Kita Merancang Allah yang Menentukan

Posted by mayc_pkbm | 9:06 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-29, 1983

DARI TARIKH KITA mengadakan mesyuarat agung MAYC yang lalu, iaitu pada 8 Ogos, 1982 sehingga hari ini kita baru melalui jangka masa 8 bulan 9 hari dengan berbagai-bagai kegiatan.

Saya ucapkan taniah kepada ahli jawatankuasa pusat MAYC, bahagian-bahagian negeri, cawangan-cawangan daerah dan kelab-kelab gabungan yang telah bertungkus-lumus dalam masa yang singkat untuk mengadakan beberapa program.

Malah, kegiatan MAYC dalam masa 8 bulan 9 hari yang lalu boleh dikatakan sama, mungkin lebih rancak berbanding tahun-tahun yang lalu.



TAHNIAH MAYC NEGERI SEMBILAN

Sebelum itu, saya ucapkan taniah kepada pengerusi majlis yang telah berjaya mengendalikan Majlis ini dengan baik.

Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada MAYC Negeri Sembilan yang telah mengatur dengan begitu baik program kita pada kali ini. Saya percaya segala komen atau teguran yang dikemukakan diterima dan disambut dengan positif dan fikiran terbuka kerana ahli MAYC semakin hari semakin matang dan bijaksana dan kita sedar akan hakikat bahawa tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua orang pada satu masa.

Bagi kita, rasa tidak puas hati menandakan bahawa minda ahli MAYC semakin matang dan berkembang.

Apabila sudah ada pihak yang sanggup memuaskan kehendak ahli MAYC bermaknalah pada saat itu pemikiran ahli MAYC sudah tidak berkembang lagi.

Oleh itu, yang ditegur janganlah berasa sedih dan yang menegur pula janganlah berhenti daripada menegur pada tahun-tahun akan datang.

Saya ucapkan terima kasih yang istimewa kepada MAYC Cawangan Daerah Port Dickson yang bekerja kuat untuk memastikan nama baik MAYC Negeri Sembilan terpelihara.

Jika saudara perhatikan kandungan ucapan saya malam tadi, sebahagian besar isi ucapan itu adalah ulangan daripada apa yang telah saya katakan pada masa lalu.

Memanglah sudah menjadi resmi saya dalam mesyuarat agung MAYC, saya menambah hanya kira-kira 20 peratus sahaja bahan bari setiap tahun.

Walau bagaimanapun, saya berasa hairan, walaupun saya sudah berulang kali menekankan sesuatu perkara dalam mesyuarat agung, tetapi mesej saya itu tidak sampai kepada ahli MAYC di peringkat cawangan daerah dan kelab gabungan.

Oleh itu, saya bersetujulah supaya ucapan saya dirakamkan untuk diedarkan kepada cawangan daerah dan kelab gabungan. Insya-Allah saya akan kumpulkan semua ucapan saya dalam Perhimpunan Agung untuk dijadikan buku panduan.

Walau bagaimanapun, isi kumpulan ucapan saya nanti bukanlah merupakan sebuah buku yang paling hebat kerana apa yang lebih penting ialah intipati kandungan ucapan-ucapan saya, iaitu perkara atau mesej penting yang saya ingin sampaikan kepada ahli MAYC.

Saya berharap semoga isi ucapan ini akan dijadikan bahan panduan oleh ahli MAYC untuk mengenal MAYC secara lebih dekat kerana ucapan pada acara perasmian dan acara penangguhan merupakan ulasan terhadap perkara yang telah ditimbulkan oleh ahli MAYC dalam ucapan-ucapan penangguhan mereka mengenai isu-isu sepanjang tahun yang dihadapi.

Sebelum saya menjawab ataupun memberi respons kepada kenyataan mereka yang telah berucap, saya ingin membuat penjelasan sedikit untuk menjadi contoh bagi MAYC pada masa akan datang semoga kekecohan yang sedikit berlaku tadi tidak berulang lagi.

Alhamdulillah dengan tiba-tiba, Melaka teringat untuk membentangkan usul tergempar. Pada malam tadi juga salah seorang ahli jawatankuasa kita telah meminta maaf kepada saya kerana beliau terpaksa balik kerana ada mesyuarat UMNO pada hari ini.

