BENDA YANG BAIK MESTI DIULANG-ULANG

Posted by mayc_pkbm | 2:31 AM | 0 comments »


Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-30, 1984


Saudara-saudara saya ucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudara sekelian yang nampaknya penuh di dewan ini. Walaupun kita sudah melewati waktu makan tengah hari.

Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah menang dalam pertandingan.

TAHNIAH

Dan pada mereka yang tidak menang pada kali ini, bolehlah menganggap sebagai penangguhan kemenangan untuk tahun-tahun hadapan.

Bagi pihak MAYC saya mengucapkan terima kasih kepada saudara pengerusi yang telah berjaya mengendalikan mesyuarat agung ini dengan jayanya.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada dermawan-dermawan yang telah bermurah hati membantu membiayai jamuan-jamuan makan malam, tengah hari dan memberi hadiah-hadiah seperti beg yang begitu cantik.

Terima lasih khususnya pada Kadir Sheikh Fadhil, kepada Menteri Besar Perak dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Mengenai mesyuarat secara keseluruhan, pertama saya ingin menyentuh cara pelaporan, menerima penyata kira-kira dan menerima minit mesyuarat. Apa yang dimaksudkan menerima ialah suatu laporan minit mesyuarat dan kira-kira tidak mungkin ditolak oleh sesuatu mesyuarat agung, kerana jika ditolak, mesyuarat agung akan menjadi porak-poranda.


CARA BERMESYUARAT


Itulah sebabnya dalam parti politik dan dalam pertubuhan lain semua minit mesyuarat, laporan dan juga penyata kira-kira diterima.

Tetapi yang penting ialah penjelasan dan pertanyaan mengenai sesuatu yang kita berasa curiga dalam penyata dan laporan yang telah dibentangkan. Apabila kita meminta penerangan, maka jawatankuasa wajib memberikan penerangan dan jika ada kesilapan maka dengan sendirinya kesilapan akan terdedah.

Kemudian, kita luluskan setelah dicadang dan disokong.

Pada ucapan penangguhan segala perkara, rasa tidak puas hati tentang penyata dan laporan dapatlah ditimbulkan oleh para perwakilan sebagai panduan kepada jawatankuasa baru pada masa akan datang.

Saya ucapkan tahniah kepada Mohd. Bin Ngah dari Perak, Ahmad Redzuan dari Selangor dan Yaakub Yahya dari Pahang sebagai tokoh yang tidak pernah saya lihat dalam mesyuarat agung.

Saya juga kagum akan kegigihan mereka tampil ke hadapan dengan berani dan gagah walaupun bukan semuanya betul dan saya berharap semoga ahli yang muda-muda dapat mengambil pemimpin yang lama ini sebagai contoh walaupun mereka bukan orang tua.

Saya tertarik hati dengan ucapan yang dibuat oleh wakil Wilayah Persekutuan sewaktu membentang dan menyokong usul mengenai desakan supaya dikaji kegiatan badan-badan sukarela agama dari luar negara.

Saya tertarik hati kerana pendapat beliau di sana pada setiap ketika sama dengan pendapat kami di sini walaupun kami dan beliau tidak ada komunikasi langsung. Sebagai contoh, apabila beliau menjelaskan perkara mengenai OSKAR, ternyata beliau sedar tentang hasrat mereka untuk bekerja sama dengan MAYC. Kami di sini sejak mula OSKAR datang ke negara ini kami sudah sedar hasrat mereka itu.

Tetapi pada kesempatan yang pertama, presidennya telah bangun menyatakan bahawa orang Jepun sekarang sedang menderita kerana terlalu banyak industri dan dia meminta supaya rakyat di Malaysia ini jangan menderita seperti orang Jepun.

Oleh itu, biar kita tumpukan kepada tanaman padi dan sayur-sayuran di kampung. Waktu itu saya bangun menyatakan saya rela menderita seperti rakyat Jepun.

