MENDAKI CITA-CITA MENGGUNUNG

Posted by mayc_pkbm | 12:31 AM | 0 comments »



Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-30, 1984

Pada malam ini kita semua berada di Ipoh, sebuah kota yang bersejarah bagi MAYC. Beberapa tahun dahulu kita pernah ke sini untuk menyelesaikan satu masalah yang sungguh besar pada waktu itu, iaitu untuk mengambil alih Wisma Belia. Pada waktu itu kita berada dalam satu sengketa yang begitu besar, tetapi syukur Alhamdulillah pada masa ini semua yang bersengketa sudah berbaik semula. Ahli-ahli MAYC yang di luar itu, saya kira, lebih maklum apa yang saya maksudkan ini.

MENGHADAPI CABARAN

MAYC telah melalui banyak lurah dan sebagaimana biasa, pada malam ini ataupun pada waktu merasmikan mesyuarat agung, saya sentiasa melaporkan perkembangan MAYC, sejak saya mengambil alih kepimpinannya mulai tahun 1971.

Saudara tentu masih ingat, dan kepada yang sudah lupa diingatkan pada malam ini, bahawa tahun 1971/1972 kita telah namakan tahun-tahun peralihan. Tahun 1971/1972 kita namakan tahun-tahun peralihan kerana pada waktu itu asas MAYC yang ditadbir oleh golongan yang tidak bertanggungjawab terpaksa diambil balik.

Jika sekarang kita dengar dalam mesyuarat berlaku hal-hal yang tidak baik seperti tembak-menembak, janganlah terkejut. Pada waktu MAYC mengambil alih harta Wisma Belia dahulu pun kita lihat ada pemimpin MAYC yang mengeluarkan pistol untuk menembak. Tahun 1971/1972 telah tenggelam dalam sejarah MAYC sebagai tahun peralihan.


Setelah selesai usaha menghadapi tahun-tahun peralihan ini, setelah kita singkirkan batu ke sisi maka tahun 1973/1974 MAYC berada dalam keadaan bahaya. Setelah kita pisahkan diri mereka yang kita fikir patut berpisah, maka tahun 1973/1974 ialah tahun menempuh bahaya.

Pada waktu itu MAYC dianggap sebagai subversif. Pemimpinnya dianggap kononnya sebagai anti-nasional. Puan Hajah Rahmah hampir-hampir dihantar ke Mesir untuk menjauhkan pengaruhnya di Kuala Lumpur, semata-mata kerana beliau dianggap sebagai ‘kaki gaduh’. Semua mesyuarat agung MAYC diboikot oleh TV.

Sekarang, alhamdulillah, Menteri Radio dan Televisyen juga bekas pengerusi MAYC Selangor, Timbalan Menteri juga bekas ahli jawatankuasa. Kita jemput juga orang televisyen datang. Tahun 1973/1974 dinamakan tahun menempuh bahaya dan pada tahun 1975/1976 pula MAYC mula menikmati projek. Maka tahun 1975/1976 dinamakan tahun menikmati projek.

TAHUN MENIKMATI PROJEK

Pada tahun itu ahli MAYC mula mendampingi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk meminjam wang bagi menanggung kos membeli anak ayam, anak itik dan anak kambing.

Kita memperoleh 50 ekor ayam, 150 ahli MAYC pelihara. Rata-rata kita lihat 5 ekor kambing dipelihara oleh 50 orang ahli MAYC, biasa kita lihat 50 ekor itik, 200 ahli MAYC pelihara sampai itik, kambing, ayam pun pening kepala. Itu tahun menikmati projek, tahun 1975/1976.

Tahun 1975/1976 kita namakan tahun menikmati projek, MAYC membuka kedai, buka bengkel di banyak tempat. Menteri datang, Timbalan Menteri datang, Setiausaha Parlimen datang, pengarah belia datang. Untuk apa? Untuk buka bengkel, untuk merasmikan pembukaan kedai. Sekarang semua 100% bengkel ditutup, kedai pun ditutup, tidak ada perasmian, hanya ditutup begitu saja.

TAHUN NIKMAT

Tahun 1975/1976 tahun yang paling enak, tahun meminjam wang tanpa cagaran, tahun meminjam wang kerajaan. Soalnya, apakah wang ini membazir? Jawabnya tidak. Hari ini ahli MAYC yang pada tahun 1975/1976 menikmati projek ada yang sudah menjadi kaya, ada yang sudah memiliki kereta besar, walaupun dibebani hutang.

Walau bagaimanapun, mulai tahun 1975/1976 ramai pemimpin negara meninggal dunia. Tun Abdul Razak kembali ke rahmatullah, Tun Syed Nasir kembali ke rahmatullah, Tun Fuad Stephen kembali ke rahmatullah. Apabila Tun Razak dan Tun Ismail kembali ke rahmatullah kita terasa benar yang kita kehilangan pemimpin.

Kita rasakan satu kehilangan yang begitu ketara sehingga tahun 1977/1978 kina namakan tahun Kursus Kepimpinan.

Apakah tujuan tahun kursus kepimpinan ini diadakan?

Tahun kursus kepimpinan ini diadakan supaya kita nanti mengisi ruang yang sudah kosong lantaran kehilangan ramai pemimpin

BANGSA PALING ISTIMEWA

Apabila wujud kursus kepimpinan, kebanyakan ahli MAYC mengepit fail ke sana-sini, naik pejabat daerah, bermesyuarat, mohon projek. Salah satu istimewanya bangsa Melayu yang boleh mengalahkan Amerika, Jepun, Perancis, Britain, Itali, Korea ialah kebolehannya bermesyuarat.

Melayu bangsa yang amat pandai, sampai ke kampung-kampung kita bersyarah. Di kampung, belia kita sudah mula bergiat cergas dalam mesyuarat dan kelab belia, aktif dalam cawangan UMNO, jawatankuasa kemajuan kampung dan jawatan kuasa kariah mesjid. Di luar Malaysia pula belia kita aktif dalam Jawatankuasa Pelajar.

