Jihad Menentang Kemungkaran

Posted by mayc_pkbm | 8:31 PM | 0 comments »

Penangghan Mesyuarat Agung Tahunan ke-24, 1978

PENYAMPAI HASRAT


Saya juga mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia atas jaminan beliau untuk menjadi penghubung menyampaikan hasrat yang kita kemukakan dalam mesyuarat pada hari ini.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudara yang telah sudi memilih saya untuk tempoh selama 8 bulan lagi menjawat jawatan Presiden MAYC hinggalah tiba hari mesyuarat agung yang ke-25 apabila kita menyambut perayaan Jubli Perak MAYC.


Saya ucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang baru dilantik.

Pada kesempatan ini saya harap saudara dapat bersabar hingga selesai kerana ada beberapa perkara penting yang harus saya sampaikan selaku pemegang amanah dalam jawatan Presiden MAYC untuk tahun yang akan datang.

Pertama, saya ingin mengulas sedikit sebanyak perkara yang saya fikir perlu mendapat penjelasan atas teguran yang telah ditimbulkan dalam ucapan-ucapan penangguhan.


TEKNIK DAN TAKTIK

Memang benar kita akui bukan semua pemimpin MAYC, dalam menghadapi pegawai belia, mempunyai teknik dan taktik yang sama bijak. Oleh itu, dalam proses pergaulan antara pegawai dengan yang meminta, kadangkala yang meminta (sekiranya yang dimintanya itu haknya), maka nadanya berlainan dengan nada jika dia meminta sebagai yang meminta. Adakalanya yang memberi pula, merasakan yang akan diberinya itu adalah atas dasar belas kasihannya dan mengharapkan yang meminta itu merayu sebelum mendapat.

Justeru, di sinilah 'area of conflict' dalam pergaulan antara pemimpin MAYC dengan pegawai Kementerian. Walau bagaimanapun, jika kita bandingkan lima tahun yang sudah dengan masa kini jelas perubahan besar telah berlaku. Apatah lagi sejak Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang baru ini juga bekas pemimpin MAYC.

Walau bagaimanapun, saya mengharapkan semoga negeri yang mempunyai hubungan baik dengan pegawai Kementerian jangan merasakan segala kegelisahan yang dilafazkan oleh pemimpin MAYC dari negeri lain yang kurang mendapat layanan sebagai satu keluhan.

Kita tidak boleh menganggap yang kita tidak nampak sebagai tidak ada. Mungkin di sesetengah negeri, hubungan antara pegawai Kementerian dengan pemimpin MAYC adalah harmoni. Jangan menganggap celaan oleh negeri yang berasa susah dalam keadaan demikian sebagai satu celaan yang salah.


MENENTANG KEMUNGKARAN

Saya sebagai Presiden MAYC menggalakkan ahli MAYC menentang segala bentuk kemungkaran dan ketidakadilan yang dilakukan di seluruh negara.

Kita sendiri mengakui bahawa satu daripada malapetaka yang dideritai MAYC ialah hasil daripada dasar awal dengan satu anggapan bahawa 4B itu adalah Pemuda Umno dan Pemuda Umno itulah 4B.

Oleh sebab Pemuda Umno itu merupakan satu tenaga politik, maka sudah tentu mereka mempunyai 'pressure' -- tekanan yang lebih kuat yang mmpengaruhi pemenrintah. Sudah tentulah pegawai yang menjadi kakitangan pemerintah berasa susah jika tidak melayan orang daripada golongan yang kononnya menjadi 'pressure group' kepada Kerajaan yang memerintah.

Di sinilah punca segala masalah. Itulah sebabnya saya laung-laungkan dalam uapan pembukaan tadi, bahawa dalam MAYC ada Menteri, ada Menteri Besar hanya sekadar untuk membetulkan tanggapan bahawa kita antikerajaan secara melulu, sedangkan mereka prokerajaan melulu. Kita hanya anti pada perkara yang salah, kita pro pada perkara yang betul.

Oleh itu, saudara sekalian, apabila kita menekan Dr. Lim Chong Eu supaya segera memberikan tanah kepada MAYC, yang ditekan bukan pemerintah tetapi hanya putaran dan belitan akal-akal yang cuba menghalang rencana-rencana progresif oleh MAYC sendiri.

