Pilihan di Tangan Anda

Posted by mayc_pkbm | 8:50 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-28, 1982

SAYA UCAPKAN RIBUAN terima kasih kepada saudara Pengerusi yang telah mengendalikan urusan mesyuarat dengan begitu baik dan saya berharap semoga pada mesyuarat-mesyuarat agung akan datang kita akan melalui keadaan mesyuarat yang sama baiknya dengan keadaan pada hari ini.



KEBIJAKSANAAN

Saya ucapkan tahniah kepada para perwakilan yang telah menunjukkan kebijaksanaan dalam penglibatan mereka pada mesyuarat agung kali ini.

Saya juga ucapkan terima kasih kepada para perwakilan yang telah memenangkan saya dalam mesyuarat agung ini tanpa bertanding dan saya ucapkan tahniah kepada Encik Rahim Bakar yang telah menunjukkan kebijaksanaannya menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden demi kepentingan perpaduan MAYC di seluruh negara.


Kepada ahli-ahli MAYC yang telah memenangi jawatan naib presiden, saya ucapkan tahniah dan kepada calon yang kalah saya berharap mereka bersabar dan mencuba lagi pada kesempatan lain.

Saya ingin mengulas dengan seberapa ringkas komen yang saya fikir perlu dibetulkan supaya pendirian MAYC dalam menghadapi beberapa masalah dapat menjadi renungan bersama pada masa akan datang.

Wakil dari Perlis membangkitkan masalah tidak cukupnya fail dan saya berharap perkara ini dapatlah dimaafkan. Tahun ini, pengerusi berasal dari Pahang dan memegang jawatan pengerusi kebudayaan di negeri itu. Disebabkan beliau berkemampuan menghantar orang yang berminat dan pandai dalam bidang kebudayaan, maka jumlah yang datang ke mesyuarat agung lebih daripada yang dijangkakan. Tindakan ini terpaksa dibuat kerana pengerusi kebudayaan itu sendiri bertanding untuk menduduki jawatankuasa, beliau berkempen sedikit-sebanyak supaya dapat naik.

Orang lain pun perlu melakukan perkara yang sama tetapi janganlah salahkan saya sekiranya ada perkara yang tidak beres, seperti tandas berselerak dan tempat tidur pun tidak tentu hala. Kalau fail tidak cukup, itu perkara biasa. Saya berharap ahli MAYC jangan jadikan isu ini sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana layanan di Pahang ini sama baik dengan layanan yang pernah diberikan di tempat lain.

Saya sokong tujuan Hamat Salleh dari Kedah yang ingin mengutip derma untuk Ku Choh, kawan baik saya sejak dahulu lagi tetapi saya telah menjalankan kutipan derma di sini dan Hamat Salleh pun sudah mengutipnya di kalangan orang Kedah, negeri lain pun sudah berbuat perkara yang serupa.


PILIH YANG ELOK

Saya setuju dengan saudara bahawa ada ramai pemimpin Biro yang hanya mula sibuk bekerja apabila hampir mesyuarat agung.

Saya selalu memberikan nasihat tetapi semua ahli jawatankuasa yang saudara lantik susah hendak dicari yang elok, hanya itu sahaja yang ada dalam jawatankuasa. Saudara sepatutnya menegur mereka.

Oh! Saudara bertanya bagaimana hendak menegur mereka kerana pemilihan jawatankuasa dibuat awal. Oleh itu, ada baiknya pemilihan tersebut dibuat selepas perbincangan penyata supaya ramai ahli perwakilan boleh bangun dan sental jawatankuasa cukup-cukup!

Saya ucapkan terima kasih kepada semua wakil negeri yang mengucapkan tahniah kepada saya kerana menang tanpa bertanding. Saya ucapkan terima kasih kepada Perak yang telah menyedari betapa susahnya ahli-ahli jawatankuasa pusat hendak melaksanakan sesuatu tugas.

Biasanya kerja senang dilaksanakan kalau pemimpin pusat itu diktator yang boleh mengarahkan orang melakukan kerja. Inilah satu perkara yang kita perlu sedar dalam demokrasi.

Dalam demokrasi, sekiranya ramai kalangan ahli itu orang pandai, pemimpin kelab orang pandai, pemimpin daerah orang pandai, pemimpin negeri orang pandai, maka satu badan yang seperti itu perlulah menganjurkan banyak seminar, kursus dan sebagainya untuk melatih orang lain supaya sama-sama menjadi orang pandai. Untuk menjalankan satu-satu projek, banyak perbincangan perlu diadakan di merata-rata peringkat kerana di situ orang dapat mengeluarkan pendapat.


