Tiada Jalan Pintas ke Syurga

Posted by mayc_pkbm | 8:16 PM | 0 comments »

Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23, 1977

KASIH ANTARA INSAN

Saya berasa kagum apabila mendengar beliau menggunakan perkataan yang dikasihi. Dan saya berasa terhutang budi kepada saudara-saudara yang dikasihi kerana telah berjaya menghadapi dan menyelesaikan semua masalah dengan begitu baik. Itulah sebabnya kita saling kasih-mengasihi sebagaimana yang dikehendaki agama.

Perkara kedua adalah mengenai hutang kita yang belum berbayar kepada Tugu Insurance Hong Kong. Hal ini menunjukkan kita terpaksa berhutang banyak walaupun mampu membayar tunai. Berhutang dengan orang bukannya tanda miskin. Berhutang kerana orang percaya kepada kita. Saudara boleh minta kepastian akan kata-kata saya ini daripada Syed Hamid, beliau adalah wakil MAYC dalam Bank Bumiputra dan juga wakil Bank Bumiputra dalam MAYC.

MENGAPA KELANTAN?

Seperkara lagi yang ingin saya katakan ialah hakikat mengapa mesyuarat agung diadakan di Kelantan. Adakah Kelantan tidak cukup keindahannya hinggakan ada orang mempertikaikan why Kelantan?

Sebagaimana juga halnya dengan negeri lain di Malaysia, Kelantan tidak kurang keindahannya lebih-lebih lagi dengan terdapat ramainya peniaga bumiputera di sini.

Yang kedua orang bertanya Why Datuk Asri? Apakah kurangnya Datuk Asri?

Saya lihat Datuk Asri semakin lama semakin smart, semakin bergaya.

Dan ada yang tidak boleh tidur kerana memikirkan bahawa Sanusi Junid jika bertemu Datuk Asri tentu akan bergaduh kerana mereka berdua memang kaki gaduh. Ingin saya perkenalkan, Datuk Asri adalah seorang negarawan yang mempunyai seni politik yang bukan hanya cakap-cakap kosong dan beliau tidak menganggap rakyat sebagai batu yang boleh diukir.

Beliau adalah Negarawan yang telah menyedarkan rakyat untuk bangun dan maju. Maka kerana itulah kita menjemput Datuk Asri ke majlis kita pada petang ini.

Saudara tentu masih ingat, dahulu Datuk Hussein Onn merasmikan mesyuarat agung kita. Orang bertanya "Why Datuk Husein?". Dan kita isytiharkan Datuk Hussein sebagai ahli MAYC seumur hidup.

Pada masa itu, kita berdoa kepada Allah 'berilah Datuk Hussein menjadi Menteri Kewangan supaya MAYC cepat dapat permit Tugu Insurance dan tidak lama kemudian, dengan takdir Allah, Datuk Hussein Onn menjadi Menteri Kewangan.

Kita menjemput Tengku Razaleigh Hamzah yang pada waktu itu Pengerusi PERNAS dan kita doakan supaya Allah menetapkan beliau di tempat yang lebih baik, dan dengan izin Allah, beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan.

Kita doakan semoga Datuk Asri akan direstui Allah dan diletakkan di tempat yang lebih baik dan insya-Allah masanya akan tiba tidak lama lagi.

Sekali lagi saya ingin memperkenalkan kepada saudara apa itu MAYC walaupun pada setiap tahun kita memperkenalkan MAYC sebagai sebuah organisasi yang besar, mempunyai seramai 85,000 ahli tetapi ada orang mengatakan seratus ribu. Kita boleh katakan kita mempunyai seratus dua puluh ribu ahli tetapi ini satu pembohongan besar. Anggota kita yang seramai 85,000 ini pun sudah cukup berat untuk dipimpin.

BANYAK BERCAKAP

MAYC adalah sebuah pertubuhan berbilang kaum, walaupun MAYC pada peringkat kebangsaan majoritinya terdiri daripada orang Melayu tetapi ramai yang bukan Melayu dalam MAYC. MAYC juga merupakan pertubuhan berbilang agama.

Sepanjang tahun 1976 kita lebih banyak melakukan aktiviti dan kerja daripada bercakap. Baru-baru ini kita lebih banyak bercakap kerana ada yang telah menunjukkan sikap kurang adab. Sebelum itu kita tidak bercakap.