Kerana kalau rakyat Jepun yang begitu maju pun beliau kata sedang menderita, saya fikir kita pun harus menderita seperti rakyat Jepun.

Jangan kita senang dan berpuas hati dalam keadaan Melayu susah, kita hendak menderita seperti keadaan Jepun senang yang menderita.

Oleh sebab itulah kita tidak menolak usaha mereka untuk bekerja sama dengan kita dalam berbagai-bagai bidang dan setelah itu mereka bertapak di tempat lain.

PAYAH HENDAK PERCAYA

Wakil Wilayah Persekutuan juga menyuarakan kegelisahan mengenai pendakwah Islam. Kami di sini pun merasakan begitu walaupun kami tidak mempunyai bukti.

Memanglah satu keseronokan bagi orang Melayu menerima muallaf lebih daripada orang sendiri, yang sudah bersolat dan mengaji agama dan berdakwah sampai berbuih mulut.

Tapi orang yang baru memeluk Islam dua tiga minggu bercakap mengenai Islam semua orang percaya. Ini adalah satu penyakit yang mudah menimpa orang Melayu.

Pada suatu masa dahulu ada seorang hamba Allah namanya Khatab. Dia datang ke sini dan kita dalam MAYC terkena dek dia. ABIM juga terkena. Akhirnya kita dapati dia seorang ejen gerakan Kristian. Dia merupakan pemimpin dewan gereja pemuda dunia.

Pada waktu itu, dia datang ke sini sebagai seorang yang baru memeluk Islam dan kita bawa dia ke merata tempat. Lama-kelamaan saya berasa curiga dan saya pergi dengan saudara Osman Bakar, saudara Ismail Mina ke Mesjid Negara tempat dia tidur.

Saya pergi ke sana dengan rasa geram. Saya pecahkan pintu biliknya dan saya dapati di atas kepala dekat dia mengambil wuduk ada salib.

TIDAK MENGHALANG

Kita tidak menghalang orang beragama Kristian, Hidu, atapun beragama apa jua dalam negara ini mengamalkan ajaran agama mereka. Cuma kita tidak suka ada orang mengintip kita dengan sesuatu niat yang mencurigakan, berpura-pura memeluk Islam untuk menyertai golongan kita lalu membawa keadaan pecah belah dalam agama.

Persoalan sama ada orang Islam betul atau tidak, tidaklah penting. Kita tidak terpengaruh dengan orang yang memeluk Islam seolah-olah mereka lebih jaguh daripada ulama Melayu yang begitu ramai.

Idea beliau yang ketiga ialah mengenai penentangan terhadap kerajaan. Ini disuarakan oleh tokoh Wilayah tadi dalam hal cadangan hendak membina usul supaya dimasukkan ke dalam minit. Waktu beliau membantah di sana kamii di sini pun membantah kerana kami tahu undang-undang dalam negara sudah cukup untuk menjaga gerakan dalam negara. Gerakan luar negaralah yang perlu kita awasi.

Mengenai ucapan penangguhan oleh para wakil, saya berasa hairan kerana ada orang bangkit berapi-api mengecam kononnya kita hendak menyertai MBM.

Bilakah timbulnya cerita kita hendak menyertai MBM?

Kalau ada berita dalam akhbar cerita kita hendak menyertai MBM, itu Cuma gembar-gembur pihak akhbar.

Adakah dengan kenyataan akhbar itu pemimpin MAYC yang kononnya sudah matang akan melenting?

Umpamanya cerita saya hendak menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden MAYC, cerita itu tersebar di sana sini, disebarkan oleh orang yang tidak suka saya menjadi presiden. Itu saja.

Justeru, ahli MAYC, apabila membaca berita seperti itu haruslah berhati-hati dan teliti dari manakah sumber berita ini supaya kita tidak berkelahi sesama sendiri.

Sayapun tidak berniat untuk menarik diri pada kali ini kerana projek-projek yang saya sebutkan tadi belum selesai. Itulah sebabnya saya harus cepat-cepat selesaikan projek-projek itu supaya saya boleh berhenti dengan segera.

