhenti berlawan, sebab dalam pertubuhan itu sendiri terdapat puak-puak yang suka berlawan.

Dalam pertubuhan berlawan. Dalam UMNO berlawan. Dahulu Datuk Musa lawan Teuku Razaleigh, dan kita lihat dalam MIC, Datuk Samy Velu lawan Datuk Subramaniam. Lawan sampai melutut.

Sekarang dalam MCA, Neo Yee Pan lawan Tan Koon Swan. Sekarang musim lawan, PAS lawan ulama veteran dalam seruan janganlah kamu berpecah-belah.

Rumah tangga sekarang kita dapati lebih banyak berkelahi daripada dahulu.  Sekarang saban hari kita mendengar ada cerai sana, cerai sini, isteri ada, ‘girl friend’ pun ada. Ada antara kawan, jiran sebelah rumah jarang bercakap sekarang.

Apakah sebabnya kita sesama kita berlawan? Ini yang menjadi pokok persoalan penting pada hari ini.

NAFSU PERGADUHAN

Menurut Sigmun Freud, manusia diperalat oleh nafsu kerana nafsu tidak pernah mengenal erti puas, justeru, nafsu mencari jalan keluar.

Contohnya, kita mengimbas sejarah Caesar dan Cleopatra. Cleopatra memberitahu Caesar, ”Aku tidak mahu menikah, kau carilah rupawan seluruh Eropah”.

Maka caesar pun pergilah mencari. Sebab apa dia berbuat begitu? Kerana nafsunya belum puas dengan Cleopatra.

Kita lihat Napoleon Bonaparte. Dia pun tidak kurang hebat nafsunya.

Napoleon Bonaparte bercinta denagn Josephine. Di tengah-tengah medan peperangan dia berhenti perang lalu menulis surat cinta kepada Josephine. Dia boleh menulis 6,000 pucuk surat cinta kepada Josephine. Bayangkan, 6,000 pucuk surat cinta kepada kekasihnya!

“Josephine kekasihku, sebagaimana tembakan-tembakan yang menembusi dada musuh, begitulah tajamnya cintaku kepadamu”, kata Napoleon kepada Josephine dalam suratnya.

Kita tidak payahlah sampai begitu sekali. Kita tuliskan pantun sahaja.

Azan dulu barulah qamat,
Takbir dahulu barulah sembahyang;
Bercerai Nabi dengan Muhammad,
Baru bercerai kasih dan sayang.

Kata Caesar, aku tak akan bernikah dengan dikau selagi aku belum berjaya menakluki Eropah! Pendek kata nafsu yang menyebabkan manusia bergaduh.

Syukur Alhamdulilah, pemimpin Malaysia nafsunya terkawal belaka. Sekurang-kurangnya pemimpin MAYC.

Sesudah Sigmund Freud, muncul pula Karl Marx. Karl Marx kata, “Dunia ini bertelingkah, bergolak bukan kerana nafsu tetapi kerana ekonomi, kerana harta. Kita lihat yang kaya semakin kaya, manakala yang papa semakin papa kedana”.

Keadaan jurang yang luas antara yang kaya dan yang papa ini akhirnya mewujudkan rasa tidak puas hari sehingga berlaku revolusi. Itu kata bapa komunis, Karl Marx.

Apa kata Bertrand Russell, seorang lagi ahli fikir terkemuka. Kata Bertrand Russell, dunia ini bergolak bukan kerana nafsu, bukan kerana harta, bukan kerana ekonomi, tetapi kerana perebutan kuasa.

Justeru yang mana satu yang betul?

Adakah Karl Marx yang betul?

Adakah Bertrand Russell yang betul?

Adakah Sigmund Freud yang betul?

Adakah kerana kuasa, maka orang bertelingkah?

Adakah kerana harta, maka orang bertelingkah?

Adakah kerana nafsu, maka orang bertelingkah?

Kita lihat pula Islam?

Adakah Islam antinafsu?

Tidak, Islam tidak antinafsu. Orang Islam tidak antinafsu. Adakah Islam antikuasa? Tidak! Jika Islam antikuasa masakan Nabi Muhammad terus bergelar Amirulmukminin (Peminpin Umat Islam) hingga ke akhir hayat Baginda. Islam tidak antikuasa. Islam cuma antipenyalahgunaan kuasa.

Adakah Islam antiharta?

Islam tidak antiharta, Nabi Besar kita Muhammad s.a.w. selain berdakwah, baginda adalah ahli perniagaan.

Saidina Umar ahli perniagaan. Saidina Othman ahli perniagaan. Mereka menggunakan hartanya untuk mengabdikan diri kepada Tuhan.

