Bangsa Penakut Tidak Berjaya

Posted by mayc_pkbm | 8:42 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-26, 1980

TERLEBIH DAHULU SAYA ucapkan ribuan terima kasih kepada saudara para perwakilan yang begitu sabar hadir dalam mesyuarat ini hingga akhir. Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada saudara yang telah memilih saya sebagai presiden untuk jangka masa satu tahun lagi.



IMPIAN

Atas kepercayaan saudara para perwakilan sekalian, saya akan berusaha sedaya mungkin untuk merealisasikan segala impian baik dari segi melahirkan program ataupun memikirkan sesuatu yang baru dan inovatif untuk jangka masa satu tahun akan datang.

Kepada negeri Johor saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menjadi tuan rumah walaupun pemilihan saudara sebagai tuan rumah kali ini diputuskan secara agak tergesa-gesa. Namun begitu, saya amat kagum dengan kelancaran perjalanan mesyuarat kita ini walaupun tempoh persediaan acara ini agak singkat.


Para perwakilan telah pun menzahirkan perasaan terima kasih dengan memilih seorang anak Johor menjadi naib presiden pada tahun ini.

Saya dengan hati yang ikhlas mengucapkan terima kasih kepada negeri Johor. Marilah kita berikan tepukan bergemuruh kerana jasa baik mereka. Saya juga ucapkan terima kasih kepada perwakilan negeri Melaka yang telah mendoakan semoga Allah terus memberikan ilham kepada saya. Tidak lupa juga, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada negeri Pahang yang telah mentafsirkan MAYC sebagai Masih Ada Yang Cinta..

Itupun salah satu ilham baru yang sentiasa dikeluarkan oleh saudara Yaacob dalam mesyuarat agung kita. Saya gembira kerana MAYC juga boleh ditafsirkan Masih Ada Yang Cekap.

Negeri Pahang telah membangkitkan isu mengenai Piala Bola Sepak Oleh sebab semua ketua MAYC negeri secara automatik menjadi ahli jawatankuasa kebangsaan, maka saya berharap perkara yang menjadi isu yang berterusan seperti Piala Bola Sepak perlu ditimbulkan dalam setiap kali mesyuarat jawatankuasa MAYC kebangsaan oleh wakil negeri yang terlibat supaya perkara ini tidak menjadi isu mesyuarat agung. Saya berharap wakil Pahang akan membangkitkan perkara ini pada mesyuarat akan datang.


KONVENSYEN EKONOMI

Untuk makluman saudara, antara projek yang paling banyak mendapat kesan di peringkat nasional pada tahun 1979 ialah Konvensyen Ekonomi MAYC yang dipimpin oleh Aziz Abdul Rahman, yang sepanjang tempoh perlantikannya dia telah berhasil melaksanakan tugas dengan begitu baik, dan Konvensyen Ekonomi MAYC tidak sedikit pun menyentuh duit MAYC pusat malah Konvensyen Ekonomi MAYC tidak sedikit pun menderma. {Mohon dirujuk 142:1, teks tidak jelas, perlu distrukturkan semula}

Itulah sebabnya saya melantik saudara Aziz Abdul Rahman menjadi Exco MAYC kerana saya yakin akan kemampuannya, dan MAYC pula berterima kasih kepadanya sebagai anak jati Pahang yang telah menyelaraskan program MAYC hingga menimbulkan keyakinan dan minat Menteri Kewangan menjemput MAYC untuk memberikan pandangan mengenai Rancangan Malaysia Keempat.

Begitu sekali pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan kepada Kewangan MAYC!

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada perwakilan Kelantan yang menyuarakan hakikat bahawa Kelantan, Terangganu dan Pahang adalah negeri miskin. Saya setuju Kelantan negeri miskin dan Kedah nombor dua miskin, justeru, kita perbanyakkan kursus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri-negeri ini.

Saya ucapkan terima kasih kepada Perlis dan kita terima baik syor Perlis supaya program MAYC dirancang lebih awal, mungkin inilah agaknya ada cadangan supaya ahli jawatankuasa kebangsaan dipilih dua tahun sekali. Saya selaku presiden tidak mahu menyokong, dan tidak mahu menentang. Saya tidak mahu menyokong dikhuatiri orang sangka saya ingin menjadi presiden sampai kiamat.