Anak Melayu sudah mula turun naik Pejabat Daerah. Naik dengan muka masam turun dengan muka serius. Tahun 1977/1978 kita namakan tahun Kursus Kepimpinan. Ramai ahli MAYC berlagak seperti pemimpin besar, sampai orang lain jaki melihat gelagat mereka.

Tahun 1977/1978 ialah tahun pilihan raya yang cukup sengit dalam sejarah. Tahun 1979/1980 MAYC berusaha menyatupadukan rakyat negara kita. Tahun 1979/1980, kita namakan tahun menghayati sejarah kerana bangsa yang melupakan sejarah, pasti akan berhadapan dengan perpecahan dan kehancuran.

MENGHAYATI SEJARAH

Tahun 1979/1980 kita namakan tahun menghayati sejarah untuk mengenang kembali perjuangan kita mencapai kemerdekaan supaya kita mengenang kembali pahit getir kita berusaha untuk menikmati kemerdekaan, supaya kita mengenang kembali perjuangan orang tua-tua pada masa lalu, supaya anak muda masa kini tidak lupa daratan dan tidak melupakan jasa orang nenek moyang kita.

Tahun 1979/1980 kita namakan tahun menghayati sejarah. Tahun 1980/1981 MAYC sudah tidak mempunyai obor.

Ramai pemimpin MAYC yang dilantik menjadi Menteri. Ada yang dilantik menjadi Perdana Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen atau Menteri Besar. MAYC pada waktu itu terpaksa mencari satu sasaran yang besar yang mungkin lambat boleh dicapai.

TIGA ROMANTIKA

Tahun 1981/1982 kita namakan tahun Tiga Romantika. Tiga Romantika merupakan tahun kita mahu mengadakan projek besar-besar, projek yang sampai sekarang belum selesai kerana tiada dana.

Tahun 1981/1982 kita namakan Tahun Tiga Romantika. Mengapa?

Kalau orang bertanya kepada MAYC, jawabnya, ada sebuah kompleks di tengah-tengah kota raya, Wisma Belia atau Wisma Tunku.

Wisma Tunku kita lancarkan ketika Tunku berumur 75 tahun. Sekarang Tunku sudah berumur 80 tahun. Projek ini masih belum selesai. Insya Allah, apabila semua masalah sudah selesai, harga simen sudah turun, tidak lama lagi kita akan bekerja keras.

Ini Romantika satu, lantas jika ditanya tentang kemampuan MAYC membangunkan kompleks di tengah kota raya? Jawabnya MAYC juga sanggup melaksanakna projek di Pulau Mutiara. Untuk makluman saudara, usaha di tanah T. O. L di Waterfall Garden, Pulau Pinang sudah sampai peringkat akhir, dan kita meminta kerjasama Ketua Menterinya, Dr. Lim Chong Eu supaya segera menyelesaikan masalah ini, kerana masalah ini menjadi duri dalam daging MAYC.

Oleh itu, sama ada kita mempunyai kenalan dalam kerajaan, yang penting kita mesti memenuhi hasrat belia. Kita mesti mendapat tanah T. O. L. di Jalan Waterfall Garden kerana Pulau Pinang dahulu pun peroleh modal daripada usaha kerajaan Cina.

Jika begitu, tanah sekeping di Waterfall Garden hendaklah diserahkan secepat mungkin kepada kita sebelum darah MAYC mulai naik, kerana MAYC sekarang sudah bebas dari masalah. Justeru, sudah sampai masa ‘masalah’ baru dicari, kerana ‘masalah’ ini mungkin ada di Pulau Pinang.

Selepas kita memiliki Romantika Tiga, jika ditanya tentang kesanggupan MAYC mendirikan kompleks di hutan belantara, jawapannya sanggup. Kita berharap kerajaan negeri Pahang sudi menyumbang 100 ekar tanah kepada MAYC. Jika sebaliknya, Insya Allah kita akan membeli 100 ekar tanah tersebut daripada kerajaan negeri berkenaan suatu masa nanti.

MENERUSKAN TENUNAN

Soal merealisasikan projek Romantika Satu, Romantika Dua dan Romantika Tiga sudah menjadi perkara berlarutan. Maka 1983/1984 kita namakan tahun menyudahkan tenunan yang tak kunjung selesai.

Tahun 1983/1984 ialah tahun menyudahkan tenunan yang tak kunjung selesai. MAYC sudah merancang untuk membeli 100 ekar tanah di Pahang. Wang sudah kita peroleh daripada Bank Bumiputera untuk menyudahkan projek Wisma Tunku, dan tanah T. O. L. di Waterfall Garden sudah mula siap. Mudah-mudahan walau apa yang kita dapati sekarang ini, tahun 1985/1986 kita namakan tahun menempuh badai dan gelombang.

Insya Allah, pada tahun 1985/1986 kita akan pastikan sebuah projek yang kita cita-citakan akan selesai kerana presiden pun sudah mula meningkat usianya. Saya sudah berumur 40 tahun, walaupun rambut saya sudah lebih tua daripada saya. Sebelum mengundur diri saya ingin melihat ketiga-tiga romantika itu selesai, walau apa juga harus kita lakukan untuk menjayakannya.

BADAI BEGITU MENCABAR

Kita harus membawa MAYC berdepan dengan cabaran lambungan gelombang yang mengganas dan hempasan badai dari segenap penjuru. Tahun 1985/1986, tahun-tahun dihempas badai dan dilambung gelombang.

Tahun 1987/1988 akan menjadi tahun menanam budi. Dengan adanya sasaran-sasaran begini bagi kita, saya harap arah yang dituju oleh MAYC bagi tahun-tahun akan datang sama jelas dengan yang telah dilalui pada tahun-tahun lalu.