Beliau menggunakan harta dengan cara menghabiskannya untuk agama, bukan menggunakan agama untuk mengumpul harta. Justeru, harta adalah alat, bukan agama alat.

Pergilah mencari harta. Islam menuntut kita mencari harta, mengejar kuasa demi menegakkan kebenaran, melawan nafsu. Itulah syaratnya. Kita perlu melawan nafsu dengan cara yang halal.

Mencari harta dengan cara yang halal, menggunakan harta pun dengan cara yang halal dan mencari kuasa dengan cara bertatasusila dan mengendalikan kuasa dengan cara yang halal.

Kerana kuasa, ilmu, harta semuanya amanah Tuhan yang dipinjamkan kepda kita untuk kita gunakan sebaik-baiknya.

Apabila kita gunakan semua ini berasaskan nafsu, maka berlakulah huru-hara.

Mencari harta dengan tipu helah yang licik, menggunakan harta untuk memuaskan nafsu tanpa mengira halal haramnya. Merampas kuasa dengan apa jua cara, hinggakan anak dan bapa berperang, bunuh-membunuh. 

Oleh itu, pemimpin MAYC di semua peringkat, sama-samalah kita sedar bahawa apabila Tuhan menjadikan Nabi Adam dahulu, pada waktu malaikat tidak bersetuju kerana mereka meramalkan anak cucu Adam akan berbuat angkara, Tuhan menempelak malaikat. Akhirnya malaikat bersetuju, kecuali satu jenis malaikat yang bernama iblis. Iblis yang dilemparkan ke bumi berjanji akan menghasut dan menyesatkan anak cucu Nabi Adam hingga ke hari kiamat.

Pertubuhan kita berbilang kaum, berbilang peranan, berbilang penganut agama. Semua agama boleh menjadi ahli, yang bukan penganut mana-mana agama pun kalau berminat boleh menjadi ahli. Semua penutur bahasa ibunda masing-masing boleh menjadi ahli.

MENUNTUT ILMU

Oh! Ahli MAYC ramai Melayu, India kurang, Cina kurang. Itu bukan salah kita. Ada orang tubuhkan 4B, suruh Melayu keluar MAYC dan sertai 4B. India tubuh Tamil Bell, India keluar, sudah berkurang orang India dalam MAYC. Cina tubuhkan pula GBB (Gerakan Belia Bersatu). Cina keluar.

Jangan salahkan MAYC. MAYC mahu semua bangsa menjadi ahli seramai yang boleh.

Justeru, salah siapa?

Yang salah ialah orang yang gilakan kuasa. Dia tidak peduli bangsa berpecah-pecah, asalkan dia mendapat kedudukan yang diimpikannya.

Tetapi MAYC tetap unik, kita berkawan dengan Melayu, berkawan dengan Cina, berkawan dengan India untuk menyatukan semangat Melayu, Cina dan India.

Kita orang Islam berkwan dengan orang bukan Islam tanpa pantang dan meragukan sesiapa, dan kita ada berbagai-bagai bahasa ibunda. Kita adalah contoh belia berbilang kaum dalam sebuah organisasi.

Kita lihat, MAYC berbilang peranan, yang datang ke sini berbagai-bagai golongan. Ada yang berniaga, ada pula yang berdakwah.

Apa sebabnya orang Arab memakai purdah? Selain memenuhi tuntunan agama, orang Arab, orang India, orang Afghanistan berpurdah kerana negeri mereka padang pasir; dibimbangi habuk masuk ke mata.

Dalam negara yang berdepan dengan berbagai-bagai cabaran, dalam keadaan negara bergelora, dalam keadaan negara menghadapi berbagai-bagai ancaman, kadangkala kita hihempas badai dilambung gelombang.

Dalam keadaan demikian kita perlu mencari ilmu.

Bagaimana?

Baca, baca dan baca. Apa salahnya? Mengapa tidak mahu membaca?

Tuhan berfirman, “Iqra’” perkataan pertama yang diturunkan Allah melalui Jibril kepada Nabi Besar Muhammad s.a.w. “Iqra’”, bacalah.

Nabi ada bersabda, “Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina sekalipun”.

Ahli MAYC perlu menanam minat untuk belajar, walaupun sudah menjangkau usia emas.

Mengapa?

Kerana tidak ada konsep terlambat atau terlewat dalam usaha menuntut ilmu.