Saya katakan "baiklah" kerana saya tidak dapat menghalang orang hendak hadir mesyuarat UMNO di cawangan. Tiba-tiba pada pagi ini saya melihat ahli jawatankuasa itu ada dalam majlis ini.

Apabila usul Melaka dibentangkan, ahli jawatankuasa itu telah menulis satu usul dengan tulisan tangannya sendiri dan disampaikan kepada salah seorang wakil. Wakil Hutan Melintang pun tandatangan dan serahkan kepada pengerusi.

Jadinya, idea usul ini bukan datang daripada yang bercakap tetapi datang daripada ahli jawatankuasa yang tidak jadi balik untuk menghadiri mesyuarat UMNO. Kemudian usul ini tidak merupakan sokongan kepada usul Melaka, dijadikan usul baru, sehingga saya lihat ini boleh membawa kepada percanggahan.

Setelah saya memberikan penjelasan, saya berharap semoga usul ini ditarik balik, akhirnya tidak ada yang tarik balik, malah lagi seorang bangun supaya kita jangan berucap mengenai usul mengutuk Rusia kerana semua setuju, maka kita terima sahaja. Apa yang aneh ialah dalam membawa usul ini kita tidak langsung mengutuk Rusia, yang ada ialah usul agar kita menyelesaikan masalah pertelingkahan. {Mohon diteliti teks ini kerana teks asal diletakkan di bawah kepala/heading NEGARA MENGHADAPI ANCAMAN, sila rujuk teks asal hlm. 209-210, sedangkan teks dalam para tidak menyebut tentang ancaman terhadap negara}


SATU PENGAJARAN

Apabila saya bangun semula dan saya berucap maka pada waktu itu ahli jawatankuasa telah datang kepada saya menyatakan wakil yang bangun bercakap tadi adalah wakil yang bodoh kerana wakil itu masih baru dalam mesyuarat agung.

Itulah yang saya nasihatkan kepada ahli MAYC jangan sekali-kali menerima arahan begitu sahaja walaupun daripada orang besar mana sekalipun.

Apabila menerima arahan gunakan fikiran, kerana mungkin orang di atas akan buat keputusan yang membuatkan kita di bawah menjadi susah.

Ini satu nasihat yang penting dan apa yang aneh ialah apabila selesai usul Melaka diterima, ketiga-tiga mereka menaiki kereta balik untuk menghadiri mesyuarat UMNO.

Untuk itu, saudara-saudara, saya berharap perkara ini merupakan satu pendedahan yang perlu difahami oleh MAYC, smeoga MAYC tidak diperbudak-budakkan oleh yang berkepentingan. Sanusi Junid telus, tidak menyimpan apa-apa rahsia, segala yang saya tahu saya beritahu kepada orang. Orang suka saya pun suka, tak suka pun tidak mengapa.

Kemudian kita kembali kepada perkara tiga romantika.

Saya bersetuju untuk kita pergi ke Terengganu kalau di Pahang kita tidak berjaya, tetapi sebelum kita pergi ke Terengganu usaha kita di Pahang perlu diselesaikan, yang menjadi sebab kita memilih Pahang ialah kedudukannya di tengah-tengah Malaysia.

Dari Pahang ke Kota Bharu dan dari Pahang ke Pulau Pinang hampir sama jaraknya. Di tengah-tengah, terletak negeri Pahang. Tanah yang ditawarkan di Semantan lebih dekat ke Terengganu, Kuantan dan Kelantan. Namun begitu, tempat yang ideal ialah tempat yang ada sekarang tetapi sekiranya tidak dapat, kita akan mengambil mana yang ada.

Walau bagaimanapun, kita akan berusaha dahulu sebelum kita berpindah tempat.

Ada seruan daripada perwakilan meminta supaya penyata anak-anak syarikat dibentangkan agar kita mengetahui prestasinya.

Saya fikir ini adalah satu cadangan yang baik, walaupun butir tentang syarikat-syarikat ini termasuk keuntungannya secara umumnya ada, namun kita akan cuba membentangkan akaun syarikat-syarikat itu dalam mesyuarat akan datang dalam satu laporan khas.