Kita tangguhkan kemenangan. Seandainya kita bermain bola, orang sumbat kita 3-0, kita nasihatkan mereka supaya bersabar. Bagi kita, dalam MAYC tidak ada perkataan mengaku kalah kerana sudah tertanam dalam diri kita semangat sportsmanship atau semangat kesukanan.

Pada peringkat negeri, pada peringkat kelab kita menggalakkan ahli untuk aktif supaya belia-belia kita bergerak di sana sini. Ada projek jalan kaki, ada projek lumba lari dan kelab yang lain tidak duduk diam tunggu mati. Bagi saya perkara ini amat penting kerana kita mahukan jasad yang kuat dan sihat.

Kita ada projek pertandingan membaca al-Quran. Bagaimanapun, Musabaqah ini bukanlah bertujuan untuk dapat peluang pergi ke Makkah free kerana ibadah mengerjakan haji di Makkah wajib sekiranya mampu. Jangan berangan-angan untuk mendapat biasiswa pergi ke Makkah seperti memohon scholarship untuk melanjutkan pelajaran ke England.

'No short cut to heaven' - tiada jalan pintas ke syurga

MINDA

Bagi kita bermusabaqah itu perlu supaya belia-belia yang jarang-jarang mendengar ayat-ayat suci al-Quran akan berpeluang mendengarnya. Musabaqah kita bertujuan mempertandingkan bacaan al-Quran tanpa motif kebendaan.

Kita juga ada pertandingan bahas kerana kita perlu membangunkan minda. Dengan bahas, dengan berhujah maka anggota MAYC akan menjadi lebih bijak kerana otak sihat.

Kita juga melihat projek pertandingan Pemimpin Masa Hadapan, dengan harapan kursus itu dapat membangunkan minda, kekuatan tenaga, gigih dalam melaksanakan projek sehingga anggota kita layak menjadi pemimpin besar.

Kita ada kursus pemimpin untuk meningkatkan minda dan untuk menambahkan pengalaman kepada anggota dan pemimpin MAYC.

MENJARO

Semua ini saya lakukan mengikut satu strategi yang kita popularkan di seluruh negara sebagai strategi pembangunan Men-Mental, Ja-Jasad, Ro-Roh, -- MENJARO.

Ini strategi tiga penjuru yang kita bangunkan pada tahun 1976/77 dan kita menemu bual orang kampung di Kelantan, dan seluruh negara. Organisasi kami memperjuangkan pembangunan jasad, roh dan mental, dalam satu kesimpulan -- MENJARO. Apakah ini bukan kerja yang baik? Maka jawabnya, organisasi yang membangunkan mental, jasad dan roh adalah organisasi nombor satu.

Nombor Ein, nombor one, nombor wahid, nombor satu. Itulah MAYC, kerana MAYC punya garis-garis kasar yang kuat dalam pembangunan yang kita harapkan. Kita tidak boleh hanya membangunkan jasad. Kita juga tidak boleh membangunkan minda tanpa jasad dan roh. Kita tidak boleh mengharapkan pembangunan minda kerana yang menimbulkan malapetaka dan segala bencana di dunia adalah orang yang mindanya hebat tetapi tidak seimbang antara pembangunan mindanya dengan pembangunan roh.

Roh sahaja juga tidak boleh kalau tidak ada riadah, tidak ada pembangunan jasad. Lantaran kita tidak mahu meliat alim ulamak yang semata-mata menumpukan kepada jihad dan tidak berupaya mengangkat parang panjang. Inilah kesimpulan daripada sebuah negara yang kita bina sejak tahun 1976/77. {75:1}

Apakah pentingnya pembangunan mental, jasad dan roh?

Penting, kerana kita akan menghadapi cabaran. Kita hidup pada zaman yang serba berubah, dan tiada tempat untuk orang yang pengecut sementara kita menunggu kiamat, tiada tempat untuk manusia pasif. Kepada semua tokoh pemimpin, masalah yang dihadapi hendaklah diselesaikan dengan menggunakan daya kepimpinan yang waras, dengan cara yang tidak menyeleweng daripada jalan yang benar.