CERITA BARU

Di sini ada tokoh yang bercakap mengenai ucapan saya tentang cerita lama. Kalau semua benda lama kita hendak buang, perlembagaan kita buang, lagu kebangsaan kita buang, tidak usah ulang-ulang.

Tiap-tiap tahun cerita baru.

Apabila tiap-tiap tahun cerita baru, sejarah MAYC pun orang akan lupa, orang yang baru hadir dalam mesyuarat agung MAYC buat kali pertama tidak tahu semua ini. Usahlah orang baru, orang yang lama itupun, kalau kita suruh bersyarah dia tidak paham cerita apa yang saya sudah ceritakan.

Letih Presiden berjalan ke merata pelusuk negara untuk memajukan MAYC. Kita ulang dan ulang seruan supaya semua orang boleh faham dan bercakap. Ada perkara yang perlu kita ulang berpuluh-puluh kali, beratus-ratus kali sampai semua orang faham.

Umpamanya kita berucap di Johor, ada orang Johor yang hukan ahli MAYC, menjadi tetamu. Apabila kita berucap di Negeri Sembilan, ada orang Negeri Sembilan yang bukan ahli MAYC menjadi tetamu. Apabila kita berucap di negeri Pahang ada orang yang bukan ahli MAYC, menjadi tetamu kehormat. Apabila kita berucap di Pulau Pinang, ada orang bukan ahli MAYC hadir sama.

Apakah kita tidak mahu cerita kepada orang itu sejarah pergolakan MAYC?

Ahli MAYC yang datangpun ramai ahli MAYC yang baru. Bukan semua orang yang datang secara tetap setiap tahun selama 14 tahun. Saya lihat sekarang ini lebih ramai muka baru yang belum pernah datang. Dari negeri Perlis saya lihat muka lama kali ini tidak datang. Muka baru yang datang. Justeru, kita tidak boleh menganggap orang lain tidak perlu dengar sesuatu cerita itu kerana kita sudah tahu dan faham mengenainya.

Kalaulah begitu keadaannya senanglah, setiap kali shalat tidak perlu bersusah-payah mengulang-ulang membaca ayat yang sama, tidak payah baca surat al-Fatihah sebab sudah banyak kali dibaca.

Ada perkara wajib dan ada perkara sunat dalam ucapan.

Apabila kita berucap, bahagian pertama dalam ucapan mesti kita ingatkan ahli MAYC tentang Projek Tiga Romantika. Projek Tiga Romantika kita sebut kerana projek ini lambat selesai.

Saudara fikir senangkah untuk kita memperoleh tanah seratus ekar?

Ini bukan Presiden rasuah, yang boleh memberikan kontrak kepada orang dan mengambil sedikit komisyen untuk laksanakan projek MAYC.

Saya bukan Presiden rasuah. Kita mahu laksanankan projek berjuta-juta, kita terpaksa meminta derma. Minta derma tidak mengapa, asal jangan rasuah. Inilah yang sedang kita lakukan. Kita perlu meminjam duit. Jangan menghina usaha ini nanti orang ludah muka kita. Dengarlah pantun ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Budak nakal menjolok buah,
Masuk sebiji ke dalam bakul,
Gunalah akal anak bertuah,
Menghina pemimpin kita, nanti orang pukul.

Kalau budak baru belajar,
Cempedak di luar jangan jolokkan,
Belumlah pandai sudah mengajar,
Inilah sebabnya binasa badan.

Pokok ditebang diambil buah,
Batang berat susah nak pikul,
Tugas pemimpin bukanlah mudah,
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Mengenai perpaduan MAYC, ada beberapa beberapa perkara yang boleh membawa perpecahan kepada MAYC. Dahulu ada seorang hamba Allah berkata, Datuk Sanusi boleh sokong saya supaya menjadi pemimpin MAYC? Kerana apabila saya menjadi pemimpin MAYC, saya ada peluang untuk menjadi wakil rakyat.

