Tenunan yang Belum Selesai

Posted by mayc_pkbm | 8:58 PM | 0 comments »

Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-29, 1983

WIRA BANGSA


Memang menjadi cita-cita MAYC untuk mewujudkan angkatan belia yang berdisiplin seperti anggota tentera tetapi oleh sebab kesempatan dua ratus ribu ahli MAYC untuk menjadi tentera tidak mungkin tercapai, maka cukuplah setakat kami merasa nikmat datang ke sini pada kali ini.

Saya juga berasa sungguh gembira kerana bersama-sama kita, Tuan Syed Ahmad Idid yang dahulu pernah menjadi presiden MAYC dan saya menjadi setiausaha agungnya. Kalau bukan disebabkan Tuan Syed Ahmad Idid berhenti sampai hari ini pun saya mungkin masih menjadi setiausaha agung. Pada malam ini, saya ucapkan taniah kepada semua ahli MAYC yang sekarang ini sudah bergelar Yang Berhormat. Saya berharap walaupun sudah bergelar Yang Berhormat, pada masa akan datang mereka masih menghadiri majlis MAYC kerana bagi kita walaupun mereka menjadi Ahli Yang Berhormat mereka tetap ahli MAYC.


Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada pengerusi majlis yang tadi ingin mengubah portfolio saya bagi pihak Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, saya fikir tidak perlulah saya pergi ke portfolio belia kerana tanpa pergi ke sana pun beban kerja sudah cukup dengan adanya tanggungjawab dalam MAYC.

Malam ini kita berada di dalam dewan dalam keadaan aman, tetapi kita tentu maklum bahawa di sempadan Thialand sekarang ini pihak Vietnam sedang menceroboh. Dari Vietnam mereka ke Kampuchea, dari Kampuchea mereka memasuki sempadan Thailand dan negara kita tidak jauh dari Thailand.

Oleh itu, sementara kita bersenang-lenang di sini, eloklah saya ceritakan mengenai sejarah negara kita dengan seringkas dan selengkap mungkin. Memang menjadi harapan saya agar saudara dapat merenung semua peristiwa yang akan saya sebut dan meletakkan diri saudara dalam konteks anggota masyarakat yang berguna, semoga dapat kita ketahui akan ancaman yang ada di hadapan dan apa pula yang harus kita pertahankan.


MALAYSIA NEGARA UNIK

Malaysia sebuah negara unik. Keunikan negara Malaysia terletak pada hakikat sejarahnya yang pernah dijajah oleh pelbagai bangsa. Kita pernah dijajah Portugis, kita pernah dijajah Belanda, kita pernah dijajah Inggeris, kita pernah dijajah Siam yang berada di utara, dijajah semula oleh Inggeris, kemudian dijajah Jepun dan terakhir, kita dijajah kembali oleh Inggeris. Pendek kata Melayu adalah satu bangsa yang telah dijajah enam kali secara bergilir-gilir oleh lima bangsa.

Dari segi ini, bangsa kita adalah satu bangsa yang memegang rekod dunia dan boleh dicatatkan dalam Guinness Book of Records.

Kita bersyukur kepada Allah walaupun kita sudah banyak kali dijajah namun keperibadian bangsa kita masih kekal sebagaimana sediakala. Bukan semua bangsa atau negara yang bernasib baik seperti kita. Kita lihat negara Filipina yang dahulunya sebuah Kerjaaan Melayu yang beragama Islam dan Sultannya di Manila bernama Sultan Sulaiman. Apabila Sepanyol menjajah Filipina, mereka mendesak Sultan Sulaiman supaya menganut agama Kristian.

Sultan Sulaiman enggan, kemudian Sultan Sulaiman diminta supaya mempelajari agama Kristian, Sultan Sulaiman masih enggan, kemudian diminta supaya anakanda baginda memeluk agama Kristian, Sultan Sulaiman tidak mengizinkan, kemudian mereka meminta anak Sultan Sulaiman berkahwin dengan wanita Kristian dan setelah berlaku satu pertarungan, kerajaan Islam, Kerajaan Melayu di Manila gagal dan akhirnya jatuh untuk sekian lamanya hinggalah ke saat ini.

Oleh itu saudara, penjajahan terhadap sesebuah negara itu tidak bermakna bangsa yang dijajah pasti dapat mengekalkan keperibadiannya.