PINGAT JC

Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada wakil dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak yang semuanya sanggup menjadi tuan rumah. Barangkali mereka juga ada calon-calon JC untuk dikemukakan pada tahun-tahun yang akan datang.

Saya mengambil perhatian mengenai teguran Terengganu dan Kelantan mengenai pingat JC. Untuk makluman saudara, pingat JC ini memang satu pingat yang susah diperoleh. Malah setiap tahun kita lihat banyak pingat dianugerahkan oleh berbagai-bagai negeri, tetapi MAYC menganugerahkan hanya sekitar lima pingat setiap tahun.

Jelas, pingat ini adalah pingat yang amat berharga, tetapi yang menjadi masalah ialah yang layak menerima pingat ini terlalu ramai. Kebanyakan yang ada di sini semuanya layak menerimanya. Saya fikir tidak kurang dua tiga puluh orang layak. Oleh sebab ramai yang layak, maka kita perlu membuat tapisan yang ketat.

Walaupun saya tidak mempengerusikan jawatankuasa memilih pada kali ini, tetapi saya bersetuju sekiranya Negeri Sembilan diberikan kesempatan itu, bukan kerana mesyuarat agung diadakan di sini.

Pada tahun lalu, negeri Pahang sendiri yang menarik diri untuk memberi peluang kepada negeri lain. Saya berharap pada waktu lain, negeri lain juga akan diberi peluang. { Mohon disemak teks asal hlm. 214, para 3}


MASUK SABAH DAN SARAWAK

Cadangan daripada Kelantan supaya MAYC memasuki Sabah dan Sarawak sememangnya sudah lama menjadi hasrat dan cita-cita organisasi ini tetapi malangnya bukan sahaja MAYC, malah semua kelab belia di Malaysia tidak boleh mengembangkan sayapnya di Sabah dan Sarawak.

Walaupun belia Sabah dan Sarawak tidak boleh menyertai MAYC, namun saya akan pergi ke sana, tetapi atas jemputan kerajaan negeri itu. {Mohon dipastikan adakah teks ini mahu dikekalkan?, Sila rujuk teks asal hlm. 214, para akhir}

Saya bersimpati dengan keluhan ahli perwakilan mengenai kadar kehadiran ahli jawatankuasa MAYC dan kehadiran ahli EXCO dalam mesyuarat agung. Ada antara ahli EXCO yang tidak hadir mesyuarat agung disebabkan mereka telah meletakkan jawatan, tetapi masalah ini akan kita tangani setelah tamat mesyuarat agung nanti.

Dalam hal mesyuarat Jawatankuasa, ahli jawatankuasa yang menduudki EXCO Pusat MAYC ini dipilih oleh ahli perwakilan MAYC dalam mesyuarat agung. Kalau perwakilan memilih orang yang tidak suka hadir mesyuarat agung, mesyuarat jawatankuasa jangan persalahkan EXCO, kerana kita lihat setiap tahun orang ini memang baik, yang salah awaklah, bukan saya, tetapi bukanlah perwakilan pada tahun ini, kerana perwakilan pada tahun ini baik-baik semua, ini mungkin kerana pada tahun ini ada pengundian.

Oleh itu, pada tahun 1984, waktu itulah saudara-saudara menjatuhkan hukuman jangan sampai nanti apabila tiba masanya perwakilan sendiri memilih orang yang tidak langsung hadir dalam mesyuarat jawatankuasa. Saya juga berharap mereka yang berada dalam jawatankuasa kerana jawatan mereka sebagai pengerusi MAYC negeri tetapi pada waktu ada mesyuarat jawatankuasa (kebetulan kerana mereka juga adalah orang yang berkedudukan dalam negeri) mereka tidak hadir kerana tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan, tetapi mereka adalah pemimpin MAYC yang gigih di peringkat negeri.


JANGAN SALAH KECAM

Kita juga perlu berhati-hati supaya kita tidak salah kecam orang. Di peringkat negeri, masakan seseorang ketua dipilih kalau bukan seorang yang difikirkan bertanggungjawab dan berkebolehan. Yang saudara boleh tegur hanya orang-orang yang terpilih dalam mesyuarat agung perwakilan sekiranya mereka tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa.

