Siapakah Penentu Masa Depan?

Posted by mayc_pkbm | 8:27 PM | 0 comments »

Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-24, 1978

HARI BERTUAH


Hari ini kita namakan hari bertuah kerana pada hari ini kita berada dalam keadaan penuh debaran menunggu genapnya ulang tahun ke-25 kita hidup di bumi Tuhan sebagai satu pertubuhan belia yang sudah matang dan dewasa. Dua puluh lima tahun hampir akan berlalu, maka pada pertengahan tahun hadapan, genaplah nanti suku abad kita bertapak di negara ini.

Tanda-tanda yang menunjukkan kita sudah dewasa, tanda-tanda yang menunjukkan kita sudah matang, tanda-tanda yang menunjukkan kita sebuah organisasi belia yang besar, yang bertanggungjawab di negara ini adalah jelas.

Mesyuarat agung kita kali ini ditunda selama tiga bulan dengan sebab-sebab yang berlaku secara kebetulan. Kita meramalkan pilihan raya akan berlaku pada akhir April, dan peristiwa sebenar berlaku pada 8 Julai, tiga bulan jarak tempohnya.


Kita sedar akan hakikat bahawa tidak mungkin sesebuah pertubuhan belia yang sudah bertapak dan mantap selama 25 tahun, serta anggotanya menjadi semakin dewasa, memisahkan diri daripada bidang politik. Atas alasan itulah maka kita menunda mesyuarat agung.


TOKOH-TOKOH KITA

Oleh sebab ramai tokoh kita terlibat dalam politik maka kita tidak mahu kesibukan menyusun acara menghadiri mesyuarat agung menggendalakan rencana-rencana politik di tempat masing-masing.

Hasil daripada pilihan raya 8 Julai, Encik Salleh, pengerusi MAYC Terengganu sudah dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Kita bersyukur kepada Allah kerana pengerusi Majlis Penasihat MAYC Negeri Selangor yang dahulunya pengerusi MAYC Negeri Selangor kini menjadi Ketua Menteri Melaka.

Kita berasa gembira kerana pemimpin MAYC di Jelebu sekarang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, dan kita seronok berlinang air mata apabila seorang lagi tokoh kita, pengerusi MAYC Negeri Pahang menjadi Menteri Besar Pahang.

Dan apabila kita melihat rekod bekas pemimpin MAYC, kita berasa begitu bangga kerana hal ini membuktikan bahawa orang-orang bijak memilih MAYC.

Sekarang ini kita lihat pula bahawa yang berada bersama-sama kita ialah Datuk Seri Dr. Mahathir. Terbukti bahawa tokoh kita bukan sahaja di peringkat Menteri-Menteri Besar, malah turut terdiri daripada Menteri Kabinet.

Dalam kabinet sekarang ini ada bekas tokoh-tokoh besar MAYC, sesetengahnya pernah memimpin MAYC di peringkat cawangan, daerah dan di peringkat negeri, tetapi tokoh yang tidak asing kepada kita ialah Datuk Seri Dr. Mahatihr yang kita raikan pada hari ini.


DR. MAHATHIR

Selaku Presiden MAYC, saya bagi pihak seluruh anggota MAYC sejak MAYC ditubuhkan sehingga hari ini, mencatat dengan tinta emas perasaan bangga seluruh anggota atas kejayaan yang telah dicapai oleh pemimpin-pemimpin kita, terutama sekali Datuk Seri Dr. Mahathir.

Kita juga perlu memperingati pada hari ini, Timbalan Pengerusi MAYC yang pertama sudah pun menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur dan saya berdoa kepada Allah untuk semua pemimpin MAYC, bermula daripada Tan Sri Mubin Shepard hingga kepada Tunku Abdullah, sampai kepada Tuan Syed Ahmad Idid semuanya masih hidup dan kita berharap mereka sempat melihat kita merayakan Jubli Perak pada tahun hadapan.

Kita juga mempunyai rekod yang paling istimewa sejak tahun '74 sehingga sekarang. Pada tahun '74, Datuk Husein Onn telah merasmikan mesyuarat agung kita di Kolej Kelima Universiti Malaya. Pada waktu itu, beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kita berdoa kepada Allah semoga beliau diberikan tempat yang lebih istimewa daripada itu. Dengan takdir Allah, beliau kini sudah pun menjadi Perdana Menteri.