Bagaimanapun, bangsa Melayu yang beragama Islam telah dijajah sebanyak enam kali berturut-turut oleh lima bangsa yang beragama lain, namun bangsa kita masih dapat mengekalkan keperibadian. Kita seharusnya bersyukur kepada Allah dengan apa yang ada pada kita sekarang kerana bukan semua bangsa di dunia dapat merasai nikmat ini.


1946

Saudara sekalian,

Pada tahun 1946, pihak Inggeris kembali menjajah kita dan bercita-cita mahu menjajah untuk selama-lamanya.

Inggeris mahu menjajah negara ini sebagaimana mereka sekarang menjajah Kanada, menjajah Australia, menjajah New Zealand. Mereka berhasrat menubuhkan Malayan Union.

Pada waktu itu, bangsa Melayu yang tidak berpengetahuan tinggi, bangsa Melayu yang tidak memiliki angkatan tentera yang gagah dan berani, bangsa kita yang dipandang hina kerana terjajah begitu lama telah dapat bersatu padu menentang program penjajahan total.

Syukur alhamdulillah, perpaduan Melayu pada tahun 1946 telah menyebabkan rancangan Inggeris untuk menjajah kita buat selama-lamanya, gagal.


KEMERDEKAAN

Saudara sekalian,

Sejak tahun 1946 hingga 1957, bangsa Melayu bercita-cita untuk merdeka.

Setelah semua kaum dalam negara bersatu, sama-sama berhasrat untuk merdeka, maka syukur alhamdulillah pada 31 Ogos 1957 kita mencapai kemerdekaan.

Dalam Perlembagaan Negara tercatat lima keistimewaan yang perlu diberikan perhatian oleh para belia negara.

Pertama, kita mendaulatkan Raja dengan harapan mereka menjadi simbol perpaduan dan mereka menjamin kedaulatan bangsa.

Kedua, kita menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, sebagi agama besar yang diredai Allah s.w.t.

Ketiga, kita menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sekarang ini menjadi bahasa Malaysia.

Keempat kita memperuntukkan dalam perlembagaan, hak istimewa orang Melayu yang memberikan keutamaan untuk memperoleh permit, biasiswa, mengekalkan kuota yang cukup dalam universiti, dan untuk mengadakan kuota yang lumayan dalam Angkatan Bersenjata dan dalam pentadbiran.

Yang kelima, tercatat dalam perlembagaan ialah hasrat untuk mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang sekarang ini sedang kita amalkan.


HAK ISTIMEWA

Syukur alhamdulillah, bangsa kita hari ini adalah bangsa yang berdaulat. Dengan adanya agama Islam sebagai agama rasmi, kita lihat sekarang ini sudah ada kebangkitan Islam di negara kita.

Bangsa Melayu juga sekarang sudah jelas menjadi bahasa Malaysia yang berkemampuan, hak istimewa orang Melayu sudah sampai ke puncak pencapaian dengan adanya Amanah Saham Nasional dan sistem demokrasi berparlimen jelas menguntungkan kita semua dan mewujudkan perpaduan negara dan rakyat jelata.

Pada waktu negara mencapai kemerdekaan, kita mengharapkan nikmat daripada sistem dasar ekonomi bebas. Apabila bangsa kita tidak merasai nikmat ekonomi yang mencukupi daripada sistem ekonomi bebas ini, maka puncak kepada kegelisahan bangsa telah tercetus satu revolusi kecil, peristiwa 13 Mei 1969. Setelah berlaku peristiwa berdarah tersebut, berlakulah satu perubahan dalam negara dengan adanya Dasar Ekonomi Baru. Dalam menghayati hidup merdeka di negara ini, MAYC sendiri sudah berada dalam gelombang begitu lama.

Setiap kali mesyuarat agung, saya mengingatkan ahli MAYC akan nama-nama, tahun-tahun yang telah kita lalui dalam perjuangan kita memantapkan belia MAYC, sebagai belia yang bermaruah dan berketrampilan.