Dalam mesyuarat agung yang akan datang mungkin satu peraturan khas akan dibuat dalam perlembagaan supaya orang yang tidak hadir dalam mesyuarat jawatankuasa lebih daripada dua kali, gugur dengan sendirinya supaya tiadalah perasaan malu dan segan oleh jawatankuasa pusat untuk membuat keputusan memecat mereka.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para wakil lebih-lebih lagi wakil dari Johor, yang mendoakan saya agar lebih berjaya dalam hidup.

Saya ingin menyatakan kepada saudara dalam hal naik turun manusia dalam politik. Kita hanya boleh berdoa dan merancang tetapi kita tidak boleh menentukan, yang menentukan hanya Allah s.w.t. Kalau ikut akal manusia, Perdana Menteri kita sekarang ini tidak mungkin menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pun tidak mungkin menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Oleh itu, kita lihat pula ada orang begitu ghairah ingin menjadi yang berhormat ataupun ingin menjadi Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri tetapi tidak berjaya kerana keputusan siapa naik dan siapa jatuh terletak dalam kekuasaan Allah s.w.t.

Justeru, saya ucapkan terima kasih kerana saya sudah pun menjadi Presiden MAYC, tetapi jangan pula ahli MAYC berasa kecewa sekiranya saya jatuh dalam politik dan kerajaan.


TINDAKAN TEGAS

Untuk makluman saudara dalam menjalankan tugas saya sebagai menteri saya tidak langsung memikirkan sama ada saya popular ataupun saya tidak popular. Kalau seseorang yang berpangkat Tan Sri ataupun Dato' tidak melunaskan hutang MARA, saya tetap mengheretnya ke mahkamah walaupun dia orang berpengaruh.

Dan kalau seseorang itu malas bekerja, tidak prihatin, tidak berdisiplin, tidak ikut perintah, saya tetap pecat walaupun dia berpengaruh dalam kedudukan politiknya. Begitu juga sekiranya orang itu menyeleweng dalam bidang tugas yang saya bertanggungjawab terhadapnya, saya akan mengambil keputusan untuk bertindak.

Oleh itu, yang penting bagi saya bukan nasib saya. Yang penting bagi saya ialah nasib orang yang diamanahkan kepada saya. Saya sendiri anak orang susah. Saya anak drebar prebet sapu, bak kata orang Kelantan, teksi komunis iaitu teksi yang tiada permit. Daripada seorang anak drebar teksi tanpa permit, saya sudah menjadi menteri. Saya sudah sampai ke puncak yang tidak pernah saya mimpikan.

Oleh itu, apa yang saya mahu sekarang ini ialah berkongsi dengan saudara-saudara supaya sedikit-sebanyak falsafah ataupun tatacara yang ada pada saya mungkin dapat saudara gunakan untuk saudara meningkat daripada sekarang, itu sahaja.

Justeru, jangan fikir saya hendak naik, yang penting fikirkan takat saya sudah naik ini. Apakah yang boleh saudara contohi dan apakah pula yang boleh saudara sumbang.

Perlu saya jelaskan kerana saya tidak mahu semangat MAYC menjadi runtuh apabla presiden sudah jatuh. Sama ada presiden itu Sanusi Junid ataupun orang lain tidak menjadi soal. Yang penting ialah MAYC terus hidup walaupun Sanusi Junid sudah tiada lagi.

Ini penting! Mengenai teguran daripada Wilayah tentang pembahagian zon memanglah untuk tujuan-tujuan penting kita tukar-tukar zon. Tindakan ini hanya bertujuan untuk mengelak daripada berkelahi kerana ahli MAYC dilatih untuk menjadi orang kuat. Ahli MAYC dilatih untuk menjadi orang bersemangat. Oleh itu, kalau ada yang berkelahi sedikit-sebanyak dalam MAYC kita tidak perlu risau sangat. Malahan elok sesekali kita berkelahi kerana ini akan menunjukkan bahawa kita adalah jenis yang kental, tetapi janganlah sampai mati. Setakat patah bagi saya, OK.

Walau bagaimanapun, saya bukan pengerusi sukan dan pengerusi sukan orang yang baik, sihat awal'afiat. Dia tidak mahu orang berkelahi, oleh itu dia aturkan sebegitu rupa supaya ahli MAYC tidak jadi berkelahi.

