Mesyuarat Untuk Menegur

Posted by mayc_pkbm | 8:44 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-27, 1981

Dalam mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa kebangsaan, wakil dari Selangor telah mencadangkan supaya kita menghidupkan kelab-kelab sebagai satu acara MAYC supaya semua pengerusi negeri secara automatik menjadi ahli jawatankuasa MAYC Pusat.


Mungkin wakil dari Selangor, kerana baru dilantik sebagai pengerusi Selangor, maka beliau belum mengetahui cara mesyuarat jawatankuasa kebangsaan dijalankan.

Oleh itu, beliau akan bersama-sama kita nanti dalam mesyuarat jawatankuasa kebangsaan untuk membincangkan masalah ini.


Tidak ada sebab bagi seorang ketua di peringkat negeri mengecam jawatankuasa kebangsaan kerana ketua tiap-tiap negeri adalah sebahagian daripada jawatankuasa kebangsaan dan dia juga bertanggungjawab atas seluruh kelemahan MAYC kerana dia juga hadir dalam mesyuarat MAYC pada setiap kali mesyuarat diadakan.


PEMIMPIN PELAPIS

Wakil dari Wilayah Persekutuan telah mengucapkan tahniah, dan beliau juga telah bercakap mengenai perlunya kita adakan pemimpin pelapis. Saya fikir tidak ada pertubuhan belia di negara ini yang lebih mempunyai persiapan untuk mengadakan pemimpin pelapis selain MAYC.

Saya selalu menyatakan kepada jawatankuasa MAYC Pusat, setiap ahli jawatankuasanya layak untuk menjadi presiden. Usaha kita membawa semua ketua negeri termasuk Wilayah Persekutuan menganggotai jawatankuasa pusat inipun merupakan satu langkah untuk melatih pemimpin pelapis. Oleh itu, kita pinda perlembagaan dan kita kurangkan kuasa presiden.

Saya sendiri sebagai presiden, sepatutnya inginkan kuasa yang banyak untuk melantik ahli jawatankuasa dari luar MAYC. Sekarang ini saya hanya ada kuasa melantik dua orang itu sahaja.

Selain itu, semuanya dipilih dalam mesyuarat agung dan yang dipilih oleh MAYC Negeri, secara automatik menganggoai MAYC Pusat. Tidak timbul lagi soal tidak adanya peluang MAYC Negeri untuk bergerak bersama-sama dalam MAYC Pusat.

Kalau ada ahli jawatankuasa yang tidak melaksanakan kerja, lalu tidak dilantik lagi maka dia tidak perlu menyalahkan orang lain.


BOLEH MENEGUR

Dalam mesyuarat jawatankuasa MAYC semua ketua negeri hadir. Justeru, mereka sendiri boleh memastikan sama ada pengerusi satu-satu biro melaksanakan kerja atau pun tidak.

Kalau ketua negeri yang hadir mendapati pengerusi biro tidak melaksanakan tugas, dia boleh meminta semua ahli negeri dan daerah supaya tidak melantiknya dalam mesyuarat agung akan datang.

Sebab itulah kita melihat satu demi satu gugur, dan satu demi satu orang baru naik dan kita melihat ada orang yang terus kekal tanpa ada apa-apa pilihan lain. Kerana apa? Kerana semua pemimpin MAYC tahu bahawa dia melaksanakan tugas.

Itulah sebabnya mengapa kita adakan mesyuarat agung supaya orang boleh menegur kita.

Satu tanda saya ingin mengurangkan pengaruh adalah dengan mengelakkan diri daripada menghadiri semua mesyuarat kelab, semua mesyuarat cawangan daerah dan semua mesyuarat negeri. Balik-balik Sanusi Junid yang pergi, balik-balik Sanusi Junid yang pergi, akhirnya Sanusi Junid akan pinda perlembagaan supaya dia tidak boleh jatuh dan menjadi Presiden sampai mati. Saya ingin memberikan kesempatan kepada semua tokoh yang ada di sini untuk pergi ke setiap negeri dan ke setiap cawangan daerah.

Begitu juga, saya mahukan supaya semua negeri pada setiap tahun cuba membawa separuh orang lama dan separuh orang baru menghadiri mesyuarat agung supaya sama-sama mempunyai pengalaman. Jangan semua yang hadir orang baru. Kalau semua yang hadir orang baru, kita bercakap tentang MENJARO, mereka tidak faham. Kita bercakap tentang POLEMAS, mereka tidak faham. MAYC Perak juga mengucapkan terima kasih, saya ucapkan terima kasih kembali. Wakil dari Perak mendoakan supaya kedudukan saya lebih meningkat dan saya mendoakan semua ahli MAYC begitu juga, tidak semestinya dalam bidang politik, malah dalam semua bidang MAYC perlu meningkat.


PRESTASI

Saya ucapkan terima kasih kepada wakil Perlis yang menyatakan bahawa kita ahli MAYC perlu meningkatkan prestasi. Saya juga terkejut hari ini ramai sangat ahli MAYC menggunakan perkataan 'prestasi'. Ini bermakna taraf kita sudah meningkat dari segi penguasaan istilah. Wakil dari Kelantan menekankan agar kita tidak setakat pandai bercakap tetapi pandai juga melaksanakan kerja.

Saya lihat beliau juga pandai bercakap dan saya percaya beliau juga pandai buat kerja.

Tuan-tuan tentu sedia maklum bahawa saya ini sejak pindaan Akta Pertubuhan, berpuluh-puluh pertubuhan dari kiri dan kanan menghentam saya.


PERTUBUHAN PERSAHABATAN

MAYC satu pertubuhan persahabatan. Kita mempunyai orang seperti saya -- orang UMNO, ada ahli MAYC -- orang PAS, ada ahli MAYC bukan UMNO, bukan PAS, ahli MIC, ada ahli MCA.

Justeru, kita dalam MAYC, walaupun menganut beraneka fahaman politik, kita tidak menjadikan MAYC badan politik. MAYC tetap menjadi badan persahabatan.

Saya berharap semoga saudara berusaha mengekalkan MAYC demikian supaya dapat menyatukan masyarakat darpada berbilang fahaman, berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama.

Walaupun pada hari ini tidak ramai orang India dalam mesyuarat MAYC dan tidak ramai orang Cina dalam mesyuarat MAYC, itu bukan salah MAYC. Sikap MAYC tetap tidak berubah dan saya menjemput orang India dan Cina menyertai MAYC untuk bergaul dengan orang Melayu, kita mahu melihat ada persafahaman kaum.

Saya percaya MAYC dapat terus tegak sebagai badan persahabatan dan datanglah apa jenis orang politik pun, MAYC tetap membuka tangan dengan seluas-luasnya supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Saya ucapkan ribuan terima kasih bagi pihak diri saya dan ahli jawatankuasa semoga tuan-tuan pulang ke kampung dengan semangat baru, dengan pandangan dan tanggapan baru semoga kita berusaha terus menjayakan wawasan MAYC.

0 comments

Post a Comment