TAHUN PERALIHAN

Apabila Tuan Syed Ahmad Idid mengambil alih teraju MAYC pada awal '71/'72, kita mengalami satu keadaan kelam-kabut untuk diatasi. Syukur alhamdulillah, dengan kebijaksanaan Tuan Syed Ahmad Idid kita bersama-sama telah mengambil alih kepimpinan MAYC untuk kita aturkan mengikut strategi order baru. Tahun '71/'72 kita namakan tahun-tahun peralihan kerana pada tahun itulah kita pindahkan kuasa, pada tahun itulah kita mengubah haluan, pada waktu itulah kita gunakan kompas untuk kita halakan kapal kita ke pelabuhan yang lebih bermakna dan lebih sempurna.

Kita pisahkan diri kita daripada menjadi golongan yang hidup dalam khayalan, kita mula mengatur dan merancang program supaya masa depan MAYC dan anggota-anggotanya menjadi lebih terjamin. Pada waktu itu, MAYC sudah menjadi satu badan yang begitu gagah sehingga disegani dan ditakuti oleh pihak lain.


TAHUN HADAPI BAHAYA

Pada tahun '73/'74, ada pihak yang berkuasa dalam kerajaan pada waktu itu menganggap MAYC sebagai satu pertubuhan subversif yang kononnya antikerajaan. Tahun '73/'74 kita namakan tahun-tahun menghadapi bahaya. Pada tahun '73/'74, ke mana sahaja pemimpin MAYC berjalan diekori dengan rasa curiga, tetapi tentangan daripada pihak yang memusuhi MAYC telah menyebabkan MAYC menjadi lebih gagah, lebih perkasa, lebih berwibawa.

Sementara kita asyik menikmati keistimewaan dan kemewahan pada tahun '80-an, kita jangan lupa bahawa kekuatan kita adalah disebabkan kita telah mengharungi gelombang yang begitu dahsyat, dipukul, dilambung dan dihempas badai. Tahun '73/'74 kita lalui dengan baik, kemudian kita memasuki tahun '75/'76.


TAHUN MENIKMATI PROJEK

Pada tahun '75/'76, mereka yang memusuhi kita telah terlantar dan terhapus buat selama-lamanya. Pada tahun '75/'76, ahli MAYC mendapat tempat di sana sini, kembali tirai diangkat semula dan MAYC kembali berpesta di atas pentas. Tahun '75/'76 kita namakan tahun-tahun menikmati projek. Pada waktu itulah MAYC mula mendapat subsidi ayam, pada waktu itulah MAYC mula memelihara kambing, dan pada tahun itulah MAYC mula melaksanakan projek pelihara itik.

Pada tahun itulah ahli MAYC mula merasa nikmat memelihara kambing. Kadangkala kambing 5 ekor sedangkan ahli MAYC yang datang melawat kandang kambing 500 orang sampai kambing pun kehairanan. Kita masih ingat kata-kata ini dalam mesyuarat agung yang lalu, saya ulanginya di sini kerana saya tahu Quran yang sering kita baca pun secara berulang-ulang kita jarang-jarang mahu faham dan ingat akan kandungannya.

Pada tahun '75/'76, ramai pemimpin negara meninggal dunia. Ada pemimpin yang meninggal dunia di seberang laut dibawa kembali dengan kapal terbang, ada pemimpin yang meninggal dunia di kota dibawa kembali ke kampung halamannya dengan helikopter, ada yang meninggal dunia di dalam kapal terbang yang terhempas. Oleh sebab terlalu ramai pemimpin meninggal dunia maka kita merasakan ketandusan pemimpin dalam negara.

Pada waktu itu, kita merasa seolah-olah sanuberi dan hati kita terluang dalam kehampaan kerana pemimpin yang baik sudah kembali tetapi pemimpin baru belum datang.


TAHUN KURSUS KEPIMPINAN

Oleh itu, pada tahun '77/'78, MAYC melancarkan apa yang kita namakan tahun-tahun kursus kepimpinan. Pada waktu itu, rata-rata ahli MAYC diberikan kursus kepimpinan. Pengalaman dari tahun '77/'78 itulah maka ahli MAYC mula berjaya melayakkan diri mereka untuk mendapat kesempatan mengisi tempat yang terluang dalam negara.

Tahun 1978 berlalu dengan pilihan raya. Apabila pilihan raya tahun 1978 berlalu kita lihat kempen-kempen yang kesat telah dibuat antara pemimpin bangsa. Pada waktu itu kita terasa seolah-olah rakyat jelata dalam negara sudah mula berpecah-belah hingga bangsa kita sudah menjadi bangsa yang tidak berbudi bahasa.