Saya juga bersetuju dengan teguran yang dibuat oleh MAYC Selangor dan wakil lain yang menyatakan MAYC tidak seharusnya dijadikan batu loncatan untuk golongan oportunis politik. MAYC tidak perlu tunduk kepada orang kerana orang itu orang besar politik. Tidak perlu, tetapi jangan pula MAYC menjauhkan diri daripada orang-orang yang berpengaruh, dan ahli MAYC pula tidak semestinya menjauhkan diri daripada politik, malah kita mahu ahli MAYC mengasah bakatnya dalam bidang politik.

Di sini pun, saya tahu ramai ketua pemuda UMNO, ahli jawatankuasa Pemuda. Kita lihat ramai ahli jawatankuasa bahagian dan ramai pula ahli MAYC mengasah bakat mereka dalam bidang politik dan sudah menjadi ahli Yang Berhormat.

Kita lihat saudara Salleh Kasmin, sampai beruban duduk dalam mesyuarat dari pagi sampai sekarang tidak bergerak-gerak, begitu patuh, dia ahli Yang Berhormat Johor. Dan kita lihat lagi, Mohd. Noor Bedah, dahulu dicadangkan menjadi calon dia menolak, dan saya lihat ramai lagi muka yang ada seri untuk menjadi ahli Yang Berhormat pada masa hadapan.


JANGAN MUDAH LUPA

Jangan pula kita marah apabila ahli kita menjadi ahli Yang Berhormat. Di sini pun kita ada Ketua Wanita Kedah yang bercakap sebagai wakil Kedah tadi. Ketua UMNO Kedah juga ada seri untuk menjadi Ahli Yang Berhormat.

Sungguhpun begitu, apabila sudah menjadi ahli Yang Berhormat jangan lupa kepada MAYC kerana ramai lagi ahli MAYC yang tidak ada peluang menjadi ahli Yang Berhormat. Mereka memerlukan bantuan, petunjuk, teladan dan bimbingan daripada mereka yang sudah berjaya.


PINDAAN PERLEMBAGAAN

Tidak semestinya kita tidak boleh membimbing dalam bidang politik apabila kita boleh membimbing dalam bidang lain.

Justeru, saya berharap ahli MAYC yang sudah menjadi orang besar dan yang sudah kaya supaya menjadikan mesyuarat agung tahunan MAYC sebagai hari kita berpesta, hari kita berjumpa kembali kawan-kawan lama kita.

Walaupun bukan semua ahli MAYC yang veteren berhak menjadi wakil dalam mesyuarat agung tetapi tidak menjadi masalah, malah menjadi satu perkara yang baik kalau setiap tahun beribu-ribu ahli MAYC menghadiri mesyuarat agung.

Saya berharap pemimpin MAYC yang sudah berada di atas akan memandang ke bawah, supaya yang di bawah juga akan memandang ke atas dengan penuh kesyukuran untuk mencari ilham.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, ada sedikit lagi perkara yang ingin saya sentuh. Pertama, pada tahun hadapan kita akan meminda sekali lagi Perlembagaan MAYC, meminda perlembagaan kali ini untuk menambah agenda mesyuarat supaya MAYC di peringkat pusat, di peringkat negeri, di peringkat daerah, di peringkat kelab gabungan akan berbincang berpandukan agenda yang satu.

AGENDA PERTAMA - Meluluskan minit mesyuarat yang lalu.

Minit mesyuarat mesti siap dalam masa seminggu setelah mesyuarat. Jangan tunggu mesyuarat akan datang.

AGEN KEDUA - Perkara berbangkit

AGENDA KETIGA -Membentangkan minit mesyuarat jawatankuasa lebih tinggi. Peringkat negeri mesti bentang minit mesyuarat EXCO Persekutuan.

Peringkat daerah mesti bentang minit mesyuarat EXCO negeri. Peringkat kelab mesti bentang minit mesyuarat EXCO Daerah supaya kalau mesyuarat tidak ada di peringkat daerah, kelab gabungan tahu. Mesyuarat tidak ada di peringkat negeri, daerah tahu. Mesyuarat tidak ada di peringkat pusat, negeri tahu. Dengan ini kalau daerah tidak ada mesyuarast, kelab gabungan boleh guling pemimpin daerah. Jika negeri tidak ada mesyuarat, pemimpin daerah akan guling pemimpin negeri dan kalau pusat tidak mesyuarat, pemimpin negeri akan guling pemimpin pusat.

