Simbol Perpaduan antara Dua Jalan

Posted by mayc_pkbm | 8:34 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-25, 1979

DAHULU MAYC ADALAH satu-satunya pertubuhan belia dalam negara ini dan hidup suburnya MAYC pada masa itu disebabkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi setelah banyak pertubuhan belia wujud maka MAYC tidak lagi mendapat kemudahan tersebut dan MAYC terpaksa berdikari untuk membiayai projek-projeknya.


Syukur alhamdulillah, MAYC kita sekarang terus berkembang, walaupun kita terpaksa berusaha sendirian. MAYC adalah satu organisasi yang besar, kecuali di Rusia, yang bangunan organisasi belianya dibuat oleh Kerajaan dan ditadbirkan oleh belia; tidak ada satu organisasi di negara lain yang mempunyai bangunan dan sekretariat sehebat dan setinggi bangunan Wisma Belia.



SIMBOL

Bangunan Wisma Belia merupakan simbol, simbol kesatuan, simbol perpaduan antara dua jalan. Simbol perpaduan untuk membangunkan sebuah bangunan hasil rumusan dasar-dasar tahun sebelum '70-an.

Kita mahu menaikkan lagi satu simbol keagungan MAYC. Simbol ini merupakan seekor "lembu" yang cukup gemuk yang banyak susu dan boleh diperah daripadanya, iaitu Wisma Belia.

Dalam bidang ekonomi, syarikat induk MAYC ialah Syarikat Nurharapan.

`Syarikat Nurharapan tidak kita bawa dalam mesyuarat agung kerana didaftarkan di bawah akta yang berasingan.

Kita adakan seminar ekonomi khusus untuk membincangkan Nurharapan dan syarikat lain. Salah satu pelaburan Nurharapan adalah dalam Tugu Insurance. Saya berharap keuntungan syarikat ini nanti juga akan menjadi sumber pendapatan MAYC. Syarikat Nurharapan juga memiliki teksi. Kita ada teksi yang sekarang sudah lunas segala hutang- piutangnya. Segala pendapatan daripada semua teksi itu merupakan untung semata-mata. Kita juga ada restoran, perniagaan restoran kita menguntungkan.

Bagaimanapun saya berharap ahli MAYC perlu sedar kedudukan sekarang. Tambahkan ahli MAYC. Strategi kita yang utama ialah usaha memperkuatkan MAYC.


SOKONGAN RAMAI

Saya meminta semua ahli berusaha memperkukuh organisasi MAYC dalam masyarakat kita. Apabila saudara memegang kuasa, kuasa saudara itu tidak boleh diabaikan.

Semua kritikan yang saya dengar adalah mengenai hal tiada mesyuarat dan kurang perhubungan hinggakan dalam mesyuarat agung ditimbulkan perkara ini. Seseorang itu perlu kepada perhubungan baik untuk berbuat sesuatu yang baik.

Ada dua cara supaya orang boleh faham kejayaan kita.

Pertama, kalau kita mahu orang sokong rancangan kita, berbincang dahulu mengenai usul cadangan, setelah semua faham barulah diberikan sokongan.

Sokongan secara persetujuan.

Kalau mahu berbuat sesuatu, kita perlu meminta sokongan ramai, seperti jika mahu adakan keramaian, kita buat apabila semua sudah bersetuju.

Yang kedua, pengeluaran.

Untuk apa organisasi MAYC perlu dikuatkan?

Organisasi perlu diperkuat supaya dalam konteks MENJARO, MAYC dapat melatih generasi MAYC yang ada sekarang. Tidak guna kita ada pengerusi, tidak guna kita ada presiden, tidak guna kita ada setiausaha, tidak guna kita ada naib presiden, yang penting semua orang jadi hebat. Setelah kita kuatkan mental, jasad dan roh, barulah kita masuk ke peringkat yang kedua. Sekarang ini ramai ahli MAYC menceburi bidang yang kedua.

Bidang kedua ialah POLEMAS -- Politik, Ekonomi dan Masyarakat.

Dalam masyarakat kita, kalau mental kuat kita dapat memimpin dengan baik, kalau jasadnya kuat kita boleh buat kerja gotong-royong dengan baik.

MENJARO bertujuan menyediakan diri untuk berjuang dalam bidang pembangunan. Semua ini kita kehendaki dalam organisasi MAYC yang bergerak berlandaskan rukun MAYC.

Insya-Allah, dengan adanya garis panduan dan MENJARO dengan tujuan yang telah kita lihat dan dengan adanya organisasi yang kukuh berasaskan rukun organisasi, maka MAYC pada umur 25 tahun akan menjadi MAYC yang berjaya dalam erti kata yang sebenarnya.

Saya ucapkan terima kasih kepada Encik Hashim sebagai wakil Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah menjadi pengerusi untuk mengira semua kertas undi yang begitu banyak, yang begitu rumit untuk dikendalikan.

Saya berharap segala yang saya bincangkan tadi mendatangkan manfaat untuk belia sekalian.

Janganlah anggap bahawa usia 25 tahun menandakan berakhirnya satu perjuangan, tetapi anggaplah tempoh usia itu sebagai tahun-tahun hidup dengan aman damai.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai ancaman dan masalah, namun MAYC sebagai satu organisasi yang berbilang kaum dan fungsi, dengan pengalaman selama 25 tahun berpandukan rukun organisasi yang mulia, terus berkembang maju dan merupakan organisasi belia yang terbesar di rantau ini.

Sekian, dengan nama Allah saya menutup Mesyuarat Agung ini.

0 comments

Post a Comment