Justeru, saya berasa gembira apabila saya mendapat tahu bahawa ada wakil yang mengatakan dia mahu mati dan hidup bersama MAYC, kerana akhir katanya ialah hidup, bukan hidup dan mati, tetapi mati dan hidup.

Hal ini menunjukkan bahawa harapan masih ada dan saya yakin dengan adanya pemimpin di peringkat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang dahulunya berpolitik dalam Kementerian sekarang sudah memasuki arena politik secara langsung.


BELAJAR DARIPADA KESILAPAN

Dalam perjuangan belia, semuanya musuh kalau tidak betul, tidak kira parti, tidak kira orang, tidak kira besar dan tidak kira kecil. Dengan semangat inilah saya telah menyatakan bahawa MAYC mempunyai peranan yang penting dalam usaha menyatupadukan rakyat di seluru negara. Soal silap dan salah, manusia tidak maksum dan tidak sunyi daripada dosa. Selagi kita bukan Nabi dan selagi kita bukan Rasul, maka kita hanya dapat berusaha sedaya mungkin. Kerja manusia tidak mungkin sempurna.

Saya berharap semua ahli MAYC tidak sekali-kali menganggap kecaman sebagai memperkecil mana-mana pihak. Kecaman daripada perwakilan, baik terhadap jawatankuasa atau jawapan keras daripada jawatankuasa terhadap perwakilan, adalah merupakan manifestasi daripada keaktifan pemikiran pemimpin-pemimpin MAYC dari seluruh negara. {Ayat mengelirukan pada tek asal hlm. 113, para 2, kini telah diperbetul}

Saya harap semua teguran dapat diterima dan berdoalah semoga pada tahun hadapan kita akan silap lagi supaya kita dapat bermesyuarat terus-menerus.

Jangan sekali-kali dalam pengendalian hidup, kita ingin melihat segala-galanya 'perfect' kerana matlamat hidup itu seperti kata ahli falsafah 'it's an effort to crave for perfection'. Hidup kita adalah usaha menuju kesempurnaan tetapi kesempurnaan sebenar adalah hak Tuhan. Kewajipan kita adalah untuk berusaha menuju kesempurnaan itu sama ada sampai atau tidak itu bukan urusan kita. Setelah berusaha kita serahkan kepada Allah.

Ada teguran daripada seorang wakil yang memberikan nasihat semoga kita tidak mengkritik ABIM.

Ingin saya nyatakan di sini, tidak pernah pemimpin MAYC mengkritik ABIM.

ABIM ditubuhkan dan beribu pejabat di No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, rumah saya.

Mesyuarat jawatankuasa penubuhan yang pertama di dalam bilik tidur saya.

Tetapi saya tidak lagi berada dalam organisasi itu kerana pada tahun 1974 saya membuat keputusan untuk bergiat dalam politik untuk terus memperhebat lagi kemajuan bangsa.

Perlu ada penyertaan secara dekat apatah lagi pada waktu itu, saya dengar banyak hadis dan banyak firman daripada pemimpin PAS yang mengajak semuanya masuk ke dalam Barisan Nasional. Saya menjawab seruan pemimpin PAS dan pemimpin UMNO untuk menyertai politik bersama-sama. ABIM tidak pernah kita kritik, dan kita tidak pernah membuat teguran negatif kepada bangsa Melayu.


KAMPUNG TERGADAI

Kalau terhapus orang Tionghua di Malaysia, masih ada benih Tionghua di luar negara. Terhapus golongan India di Malaysia, masih ada golongan India di dalam dunia. Terhapus benih Melayu di Nusantara habis benih, seribu tahun akan datang, apa orang kata?

Orang kata, " There was once upon a time a ace called Malays. They fought one another and today they are only like an Aztec race of Latin America, a race exist in name but never anymore".

Kita tidak mahu melihat seribu tahun dari sekarang orang membaca sejarah bangsa kita seperti ini: "Dahulunya ada satu jenis bangsa namanya Melayu. Duduknya di Nusantara, mereka berkelahi sesama sendiri, akhirnya bangsa ini terhapus kerana Melayu apabila berkelahi sesama sendiri kampung digadainya".

Tidak ada tempat bagi kita dalam MAYC untuk mengizinkan 'trend' ini berlaku. Tidak ada.