AGENDA KEEMPAT - Membentangkan minit dari bawah ke atas. Di peringkat mesyuarat kelab gabungan, semua minit jawatankuasa kecil perlu dibentang di bawah agenda empat supaya kelab gabungan tahu.

Peringkat negeri mesti bentang minit mesyuarat awangan daerah supaya negeri tahu, cawangan daerah mana yang tidak bergerak dan di peringkat pusat, pusat akan membentang minit MAYC negeri. Kita ingin tahu MAYC negeri manakah yang tidak pernah adakan mesyuarat. Dengan cara ini kita dapat menjadikan MAYC satu kelab yang self-compiling. Satu kelab yang bergerak sendiri, kalau di bawah tidak bergerak, yang di atas akan pastikan dia bergerak. Kalau di atas tidak bergerak, di bawah akan pastikan yang di atas bergerak. Yang penting dalam satu-satu daerah, satu kelab gabungan sahaja bergerak, kalau satu kelab gabungan bergerak semua yang lain bergerak. Ini disebabkan kelab gabungan itu akan memaksa cawanfan daerah dan cawangan daerah akan memaksa negeri dan negeri akan memaksa pusat. Amalkanlah sistem ini.

AGENDA KELIMA - Membentangkan kira-kira. Dalam kelab gabungan, banyak yang tidak pernah bentang kira-kira, bimbang kerana duit sudah habis. Kita memang selalu berkelahi kerana soal duit. Oleh itu, perlu dibentangkan Agen Lima mengenai kewangan.

AGENDA KEENAM - Mengkaji projek yang telah diputuskan untuk dilaksanakan dan mengkaji projek yang telah dilaksanakan supaya langkah pemantauan dan susulan dapat dilaksanakan dengan baik.

AGENDA TUJUH - Merancang projek baru

AGENDA LAPAN - Kursus dan latihan (kursus yang sudah kita ikuti dan latihan yang kita sudah anjurkan.

AGENDA SEMBILAN - Kelab-kelab gabungan (Pergabungan). Berapa anyak kelab baru yang bergabung.

AGENDA SEPULUH - hal-hal lain

Secara ringkasnya:

Agenda 1 - mengesahkan minit mesyuarat yang lalu

Agenda 2 - Perkara berbangkit

Agenda 3 - Membentangkan minit mesuarat jawatankuasa lebih tinggi

Agenda 4 - Membentangkan minit mesyuarat jawatankuasa lebih bawah

Agenda 5 - Penyata kewangan

Agenda 6 - Projek lama

Agenda 7 - Projek baru

Agenda 8 - Kursus dan latihan

Agenda 9 - Pergabungan

Agenda 10 - Hal-hal lain.

Kita juga terpaksa memasukkan agenda ke dalam perlembagaan kita mengenai kelab gabungan. Ada cawangan daerah yang takut menubuhkan kelab gabungan kerana bimbang orang baru akan gulingkan pemimpin yang ada.

Ada yang takut hendak memperbanyak kelab, biar kelab itu sedikit asalkan dia kekal menjadi ketua daerah dan ahli jawatankuasa. Cukuplah asalkan dia boleh hidup biar MAYC tidak usah berkembang.


TUBUH KELAB GABUNGAN

Oleh itu, inisiatif menubuhkan kelab gabungan akan diletakkan di bawah kuasa daerah, di bawah kuasa negeri dan di bawah kuasa pusat juga. Kita semua bertanggungjawab menubuhkan kelab gabungan. Kalau kelab gabungan tidak banyak lama-lama tinggal MAYC, kerana tiada kelab baru untuk menghadiri mesyuarat MAYC.

Untuk menjadikan MAYC satu pertubuhan yang kuat, undang-undang ini perlu dimasukkan ke dalam perlemagaan. Adalah penting bagi semua kelab MAYC sekarang ini menubuhkan kelab-kelab yang lebih banyak. Kalau kita hendak menjadi ketua Kita jangan takut ahli-ahli kita menjadi orang pandai.