Saya suruh dia melobi sendiri. Saya buka jenis yang mengatur siapa akan menjadi ketua. Kalau orang lain atur itu bukan kerja saya, tetapi bagi saya pemimpin MAYC dipilih oleh ahli.

Apabila sudah menjadi pemimpin MAYC pun saya tidak dipedulikan. Saya sebagai Presiden yang berhasrat untuk melawat kelab gabungan dipesan supaya jangan pergi dikhuatiri Sultan murka. Ke kelab gabungan pun Sanusi Junid tidak boleh pergi.

Apakah sangkut paut saya dengan Sultan dalam hal kelab gabungan?

APABILA MENJADI PEMIMPIN

Apabila menjadi pemimpin MAYC, yant utama ialah MAYC. Jangan ada pula orang menyuruh MAYC buat begitu begini, tolong itu, tolong ini. Semuanya pertolongan untuk kepentinga politik, kadang-kadang terlupa kepentingan MAYC.

Saya pun orang politik, tetapi saya tidak peralatkan MAYC untuk politik saya. Saya jatuh daripada jawatan menteri tetapi saya tetap Presiden MAYC. Justeru, dengarlah baik-baik. Tadi giliran saudara berucap, kini giliran saya pula.

Mengenai restoran memang saya agak keliru. Esok kita akan membuat keputusan sama ada perlu diswastakan. Ini selaras dengan dasar kerajaan sekarang.

Kemudian mengenai Shamelin milik MAYC. Perkara ini perlu difahami baik-baik. Shamelin bukan milik MAYC. MAYC tidak menubuhkan Shamelin. Saya sudah fikirkan mengenai Shamelin ketika saya berada dalam Tingkatan 4, belum menyertai belia lagi.

Ayah saya baru menjadi naib pengerusi jawatankuasa kesenian MAYC Yan. Ayah saya pengerusi pasukan bola sepak, saya pada waktu itu belum menjadi ahli MAYC.

Sewaktu saya berada di Tingkatan 4, saya fikir mengenai SHAMELIN. Di Tingkatan 6, saya bentuk kumpulan untuk menubuhkan SHAMELIN. Pada tahun 1969, sewaktu saya di London, saya tubuh syarikat. Saya pulang ke sini saya tubuh Shamelin sebelum saya menjadi Presiden MAYC. Hari ini Shamelin mempunyai projek seribu juta. Dua tahun berturit-turut bonus sahamnya 100%. Mahukah orang MAYC terlibat dalam Shamelin?

JANGAN MENJADI PERKAKAS

Saya persilakan, kerana saya fikir kalau orang MAYC membeli saham dalam Shamelin, maka kita boleh katakan Shamelin itu milik MAYC. Tetapi jika orang bertanya jika Shamelin itu milik MAYC mengapa pekerja Shamelin bukan orang MAYC?

Kita perlu berhati-hati dalam perkara ini. Apabila hendak mengatakan sesuatu tentang orang biarlah datang daripada pemikiran dan penyelidikan kita sendiri, bukan mengulang semula pendapat orang. Kita dalam MAYC jangan jadi perkakas.

Sekiranya ada orang masuk tender untuk membina Wisma Tuanku dan syarikatnya tidak berjaya, jangan pasang kaki dalam MAYC suruh hentam, sebab apa projek lambat siap. Jangan jual maruah MAYC. Orang sokong kita, kita sokong orang, tetapi jangan ikut pintu belakang. Kalau ikut pintu belakang alamat buruk padahnya. MAYC bukan bodoh. Perwakilan MAYC tidak boleh dikotak-katikkan.

Dengan suku juta anggota MAYC, cukup dengan mata dan telinga untuk melihat ke seluruh negara, untuk mengetahui apa orang kata. Apa orang kata tentang pemimpin MAYC. Apa orang kata untuk menjahanamkan MAYC.