MENCARI PEMIMPIN

Kemudian, pada tahun '75 di Asrama Tun Dr. Ismail, mesyuarat agung kita dirasmikan oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau pada waktu itu menjadi Pengerusi Bank Bumiputra dan kita melafazkan doa semoga beliau suatu hari nanti menjadi Menteri Kewangan. Syukur alhamdulillah, pada hari ini jelas doa kita sudah termakbul.

Pada tahun '76, di Pulau Pinang, Haji Hassan Adli hadir merasmikan mesyuarat agung dan kita mendoakan semoga beliau juga diberikan tempat istimewa oleh Allah. Syukur, alhamdulillah, walaupun beliau tidak berparti tetapi masih kekal sebagai menteri.

Pada tahun '77, Datuk Mohd Asri Haji Muda telah menyatakan "Bahawa sukar dicari pemimpin-pemimpin setanding dengan yang ada dalam MAYC". Walaupun dalam pilihan raya yang lepas saya dikecam oleh orang-orang beliau tetapi yang penting ialah saya tetap tidak berubah.


SATU MERCU TANDA

Satu landmark untuk tahun '78 bagi MAYC bermula dengan keputusan untuk mendirikan sebuah bangunan 10 tingkat yang mempunyai 75 buah bilik sempena umur 75 tahun Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Keputusan ini bertujuan menghormati beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan sebagai Bapa Kemerdekaan dan Simbol Perpaduan. Wang untuk mendirikan bangunan ini sedang diatur dan insya-Allah semua masalah dapat diatasi.

Saya teringat, sebelum tarikh 8 Julai, saya berjumpa dengan seorang hamba Allah di Kedah, namanya Mat Etong. Mat Etong menceritakan kepada saya satu cerita yang saya fikir semua ahli MAYC perlu tahu.

Nama Mat Etong yang sebenar ialah Mohamad bin Abdullah. Namanya sama dengan nama Nabi. Walau bagaimanapun tidak semestinya nama sama dengan nama Nabi orangnya serupa Nabi. Apakah cerita Mat Etong? Kata Mat Etong, pada suatu masa ada seorang hamba Allah sedang berjalan-jalan. Tiba-tiba dia terjumpa pokok cenderai. Tahukah saudara apakah pokok cenderai itu? Kalau kita main 'buluh pong' sewaktu kecil, kita ambil buah cenderai, masukkan ke dalam buluh kita pukul, selepas itu kita tekan, bunyi 'pong'. Justeru, tempat saya di Yan orang namakan 'Buluh Pong'.

Apabila hamba Allah ini melihat pokok cenderai begitu besar dengan buahnya yang kecil-kecil, katanya, 'Eh, adakah pokok yang begitu besar, buahnya kecil-kecil? Tuhan * "tersilap" agaknya'.

Kemudian hamba Allah ini berjalan lagi, lalu bertemu dengan buah labu yang besar. Pokok labu melata di atas tanah. 'Tengok, ini satu lagi contoh yang Tuhan * "silap". Pokok yang begitu menderita melata di atas tanah, buahnya begitu besar. Kalau aku "Tuhan", aku akan pindahkan buah labu ke pokok cenderai'.

Tiba-tiba hamba Allah tadi pun mengantuk, dan tertidur di bawah pokok cenderai. Sebutir buah cenderai jatuh tepat di atas hidungnya.

Dia pun terjaga, katanya 'Tuhan pandai sungguh. Kalaulah aku yang jadi "Tuhan", nescaya aku sudah mati, jatuh buah labu besar-besar di atas kepala aku'.

Saya rasa cerita ini cukup sebagai bahan renungan kita. Tak usahkan kerja manusia dipandang silap oleh sesama manusia, kerja Tuhan pun dipandang silap oleh manusia, apatah lagi yang muda-muda.


BATAS KEMAMPUAN

Bagi kita dalam MAYC kita sedar batas kemampuan kita bertindak dan kita akui segala kejayaan yang tercapai dan kita doakan seluruh angkatan belia yang ada dalam negara ini, semoga mereka menjadi generasi yang bersungguh-sungguh berusaha menegakkan sebuah masyarakat yang bahagia, adil dan makmur serta meningkat dari tahap ke tahap.