Baru-baru ini ada seorang makhluk Allah di Pulau Pinang, namanya Dr. Lim Chong Eu. Beliau telah memberikan notis kepada MAYC Pulau Pinang supaya keluar dari tanah T.O.L. Jalan Waterfall untuk diberikan kepada sebuah syarikat Luncur Ais (Ice Scating). {75:4}

Apakah kita dalam MAYC boleh ditukar ganti dengan Ice Scating?

Apakah kita dalam MAYC dengan 85,000 ahli dari segenap penjuru kampung, tanah T.O.L-nya mahu diambil oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk diberikan kepada syarikat Luncur Ais?


RUNDINGAN BAIK

Kita beritahu seluruh ahli MAYC, bersabarlah! Hal ini segera dimaklumkan kepada Pengerusi MAYC Pulau Pinang. {76:2}{Mohon disemak adakah yang dimaksudkan Presiden MAYC Pusat?}

Timbul pula persoalan mengapa diberitahu isu-isu tempatan, mengapa bising-bising dalam surat khabar dan mengapa beritahu presiden pusat?

Kita beritahu Dr. Lim, tidak ada dalam MAYC isu-isu tempatan yang kita di pusat tidak mengambil tahu dan memaklumkannya kepada semua ahli penasihat MAYC dan mereka pula menyampaikannya kepada Dr. Lim sendiri.

Malah ada surat yang ditulis oleh penasihat-penasihat termasuklah Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah kepada Dr. Lim Chong Eu.

Dr. Lim menulis balik kepada kita bahawa beliau akan memberikan kita tanah yang lebih luas dan lebih hebat di tepi pantai Pulau Pinang.

Itulah kalau berunding baik-baik dengan manusia, kita untung.


MEMBANTU KERANA MAMPU

Manusia pada zaman ini, membantu kerana pelbagai sebab.

Pertama, membantu kerana Allah.

Kedua, membantu kerana ada perlindungan.

Ketiga, membantu kerana takut.

Allah membantu orang yang mendukung agama. Kebanyakan orang membantu kerana ada kemampuan dan kepentingan peribadi dan yang paling banyak membantu adalah kerana takut. Yang penting, MAYC tidak boleh mengorbankan kepentingan kedudukan. Sekarang MAYC mengucapkan terima kasih kepada Dr. Lim Chong Eu. Beritahu wakil Pulau Pinang, Sanusi Junid says 'Thank you to you Dr.' dan kita mendoakan semoga penyakit beliau cepat sembuh.

Seperkara lagi yang menjadi isu pada hari ini ialah MBM. MAYC pusat bukannya bodoh, mereka terdiri daripada guru, ahli ekonomi, ahli perniagaan, tokoh politik, pentadbir, arkitek, peguam, ahli bank, pentadbir perdagangan, mereka ini bukan 'yes man' atau pak turut dalam MAYC. Menteri dan buruh kasar semua sama sahaja. Dahulu pertubuhan-pertubuhan gabungan keluar daripada MBM. MAYC membuat keputusan 'stop', MAYC tidak keluar daripada MBM itu adalah keputusan sebulat suara daripada jawatankuasa pusat, bukannya daripada Sanusi Junid.

Sanusi Junid hanya mengesyorkan supaya setiap orang yang dipilih memberikan pendapat.

Katanya, MBM mahu dibubarkan kerana presidennya dimasukkan ke dalam penjara. Bagi kita, MBM tidak bersalah. Mengapa harus MBM dibubarkan? Jika MBM tidak bersalah dan jika kita keluar daripada MBM bererti kita mengaku MBM bersalah. Dan kalau kita keluar daripada MBM bererti kita dayus.

Dan, ahli kelab dari negeri dan daerah datang ke Kuala Lumpur membuat keputusan untuk menjaga air muka sesetengah pegawai, kita berikan peluang pinda sedikit undang-undang MBM, jangan terlalu banyak hingga bertukar wajah.


MENGENANG BUDI

Sekarang MBM sudah meminda sedikit undang-undang dan MBM sudah berkembang.

Apakah sebab MAYC menjadi ahli MBM?

Pertama, kerana MAYC mahu belia-belia di negara ini bersatu dan MBM adalah simbol perpaduan. Kedua, kerana MBM ditubuhkan oleh belia sendiri dan pemimpinnya dipilih oleh belia. Ketiga, kerana ada sedikit manfaat kemudahan yang disalurkan oleh MBM.