Pada tahun '77/'78, kita lihat anak bangsa sudah tidak lagi berterima kasih kepada orang tua dan anak-anak muda tidak berterima kasih kepada orang yang berbudi kepada mereka.


TAHUN MENGHAYATI SEJARAH

MAKA tahun '79/'80 kita namakan tahun menghayati sejarah, supaya pada tahun '79/'80, ahli MAYC didengarkan kisah pejuang kita pada masa silam. Ahli MAYC diingatkan akan jasa pemimpin MAYC pada masa lalu, semoga yang berbudi dihargai dan yang merasai nikmat daripada budi itu akan lebih bersatu padu sesama sendiri.

Syukur alhamdulillah, tahun '80-an telah berlalu dan negara kita menjadi lebih bersatu daripada tahun-tahun sebelumnya. Kita memasuki tahun lapan puluhan dengan semangat dan cita-cita baru.

Pada waktu kita memasuki tahun tujuh puluhan dahulu, hasrat kita adalah untuk menentukan arah yang jelas bagi MAYC. MAYC sekarang lebih kuat daripada MAYC 10 tahun lalu, tetapi kita tidak seharusnya sombong dengan kekuatan kita.

Kita harus mempunyai satu sasaran yang lebih besar, sasaran yang sukar bagi kita mencapainya kerana dengan mempunyai sasaran yang sukar inilah kita akan menjadi lebih gigih sehingga urat-urat di dalam badan menjadi lebih cengkang dan mata, tangan dan kaki kita menjadi lebih kuat untuk mendaki cita-cita yang lebih menggunung.

Maka tahun '81/'82 kita namakan tahun-tahun Tiga Romantika.

Pada tahun-ahun inilah kita menanam cita-cita untuk mengadakan satu asrama di tengah-tengah kota raya, iaitu Asrama Wisma Tunku sempena mengingati jasa Yang Teramat Mulia Tunku sebagai pemimpin negara yang banyak berjasa.

Ini selaras dengan pelancaran tahun-tahun menghayati sejarah. Kalau orang bertanya kepada kita, apakah MAYC mempunyai harta yang menjadi idaman belia-belia lain di negara ini?

Kita jawab, lihat sahaja Wisma Belia, nanti akan ada Wisma Tunku. Urusan pinjaman sudah beres, tender sudah dikeluarkan, ceracak sudah siap, cuma selepas mesyuarat agung, bangunan perlu didirikan kerana pada mesyuarat agung akan datang kita ingin lihat satu atau dua tingkat sudah siap dibina.

Kalau orang bertanya, "Oh! MAYC terkenal di tengah kota raya kerana ada Romantika Satu, Asrama Wisam Belia dan Wisma Tunku. Apakah MAYC tidak mempunyai Romantika Dua di pinggir samudera?". MAYC jawab, "Lihat ke Pulau Pinang".

Sekarang Dr. Lim Chong EU sudah berbaik-baik dengan Sanusi Junid. Dr. Lim Chong Eu berjumpa Sanusi Junid dan bertanya, "When are you coming to Penang, we can talk about that land!".

Semoga beliau dipanjangkan umur untuk menyelesaikan Romantika Dua, iaitu asrama di pinggir samudera. MAYC sudah mempunyai Romantika Satu di Kota Raya, Romantika Dua di pinggir samudera. Apakah tidak mempunyai kesanggupan untuk mengadakan Romantika Tiga di hutan belantara? Kita sudah berunding dengan bekas Menteri Besar Pahang dan kita sudah tahu letak tanahnya.

Sekarang kita berunding lagi dengan Menteri Besar Pahang yang baru. Beliau berhenti sebelum tanah kita peroleh. Insya-Allah peluang ada, tetapi belum pasti. Walau bagaimanapun, tidak berhasilnya cita-cita untuk melahirkan Romantika Tiga bukan bererti sudah tamat perjuangan itu.


ROMANTIKA 1,2,3,4…

Saya berharap, MAYC akan terus kuat, MAYC akan terus bertambah kuat. Apabila sudah bertambah kuat maka bukan Romantika Satu, bukan Romantika Dua, bukan Romantika Tiga, bahkan Romantika Empat, Lima, Enam, Tujuh, Lapan, Sembilan dan Sepuluh pun akan terlaksana dengan jayanya.