Kerana itulah, kerana mengenang jasa orang tualah sebagai bukti bahawa MAYC tidak lupa daratan, sebagai bukti bahawa MAYC senantiasa terikat pada tradisi orang-orang yang sudah berbudi, maka kita tegakkan Wisma Tunku 75 bilik mengambil sempena bilangan ulang tahun usia Yang Teramat Mulia Tunku yang disambut pada tahun lepas.

Kembali kepada umur kita 25 tahun, ingin saya dalam majlis ini membawa perhatian saudara kepada satu aspek daripada masalah negara memandangkan kita sudah lama wujud sebagai sebuah pertubuhan.


MALAYSIA NEGARA UNIK

Malaysia negara unik, berbeza daripada negara lain di dunia. Kita lihat negara lain di dunia yang di kalangan rakyatnya mempunyai sifat kontradiksi yang minimum tetapi mereka sesama mereka berperang. Umpamanya, sesetengah negara di dunia mempunyai perbezaan hanya dalam bidang bahasa dan mereka berperang. Sesetengah negara di dunia mempunyai perbezaan dari segi warna kulit, agama sama, bahasa sama dan mereka berperang. Sesetengah negara di dunia mempunyai perbezaan hanya dari segi agama, bangsa sama tetapi mazhab berlainan, mereka berperang. Sesetengah negara di dunia berperang kerana perbezaan taraf ekonomi.

Bererti negara-negara di dunia berperang kerana satu-satu isu tertentu.

'If you look at our nation, you will find that it is in a unique position. We differ in so many things amongst our society. We have a lot of contradictions, yet we are still living together peacefully and harmoniously. Other nations in the world has fought civil wars just because of differences in economic status. Others have killed one another just due to differences in color. Others fight one another just because of language differences. In our country, if we want to fight each other, we have all the reasons in the world for continuous revolution.'

Di negara kita kalau kita mahu berperang, kita punya seribu satu alasan untuk terus berperang tanpa aman-aman. Soalnya, apakah kita ini jenis yang suka berperang?

Apakah faedahnya pergaduhan?

Saya sendiri kaki gaduh. Saya percaya Datuk Seri Dr. Mahathir boleh mengesahkannya. Tetapi, semakin kita dewasa, kita sedar bahawa tenaga untuk bergaduh itu perlu kita gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi lantaran hasrat masyarakat untuk mencapai matlamat hidup yang lebih bahagia.


KE JALAN ALLAH

Oleh itu, marilah kita bersama-sama sebagai belia dan anggota masyarakat berbilang bangsa dalam negara, berusaha tanpa mengorbankan prinsip-prinsip pokok, tanpa mengorbankan nilai-nilai yang kita pegang dan kita agung-agungkan dalam semangat dan nada yang sama. Kita usahakan dengan sedaya upaya melahirkan masyarakat yang harmoni sebagai manusia yang sama-sama dijadikan oleh Tuhan yang satu. Kita usahakan bersungguh-sungguh hasrat suci ini sebelum tiba saatnya kita menemui Ilahi.

Untuk memperbaik keadaan hidup maka kita pohon kepada masyarakat belia di Malaysia, jangan cuba besar-besarkan perbezaan antara kita untuk kepentingan sendiri, untuk menguatkan kekuasaan sendiri tanpa menghitung keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Kita tidak boleh dan kita tidak akan boleh melahirkan sebuah negara yang makmur dan bahagia jika kita menggunakan isu-isu yang menakutkan anggota masyarakat. Kita tidak boleh menghidupkan masyarakat yang bahagia atas dasar takut.

Kita perlu melahirkan masyarakat yang bahagia atas sifat berani menghadapi kenyataan-kenyataan hidup yang sebenarnya.

'We cannot build a nation based on fears. We must build our nation based on the courage to face realities and the reality of a multi-racial society is obvious. We cannot work on the fears of various communities and exaggerating the discrepancies merely for our own benefit and political ends'.

Sebagai belia di negara ini yang bertanggungjawab, saya berharap dengan ketibaan ambang 25 tahun ataupun suku abad MAYC subur di negara ini, kita akan lebih beriltizam untuk menjadikan pertubuhan kita sebagai pertubuhan yang akan menyatupadukan ummat, tanpa mengorbankan nilai-nilai pokok untuk menuju satu cita-cita yang diingini oleh semua pihak serta dapat melahirkan masyarakat bahagia dan adil.

Sekian. Wabillahitaufik wassalamualaikum.

0 comments

Post a Comment