Air Mengalir Tidak Busuk

Posted by mayc_pkbm | 8:23 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-23, 1977

TANDA NAMA

Mengenai cadangan tanda nama daripada wakil Selangor, itu adalah cara yang baik dan begitu juga dengan cadangan wakil dari Melaka mengenai pelekat motor supaya dalam perjalanan kita boleh berikan sedikit promosi untuk organisasi kita.

Mengenai seruan Kedah yang berulang-ulang kali supaya pengerusi pendidikan datang ke Kedah, ingin saya maklumkan bahawa Saudari Maznah sebenarnya sudah berumah tangga. {86:1}{teks mengelirukan}

Saya juga ingin memberitahu perwakilan di sini bahawa kedatangan dua orang wakil dari Pahang bukanlah satu perkara yang boleh dianggap mendukacitakan. Kedatangan hanya dua orang itu harus diterima sebagai satu cabaran untuk masa hadapan. {86:2} {teks mengelirukan}



CABARAN SEMENTARA

Bagi beliawanis yang manis yang berbicara tadi, saya fikir harus mendapat inspirasi dan galakan daripada mereka bahawa keadaan di Pahang hanya satu cabaran sementara sebelum kita dapat melihat pergerakan di Pahang sama besar dengan negerinya. Semua masalah yang dihadapi di Pahang, yang besar boleh dikecilkan dan yang kecil dapat ditiadakan. {86:3}{Ayat mengelirukan}

Kembali kepada perbicaraan selanjutnya terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengerusi majlis, Datuk Nordin, yang jelas seorang pengerusi yang berpengalaman dan bijaksana untuk negeri Kelantan. Saya bagi pihak semua perwakilan mengucapkan ribuan terima kasih kepada MAYC Kelantan atas budi baik mereka.

Oleh sebab pada tahun lepas di Pulau Pinang, saya berpantun yang berbunyi lebih kurang:

Terima kasih MAYC Pulau Pinang,

Berjasa, berusaha saudara sendiri;

Semua ahli berasa senang,

Hutang budi termakan hati.

Untuk Kelantan, kerana sudah ada tradisi membaca pantung dalam ucapan penutup, maka saya pantunkan:

Kota Bharu kotanya indah,

Tempat mesyuarat di Pengkalan Chepa;

Hati terharu berasa gundah,

Setelah berpisah janganlah lupa.

Saya berharap semoga silaturrahim antara semua ahli MAYC dari seluruh negara dengan MAYC di Kelantan semakin erat sebagaimana eratnya silaturrahim antara seluruh MAYC dengan ahli MAYC negeri Pulau Pinang dahulu.


RANTING RAPUH

Kekuatan MAYC selama ini janganlah saudara berasa terharu kerana kekuatannya bukan lantaran bergabung dengan MBM. Kekuatan MAYC tergantung pada kekuatan kelab-kelab cawangan daerah, negeri dan kelab-kelab gabungan. Tidak ada MAYC Pusat kalau tidak ada kelab-kelab yang bergabung dengan MAYC. Maka kemelut MAYC adalah untuk membela kelab-kelab yang bergabung dan bukan untuk membela kelab-kelab yang menjadi sebahagian daripada anggota gabungan. Oleh itu, kita harus pandang ke dalam, kepada usaha membangunkan MAYC. Jangan fikir kita kuat kalau hanya bergantung pada ranting yang rapuh.

Kalau kita benar-benar kuat, maka kita sendiri berpijak di bumi dan ranting yang rapuh kita ikat semoga tidak patah.

Oleh itu, ucapan sayonara kepada MBM ataupun isytihar 'MAYC go solo', iaitu bergerak sendirian merupakan satu pengisytiharan yang lebih kepada langkah menjaga diri sendiri dan tidak mahu terlibat dengan politik-politik belia yang di luar kekuasaan kita untuk mengatasinya.

Sebagai mesej kita keluar daripada MBM maka kita berpantun:

Pengkalan Chepa tempat mesyuarat,

Para perwakilan dan pengerusi PKBM;

Setelah meneliti semua isyarat,

Keputusan dibuat keluar daripada MBM.