Sekali lagi dalam mesyuarat agung ini saya ingin mengingatkan akan hakikat bahawa MAYC adalah satu pertubuhan yang demokratik yang pemimpinnya ditentukan oleh ahli dan pemimpin pusat ditentukan oleh para perwakilan. Para pemimpin MAYC ditentukan oleh ahli, bukannya pemimpin pusat menentukan di peringkat kelab-kelab gabungan.

Apabila pemimpin di atas menentukan barisan pemimpin di kelab-kelab gabungan maka porak poranda akan berlaku kerana pemimpin di peringkat atasan tidak semestinya sependapat dengan ahli di peringkat bawah.

Keadaan demokratik dalam MAYC perlu dikekalkan untuk selama-lamanya.

MAYC juga adalah satu pertubuhan yang berbilang kaum, multiracial yang ahlinya berbilang bangsa dan keturunan. MAYC juga adalah satu pertubuhan yang berbilang peranan, multifunction, mempunyai bidang-bidang yang pelbagai. MAYC tidak terbatas pada bidang sukan, kebudayaan, agama maupun pelajaran saja. Semua belia boleh mengambil tempat dalam MAYC untuk mengasah bakat kepimpinan masing-masing. Tetapi MAYC mempunyai sasaran-sasaran nasional yang hendak dituju.

Jika ahli MAYC main bola, maka sasaran MAYC ialah untuk melayakkan ahli bermain bola di peringkat olimpik. Jika ahli MAYC terlibat dalam bidang seni, menjadi harapan MAYC supaya ahli itu menjadi seniman. Jika ahli MAYC melibatkan diri dalam kepimpinan maka walaupun di peringkat apa jua ahli itu akan cuba memimpin  dengan gaya atau style pemimpin yang boleh dipertaruhkan harapan. Untuk ini semua ahli MAYC mempunyai dua ataupun dua garis panduan, atau guideline

Garis panduan pertama dinamakan MENJARO. MENJARO ialah singkatan kepada perkataan pembangunan mental, jasad dan roh.

Pembangunan mental, jasad dan roh adalah penting bagi belia.

Tidak ada makna belia mempunyai mental yang kuat, tetapi lemah jasad dan roh. Jika otak kuat, jasad dan roh pula berkeadaan sebaliknya, bagaimana kita hendak mencapai cita-cita dan angan-angan. Tidak ada tenaga untuk melakukan kerja.

Ada belia yang mempunyai semangat keagamaan yang kuat, rohaninya cukup kuat tetapi tidak mempunyai tenaga untuk memperjuang cita-cita dan pengharapan. Golongan belia seperti ini bercakap mengenai jihad, tetapi kerana jasadnya tidak kuat, orang tunjuk dengan jari dia lari, dan jika mentalnya juga lemah dia akan lari.

Ada orang yang jasadnya kuat, rohnya tidak kuat, mentalnya tidak kuat. Walaupun dapat membuat kerja dengan betul, tetapi dia tidak mungkin dapat membuat perancangan dengan baik. Dan yang mempunyai jasad yang kuat dan nafsu yang kuat tetapi kalau rohaninya tidak kuat maka nafsunya menjadi sumber makanan. 

Setelah mempunyai kekuatan mental, jasad dan roh kita masuk pula dalam gelombang yang kina namakan POLEMAS. POLEMAS ialah singkatan bagi politik, ekonomi dan masyarakat.

Dengan kekuatan mental, kita dapat memimpin dengan baik, kita dapat merancang dengan baik, kita dapat menghidupkan masyarakat yang lesu. Dengan kekuatan jasad dalam bidang politik kita dapat berjalan ke sana-sini dengan penuh ketenangan. Dengan kekuatan jasad dalam bidang ekonomi kita dapat bekerja kuat. Dengan kekuatan jasad dalam masyarakat, kita dapat menyumbangkan tenaga untuk membangun kampung dan desa. Dengan kekuatan rohani dalam bidang politik, kita tidak akan kotorkan politik. Dengan kekuatan rohani dalam bidang ekonomi, kita tidak akan mengkhianati kepentingan orang dan menggunakan akal dengan cara yang tidak diredai Allah. Dengan kekuatan roh dalam bidang kemasyarakatan, kita tidak akan menjadi punca perpecahan dalam masyarakat.
Belia MAYC yang sudah ditingkatkan pencapaian MENJARO dan lengkap untuk masuk ke dalam bidang POLEMAS ialah belia yang sedang diasuh sebegitu rupa sehingga menjadi belia harapan bangsa.

CABARAN SEPANJANG TAHUN

Dengan konteks inilah kita dapat mengharungi berbagai-bagai cabaran sepanjang sebelas tahun lebih.

Ada yang berjaya dalam bidang politik, ada yang berjaya dalam bidang ekonomi, ada yang diterima baik sebagai pemimpin dalam masyarakat.

Kematangan yang ada dalam MAYC telah banyak membantu kerajaan.

Antaranya ialah kematangan dalam menyelesaikan isu pindaaan perlembagaan. Pada malam ini bukan sahaja sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar tetapi sebagai pengerusi jawatankuasa penerangan UMNO Malaysia, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada bala tentera MAYC yang telah turut terlibat dalam tunjuk perasaan di seluruh negara untuk menyatakan sokongan kepada Kerajaan pada saat-saat genting.

Poster dan spanduk yang telah saudara heret ke sana-sini dan laungan saudara telah berkumandang ke udara sehingga yang tidak faham telah faham hasrat kita semua. Semangat ini penting bagi kita. Kebetulan presiden saudara sekarang menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Ada beberapa perkara yang mahu saya sampaikan pada malam ini supaya saudara akan pulang ke kampung masing-masing dan menjelaskannya kepada kawan-kawan mengenai beberapa dasar negara yang sekarang ini pasti akan dipertikaikan semasa kita menghadapi pesta bulan Mei 1984.