Kalau setiap yang mengerti mengecam yang tidak mengerti, setiap yang warak mengecam yang tidak warak, setiap yang pandai mengecam yang tidak pandai, maka di manakah letaknya harapan untuk bangsa ini?

Kalau bangsa Melayu sudah porak-peranda, di manakah lagi keharmonian bangsa-bangsa dalam negara kerana yang memegang tunggak keharmonian dalam negara ini adalah bangsa Melayu?

Kita tidak mahu melihat kehancuran bangsa kita.

Dalam MAYC, berlari-larilah saudara memburu satu matlamat, mengajak para belia bersatu sebagai tunggak yang menjadi bapa kepada semua bangsa yang ada di negara ini supaya negara menjadi aman tanpa mengorbankan nilai agama dan nilai budaya dan Melayu masih boleh menjadi tuan dalam negara pusaka ini. Itu pendirian kita.


BAHASA CINTA

Kalau ada orang memiliki tafsiran lain, panggil dia datang ke Kuala Lumpur bersua muka dengan kita, dan kita akan beri tahu: "Tidak mungkin kami izinkan mayat bangsa bergelimpangan dan tidak mungkin kami izinkan darah bangsa mengalir". Matlamat kita besar, matlamat kita jauh.

Kita mengharapkan alim ulama, kita mengharapkan belia remaja, gadis-gadis dan belia dari seluruh negara supaya tampil ke hadapan melalui program yang dianjurkan oleh pertubuhan kita, selain program yang dianjurkan oleh orang lain.

Untuk apa?

Untuk kita berdiskusi, berfikir, bercakap, semoga setelah semua wacana ini dalam otak kita sudah kita lakukan, maka satu idea akan timbul dan daripada idea ini akan dapat kita laksanakan program yang betul, yang akan memberikan manfaat.

Dalam usaha kita menyampaikan isi hati, ada dua cara. Satu dengan fikiran, satu dengan perasaan.

Dengan kita berbahas, kita mengarang, dan kita menulis, kita sampaikan isi hati kita dengan fikiran. Adakalanya tidak mungkin sampai kalau bukan dengan perasaan. Masakan mungkin kita dapat ciptakan kasih sayang kalau bukan dengan perasaan.

Kita tidak mampu mengarang seribu muka surat untuk menceritakan lazatnya bercinta, tetapi cinta itu memiliki bahasanya sendiri yang di luar kemampuan kita untuk mengungkapkannya.

Saya percaya sama ada terapung dalam gelombang perjuangan bangsa ataupun hanyut dibawa arus samudra, namun tanggungjawab menyampaikan hasrat itu tetap merupakan satu kutamaan.

Perjumpaan ini laksana satu mimpi besar, lebih 35 tahun saya hidup di bumi Allah dan bagi saudara-saudara lainnya mungkin sudah hidup lebih 25 tahun atau 30 tahun, dengan takdir Tuhan kita berjumpa pada hari ini.

Oleh itu, marilah sama-sama dengan kesedaran baru, kita kukuhkan pergerakan kita ini dalam keadaan yang berbeza.

Untuk apa?

Untuk memberikan kebahagiaan kepada umat, kebahagiaan yang dipertanggungjawabkan kepada kita yang mengasaskan generasi ini, sama-samalah kita doakan semoga kekurangan kita ini akan ditambah oleh Allah s.w.t dengan kelebihan, dan kalau kita lebih daripada orang maka kita bersyukur kepada Allah kerana Dia sahajalah yang berhak menerima puji-pujian. Segala yang ada pada kita, baik dalam bentuk harta, kekuasaan, nama, jawatan semuanya itu amanah Allah untuk kita laksanakan dengan sebaik-baiknya.

Terma kasih, kirimkan salam saya kepada ibu bapa, isteri kalau yang sudah bernikah, kepada suami kalau suami tinggal di kampung, kepada bakal suami dan bakal isteri bagi yang belum bernikah. Insya-Allah.

Sekianlah ucapan saya dan saya mohon maaf seandainya saya pernah menyinggung perasaan saudara dan seandainya saya ada sedikit sebanyak menyenangkan hati saudara, kembalikanlah ucapan terima kasih dan puji-pujian kepada Allah.

Sekian, wabillahitaufik, assalamualaikum, saya dengan rasminya menutup majlis ini.

0 comments

Post a Comment