Soalnya sekarang ialah bagaimana kita menegakkan MAYC yang kuat? Kajilah semua konsep berorganisasi. Kajilah dari zaman Nabi Adam hingga ke zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Bacalah buku-buku tradisi pembangunan yang dikarang ataupun ucapan yang telah dipidatokan atau tulisan yang ditulis oleh pemimpin seperti Napoleon Bonaparte.


PEMIMPIN POPULAR

Kajilah bagaimana mengukuhnya organisasi Marxist dan bagaimana organisasi itu runtuh. Hal ini dapat kita saksikan hakikat ini melalui buku sejarah dan buku falsafah organisasi. Bacalah buku tentang organisasi. Bacalah buku sosiologi, bacalah buku politik dan semua ini menyatakan untuk menjadi kuat sesuatu organisasi itu perlu memiliki tiga syarat.

Organisasi akan menjadi kuat jika mempunyai pemimpin-pemimpin yang popular.

Bukan bererti presiden yang popular, tetapi seluruh jawatankuasa popular, seluruh anggota jawatankuasa pusat popular, negeri popular, cawangan juga popular.

Di negara ini ada orang menjadi pemimpin bukan kerana popular tetapi kerana intrik. Mula-mula naik kerana popular. Menjadi pemimpin kerana popular, selepas itu lakukan pelbagai kesilapan. {89:5} {Perkataan intrik, tak faham}.

Kerana pelbagai kesilapan, maka orang pun membenci pemimpin itu. Namun, kerana pemimpin itu terlalu 'sedap' memimpin, dia tidak mhu turun dan dia pertahankan kedudukannya walaupun tidak popular dengan berbagai-bagai sengketa, clique, pelbagai sistem komplot, pelbagai sistem yang dapat mengekalkan kedudukan.

Itulah sebabnya sesetengah organisasi di negara ini kita lihat yang ada hanya pegawai-pegawai tetapi pengikutnya tidak ada. Ada organisasi untuk memungut yuran menjadi masalah, untuk mengadakan mesyuarat agung pun menjadi masalah.

Semua ini disebabkan organisasi tersebut, setelah melalui jangka masa yang lama, pemimpinnya menjadi berkarat. Pemimpin seperti itu tentunya tidak dapat berjasa kepada organisasi. Dengan tiadanya pemimpin popular yang disukai, organisasi itu terus menjadi lesu dari masa ke masa.

Satu lagi syarat untuk organisasi menjadi kuat ialah mobilisasi sumber dan guna tenaga untuk menggerakkan anggota-anggotanya supaya menjadi aktif.


AIR MENGALIR TIDAK AKAN BUSUK

MAYC boleh menjadi kuat kalau setiap cawangan mempunyai aktiviti tertentu. Kalau setiap kelab MAYC menjadi kelab yang aktif, maka dengan sendirinya kelab itu tidak akan berkarat sebagaimana kata pepatah:

Air mengalir tidak akan busuk, sendi pintu tidak dimakan bubuk asal bergerak ia tidak akan mati.

Begitu juga kita lihat manusia. Kita boleh hidup sebegini selama 30 hingga 40 tahun. Badan kita tidak menjadi busuk tetapi apabila kita mati, darah tidak mengalir. Tenaga tidak bergerak, badan, kaki, tangan tidak bergerak. Dalam masa 2 hingga 3 jam kita sudah menjadi hampir busuk dan dalam masa 2 hinga 3 hari kita sudah dimakan oleh berbagai-bagai macam ulat di dalam kubur.

Oleh itu, MAYC yang mahu hidup, MAYC di peringkat kelab, daerah dan pusat mesti penuh dengan aktiviti. Dan, dengan adanya ahli MAYC datang dari seluruh negara ke perjumpaan yang besar begini berertilah MAYC mempunyai tenaga untuk menggerakkan ahli-ahlinya.


TRADISI

Syarat yang ketiga supaya organisasi kuat ialah harus berpegang pada tradisi-tradisinya. Dan MAYC dari masa ke masa meminda sedikit sebanyak programnya tetapi program setelah dilaksanakan harus diulang setiap tahun supaya menjadi tradisi, organisasi yang mempunyai tradisi dapat menghadapi apa jua masalah atau cabaran.