Tahun '83 sudah tiba, tahun '84 akan menjelang, apakah dua tahun ini kita namakan tahun-tahun kosong?

Tidak, oleh sebab banyak perkara yang masih belum selesai, maka tahun '83/'84 kita namakan tahun-tahun meneruskan tenunan yang belum selesai. Maka pada tahun ini, kita harus menenun tenunan yang tidak kunjung selesai, kita akan meneruskan dengan projek Romantika Satu yang sudah setengah selesai. Kita akan meneruskan perundingan yang sudah separuh selesai untuk Romantika Dua, kita akan berunding lagi supaya kita nanti mendapat tanah 100 ekar untuk Kompleks Sukan MAYC sebagai Romantika Tiga.

Semua ini hanya cita-cita, mungkin cita-cita ini tidak tercapai semasa saya menjadi presiden tetapi sebelum mata saya pejam, saya berharap Romantika Tiga sudah dapat direalisasikan.

Itulah sebabnya semua kata-kata yang saya ucapkan sekarang harus saudara ulang pada tiap-tiap perjumpaan kelab gabungan MAYC sehingga tertanam kukuh dalam fikiran ahli MAYC, khususnya bibit-bibit muda kerana yang ada di hadapan ini sesetengahnya sudah tua, sama tua dengan saya.

Kita semua akan pergi tetapi sebelum pemimpin yang ada sekarang pergi, maka anak-anak muda MAYC perlu dilengkapkan atau diserapkan dengan motivasi dan metodologi semoga tenunan yang tidak kunjung selesai ini akan diteruskan sehingga selesai, walaupun pada waktu itu kita tidak bersama-sama lagi.

Jika kita berjumpa lagi pada tahun-tahun yang akan datang, ini menjadi pesanan. Jika kita tidak berjumpa lagi kerana orang lain sudah menjadi presiden, ia menjadi amanah. Jika kita tidak berjumpa lagi kerana saya sudah pergi, maka kata-kata ini menjadi wasiat.

Oleh itu, saudara sekalian pulang ke kampung masing-masing dan 'wiridkanlah':

Tahun '71/'72, zaman peralihan.

Tahun '73/'74 tahun hidup berbahaya.

Tahun '75/'76 tahun menikmati projek.

Tahun '77/'78 tahun kursus kepimpinan.

Tahun '79/'80 tahun menghayati sejarah.

Tahun '81/'82 tahun tiga romantika.

Tahun '83/'84 tahun meneruskan tenunan yang tidak kunjung selesai.

Saya baru selesai bercerita mengenai MAYC. Bagaimana dengan negara?


TUNKU ABDUL RAHMAN

Dahulu, Perdana Menteri kita ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliau digelar Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia. Sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, beliau berusaha mendaulatkan raja, meletakkan agama Islam di tempat yang selayaknya, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, menegakkan hak istimewa orang Melayu dan sistem demokrasi berparlimen.


MASJID

Alhamdulillah, rata-rata sudah ada kesan. Kita lihat duit banyak digunakan untuk mendirikan masjid. Hari ini rata-rata lebih banyak tiang masjid daripada makmum yang bersolat di dalamnya pada solat waktu.


BAHASA MELAYU

Tugas negara sudah selesai. Tugas rakyat belum selesai. Sekarang ini kita lihat bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Malaysia, tetapi kita berasa kecewa kerana prestasi orang Melayu sendiri dalam bidang bahasanya tidak menunjukkan tahap yang dapat menyaingi orang yang baru mempelajari bahasa Malaysia.

Kita lihat jasa yang banyak dicurahkan oleh Perdana Menteri yang pertama. Maka kita sudah dirikan satu bangunan yang kita namakan Wisma Tunku.


TUN ABDUL RAZAK

Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan. Wisma Belia, Tun Abdul Razak yang rasmikan. Pada masa depan kalau keluarga Tun Razak setuju, kita namakan Wisma Belia sebagai Wisam Razak, tetapi bukan sekarang.

Maka sudah ada dua bangunan. Di manakah pula Bangunan Tun Hussein, Bangunan Dr. Mahathir?. Belum ada, itu kerja generasi akan datang.