JANGAN MARAH

Johor tadi kesal kerana satu usulnya ditolak. Saya harap jangan berkecil hati. Memang sifat MAYC kalau ada dua usul, satu ditolak satu lulus, sama ada kedua-dua itu baik atau kedua-dua itu tidak baik. Kalau kedua-dua tidak baik pun, saya yakin satu akan lulus.

Saya suka menyebutkan sumbangan daripada negeri yang disyorkan dan digalakkan oleh Johor, saya rasa tindakan ini perlu disambut oleh semua negeri dan untuk memalukan sesetengah negeri, elok saya bacakan sumbangan negeri-negeri kepada Yayasan Wisma Tunku.

Saya percaya banyak negeri yang kurang senang membaca bab ini. Sumbangan:

Kerajaan Negeri Terengganu, RM25,000.00. Kerajaan Negeri Kelantan, RM25,000.00. kerajaan Negeri Kedah, RM10,000.00. Kerajaan Negeri Perlis, RM5,000.00. Kerajaan Negeri Perak, RM10,000.00.

Sumbangan MAYC Negeri pula, untuk makluman para perwakilan, Wilayah Persekutuan, RM1,227.30. MAYC Perak, RM1,500.00. MAYC Pulau Pinang, RM1,000.00. MAYC Negeri Sembilan, RM500.00. MAYC Melaka, RM500.00.

Satu sahaja persatuan belia yang menderma RM20.00, yang lain rasa malulah kepada yang satu ini. Jika pada tahun hadapan tuan-tuan hendakkan nama dicatat, tiada masalah sekiranya tuan-tuan berhasrat untuk menderma. Justeru, saya rasa teguran daripada Johor ini perlu diberikan perhatian oleh saudara sekalian.


PERUBAHAN RADIKAL

Negeri Melaka meminta kuota wanita ditambah. Kalau wanita aktif dalam kelab cawangan, dia boleh gulingkan semua lelaki dan mengambil alih.

Negeri Kedah, saya rasa lebih daripada setengah ahlinya perempuan. Hamat Salleh seorang saja lelaki di situ, jadi tidak timbul soal MAYC hendak tambah kuota. Kalau wanita lemah di situ, maka lemahlah kuota, kalau ramai, kuatlah kuota.

Saya bersama-sama Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada Pahang yang sudi memberikan cenderamata berupa beg yang begitu cantik.

Saya gembira kerana kali pertama seumur hidup saya dalam MAYC mendengar ahli MAYC melaung Allahu Akbar waktu orang berucap. Ini satu perubahan yang radikal. Saya rasa perjumpaan di Pahang ini adalah satu perjumpaan yang begitu hebat dan tidak pernah saya dengar dalam mesyuarat agung, orang-orang bersyarah walaupun singkat tetapi mutu syarahannya sungguh mengagumkan.

Kemudian, Wilayah Persekutuan menyentuh dengan panjang lebar tentang Wisma Tunku. Wisma Tunku akan menjadi satu tanda kenangan bagi ahli zaman '70-an dan '80-an. Wisma Tunku lambang usaha ahli MAYC tahun '70-an, '80-an. Tahun '60-an sudah ada Wisma Belia. Saya harap kempen derma di peringkat cawangan diusahakan kerana nanti kita akan berasa gembira apabila tercatat nama dalam buku sumbangan. {Sila rujuk teks asal 163:2}


PERHATIKAN TEGURAN

Kelantan telah membuat teguran yang paling baik mengenai biro dan saya berharap ahli jawatankuasa pada masa hadapan akan memberikan perhatian kepada teguran ini.

Mengenai perlembagaan, cara pemilihan sebenarnya tidak tertulis dalam perlembagaan yang membolehkan seseorang itu bertanding dua jawatan.

Saya berharap hubungan dengan Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan di Terengganu ini dapat dipulihkan kerana di kebanyakan negeri lain hubungan ini sudah pulih. Memang menjadi adat kadang-kadang timbul pergeseran antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kelab belia tetapi perkara ini boleh diselesaikan. Kita boleh mempelawa pegawai KKBS menghadiri jamuan, duduk dan makan bersama-sama, mengunjungi rumah mereka dan beramah mesra. Sata tahu pemimpin MAYC di Terengganu mempunyai jawatankuasa negeri yang paling kuat di Malaysia. Saya tidak nampak mengapa ketegangan boleh berlaku di Terengganu, mungkinkah kerana sesuatu yang tidak disengajakan?