Kita telah keluar daripada MBM bagi kali yang kedua. Insya-Allah kalau kita nanti dapat bergerak, saya percaya kita bergerak dari luar. Dengan itu kita lebih mesra dengan MBM kerana kalau kita berada dalam MBM kita berselisih faham sentiasa. Lebih baik kita berada di luar dan kita berjumpa dalam bidang yang kita sefahaman sahaja.

Semalam, saya beritahu jawatankuasa MAYC dan kepada pemimpin-pemimpin negeri, kita sering melihat satu pasangan berdua-duaan ke sana sini, bertahun-tahun dengan harmonis, apabila kahwin satu tahun, mereka mula berkelahi dan rumah tangga mereka pun menjadi porak-peranda.

Begitu juga perhubungan kita dengan MBM. Mungkin dengan berada bersama-sama di bawah satu bumbung kita selalu bergaduh kerana tidak ada persefahaman. Justeru, dengan berada di luar kita dapat bersahabat dengan MBM.


SETIAKAWAN

Sekarang kita bukan sahaja dapat berkawan dengan MBM tetapi juga dengan Majlis Belia Negeri kalau sesuatu Majlis Belia Negeri yang baru melakukan sesuatu perkara yang bersesuaian dengan kita. Kita juga dapat berkawan dengan mereka sebagaimana kita dapat berkawan dengan Majlis Belia Negeri yang lama kerana kita dengan mereka adalah satu kedudukan dan kita tidak lagi menjadi satu organisasi yang tunduk kepada mereka.

Dalam mesyuarat pertubuhan majlis saya telah mengisytiharkan strategi MENJARO. Strategi pembangunan mental, pembangunan jasad dan pembangunan roh. Strategi ini penting agar kita dapat membawa ahli MAYC ke dalam perjuangan politik, ekonomi dan masyarakat.

POLEMAS

Setelah MAYC mencapai kekuatan pembangunan mental, jasad dan roh mengikut strategi MENJARO, maka kita boleh membawa tubuh kita yang sudah lengkap ataupun menuju kelengkapan, dengan adanya strategi MENJARO ini, untuk masuk ke dalam bidang perjuangan yang kita namakan POLEMAS -- Politik, Ekonomi dan Masyarakat.

Justeru, dengan kelengkapan MENJARO inilah kita bawa diri kita ke dalam bidang POLEMAS, dan untuk melengkapkan usaha kita dalam pembangunan roh, kita adakan aktiviti-aktiviti Dakwah MAYC yang kita singkatkan sebagai aktiviti ADAM -- A aktiviti, DA dakwah M -- MAYC (Aktiviti Dakwah MAYC).

Jadi, kalau kita berdakwah dalam MAYC, kita kata, "Dalam usia kami menuju strategi MENJARO, dengan adanya projek-projek yang menuju sasaran nasional untuk melengkapkan belia dalam perjuangan POLEMAS; kami adakan gerakan ADAM dalam organisasi kami".

Insya-Allah, dengan tercapainya matlamat menuju MENJARO, iaitu melengkapkan diri memasuki perjuangan POLEMAS dengan isi-isi ADAM maka kita akan menjadi organisasi yang kuat.

Kita tidak dapat lama dalam MBM kerana MBM sudah kelihatan akan menuju kepada satu organisasi yang 'parpol' (participant dalam soal-soal politik).

Ahli MAYC adalah ahli yang sesetengahnya datang daripada UMNO, daripada PAS, daripada Parti Rakyat, daripada Parti Gerakan, daripada parti MIC, MCA ataupun parti lain. Ada ahli MAYC yang non parpol (non participant politik) dan ada pula yang benci politik.

MAYC tidak dapat tunduk kepada satu-satu aliran walaupun anggota MAYC terdiri daripada beberapa buah parti sahaja.

Oleh itu, kita harus kekalkan sifat MAYC sebagai sebuah organisasi yang non parpol dan kita harus menegakkan tujuan kita pada matlamat. MENJARO untuk melengkapkan diri kita dalam perjuangan POLEMAS dengan kita isikan diri kita dengan gerakan-gerakan ADAM.

Sekian. Wabillahitaufik Wassalamualaikum Warahmatullahita'ala Wabarokatuh.

0 comments

Post a Comment