TUN HUSSEIN ONN

Tun Razak Bapa Pembangunan, banyak jasa Tun Razak kepada negara, dan banyak budi beliau kepada MAYC. Tun Hussein Onn juga bantu MAYC. Kalau bukan kerana Tun Hussein menjadi Menteri Kewangan, MAYC tidak akan dapat permit Tugu Insurance, MAYC untung RM1.2 juta tanpa Modal. Tun Hussein Bapa Perpaduan, Perdana Menteri yang berdisiplin dan yang bersih. Kita doakan beliau panjang umur.


DR. MAHATHIR

Sekarang Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Bekas pemimpin MAYC sudah menjadi Perdana Menteri dan sekarang ini, sejak Dr. Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri banyak perubahan sudah berlaku. Ahli MAYC perlu ingat satu-persatu kerana ini pemimpin kita yang menjadi Perdana Menteri. Mula-mula ubah waktu setengah jam, Singapura pun ikut. Ada orang kata Dr. Mahathir campur tangan urusan Tuhan, masa (time) kita ubah.

Apabila Allah s.w.t menentukan waktu solat, Dia tidak berpandukan jam Rolex ataupun jam Seiko. Allah s.w.t menentukan waktu solat berpandukan kedudukan relatif matahari dari bumi, tetapi ada orang yang mahu menyalahtafsirkan arahan Perdana Menteri. Mereka katakan dengan adanya putaran jam setengah jam lebih cepat, maka ramai orang solat tidak sah kerana solat lebih cepat daripada waktu yang sebenarnya.

Ini semua orang bahlul dan bukan ahli MAYC.

Kita tanya mereka, "Adakah awak bersolat ikut jam?"

Mereka jawab, "Ya, kami bersolat ikut jam".

Kita tanya mereka lagi. "Kalau jam mati bagaimana? Berhenti solatlah ya?"

Dengan sendirinya mereka mengakui bahawa mereka tidak bersolat ikut jam, cuma jam jadi panduan kedudukan relatif matahari dari bumi.

Itu perubahan pertama.

Perubahan kedua, clock in pukul lapan, rata-rata di pejabat kita lihat ada meter untuk membantu manusia mencatat waktu tiba di pejabat. Ada orang yang tidak mahu datang ke pejabat pukul lapan kerana katanya, dia boleh datang pukul sembilan dan balik pukul lima petang.


DATANG CEPAT

Kita jawab, baliklah pukul empat, tetapi pukul lapan mesti datang, kerana lebih senang orang tidur lambat daripada bangkit cepat. Kerajaan pimpinan Dr. Mahathir mahu supaya orang datang cepat.

Ada pula pegawai yang datang lambat tetapi bukanlah ramai, hanya segelintir. Semuanya bukan ahli MAYC, kerana kita berdisiplin, kita mahu semua orang datang pukul lapan dan kita mahu orang itu keluar pukul empat, sekarang Perdana Menteri kata keluar 15 minit lebih lambat.

Mengapa?

Kalau manusia masuk pejabat pukul lapan dan keluar pukul empat, itu namanya makan gaji. Kalau mereka masuk pukul lapan dan keluar pukul dua, bermakna kurang dua jam, itu namanya rasuah.

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka masuk pukul lapan dan keluar pukul lima, satu jam lebih, dia tidak dapat overtime. Itu namanya berkorban dan barulah hamba Allah itu layak digelar pejuang dan bukan orang makan gaji ataupun orang rasuah.

Ahli MAYC mesti jelas dengan takrifan ini, mesti tahu apa yang dikatakan berjuang. Kerja cukup-cukup time itu namanya makan gaji.

Kerja yang tidak ada gaji itu yang dinamakan berkorban dan apabila ada pengorbanan itulah baru dikatakan pejuang.

Pada malam ini saya ingin mengesahkan tentang perkara arahan Dr. Mahathir yang ketiga.

Mesti pakai tanda nama, ahli MAYC mesti tempah, bubuh nama supaya apabila bersalaman dengan presiden, presiden tahu namanya.

Ada keadaan apabila bersalaman dengan presiden, ada yang bertanya, datuk masih ingatkah saya?

Apa yang boleh presiden katakan?