Seperkara lagi yang penting dalam MAYC: Apabila kita kata MAYC sudah membangun, bukan bermakna naiknya bangunan tiga tingkat, bangunan sepuluh tingkat. Ini bukan membangunkan MAYC namanya. Untuk apa bangunan sepuluh tingkat, bangunan dua puluh tingkat, bangunan tiga puluh tingkat?

Untuk apa?

Kita bukan mahu menjadi ahli sampai mati, kita boleh ada dalam kegiatan belia sampai mati.

Justeru, untuk apa?

Projek-projek inilah yang kita laksanakan sementara kita berada dalam MAYC. Tetapi yang paling penting dalam MAYC ialah pembinaan tokoh dan pembinaan watak.

Dalam soal pembinaan tokoh dan pembinaan watak, rata-rata ahli MAYC sekarang akan menjadi pemimpin. Pemimpin di kampung, pemimpin di luar bandar, pemimpin daerah, pemimpin negeri dan pemimpin pusat.

Rata-rata ahli MAYC menjadi pemimpin. Ini yang dimaksudkan dengan pembangunan MAYC. Kita berbangga denagn pemimpin MAYC seperti Rahim Bakar berada dalam MARA, sebelum ini menjadi Menteri Besar Pahang.

Hal itu tidak mungkin berlaku pada semua orang, tetapi yang penting setiap orang menjadi pemimpin di peringkat masing-masing. Pada kesempatan ini saya ingin mengumumkan Setiausaha Agung MAYC ialah saudara Nazim Yahya, Penolong Setiausaha Agung ialah saudara Ibrahim Haji Idris.

Pada tahun ini saya ingin mengurangkan Jawatankuasa MAYC daripada 18 kepada 8 sahaja. Kerana terlalu banyak jawatankuasa, kerja menjadi sedikit. Jawatankuasanya 3 zon, kemudian 5 jawatankuasa baru.

Jawatankuasa Pelajaran, Jawatankuasa Ekonomi, Jawatankuasa Agama, Jawatankuasa Sukan dan Jawatankuasa Latihan.

Jawatankuasa Pelajaran akan dipengerusikan oleh Naib Presiden, Johar Rusi. Jawatankuasa Ekonomi akan dipengerusikan oleh Naib Presiden, Mohd. Noor Bedah. Jawatankuasa Agama akan dipengerusikan oleh Naib Presiden, Salleh Kasmin. Jawatankuasa Sukan akan dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Agung, saudara Ibrahim Haji Idris. Jawatankuasa Latihan akan saya pimpin sendiri dengan dibantu oleh saudara Shuib Endut dan saudara Nazim Yahya.

Zon akan dipengerusikan oleh Naib Presiden. Zon Utara oleh Mohd. Noor Bedah, Zon Selatan oleh saudara Salleh Kasmin dan Zon Timur oleh saudara Johar Rusi.

Sebenarnya Pahang mempunyai terlalu ramai tokoh. Tiga orang naib presiden dari Pahang, Johar dari Pahang, Rahim Bakar dari Pahang dan Aziz Rahman pun dari Pahang.

BERBUDI KEPADA KAWAN

Akhirnya setelah berlaku pusingan antara mereka, dua orang menarik diri tinggalkan Johor. Kalau bertanding adakah ketiga-tiganya akan kalah sebab semuanya berasal dari negeri yang sama, iatu Pahang? Walau bagaimanapun, hal ini tidak mungkin berlaku kerana dia ada lima orang sahaja. Tetapi untuk maklumat saudara sekalian, penarikan diri saudara Rahim Bakar, saya difahamkan ada perundingan sesama mereka, ini tidak seharusnya menggambarkan ada apa-apa perpecahan dan sebagainya.

Saya percaya dengan adanya Johar Rusi sebagai anak Pahang, beliau dapat bersama-sama MAYC Pahang dan MAYC Pantai Timur untuk menjalankan tugas masing-masing dan saudara Rahim Bakar sebagai Pengerusi MAYC Pahang tetap dalam jawatankuasa sebab semua pengerusi negeri secara automatik menjadi ahli jawatankuasa pusat.