Kalau kita dapati ahli kita sudah pandai kita mesti banyak membaca uku supaya kita menjadi lebih pandai. Kalau orang sudah tidak mahu, kita hendak pertahankan diri kita dengan cara semua orang baru jangan jadi ahli. Inilah yang dinamakan pemimpin oportunis yang mementingkan diri daripada pertubuhan belia. Pemimpin seumpama ini mesti disingkirkan daripada MAYC.

Saya mahu dari sekarang, kecuali kalau saya digulingkan daripada jawatan presiden, semua pemimpin menyaediakan orang di bawah untuk mengambil tempatnya.

Apabila pemimpin menyediakan orang di bawah mengambil tempatnya, lama-lama dia boleh melaksanakan kerja yang lain yang memerlukan perkhidmatannya.

Kalau pemimpin satu organisasi besar tidak menggalakkan pertumbuhan orang-orang pandai dalam organisasinya, suatu hari pemimpin itu akan menjadi pemimpin kepada organisasi yang ahli-ahlinya bodoh belaka.

Dalam MAYC, kita semua bukan pasif. Kita semua dalam MAYC wira belaka. Oleh sebab kita semua wira, maka kita perlu berani melatih orang kampung, belia-belia untuk menubuhkan kelab gabungan walaupun nanti kita akan kehilangan tempat kerana ada golongan baru yang lebih berkemampuan daripada kita yang layak menjadi pemimpin.

Pemimpin yang boleh menjadi pemimpin hanya pemimpin yang tahu bila dia akan turun dan dia tidak takut apabila dia turun orang lain ambil alih. Kerana itulah muka-muka EXCO yang ada di sini smeuanya layak menjadi Presiden. Malahan kalau hari ini hendak ditubuhkan lagi 30 kelab belia di Malaysia, kelab belia yang tidak maju yang tidak bergerak, berkelahi sesama sendiri, difikirkan perlukan pemimpin, MAYC boleh eksport. Kita pinjamkan dia menjadi presiden kelab belia seperti itu kerana kita mempunyai ramai pemimpin terlatih. Untuk itu, saudara perlu pulang ke negeri masing-masing, ke cawangan daerah masing-masing untuk melatih orang di bawah kita. Di samping itu, kita jangan berhenti berlumba untuk menjadi lebih bijak berbanding masa lalu.

Saya telah menyentuh secara umum dan secfara khusus mengenai perkara yang saya fikir perlu dijawab. Perkara lain yang tidak dijawab mendapat perhatian saya.

Semua yang dikemukakan akan diberikan perhatian oleh jawatankuasa ini.

Sekejap lagi mesyuarat jawatankuasa MAYC yang pertama akan diadakan dan program kita akan bermula satu jam dari sekarang. Saudara akan balik ke kampung masing-masing setelah mesyuarat agung, tetapi sebelum balik pergilah bersantai di tepi-tepi laut kerana air sudah mula pasang. Diharap jangan sampai ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Kini saudara semua sudah banyak menimba pengalaman setelah dua hari berinteraksi bersama ahli MAYC seluruh negara. Peluang ini sukar kita peroleh.

Saya berbangga melihat ramai ahli MAY yang lama tidak hadir mesyuarat agung kini sudah hadir semula. Saya lihat saudara Ashaari dahulu wakil Kelantan, kini menjadi wakil Selangor.


DIJEMPUT DATANG

Semua ini menunjukkan bahawa dalam MAYC, kalau orang sudah lama tak datang, sekali-sekala teringin hendak datang semula dan saya harap anak-anak dara yang akan berkahwin dengan belia-belia bukan MAYC, ajaklah suami datang sama dalam mesyuarat agung sekurang-kurangnya untuk memeriahkan suasana. Begitu juga kepada pemuda MAYC yang apabila sudah mendirikan rumah tangga bawalah isteri bersama. Dengan isteri, kalau berubah angin mungkin bertambah sayang. MAYC ini satu keluarga.

Saya gembira melihat suasana dalam mesyuarat ini. Walaupun tidak begitu ramai, tetapi masih ada perwakilan MAYC daripada orang India dan Cina. Sepatutnya mereka lebih ramai tetapi disebabkan sekarang ada Hindu Youth, Tamil Bell, GBB dan pelbagai pertubuhan lain, maka tinggallah yang setia sahaja dalam pertubuhan kita. Sila berikan tepukan dan sokongan kepada mereka.