Apabila Perdana Menteri mengambil alih kepimpinan negara banyak perubahan berlaku. Mula-mula Perdana Menteri mencepatkan waktu, setengah jam. Lee Kuan Yew pun ikut kata Datuk Seri Dr. Mahathir apabila beliau dengar Datuk Seri hendak mempercepatkan waktu setengah jam. Dia pun bangkit subuh-subuh, cepatkan jam setengah jam di Singapura. Pada waktu itu kerajaan dikecam berbagai-bagai tohmahan.

Orang PAS umpamanya mengatakan Kerajaan campur tangan urusan Tuhan dengan mempercepat waktu 30 minit. Rata-rata, orang susah menunaikan solat. Sebab apa? Solat cepat 30 minit sebelum masuk waktunya, 30 minit sebelu masuk waktu subuh sudah mula bersolat sebab Dr. Mahathir telah mempercepatkan waktu 30 minit.

PAS ada di mana ada padi. Tiada padi tiadalah PAS.

Mengapa?

PAS hidup di mana ada pondok dan pondok hidup di mana ada padi.

Perlis ada padi, ada pondok, ada PAS.

Kedah ada padi, ada pondok, ada PAS.

Keriang ada padi, ada pondok, ada PAS.

Bagan Datoh ada padi, ada pondok, ada PAS.

Batu Gajah tiada padi, tiada pondok, tiada PAS.

Ipoh tiada padi, tiada pondok, tiada PAS.

Kelantan Utara ada padi, ada pondok, ada PAS.

Kuala Terengganu tiada padi, tiada pondok, tiada PAS.

PAS sekarang PAS moden.

Johor tiada padi, ada pondok, ada PAS.

Pahang begitu besar tak ada padi, tak ada pondok, tak ada PAS.

Selangor di Sabak Bernam ada padi, ada pondok, ada PAS.

Kuala Kubu tak ada padi, tak ada pondok, tak ada PAS.

Wilayah Persekutuan tak ada padi, tak ada pondok, tak ada PAS.

Mengapakah di mana ada padi, ada pondok, dan di situ ada PAS?

Sebabnya ialah hidupnya pondok terletak pada zakat padi. Itu sumber ekonomi pondok dan PAS. Itupun dia kata ekonomi tak penting.

Kalau ekonomi tak penting bagaimana kita mampu membayar zakat, bagaimana boleh didirikan pondok, bagaimana dapat dihidupkan PAS?

FITNAH PILIHAN RAYA

Sekarang orang pondok semua sokong kerajaan tetapi terdapat fitnah pada musim pilihan raya mengatakan Dr. Mahathir cepatkan waktu setengah jam tak sah solat kita.

Kalau kita tanya pada orang PAS, apakah kita bersolat ikut jam?

Kita tanya lagi apakah apabila jam mati kita berhenti mengerjakan solat?

Kita bukan bersolat mengikut jam, kita bersolat mengikut waktu, solat ikut waktu tetapi bukan waktu ikut jam.
Sekarang isu itu sudah tutup, sudah selesai, tetapi waktu isu itu hangat, jawatankuasa penerangan UMNO terpaksa menjelaskan kekeliruan ini sambil menjalankan kempen pilihan raya.

Kemudian kita ada dasar lain, kita pergi pejabat dan punch card pukul 8.00. waktu itu semua orang marah, kerana terpaksa bangun awal. Waktu mula pejabat pukul 8.00. sudah datang pukul 7.00. Bangun pukul 7.00 sekarang macam bangun pukul 6.00 masa lalu. Kita jawab kalau bangun pukul 7.00 kita boleh solat subuh, dapat banyak pahala.

TANGGUNGJAWAB

Bercerita pasa solat, saya ingin sentuh sedikit tentang mesjid. Kadang-kadang apabila bumbung mesjid rosak, berlubang sana berlubang sini, hujan turun basah lantai, jawatankuasa kariah mesjid mesyuarat. Mesyuarat bincang pasal lubang bumbung mesjid.

Selepas itu jawatankuasa kariah merujuk kepada jawatan kuasa untuk mendapatkan dana. Jawatankuasa tubuh merujuk kepada jawatankuasa daerah. Jawatankuasa daerah bertanyakan keadaan saiz lubang bumbung yang bocor itu?

Tanya jawatankuasa kampung, jawatankuasa kampung bacakan surat jawatankuasa daerah. Jawatankuasa daerah, setelah meneliti surat jawatankuasa kampung, rujuk kepada jawatankuasa kariah minta baiki lubang bumbung yang bocor.

Jawatankuasa kampung beri duit pada jawatankuasa kariah. Jawatankuasa kariah kata duit tak cukup kerana lubang sudah besar. Rujuk balik jawatankuasa kampung, jawatankuasa kampung bawa balik pada jawatankuasa daerah, jawatankuasa daerha sukat semula saiz lubang.

Kemudian tambah duit, lepas dapat duit repair bumbung, selesai baiki bumbung lantai pula berulit-ulit. Lama-lama Wakil Rakyat marah. Mesyuarat Bahagian pun diadakan. Wakil Rakyat keluarkan duit poket baiki bumbung dan lantai, dalam mesyuarat baru tentukan jumlah peruntukan. Duit, duit kerajaan, kerajaan masuk syurga, rakyat habis masuk neraka.

Ada orang yang yang takut pakai tanda nama, waktu itu apabila kerajaan keluarkan arahan pakai tanda nama, sesetengah kaki tangan kerajaan malu memakainya sehinggakan kita terpaksa adakan kempen. Yang malu memakai tanda nama, namanya disingkatkan, Che’ Jo, Kim Mah, Cik Sai ful, kalau malu kita tukar nama, Melati, Kesuma, Kemboja.

Tapi sekarang semua orang pakai tanda nama, semua orang cam nama. Ramai belia dan beliawanis PAS apabila bermusyawarat, pakai tanda nama kadang-kadang bin tak ada. Kadang-kdang nama bapa ada nama sendiri pula tak ada. Ini sudah jadi dasar yang baik.