Nak dikatakan tak ingat, takut berjauh hati. Nak katakan ingat, apabila kata ingat, dia pegang lagi kuat dan tanya, "apa nama saya?".

Kadang-kadang presiden tenung lama-lama. Tak juga dapat mengingat namanya, lihat pada rupa kenal.

Baru-baru ini ada seorang ahli MAYC di Perlis. Dia bertanya, "siapa nama saya?". Saya katakan saya tidak tahu, tetapi sekarang baru saya ingat.

Kenapa? Kerana namanya ganjil, iaitu Malaysia.

Sekarang saya sudah ingat kembali. Padahal saya sudah melihatnya banyak kali tetapi tidak ingat namanya. Sekarang tahu nama kerana sudah ada tanda nama. Kalau tidak mahu yang kecil, buat yang sekaki lebar, supaya kita dapat kenal satu sama lain.

Sesudah itu, Dato' Seri Dr. Mahathir membuat arahan supaya jangan mengutamakan barang-barang British.

Dahulu kalau kita membeli kasut, kita lihat bawah tapaknya, Made in England. Kalau kita 'nak beli sudu kita lihat Made in England, kita beli. Mengapa? Kerana kita merasakan semua yang orang putih buat itu elok.

Dr. Mahathir sekali gus telah memisahkan mentaliti kita daripada mentaliti bangsa terjajah.

Mentaliti terjajah dalam masa satu tahun lebih sedikit sudah berubah menjadi mentaliti bebas.


PANDANG KE TIMUR

Sekarang kita pandang ke Timur.

Dahulu Malaysia tidak pandang ke Timur, kita tidak pandang ke Jepun, tidak pandang ke Korea, tidak pandang ke Taiwan. Dahulu orang Malaysia tak pandang ke Jepun tetapi rakyat Malaysia pakai selipar Jepun. Sekarang kita pandang ke Jepun, Jepun pula pakai selipar mengkuang.

Kita sekarang melaksanakan dasar pandang ke Timur.

Dasar pandang ke Timur ini, bukan pandang ke Timur untuk kita lihat yang bukan-bukan di Timur. Tahi arak akan nampak Sapporo dan Santori, dan kaki perempuan akan nampak perempuan-perempuan geisha dan penari di night club, tahi judi akan nampak mesin-mesin judi Pachinko di Tokyo.

Tetapi bagi ahli MAYC yang beriman, kita tidak nampak semua itu. Yang kita nampak orang Jepun kerja kuat. Orang Jepun yang datang ke Malaya dahulu pendek-pendek. Sekarang orang Jepun tinggi-tinggi, Melayu pendek. Keturunan Tamil dan Cina pun pendek-pendek sekarang. Orang Punjabi Malaysia pun pendek-pendek tidak seperti Punjabi di India.

Orang Jepun sekarang sudah tinggi-tinggi. Sebab apa? Sebab orang Jepun mengambil makanan berkhasiat seimbang. Pagi-pagi makan keju, pagi-pagi makan butter. Orang Melayu sental nasi lemak. Apabila ekonomi bangsa kita sudah baik, waktu itu kita akan menjadi tinggi dan segak, kita akan menjadi hebat.

Oleh itu, saudara sekalian, kita lihatlah kepada sifat rajin orang Jepun, semangat berkorban yang ada pada orang Jepun.

Contohilah semangat berdikari orang Jepun. Disiplin yang ada pada orang Jepun dan orang Korea. Itu dasar pandang ke Timur.


BERSIH CEKAP AMANAH

Dalam pilihan raya yang lalu, Dato' Seri Dr. Mahathir memperkenalkan slogan untuk negara Malaysia, iaitu Bersih, Cekap dan Amanah.

Kita sudah ada dua slogan, iaitu Pembangunan MENJARO dan Perjuangan POLEMAS.

MENJARO yakni Mental, Jasad dan Roh.

Kita bangunkan mental supaya mental kita baik tidak ditipu orang, dan perlu jasad yang kuat supaya rancangan dapat dilaksanakan. Roh kita mesti ditingkatkan supaya kita miliki kebijaksanaan dan kita miliki kekuatan yang tidak akan kita gunakan untuk menipu orang dan untuk memuaskan nafsu kita.

Itulah sebabnya kita mahu wujudkan belia seimbang, balanced youth, belia trampil, bukan belia senget.