Saya juga tidak mahu menentang kerana saya fikir peluang ini baik, kerana seseorang yang menjadi pengerusi biro belum sempat berehat sudah hendak digulingkan. Oleh itu, terserahlah kepada jawatankuasa biro yang dipimpin oleh saudara Syed Ahmad, tokoh MAYC yang mempengerusikan jawatankuasa itu membuat keputusan.


CABARAN

Mengenai ucapan perwakilan Pulau Pinang, untuk makluman saudara, urusan tanah di Pulau pinang bukan urusan Exco Kebangsaan. Exco Kebangsaan membantu untuk mendapatkan tanah itu, jadi jangan nanti apabila tidak dapat, Exco Kebangsaan dipersalah.

Dalam soal tanah di Pulau Pinang semua orang sokong, Pengarah Tanah sokong, semua orang sokong, Dr. Mahathir sokong, Tengku Razaleigh sokong, Datuk Samad pun sokong, yang tidak sokong hanya seorang sahaja di Pulau Pinang, kerana seorang tidak sokong, maka kita menghadapi berbagai-bagai masalah.

Oleh itu, saya berharap Pulau Pinang dan kami sendiri di peringkat pusat akan berusaha mengambil langkah yang lebih berkesan. Pulau Pinang harus meningkatkan keanggotaan ahlinya sehingga kekuatan MAYC menjadi penting dan diperlukan. Isu ini adalah satu cabaran kepada Pulau Pinang, dan Exco Kebangsaan akan membantu saudara dengan sepenuh tenaga dan kemahuan.

Mengenai teguran Perak tentang penggabungan, apa yang difahamkan oleh Ketua MAYC Perak sendiri, gabungan baru ini baru diluluskan dalam Exco Kebangsaan yang lalu. Oleh itu, jika ada kesilapan teknik dilakukan oleh Exco ini, harap dapat dimaafkan.


DAHULU LAIN SEKARANG LAIN

Saudara dari Selangor telah menyebut mengenai MAYC dahulu dan sekarang, harus dibezakan pemimpin MAYC dahulu dengan pemimpin MAYC sekarang. MAYC dahulu ialah MAYC sewaktu belum ada Kementerian Belia dan Sukan dengan idea untuk membangunkan belia. Tetapi, MAYC sekarang ialah MAYC setelah negara merdeka 20 tahun lebih. Oleh itu, bukan mudah MAYC sekarang dapat diterima oleh MAYC dahulu.

Itulah sebabnya bagi saya program MAYC dahulu perlu diubah sedikit kegiatan berkelompoknya supaya MAYC menekankan pada aspek pembangunan. MAYC dahulu, hanya beberapa kerat Melayu sahaja dijemput untuk menjadi pemimpin dalam masyarakat, tetapi MAYC sekarang walaupun kegiatan berkelompoknya agak terbatas, tetapi rata-rata tokoh MAYC sudah dihormati dan disegani anggota masyarakat.

Kalau saudara mengkaji perkembangan dan pembangunan watak dan tokoh dalam MAYC masa kini, saya rasa ramai jaguh yang berani berdiri menyatakan walau perkara pahit sekalipun.

Kewujudan watak atau tokoh berwibawa penting untuk menjamin kedudukan masa depan ahli MAYC dalam masyarakat.


PERUBAHAN

Kita perlu sentiasa mengadakan bengkel-bengkel ekonomi, sukan dan lain-lainnya yang disusun bawah ketua biro yang akan saya lantik. Dan seandainya ketua biro tidak menjalankan tugas, maka menjadi tanggungjawab para perwakilan untuk bertindak dalam mesyuarat agung akan datang. Sekiranya perubahan tidak berlaku, maka sudah sampai masanya Sanusi Junid sendiri sebagai presiden harus ditukar.

Inilah proses demokrasi yang perlu ditekankan dalam MAYC kerana saya rasa pembangunan watak lebih penting daripada organisasi.