Mengenai belia yang tiada kemahiran, kita akan berusaha supaya mereka diberikan latihan.


LATIHAN

Kita mempunyai kompleks Romantika 3 seluas 100 ekar di Pahang. Kita sudah mulai mendapat tanah, tetapi untuk mendirikan bangunan yang boleh memuatkan 10 ribu ahli mungkin memakan masa 50 hingga 100 tahun. Buat sementara waktu, kompleks itu sudah boleh digunakan untuk mengadakan latihan-latihan. {Sila rujuk teks asal 164:3}

Mengenai olahragawan dan olahragawati, ini kita tidak dapat membuat keputusan, kerana hanya satu calon sahaja dari satu-satu negeri dan kita fikir perlu ada beberapa orang lagi sebelum kita membuat pilihan. Saya berharap negeri akan mengemukakan calon mereka kalau tidak maka olahragawan dan olahragawati daripada satu negeri itulah sahaja yang akan menang. Apabila mereka menang, jangan pula ada orang mengatakan itu tidak adil, masa yang cukup sudah diberikan dan pengumuman sudah pun disampaikan dalam mesyuarat agung ini. Saya berharap negeri-negeri akan mengemukakan nama olahragawan dan olahragawati mereka kerana hadiah sudah pun disediakan.

Saya fikir tidak banyak yang saya perlu tegur tentang negeri Pahang cuma saya ucapkan ribuan terima kasih kerana telah berjaya menghadapi cabaran mengendalikan mesyuarat agung. Mesyuarat ini bukanlah perkara yang mudah untuk dianjurkan, hanyalah negeri-negeri yang sudah menganjurkannya mengetaui betapa susahnya mengatur berbagai-bagai acara.


GIGIH BEKERJA

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada sekretariat, jawatankuasa lama, dan para perwakilan yang telah menunjukkan minat yang kuat dan gigih bekerja.

Saya sedar betapa susahnya usaha mengumpulkan ahli dalam mesyuarat agung.

Mesyuarat agung kita telah berlangsung dengan tenang kerana kita telah mengadakan perubahan perlembagaan dan dengan adanya perubahan ini tiap-tiap ketua MAYC secara automatik duduk dalam jawatankuasa pusat. Pada masa dahulu, tidak timbul soal koordinasi. Dahulu, dalam mesyuarat agung, negeri menghamun pusat sekiranya timbul perkara yang mereka tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Sekarang, kalau timbul perkara yang serupa, hamunlah pengerusi negeri.

Di sini ada satu perkara penting, bagaimanakah alnya sekiranya MAYC negeri tidak hadir mesyuarat jawatankuasa pusat?

Bagaimanakah halnya sekiranya MAYC negeri menghantar wakil yang tidak berada dalam jawatankuasa negeri? Jawabnya, MAYC negeri perlu melantik wakil dalam jawatankuasa negeri dan dalam mesyuarat jawatankuasa negeri perlu ada satu baris agenda tentang laporan mesyuarat jawatankuasa pusat. Tiap-tiap negeri dan ahli jawatankuasa negeri yang ada di sini perlu memastikan satu line agenda. {Sila rujuk teks asal pada 166: 3}

Selepas mengesahkan minit mesyuarat, perkara berbangkit, laporan mesyuarat jawatankuasa kebangsaan dan jika mahu mereka boleh membentangkan minit mesyuarat jawatankuasa kebangsaan yang mereka bawa balik. Jawatankuasa negeri harus mengetahui dan jika tidak ada ketua negeri dalam jawatankuasa pusat, wakil ketua juga tidak hadir, maka dalam mensyuarat jawatankuasa itu, minit mesyuarat jawatankuasa pusat tidak mungkin tidak boleh dikemukakan. Kita tidak akan poskan kepada mereka, ini perkara penting untuk dipastikan. {Perlukan penjelasan, mohon dirujuk hlm. 166: 4}

Kemudian kita ada pula jawatankuasa penyelarasan zon, zon utara, zon timur dan zon negeri. Mulai seakrang saya mahu dalam mesyuarat jawatankuasa zon perlu ada laporan minit mesyuarat jawatankuasa kebangsaan supaya jawatankuasa zon juga mengetahui apa yang berlaku dalam jawatankuasa kebangsaan.