Satu hari seorang wakil rakyat dalam satu majelis menyampaikan ceramah, katanya apa sebab kerajaan arahkan pakai tanda nama? Seorang pemimpin menjawab mengatakan bahwa tujuan kerajaan itu adalah untuk meningkatkan kepekaan.

Selepas itu orang UMNO Langkawi bertanya, apakah erti perkataan kepekaan. Jawab hamba Allah itu erti kepekaan itu ialah sensitif. Orang UMNO Langkawi tadi diam, selepas mesyuarat saya bertanya,”Adakah awak faham makna perkataan sensitif?” Dia menagatakan dia pun tidak tahu. Dalam hal ini ada isu. Sekarang sudah selesai.

Pada masa dahulu, orang Melayu kalau melihat sami di dalam bas dia lari, tidak mahu naik bas yang sama. Kadang-kadang dia lihat sami Siam berpakaian baju kuning menanti bas di tepi jalan, bas berhenti dia tidak naik. Sekarang sami tak datang pun ke malaysia, sebaliknya orang malaysia pergi ke Thailand mencari sami.

Dahulu apabila kita melihat orang Cina menjual babi di dalam bakul di belakang basikal, atas kayu bulat, dengan warna dagingnya yang putih, dari jauh lagi kita lihat kita ludah, jijik.

Dahulu penyakit orang Melayu, kalau barang Haadyai (sebagai contoh kasut Clark) cop Made in England, beli juga walaupun agak mahal, padahal kasut Clark itu sebenarnya Made in Thailand.

BOIKOT BARANG BRITISH

Kemudian kita tidak mahu pakai barang British, awal-awal kita tidak mahu British, sebab apa?

Datuk Seri Dr. Mahathir kata barang Inggeris tak semestinya yang terbaik. Maka, habis mengamuk orang kulit putih di dunia.

Apabila Dr. Mahathir berjumpa Margaret Thathcher, Margaret Thatcher setuju dengan dasar kita.

Sekarang British hormat kita.

Sebab apa?

Sebab dahulu kita berjiwa bangsa terjajah, kita lihat orang British kita takut.

Datuk Seri Dr. Mahathir buat dasar Buy British Last.

Sekarang ini orang putih hormat orang Melayu, dan rakyat Malaysia. Dia tahu orang yang ada di Malaysia ini jenis bos, bukannya kuli.

PANDANG KE TIMUR

Kemudian kita ada Dasar Pandang ke Timur.

Pandang ke Timur bermaksud melihat ke Jepun, melihat ke Korea, melihat ke Taiwan. Lihat. Apa yang hendak dilihat? Kalau Fuji yang kita lihat, kita nampak kasino saja.

Yang perlu kita lihat ialah apa yang berjaya dicapai oleh bangsa Timur. Kyoto perlu kita lihat.
Baru-baru ini pada satu majlis ada orang berucap menyatakan dasar pandang ke timur ini adalah dasar untuk memberi kontrak kepada orang Jepun. Saya perlu jelaskan sekali lagi pada malam ini supaya tidak menjadi isu yang berpanjangan.

Berpuluh-puluh kali pemimpin Kerajaan menjelaskan bahawa pandang ke timur bukan memberi kontrak kepada orang Jepun.

Kerana apa? Kerana di Jerman, Jepun dapat kontrak, syarikat Jerman kalah, di Amerika Syarikat, syarikat Amerika kalah, di Perancis, syarikat Perancis kalah, syarikat Jepun menang.

Di England, syarikat Inggeris kalah, Jepun menang, di Arab Saudi, syarikat Inggeris kalah, syarikat Perancis kalah, syarikat Amerika kalah, syarikat Jerman kalah. Yang menang syarikat Jepun dan syarikat Korea.

Mana ada dasar orang barat pandang ke timur? Mana ada dasar Inggeris pandang ke Jepun, mana ada dasar Amerika pandang ke Jepun?

Tapi kontrak dapat pada Jepun ada Korea.

Sebab apa?

Sebab azam orang Jepun sangat tinggi, mereka buat kerja pantas. Dan manfaat bagi pinjaman yang diberikan untuk projek adalah besar.

Dan pada waktu ekonomi negara meleset kita tidak mungkin dapat mengadakan projek besar-besar di negara kita, kecuali meminjam daripada banyak bank.

Jikalau kita meminjam duit daripada banyak bank, kita harus adakan tender antarabangsa. Apabila ada tender antarabangsa, tender Jepun dan tender Korea akan dapat.

Apakah yang kita pandang pada orang Jepun dan Korea?

Yang kita pandang pada orang Jepun dan Korea bukan maksiat yang ada di sana. Apabila kita memandang ke Jepun, Korea dan Taiwan, kita tidak bermaksud untuk menyerahkan kontrak kepada mereka.

Apabila kita memandang ke Jepun dan Korea kita melihat kepada pembangunan yang ada di sana.

Saya ingin bertanya, mengapa Jepun maju?
      
Ada orang kata Jepun maju kerana sains & teknologi, ada orang kata Jepun maju kerana pendidikan tinggi, ada orang kata Jepun maju kerana pengurusan atau urus tadbir yang cekap. Lantas kita bertanya, sejak bila Jepun maju?

Jepun maju sejak tahun 1868, setelah zaman peralihan Maharaja Meiji.
Waktu itu tentera Jepun dibekalkan senjata moden, sehingga askar Samurai Jepun berjauh hati kerana kepakaran mereka bermain pedang tidak lagi dihargai kerajaan Jepun.

Pada waktu itu Samurai terkeluar daripada angkatan tentera Jepun dan mereka menubuhkan syarikat.

Itu sebabnya pada tahun 1833, tertubuh syarikat Mitsubishi, Mitsui, Marubeni, Sumitomo dan Dai Ichi Kangyo.

Semua lima syarikat ini adalah syarikat yang membawa nama-nama Samurai.

Adakah Samurai memiliki kebolehan teknologi?

Tidak ada.

Adakah Samurai memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi?

Tidak ada.

Adakah Samurai memiliki sistem pertahanan yang kebal dan ampuh?