Akhir sekali mengenai perpaduan, saya rasa ada tiga cara utama yang penting bagi kita dalam menguruskan soal perpaduan.

Yang pertama, kita hendaklah berbudi sesama kita, kita berbudi kepada kawan, dan kawan berbudi kepada kita.

Yang kedua ialah kita perlu jaga bahasa kita. Saya tahu kita ada kebebasan bercakap dalam MAYC, dan kita ada kebebasan bercakap di merata-rata tempat di seluruh negara.

Tetapi kita perlu tahu masa-masanya kita perlu tegas dan masa-masanya kita perlu berlembut. Kita perlu tahu masa-masanya untuk menghentam. Waktu kita perlu menghentam, kita memujuk; waktu kita perlu berlembut, kita berkeras; waktu kita perlu berkeras, kita berlembut; pada waktu itu semuanya takkan menjadi.

Selain itu, ahli jawatankuasa MAYC pusat hendaklah menghadiri mesyuarat jawatankuasa selalu. Adalah tidak adil jika hendak menyalahkan kita tidak ada perpaduan, tiada penyelarasan, jika kita semua tidak hadir mesyuarat.

Baik mesyuarat jawatankuasa kebangsaan, baik mesyuarat jawatankuasa negeri, baik mesyuarat jawatankuasa zon, mesyuarat adalah tempat kita berbincang dan tempat kita bertukar-tukar fikiran.

PERLEMBAGAAN DISIPLIN

Saya percaya dengan adanya pindaan Perlembagaan dalam MAYC, maka dengan sendirinya pertubuhan MAYC mempunyai disiplin. Mulai minggu depan, saya akan menulis surat kepada semua kelab belia MAYC yang pemimpinnya tidak hadir mesyuarat jawatankuasa, untuk memberikan sebab mengapa mereka tidak boleh disingkir.

Keadaan MAYC pada tahun depan akan berubah. Sebelum saya kembali ke tempat duduk saya, saya ingin mengulangi lagi, kalau orang bertanya kepada kita, apakah matlamat MAYC? Kita jangan jawab hendak bermain bola, bermain takraw, bermain congkak, bermain tui.

Kalau kawan nertanya kepada kita apakah matlamat perjuangan MAYC? Katakan, matlamat jangka pendek kami membangun MENJARO, membangun mental, jasad dan roh. Matlamat jangka panjang ialah POLEMAS, iaitu politik, ekonomi dan masyarakat.

Kemudian kalau orang bertanya apakah tanda atau simbol keagungan MAYC, jawablah TIGA ROMANTIKA.

Pemimpin-pemimpin dunia, baik siapa saja, dalam usaha menaikkan semangat rakyat jelata, dalam usaha membangunkan ahli organisasi, semuanya ada slogan.

Datuk Seri Dr. Mahathir ada sloga, Dasar Pandang ke Timur dan Bersih, Cekap dan Amanah.

Kita harus sentiasa laungkan Bersih, Cekap dan Amanah. Terus melaungkannya dan mengamalkannya tanpa berasa jemu.

Perkara baik perlu ulang selalu.

Kita selalu ulang-ulang mengerjakan shalat, ulang-ulang ibadat, ulang-ulang makan, dan ulang-ulang bergembira. Dengan mengulang-ulang perkara baik, kita menjadi semakin mantap.

Semua yang kita lakukan sekarang berulang-ulang kerana perkara ini adalah perkara yang baik, perkara yang memberikan kebaikan dan kegembiraan kepada kita. Menghadiri mesyuarat agung pun jika diulang sebanyak 14, 15 atau 16 kali, kita akan lebih sayang kepada MAYC.

Saya berharap perkataan MENJARO, perkataan POLEMAS, dan perkataan TIGA ROMANTIKA akan didendangkan dengan penuh semangat sampai bila-bila, walaupun saya tidak lagi menjadi presiden.

Sekian, dengan nama Allah, saya menutup Mesyuarat Agung pada hari ini.

0 comments

Post a Comment