Bagaimanakah kita dapat memastikan jawatankuasa zon berfungsi?

Minit mesyuarat Jawatankuasa zon juga perlu dilaporkan sebagai agenda keempat (4) dalam mesyuarat jawatankuasa negeri. Sekiranya tidak ada laporan jawatankuasa zon maka dengan sendirinya orang tidak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat di peringkat pusat, negeri tidak tahu, mesyuarat negeri, daerah tidak tau, mesyuarat negeri, pusat tidak tahu, mesyuarat zon, pusat tidak tahu. Inilah sebabnya sekarang ini kerana ada wakil negeri dalam jawatankuasa pusat maka dengan sendirinya tidak timbul masalah ini.


MASALAH BERHUBUNG

Bagaimanakah halnya kalau wakil negeri, ketua negeri menang sebagai ahli jawatankuasa yang dipilih dalam mesyuarat agung? Dengan sendirinya seorang daripada ahli jawatankuasa itu boleh dilantik sebagai wakil ketua dalam jawatankuasa pusat untuk menggantikan tempat ketua yang menang itu. Cara ini boleh menyelesaikan masalah perhubungan antara jawatankuasa pusat dengan negeri. Kalau projek tidak bergerak, jawatankuasa yang dipilih dalam mesyuarat agung dan ahli jawatankuasa yang lain yang dilantik untuk menjadi pengerusi biro boleh mengkritik pengerusi negerinya supaya pengerusi negeri tahu wakil negeri datang ke mesyuarat agung untuk mendedahkan masalah itu dalam mesyuarat jawatankuasa pusat.

Dia tidak harus menunggu mesyuarat agung untuk mendedahkannya kerana kalau tidak didedahkan dari awal dia akan menjadi serba salah.

Itulah sebabnya saya hendakkan dalam mesyuarat negeri perlu ada perbincangan minit mesyuarat jawatankuasa MAYC daerah untuk memastikan daerah ada mesyuarat.

Saya mahu dalam agenda ada tertulis laporan daripada kelab-kelab gabungan kerana selepas ini kita akan lihat berapa banyakkah kelab gabungan yang kita perlu hidupkan, dan malah hasil daripada mesyuarat agung dari semasa ke semasa ada ahli kita yang bertemu jodohnya pada waktu mesyuarat agung begini. Saya tahu ramai ahli MAYC yang telah mendirikan rumah tangga setelah menghadiri mesyuarat agung tetapi caranya mestilah halal.


PANDANG KE TIMUR

Saya berharap selepas saudara balik dari sini, saudara akan memberikan perhatian kepada projek yang berkaitan dengan orang ramai di kampung. Ahli MAYC yang telah mendengar ucapan saya yang panjang lebar mengenai konsep Pandang ke Timur dan sebagainya perlu menjadikan diri saudara sebagai orang yang memimpin masyarakat desa.

Kursus kepimpinan masih perlu diteruskan kerana sebelum kita dapat berbuat sesuatu, kita perlu ada kesedaran, kesedaran penting. Sesudah kita habis bercakap barulah kerja itu kita bereskan.

Mengapa kita ini tidak habis-habis bercakap? Ini menjadi satu tanda tanya.

Mengapakah kita ini bercakap tentang kursus, kursus, kursus, tak habis habis. Sebab kita bercakap tiga bulan sekali, enam bulan sekali sedangkan Jepun kalau mereka ingin melakukan satu-satu projek, mereka bermesyuarat hari-hari, sehari lapan jam, dan sepuluh hari 80 jam!

Ada yang tidak tidur di Asrama Wisma Belia, hendak tidur di rumah saudara mara, rumah sahabat. Itu tidak menjadi masalah. Yang penting sekarang ini ialah proses melahirkan pemimpin dalam MAYC.

Dalam MAYC, jangan ada orang yang fikir aku teirngin hendak menjadi ketua kelab belia. Selepas itu, dia mula mencari 'konco', sertai projek. Dia melaksanakan projek itu bukan kerana minat tetapi kerana hendak menggulingkan ketua. Kemudian, orang yang membuat projek tidak hadir mesyuarat, maka dia pun digulingkan dan ini sudah tentu menyebabkan dia berasa tidak gembira. Begitu juga keadaannya di peringkat negeri. Apabila dilantik menjadi ahli jawatankuasa biro, dia tidak menghadiri mesyuarat, dan kalau datang pun kerjanya hendak menggulingkan orang.