Tidak ada.

Maka apakah yang ada pada Samurai?

Yang ada pada Samurai ialah kemampuan yang tegas. Samurai adalah jenis orang yang apabila mahukan sesuatu benda mereka mengusahakannya bersungguh-sungguh sampai berhasil.

Di Korea Selatan, pada tahun 1965, Presiden Park Chong Hee setelah menang revolusi Korea Selatan, beliau datang ke Malaysia berjumpa dengan Allahyarham Tun Abdul  Razak, waktu itu Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Presiden Park Chong Hee pergi ke bilik gerakan.

Di papan taklimat yang pertama di bilik gerakan ada ayat Al-Quran yang bermaksud ‘Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, sehingga kaum itu sendiri merubah nasibnya!..’

Park Chung Hee minta pada Tun Razak dua orang pegawai kerajaan untuk meniru Rancangan Luar Bandar Malaysia. Rancangan Buku Hijau.

Park Chung Hee balik ke Korea, dua pegawai kanan Malaysia pergi ke Korea, orang Melayu memberi kursus kepada orang Korea, sunnguh hebat orang Melayu!

Hari ini 20 tahun kemudian kita saksikan kejayaan mereka. Waktu Presiden park Chung Hee melancarkan program Saemul Undung, program gerakan tempatan di Korea, dalam ucapan sulungnya beliau berkata ‘The religion of Muhammad has commanded that God shall not change the fate of man until they change themselves.’ Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri berusaha merubah nasibnya.’ Park Chung Hee sendiri yang melaungnya 20 tahun dulu.

Korea pun dahulu belajar daripada orang Melayu.

Sebab mereka menghayati maksud ayat Quran yang satu itu saja.

Mereka faham tentang satu ayat itu saja. Orang Melayu baca Quran tentang ayat sampai berbuih mulut tetapi kerja tak menjadi juga.

Mengapakah Park Chung Hee berjaya dalam wawasannya? Kerana Park Chung Hee sewaktu melaksanakan programnya dia baca sejarah Korea Selatan, dan dia dapati dalam sejarah itu ada seorang Maharaja Shila seribu tahun dulu menghayati falsafah yang sama dengan falsafah Bushido yang ada pada Samurai.

Kini falsafah yang ada pada orang Korea ialah falsafah Hwarang. Falsafah Hwarang ini telah diperkenalkan oleh orang Korea pada tahun 1942, sewaktu Korea berperang dengan Jepun pada 13 November 1642.

Pemimpin perang Korea Selatan pada waktu itu Laksamana Yi Sung Jin, berperang dengan Shogun Toyotomi Hideyoshi. Mengapa dia menang? Dia ada semangat Hwarang. Semangat Hwarang itu adalah berani, sanggung berkorban, bekerja kuat, amanah. Empat sifat itu juga ada pada orang-orang di Taiwan yang mengamalkan cara-cara yang sama dengan orang-orang Jepun dan Korea.

Kita belajar falsafah orang Timur yang berjaya. Oh! Ini pun ada orang mengecam kerajaan.

Mengapa kita mesti pandang ke Timur?

Apakah tidak cukup kita membaca al-Quran, mengapa kita tidak pandang pada orang Arab?

Jawabnya Islam ada di mana-mana. Islam sudah ada di seluruh dunia. Ajaran dan falsafah Isalam diamalkan secara tidak langsung oleh bangsa Barat dan Timur yang mahu berjaya dan lantaran itu mereka telahpun berjaya, walaupun mereka tidak mengucapkan dua kalimah syahadah.

KISAH PERANG BADAR

Islam ada dalam Al_Quran dan Hadis, di Malaysia ada Islam, tidak perlu melihat kepada orang Arab sekarang, kalu kita melihat kepada Arab sekarang kita akan  berkelahi sebagaimana mereka sekarang berkelahi.

Orang Melayu tidak perlu belajar berkelahi daripada orang Arab, Arab patut belajar berkelahi daripada orang Melayu.

Jika kita melihat kepada ajaran agama, kita akan bertemu satu kisah di dalam Islam. Kisah Perang Badar. Dalam Perang Badar umat Islam yang sedikit bilangannya menang.

Timbul pertanyaan, kalau umat Islam yang sedikit itu telah menang, mengapa Rasulullah masih bermenung?

Sahabat bertanya, ”Ya Nabi, mengapa tuan bermenung sedangkan kita baru menang?”

Jawab Nabi, “Aku mengenang nasib umatku pada masa akan datang.”

Sahabat bertanya, “Ya Nabi, mengapa tuan bermenung mengenang nasib umatmu yang akan datang?”

Adakah umat Islam akan kalah pada masa akan datang?

Jawab Nabi, “Ya! Umat Islam pada akhir zaman akan kalah!”

Tanya sahabat, “Ya Nabi, mengapa umat Islam akhir zaman akan kalah? Adakah kerana jumlahnya sedikit seperti bilangan kita dalam Perang Badar?”.

Jawab Nabi, “Tidak, umat Islam akhir zaman akan kalah walaupun jumlahnya besar”.

Sahabat bertanya, “Mengapa ya Nabi?”

Jawab Nabi, “kerana umat Islam akhir zaman terkena penyakit Wahnu dan Hubbuddunya, penyakit takut pada mati dan cinta pada dunia”.

Oleh itu dalam agama Islam orang yang takut pada mati akan kalah.

Apabila kalah mereka mati.

Orang yang takut pada mati, kalah dan apabila kalah mereka mati.

Orang yang takut pada mati akan mati, kalau dia ingin menang dia tak akan takut pada mati. Apabila kita tidak takut mati, kita akan menang. Apabila kita menang kita tidak takut mati. Orang yang takut pada mati orang yang kalah, justeru dia itu dia mati. Orang yang takut pada mati akan mati, orang yang tak takut pada mati akan hidup.

Orang yang tak takut mati dapat menghidupkan bangsanya, pada setiap masa.