Sekiranya ada bekas ahli MAYC daripada keturunan India dan Cina yang sekarang ini tidak aktif lagi dalam MAYC saya juga mahu, melalui saudara-saudara, menjemput mereka menghadiri perjumpaan-perjumpaan MAYC pada masa hadapan.

Sekarang, negara Thailand sudah terancam. Apabila Thailand terancam, bermakna ASEAN juga terancam. Apabila Timbalan Menteri Luar Rusia membuat ancaman maka bererti Malaysia juga terancam. Dalam keadaan kita terancam, kita tidak boleh berpecah.

Melayu tidak boleh berpecah. Cina tidak boleh berpecah dan India juga tidak boleh berpecah.

Melayu, Cina dan India, rakyat berbilang kaum di negara ini mesti bersatu! Bersatu!

Kita akan menghadapi masalah yang sama. Kita akan merasai penderitaan yang sama dan kita akan mengalami kesusahan yang sama. Kita telah berkorban memperjuangkan kemerdekaan bersama-sama dan kini merasai nikmatnya kini bersama-sama. Jika kita dapati adanya ancaman untuk mati bersama-sama, maka dengan itu kita perlu bersatu untuk menentang ancaman itu secara bersama-sama.


PENUMBUK

Ahli MAYC kini bersemangat jitu. Kita mesti memadu tenaga seperti penumbuk! Hal ini pernah saya tekankan dalam perjumpaan sebelum ini. Apabila minda kita memberikan arahan 'tumbuk'!, kesemua jari-jemari kita yang lima akan bersatu untuk menumbuk. Tidak ada antara jari yang lima itu yang berasa sombong kerana kehebatannya. Bagi saudara yang sudah mengerti kiasan ini sila beritahu kepada mereka yang belum mengetahuinya.

Apabila kita kata tumbuk, jari ibu kata aku tidak mahu bengkok sebab dalam banyak-banyak jari akulah yang hebat, akulah yang besar, akulah yang duduk di atas dan apabila orang kata 'best', orang tunjuk aku. Jadi jari ini sombong kerana jari ini jari hebat. Apabila orang akan menurunkan cap jari, orang guna aku.

Kemudian jari telunjuk pula berkata, "Hei! Dalam banyak-banyak jari akulah yang paling hebat. Apabila orang Islam bersolat, mereka mengucapkan 'Asyhadu alla ila haillallah', aku yang terpacak menunjuk kiblat".

Jari hantu pula berkata, "Tengok siapa yang panjang sekali. Akulah jari yang tinggi pangkatnya".

Jari telunjuk paling beriman, ibu jari paling gagah. Jari manis pula berkata. "kamu sombong. Lupakah kamu bahawa kamu semua lahir ke dunia kerana aku - apabila ibu dan bapa kamu dahulu bercinta-cintaan, akulah tepat ditambatnya kasih sayang mereka?"

Oleh itu, apabila saudara-saudara pulang ke kampung masing-masing sampaikanlah dan hebahkanlah kiasan ini.

Tahun hadapan kita cerita lain. Tahun ini ceritalah mengenai penumbuk.

Bayangkanlah bagaimana orang yang gagah, orang yang warak, orang yang berpangkat, orang yang kaya dan orang yang berkebolehan bersatu dan berpadu tenaga dalam usaha untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah?

Ibu jari dikatakan kuat dan steady. Telunjuk menghadap kiblat mewakili alim ulama dan tuan-tuan guru. Jari tengah atau jari hantu mewakili orang berpangkat, berkedudukan, tetapi tidak semestinya berkebolehan dalam serba-serbi. Jari manis mewakili orang mewakili orang kaya. Jari kelengkeng pula walaupun yang paling kecil tetapi berkebolehan.

Kalau orang kuat, orang alim, orang berpangkat, orang kaya dan orang berkebolehan bersatu, nescaya penumbuk ini dapat mengelakkan apa jua serangan.

Saudara sekalian, dengan nama Allah saya merasmikan penutupan Mesyuarat Agung pada hari ini.

Terima kasih.

0 comments

Post a Comment