Mungkin kalau kita ada banyak acara dan menjemput ramai menteri, maka Sanusi Junid menjadi lebih terkenal, tetapi itu tidak penting, yang penting ialah ahli MAYC rata-rata maju. Kalau ahli MAYC menjadi ulama kita mahu ulama yang hebat. Kalau dia bergiat dalam politik, walau parti apa sekalipun, kita mahu dia berjaya.

Ada dua jenis politik dalam negara.

Satu namanya politik yakin dan percaya, satu lagi politik takut dan gertak. Politik yakin dan percaya ini politik kami. Ada orang bertanya, "Sanusi Junid, bilakah sekolah ini akan siap?"

"Jangan bimbang, yakin dan percayalah dalam masa tiga bulan lagi akan mula dibina".

"Bilakah siap jambatan ini?"

"Jangan bimbang, insya-Allah akan siap dalam tahun ini". Apabila kita bertanya kepada Datuk Hussein mengenai pencapaian 30% ekonomi Melayu, beliau berkata, "saya akan mencagarkan masa depan politik saya jika tidak tercapai matlamat 30% itu. Justeru, sebagai parti yang memerintah, maka pemimpinnya mestilah yakin.

BERANI DAN TAKUT

Ada dua golongan manusia pada setiap bangsa -- satu jenis berani, dan satu lagi jenis penakut. Percayalah, sebagaimana yang saya selalu katakan, bangsa yang penakut tidak akan berjaya dalam usaha untuk membangunkan bangsa dan negara.

Bangsa Jepun dengan semangat Samurainya telah berjaya dalam bidang ekonomi. Korea menjadi bangsa berjaya dengan semangat 'hwarang' Laksamana Yi Shin Jin, seorang ahli falsafah dan ahli ekonomi. Seperti juga orang Inggeris pada zaman Francis Light, pada zaman Stamford Raffles, dan orang Cina yang mengharungi lautan sebagai pendatang menjadi bangsa yang berani dan maju.


TIDAK TAKUT

MAYC tidak patut sekali-kali mengizinkan anggotanya menjadi penakut. Kita tidak mahu melihat bangsa-bangsa dalam negara menjadi bangsa yang dayus kerana bangsa yang dayus inilah nanti akan dijahanamkan oleh orang lain.

Oleh itu, baik dari segi membangunkan ekonomi, baik dari segi membangunkan keutuhan bangsa, baik dari segi mempertahankan negara daripada anasir luar, maka bangsa kita perlu menjadi bangsa yang berani. Ke arah ini kepimpinan saya dalam MAYC menjadi asas tujuan, ke arah melahirkan belia yang pragmatik, belia yang berani, belia yang banyak bekerja, belia yang sama banyak bekerja dan bercakap.

Itulah matlamat kita dalam MAYC, dan saya berharap saudara sekalian akan pulang ke kampung masing-masing sebagai pahlawan, sebagai seniman, sebagai pujangga dan sebagai pemimpin.

Pengalaman selama dua hari di Johor Bahru perlu dijadikan iktibar untuk kita selama-lamanya. Saya bersyukur kepada Allah kerana masih banyak bidang perjuangan yang perlu kita lalui, masih banyak bidang terluang untuk ahli ceburi dan saya berharap MAYC menjadi pertubuhan yang aman, MAYC menjadi pertubuhan yang bebas daripada kemelut. MAYC menjadi pertubunhan yang teguh, kuat dan disegani.

MAYC sekarang ini perlu masuk ke dalam masyarakat, sementara kita melatih generasi muda dalam MENJARO, mereka yang sudah mengalami MENJARO perlu masuk ke dalam POLEMAS (politik, ekonomi dan masyarakat).

Sekian, selamat pulang ke tempat masing-masing. Kepada yang sudah berumah tangga, kirimkan salam kepada keluarga.

Insya-Allah mereka akan datang bersama-sama pada mesyuarat akan datang dan semoga berjumpa lagi.

Sekian, Wabillahitaufik Assalamualaikum dan dengan nama Allah saya menutup Mesyuarat ini.

0 comments

Post a Comment