Sebab itu Samurai di Jepun, pejuang-pejuang kanan di Korea Selatan, kerana semangat yang berani walaupun memerlukan pengorbanan yang hebat, bangsa ini menjadi bangsa yang makmur. Kita jangan belajar cara Arab sekarang berkelahi, tapi kita perlu betulkan cara kita berjuang, dan cara kita berkorban untuk mencapai cita-cita. Banyak perkara dalam agama yang kita perlu ikut betul-betul.

Saya tanya kepada belia dan saya pernah tanya pada orang tua-tua, sama ada belia tahu atau tidak.   

Sebab apa apabila bersin kita sebut Alhamdulillah? Adakah orang ini ada membawa penyakit? Tidak ada. Orang kata apabila kita bersin, keluar penyakit sebab itu kita sebut Alhamdulillah.

Baiklah, apabila kita buang angin apa kita sebut?

Yang mana lebih banyak keluar penyakit apabila kita bersin ataupun buang angin? Lebih banyak penyakit keluar bila buang angin, mangapa tak sebut Alhamdulillah?

Sebabnya bukan kerana penyakit keluar kita sebut Alhamdulillah.

Kita kata Alhamdulillah kerana apabila Allah Ta’ala menghembuskan roh kepada Nabi Adam mula-mula sekali dia bersin.

Bersin itu adalah permulaan hidup Nabi Adam yang dijadikan daripada tanah. Apabila kita bersin kita perlu ingat kepada permulaan kejadiaan Nabi Adam, kita perlu mengenang budi, kita kenang jasa Tuhan, dan kita sebut Alhamdulillah.

Apabila kita bersin kita sebut Alhamdulillah. Yang dengar kena jawab Yarhamukallah. Yang bersin kena jawab Yahdiina wayahdikumullah wayuslih balakum.

Kalau sukar untuk menyebutnya, lakukan seperti ini saja, apabila bersin orang kata Alhamdulillah, anda kata ‘baik’.

Itu satu contoh.

Kemudian ada orang tanya kenapa kita tak makan babi?

Orang moden, apabila ditanya mengapa kita tak makan babi, jawabnya sebab babi itu kotor, ada kuman.

Kemudian kalau orang bertanya, bagaimana kalau babi itu bersih, tak ada kuman?

Dia sudah terdiam, tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Ada pula yang menjawab, salah satu jenis kuman dalam babi susah mati.

Kita telah memberi alasan yang salah dari segi agama.

Sebab kita tak makan babi, mudah. Waktu bahtera Nabi Nuh kotor, beliau tak tahu nak cuci. Nabi Nuh doakan Ya Allah. Tolong kirimkan satu binatang yang gemarkan kotoran. Allah Ta’ala pun kunfayakun datang babi, itu sebab mulut babi macam ekzos kereta. Kereja kerja babi kutip najis, jadi kerja babi makan najis dan bukan kerja kita makan babi.

Kita jangan fikir apabila kerajaan kita pandang ke Timur, semua orang kerajaan tidak betul. Kadang-kadang orang yang kecam kita mengenai dasar pandang ke Timur pun pengetahuan agamanya tidak sedalam mana.

Walhal kalau dia belajar agama, dia jadi teguh. Kadang-kadang Jepun yang bukan Islam lebih amanah daripada Arab yang Islam. Oleh itu nilai-nilai Islam kita ambil walau di mana jua nilai ini berada.

Saya berharap ahli MAYC dapat turut sama mempertahankan dasar kerajaain ini yang saya rasa akan menjadi dasar yang akan terus diterapkan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

BERSIAP SEDIA

Akhir sekali pada kesempatan ini saya sekali lagi menyeru ahli MAYC supaya bersiap sedia, bersatu setiap masa, lebih-lebih lagi untuk menghadapi gelombang pada tahun-tahun yang akan datang.

Kerana pada tahun-tahun yang akan datyang kita akan mengadakan rancangan-rancanagn besar dan saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada ahli MAYC yang bersetuju tidak menandingi saya untuk menduduki jawatan presiden pada tahun ini.

Lebih penting daripada itu ialah kekuatan suku juta ahli MAYC yang sekarang ini perlu diperkuat lagi, bukan dengan menambah bilangan ahli tetapi dengan meningkatkan utu kepimpinan ahli.

Dalam hal ini mutu kepimpinan seseorang itu bukan disukat dari segi gaya dan rupa seseorang dalam masyarakat. Yang penting ialah kemampuan individu itu untuk mengekalkan perpaduan.

Saya pernah berkata di tempat lain, yang mungkin saudara tidak berkesempatan mendengarnya, satu contoh yang paling baik dalam usaha menyeru orang bersatu padu, ialah dengan mempamerkan “penumbuk” kita pada orang.

JANGAN TUNJUK LAGAK

Apabila orang berlagak sangat beritahu dia jangan begitu. Orang Melayu sekarang ini ada penyakit lagak.

Yang jadi kerani lagaknya lebih daripada kerani, yang jadi pengurus lagaknya lebih daripada pengurus, yang jadi pengarah lagaknya lebih daripada pengarah.

Tetapi jika kita berlagak begitu saja tidak mengapa, jangan berlagak sampai menyakiti orang lain, sebagai contoh, Sanusi Junid berlagak sedikit tak mengapalah ya, asalkan tidak menyakiti orang.

Kalau masing-masing asyik dengan lagak masing-masing tak mungkin bangsa kita akan bersatu.

Kalau bangsa kita berlagak sedikit tak mengapa, ada pewajarannya. Apatah lagi segala-galanya ada pada kita orang Melayu. Jika kita pergi ke England, semua orang Inggeris berkulit putih, tetapi ada bintik-bintik sedikit. Itu orang England.