Bagaimanapun apa yang saya faham, usia tua ini relatif sifatnya. Kalau kita tahu kita akan menemui kematian pada usia 100 tahun misalnya, ini bermakna usia 50 tahun baru dikatakan separuh usia. Kalau kita tahu kita akan mati pada usia 200 tahun, ini bermakna pada usia 100 tahun kita masih dikatakan baru separuh umur. Kalau kita tahu kita akan mati pada usia 30 tahun bererti umur 15 tahun sahaja sudah dikira separuh umur dan umur 28 sudah dikira terlalu tua. Namun, kita tidak tahu bilakah masa kiata akan mati. Justeru kita tidak tahu bilakah masanya kita akan menjadi tua. Kesimpulannya di sini, kita sentiasa muda dan tidak terlewat untuk menuntut ilmu: Membaca dan teruskanlah membaca.

NILAI SUCI

Yang penting ialah semangat. Satu lagi perkara yang penting bagi kita semua ialah keindahan. Jika kita ingin memetik sekuntum bunga ros yang cantik, kita tidak pedulikan baja apakah yang digunakan; baja najis ayam, najis lembu atau najis kambing? Orang tidak tanya begitu. Bunga yang cantik tetap dipuja dan sering dipetik orang.

Kalau orang melihat anak kecil, montel di rumah anak yatim, dengan rambutnya yang cantik, bola matanya yang bulat, pipinya montok, orang tidak bertanya anak haramkah, atau anak halal.

Begitulah juga halnya kalau orang melihat saudara berpakaian bersih, walaupun tidak mahal atau berjenama; apabila orang melihat gaya, budi bahasa indah; apabila orang melihat cara saudara baik bersopan-santun, maka pada waktu itu saudara akan dipandang mulia.

Tuntutlah ilmu, singkaplah budi, junjunglah bahasa, tingkatkanlah budi pekerti dan tampilkan ciri-ciri keunggulan bangsa semoga kita menjadi manusia bermaruah, dihormati dan dipandang tinggi.

Ahli MAYC perlu bestari, yang terbaik, you must be at your best, kerana dalam dunia ini, kalau kita dalam keadaan elok, gaya, dan segala-galanya elok maka dengan sendirinya orang akan yakin pada kita dan memandang mulia kepada kita.

YANG TERBAIK

Apabila orang bertemu kita, dia tidak bertanya lulusan universiti mana? Orang tidak akan bertanya ibu bapa kita keturunan apa? Kesimpulannya apa saja yang kita lakukan mesti elok, apabila elok semuanya menjadi baik.

Saya mahu menjadi ahli MAYC, sebagai kelab belia terbesar negara perlu serba boleh. Ada pasukan sepak takraw, ada pasukan bola, kita ada kursus kepimpinan, supaya mengerti prinsip-prinsip kepimpinan. Selepas itu saudara masuk ke dalam masyarakat untuk menjadi sebahagian anggota masyarakat yang aktif. Tidak kira sama ada waktu itu saudara memimpin di kampung, memimpin dalam bidang agama, memimpin dalam bidang politik, memimpin dalam bidang kemasyarakatan.

Inilah sebabnya saudara berada dalam organisasi terbesar, organisasi luar biasa, satu-satunya organisasi di dunia yang berbilang bangsa, berbilang kaum, berbilang agama, berbilang peranan dan antara yang terkaya di Malaysia.

Pendek kata, ahli MAYC, yang berbagai-bagai gaya, rupa, berbagai-bagai minat dan kerjaya berada dalam organisasi kita.

Walau kita berorganisasi, kita mesti hidupkan semangat cinta kepada negara, cinta kepada agama, cinta kepada tanah air. Dalam kita menghidupkan cinta kepada negara, cinta kepada agama dan cinta kepada tanah air, kita perlu miliki empat sifat utama iaitu berani, gigih bekerja, berdisiplin dan sanggup berkorban.

Kalau sudah berani mencegah sesuatu, kalau sudah gigih bekerja, kalau sudah berdisiplin, kalau sudah sanggup berkorban, pada waktu itu organisasi MAYC ini akan menjadi organisasi yang terkuat di Malaysia, malah di dunia.

Tidak ada batas lagi apa yang boleh kita capai. Yang penting sekarang ialah setiap orang perlu memiliki semangat yang kental.

Saudara perlu keluar pada hari esok untuk bergerak ke seluruh negara dan bercakap, naikkan semangat semoga segala sudut terluang di hati anak bangsa dapat diisi dengan semangat cintakan bangsa dan cintakan tanah air.

Apabila sudut-sudut terluang ini sudah terisi dan membara, kita persatukan baranya dan kita hembuskan sehingga bernyala-nyala dengan membawa cahaya harapan kepada agama, bangsa dan negara.

Dengan nama Allah, saya merasmikan Mesyuarat Agung Yang Ke-31 pada malam ini.

0 comments

Post a Comment