SISTEM JEPUN

Sebab itu, dalam masyarakat kita, orang pandai tidak mahu mengajar orang bawah. Apabila orang bawah itu pandai, maka dia mahu menjatuhkan orang yang di atas.

Kita perlu tahu sistem di Jepun sekiranya kita mahu belajar daripada mereka.

Di Jepun, caranya ialah orang bawah menolong orang di atas naik, naik, naik. Orang bawah tunggu dan apabila sampai ketikanya, orang atas berhenti barulah orang bawah naik. Namun begitu ada juga di kalangan mereka yang kerjanya turun naik cepat-cepat tetapi cuma kira-kira 10% dalam masyarakat Jepun.

Dalam sistem Jepun, orang bawah tidak menjatuhkan orang atas, dengan itu orang atas mengajar orang bawah jadi pandai sebab apabila mereka pandai mereka tidak cuba menjatuhkan orang atas. Hakikat sebaliknya berlaku di sini. Orang atas suka orang bawah bodoh kerana bimbang orang bawah cuba menggulingkannya. Maka dibiarkannya orang bawah terus bodoh. Dalam MAYC, kalau kita hendak mengubah bangsa kita, jangan control orang bawah supaya terus bodoh, kita mahu mereka menjadi cerdik, dan kalau sudah pandai bolehlah mencari rezeki di tempat lain.

Yang silapnya, kita biarkan semua orang jadi bodoh supaya kita kekal duduk di atas. Kita, jangan pula biarkan orang bawah bodoh. Mereka perlu diberikan peluang mengikuti kursus supaya mereka turut menjadi pandai seperti orang atas.

Di Jepun, disebabkan orang atas suka mengajar orang bawah bukan kerana mereka sanggup berkorban hilang jawatan, tetapi kerana mereka ingin memajukan syarikat. Apabila syarikat maju dan berkembang maka kawan yang di bawah ini akan menjadi kepala satu unit baru.

Kita naik pangkat bukan dengan cara menjatuhkan orang lain tetapi dengan cara berkhidmat sehingga syarikat itu menjadi besar. Apabila syarikat berkembang, maka kita menjadi kuat. Lama-lama, kedudukan kita menjadi lebih tinggi daripada bos kita dahulu tetapi dalam bahagian lain yang sudah diperbesar.

Dalam MAYC, saya tidak berniat hendak menjadi presiden sampai mati dan saya tahu semua orang di sini layak menjadi presiden. Pendek kata, kita tidak kekurangan pemimpin dan saya tahu di peringkat negeri pun ada orang yang sudah layak menjadi pemimpin dan boleh menjadi presiden. Dari peringkat cawangan daerah pun sudah ada tokoh. Kalau dalam MAYC, semua orang di peringkat daerah yang cerdik sedikit daripada kita yang di atas ini kita buang; di peringkat negeri, orang pandai sedikit daripada kita, kita buang; maka kita akan ketandusan pemimpin dan organisasi kita akan hancur.

Kalau kita inginkan MAYC kita ini maju, kita perlulah memberi peluang seluas-luasnya supaya orang itu meningkat. Saya cuma menunggu bangunan Wisma Tunku sahaja, apabila siap bangunan itu, saya akan menyerahkannya kepada saudara-saudara.


BETUL-BETUL HEBAT

Oleh itu, yang penting ialah kita siapkan ahli MAYC supaya menjadi orang hebat. Ahli MAYC yang hebat, meskipun dia tidak menjadi presiden MAYC, atau pengerusi negeri, namun dia boleh menjadi ketua union, ketua seni, ketua PAS, ketua UMNO, ketua DAP. Mengapa?

Sebabnya ialah dia sudah menjadi seorang yang layak. Syaratnya kita perlu rajin, sekiranya kedudukan kita tidak meningkat dalam suatu pertubuhan kita boleh meningkat dalam pertubuhan sampingan. Walaupun kita tidak menjadi ketua, kita boleh menjadi pengerusi biro, dan boleh menjadi lebih terkenal daripada ketua itu sendiri.

Apabila menghantar wakil daripada pusat, kalau bukan Presiden, maka yang lain tidak perlu datang kerana kami pun ada tokoh tempatan.