Kalau kita pergi ke Korea pula kita lihat kulit mereka putih pucat. Kalau kita pergi ke Afrika kita lihat kulit mereka di sana hitam legam, berkilat, tapi kalu kita lihat kulit orang Melayu, ada yang putih, putih melepak, ada yang hitam si hitam manis, ada yang kuning, kuning langsat pula lagi. Melayu ada colour, Melayu yang rupa Mat Saleh, Melayu yang rupa Arab, rupa India, rupa Jepun, rupa Korea. Melayu adalah satu bangsa yang hebat. Dari segi berani, Melayu pun berani.

Dahulu askar Melayu pergi ke Kongo berdepan denagn orang-orang Afrika. Askar Melayu berjaya menyelesaikan masalah di Kongo. Semua orang Kongo kagum menyaksikan kehebatan orang Melayu yang berjuang di sana.

Mereka yakin kepada kita. Syukurlah nama kita baik, rupa menarik, berani pula. Allah Ta’ala mengamanahkan gugusan Kepulauan Melayu ini kepada kita.

Negara lain korek laut tak jumpa minyak, negara lain korek bumi tak jumpa bijih. Negara lain tanam pokok tak tumbuh.

Negara kita tanam biji naik pokok getah menghutan, tanam biji naik kelapa sawit berladang-ladang, korek laut jumpa minyak bertelaga-telaga sampaikan kita sendiri tidak terkaut hasilnya, terpaksa panggil orang lain bantu. Kemudian Allah memberi kita Tanah Melayu. Bangsa Melayu bangsa nombor empat terbesar di dunia. Dari segi itu jumlah Rumpun Melayu 200 juta itu tidak termasuk yang 70 juta Dr. Mahathir anjurkan menjelang 2020.

Itu dari segi bangsa kita.

Dari segi bahasa,

The Malay language is one of the simplest and yet the most beautiful language in the world and it is easy to learn, but difficult to master.

Professor Simon berkata, The Malay language is one of the most beautiful language in the world, easy to hear and yet hard to master.

Itu petikan ayat daripada buku Professor Simon.

Alangkah hebatnya Bahasa Melayu!

Justeru, bangsa kita bangsa besar, rupa menarik dan berani, tinggal di dalam negara yang kaya. Otak pula geliga.

Begitu hebat bangsa kita, tetapi mengapalah keindahan kita itu menjadi permainan orang, mengapalah kekayaan kita itu menjadi milik orang, mengapalah keberanian kita menjadi perkakas orang, mengapalah pandai berkelahi sesama sendiri?!

Puncanya satu, lagak lebih.

Kalau buang semua sifat negatif itu, beres semua. Yang duduk di atas ini semua baik-baik belaka.

Setelah kita runtuhkan sifat lagak kita, kita bersatu laksana jari-jeamri yang membentuk penumbuk.

Kalau masing-masing dengan lagaknya, sampai bila pun tak boleh buat “penumbuk”. Contohnya, ini ibu jari, apabila kita genggam, ibu jari kata aku tidak mahu genggam kerana aku yang teristimewa. Akulah yang paling besar dan kuat daripada yang lain, dan akulah yang duduk di atas dan akulah yang special, apabila orang kata best selalu orang tunjuk aku.

Jari telunjuk pun tak mahu join. Jari telunjuk berkata buat apa aku join jari-jari lain, sedangkan aku jari tang istimewa, akulah jari yang paling warak, apabila orang baca Ashhadu Allaailaahaillallah, akulah yang duduk tegak bukan jari lain.

Jari manis pula berkata, aku lagi special, aku tidak mahu join. Mengapa aku digelar jari manis? Lihat! Nama aku pun manis, tugas aku kerja menambat kasih. Sewaktu orang bertunang atau bercinta, semua tahu akulah tempat orang menyarungkan cincin. Orang meminang orang tidak sarung cincin pada jari hantu, kalau disarungkan di jari hantu, hantulah yang keluar.

Kelingkin yang kecil inipun tak kurang lagaknya. Kelingking berkata, aku tak mau join, aku pun istimewa juga, tugas aku jadi traktor korek telinga. Kelima-lima jari ini ada lagaknya, kalau diturutkan lagak mereka, maka sampai bila pun mereka tidak akan bersatu.

MENGENANG BUDI

Namun begitu, bangsa kita pasti akan bersatu sekiranya kita merendah diri, kita insaf akan kedudukan kita, kita tahu akan kejadian kita, kita sedar akan kekuatan dan kelemahan musuh kita, dan tidak angkuh apabila kita menang.

MAYC pasti akan bersatu apabila ahlinya sudah menjadi bibit yang tahu berbudi kepada orang, sudah menjadi bibit yang tahu menanam budi dan nilai khidmat kepada masyarakat, kepada keluarga dan kepada negara, tidak mementingkan diri,  tetapi mementingkan kepentingan awam. Apabila ahli MAYC tidak mementingkan diri untuk menegakkan hak dan lepentingan masyarakat, maka pada waktu itu, masa depan negara akan menjadi lebih cerah dan lebih cemerlang.

Bangsa yang selama ini dihina orang. Bangsa yang selama ini merasa dirinya kerdil, sekarang sudah keluar daripada cengkeraman rasa inferior masa lalu. Untuk itu tidak cukup bagi kita hanya memikirkan kepentingan kita, kita selalu berusaha untuk mengabdikan diri dalam masyarakat dan menbuat persiapan menuju zaman yang lebih gemilang.

Bagi membuat persiapan untuk mencapai tahap pencapaian yang lebih tinggi, untuk memastikan bangsa kita menjadi bangsa yang cukup maju, untuk memastikan bangsa kita disegani dan dihormati, maka kita belia pada hari ini perlu bersatu, menjadi platform perpaduan, menjadi sumber atau asas bersatu padunya masyarakat.

Semoga bangsa kita menjadi bangsa yang berdaulat dan besar di Nusantara. Untuk itulah kita menagdakan mesyarat agung di sini.

Setiap tahun kita mengadakan mesyuarat agung di tempat-tempat yang berlainan, dan setiap kali kita bermesyuarat, saya berpidato kerana saudara.



   





0 comments

Post a Comment