Apabila jasad kita sudah kuat, mental kuat, rohani kuat, MENJARO sudah membangunkan kita. Kita akan masuk ke dalam perjuangan POLEMAS.

POLEMAS yakni Politik, Ekonomi dan Masyarakat.

Untuk memasuki bidang POLEMAS itu kata Perdana Menteri, kita mesti mempunyai sikap Bersih, Cekap dan Amanah.

Jangan cekap yang negatif, jangan cekap kebas, cekap rasuah, cekap tipu, cekap hasad, cekap dendam, cekap bermusuhan sesama sendiri.

Mesti bersih, mesti cekap dan mesti amanah.

Itu pesanannya.

Alhamdulillah, semua ahli MAYC bersih, cekap dan amanah, termasuk Lt. Kol. Mohamed Maiden dan Puan Rogayah dan termasuk wakil peribadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Apabila kita sudah mempunyai pemimpin di semua peringkat yang bersih, cekap dan amanah, pada waktu itu kita perlu menghayati Kepimpinan Melalui Teladan.

Kalau kita bersih, kalau kita cekap, kalau kita amanah baru kita boleh diteladani sebagai pemimpin. Kalau kita pengotor, tidak cekap dan penipu, masakan orang akan menjadikan kita pemimpin teladan.

Itulah sebabnya, Perdana Menteri menyeru supaya kita bersih, cekap dan amanah maka kita boleh diteladani oleh masyarakat yang memerlukan kepimpinan.

Sekarang kita diperkenalkan dengan gagasan baru yang dinamakan Persyarikatan Malaysia.

Tujuan Persyarikatan Malaysia ini adalah untuk memupuk kerjasama antara pihak swasta dengan kerajaan. Bukan untuk kerajaan mengambil laih tugas swasta dan bukan untuk swasta memerintah kerajaan, tetapi kerjasama antara swasta dengan kerajaan.

Lantaran usaha kerjasama inilah maka sekarang MAYC ada program untuk melatih belia-belia MAYC yang menganggur agar mengamalkan etika kerja orang yang maju di Jepun, di Korea dan di Taiwan.

Alhamdulillah, kita sudah ada senarai nama 76 orang sahaja yang menganggur dalam MAYC. Alhamdulillah, rupa-rupanya daripada 200 ribu ahli MAYC, 199,924 orang ahli semua bekerja, betulkah ini?

Oleh itu, apabila saudara para perwakilan sekalian pulang ke kampung masing-masing beritahu belia kita, makan nasi di rumah bukan kerja namanya, tidur bukan kerja, makan hasil titik peluh ibu bapa bukan kerja namanya.

Kita mahu mendaftarkan ahli yang menganggur tetapi jangan pula semua yang didaftarkan itu mengharapkan boleh mendapat kerja. Kita hendak latih, selepas itu terpulang kepada mereka. Dengan sikap, dengan semangat yang ada mereka akan mendapat pekerjaan kerana MAYC tempat belia yang progresif. MAYC bukan tempat belia yang lemah, ahli MAYC adalah belia yang berdikari.


TENTANG MALAYAN UNION

Datuk nenek kita berjuang dan pada tahun 1946, mereka menentang gagasan Malayan Union. Negara mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957. Kita telah berusaha menyatupadukan rakyat jelata setelah peristiwa 13 Mei 1969. Kita dalam MAYC yang telah melalui tahun-tahun dari 1971 hingga 1984 sudah ada perancangan.

Negara kita sudah mencapai begitu banyak kemajuan dan perubahan di bawah pimpinan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman; Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak; Perdana Menteri ketiga, Dato' Hussein Onn dan sekarang Dr. Mahathir. Namun begitu, segala yang ada pada kita sekarang sedang diancam oleh kuasa luar.

Saudara harus meningkatkan semangat pengorbanan dan saudara harus menanam ke dalam jiwa dan sanubari rakyat jelata semangat ini.

Saudara harus menjadi pelopor kepada bangsa yang mahu berdikari.

Saudara harus menjadi tenaga penggerak dalam negara yang bermaruah dan berdaulat.

Sekian, dengan nama Allah, saya merasmikan Mesyuarat Agung MAYC Ke-29.

0 comments

Post a Comment