Mesyuarat agung MAYC cawangan daerah jangan memanggil presiden sahaja, panggil ahli jawatankuasa mana-mana negeri pun apa salahnya?

Kita tonjolkan tokoh-tokoh MAYC kerana pemimpin MAYC ada 3 jenis:

1. Pemimpin Kelab

2. Pemimpin Tempatan

3. Pemimpin Nasional

Ada orang di peringkat negeri yang sudah cukup cekap, ada orang dari cawangan daerah yang cukup pandai, lebih pandai daripada ahli jawatankuasa pusat. Dia boleh menang dalam negerinya. Dia boleh menang dalam daerah. Dia belum lagi meenjadi pemimpin nasional bukan bermakna dia lebih rendah mutunya daripada pemimpin MAYC pusat.

Pemimpin MAYC pusat, mungkin dari segi kemampuan kurang daripada pemimpin negeri, cawangan daerah dan kelab cawangan tetapi dia sudah diterima sebagai pemimpin nasional kerana dia berkaliber dalam MAYC.

Dalam kampung semua orang sayang kepadanya, suruh lawan dengan Hamat Salleh sukar untuk dia menang, walaupun kita maklum dia lebih pandai daripada Hamat Salleh dalam bidang tertentu.

Mengapa?

Kerana pendedahan Hamat Salleh dengan pendedahannya berlainan dan ada orang apabila bertanding untuk jawatankuasa pusat selalu menang, di negeri orang guling.

Ada seorang hamba Allah dari Kelantan, di negeri Kelantan, jawatankuasa dia tak lekat tetapi tiap-tiap tahun di peringkat pusat dia menang, di negerinya orang tidak mahu, di pusat orang mahu.

Itulah sebabnya saya mahu menggalakkan tiga perkara, lawatan antara kelab, lawatan antara cawangan daerah dan lawatan antara negeri perlu ditingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Kelab-kelab MAYC yang bergabung ada seribu banyaknya. Semua mesyuarat agung kelab ini apabila mahu dibuka panggil ahli jawatankuasa negeri-negeri lain datang walaupun jawatankuasa MAYC kelab gabungan itu semuanya lulusan universiti. Ahli jawatankuasa kebangsaan yang kita akan panggil lulusan LCE, kita harus memberi peluang beliau mencurahkan pengalamannya.


BERI PELUANG

Dengan adanya pendedahan seperti ini, saya percaya kita boleh menjadi lebih hebat. Saya lihat tadi ramai yang berucap dalam majlis ini walaupun tidak menjadi presiden tetapi boleh menaikkan semangat.

Saya pun dahulu bukan terus menjadi presiden, saya pun dahulu bukan terus menjadi menteri. Dahulu, bapa saya menjadi ahli MAYC kelab belia dan menjadi pengerusi jawatankuasa sukan. Beliau kaki bola, oleh itu beliau dilantik sebagai pengerusi sukan.

Kita bermula sebagai ahli biasa, kita pergi ke Negeri Sembilan, pergi ke merata-rata negeri kesudahannya kita menjadi presiden. Saya dahulu pun tidak menyangka saya akan menjadi presiden. Kita tidak dapat meramal nasib seseorang pada masa hadapan.

Saudara jangan fikir yang duduk sebelah termenung itu tidak boleh diharap. Kita tidak tahu nasibnya nanti. Kita perlu memberi peluang kepada ahli MAYC di seluruh negara untuk bergiat dalam masyarakat dengan berani, gigih dan bersemangat.

Untuk itu, saya berharap supaya semangat ahli MAYC dipertingkatkan walau apa keputusan pilihan tadi yang akan diumumkan. Saya pada akhirnya meminta maaf kepada saudara-saudara atas apa-apa kekasaran yang mungkin saya lakukan dan jika ada apa-apa kekurangan pada jawatankuasa dahulu. Kita jadikanlah hari ini hari penamat kita mengharungi tahun '82 yang gilang-gemilang semoga MAYC akan terus menjadi pertubuhan yang disegani. Terus berkembang dengan rentak dan gelombang yang begitu mengagumkan.

Sekian. Dengan nama Allah saya menutup Mesyuarat Agung ini walaupun Pengerusi Majlis perlu mengumumkan penutupan majlis ini secara rasmi.

Terima kasih.

0 comments

Post a Comment