Pemimpin-pemimpin Majlis Belia Negeri dicadangkan oleh Menteri Besar selepas Majlis Belia Negeri yang baru menganaktirikan Majlis Belia Negeri yang lama, yang telah menyelamatkan MBM.


JANGAN KONGKONG

Saya sarankan kepada Menteri-Menteri Besar supaya mengatur negeri mereka baik-baik, jangan mengongkong belia hingga mereka takut untuk bercakap dengan Menteri Besar.

Syukur alhamdulillah, di Kelantan hal seperti itu tidak berlaku.

Anehnya, MBM setelah diselamatkan oleh belia, MBM sepatutnya menyusun semua kelab yang lama itu yang telah menyelamatkannya dan perlu berunding dengan Menteri Besar dan jangan mengongkong Majlis-Majlis Belia Negeri.

Sebaliknya MBM tidak mahu menerima Majlis Belia Negeri yang baru yang menganaktirikan Majlis Belia Negeri yang lama dan sekarang ini banyak Majlis Belia yang lama lantaran dibiarkan begitu sahaja oleh MBM telah menulis surat Why we should not be affiliated? (Mengapakah kami tidak boleh bergabung?)

Orang Melayu biar miskin di negara ini tetapi jangan sampai kehilangan budi.

Satu-satunya yang masih ada pada orang Melayu yang masih dapat dibanggakan ialah budi.

Mungkin pada suatu masa nanti kita akan mati berkapankan bukan kain putih tetapi dengan budi pekerti.

Oleh itu, untuk apa MAYC tetapi berada dalam MBM?

Itulah sebabnya MAYC diingatkan oleh Majlis Belia Malaysia. Jangan buat begitu?

Jawab MBM 'You are impatient', satu tahun lebih kita menunggu masih dikatakan tidak sabar.

Setahun bukan jangka masa yang pendek untuk mnyelesaikan masalah dan kita adalah sebuah organisasi yang menyelamatkan belia. {80:,5,6,7,8}

Ada orang mengatakan 'sejak Sanusi Junid menjadi Presiden MAYC, 'too much of Islam'. Apakah itu 'Too much of Islam?

Bagi MAYC, kalau anda MBM tidak mahu mengenang budi. MAYC will go solo.

Maka untuk itu kita akan pinda perlembagaan.

Ada presiden, ada timbalan presiden dan tiga naib presiden. Kalau saudara tolak pindaan ini, tolak sekali Sanusi Junid kerana saya tidak sanggup memimpin MAYC yang dayus dan penakut. Tetapi kalau MAYC mahu, betul-betul berani, maka saya sanggup memimpin saudara.

Insya-Allah pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang, saya lihat saingan MAYC bukan 4B atau GPMS atau kelab lain. Saingan MAYC ialah German Youth, American Youth dan Japanese Youth.


REZEKI DARIPADA ALLAH

Dahulu pada tahun 1971 kita dengar semua orang mengatakan ekonomi masyarakat Melayu mundur sehingga semuanya ingin berniaga dan yang tak pandai pun turut berniaga. Kemudian inflasi menjadi masalah besar di negara kita diikuti masalah dadah dan sekarang ini sedang hangat masalah rasuah dan komunis.

Tidak lama dahulu ramai orang memperkatakan Laporan Ibrahim Ali hinggakan Ibrahim Ali sendiri tidak lena tidur, dan kedai-kedai kopi juga kalau tidak bercerita tentang laporan itru, maka tidak up-to-date. Kesimpulannya, masalah yang kita hadapi ialah masalah rezeki.

Apabila bercerita tentang rezeki, saya teringat satu cerita pada zaman Imam Suffian.

Terdapat seorang hamba Allah yang kerjanya menggali kubur. Apabila ada orang Islam meninggal dunia, setelah dikebumikan, kuburnya digali semula dan didapati bahawa antara seratus buah kubur yang digalinya itu, hanya dua mayat Islam yang masih menghadap Kiblat.

Maka hamba Allah itu bertanya kepada Imam Sufian, "Mengapa aku dapati hanya dua mayat orang Islam antara seratus kubur yang aku gali, menghadap kiblat?"

Jawab Imam Suffian, "Itu menunjukkan hanya dua mayat Islam sahaja yang percaya rezeki ditentukan Tuhan dan yang lainnya tidak menganggap demikian".

Saudara sekalian, itulah sebabnya MAYC kembali kepada strategi MENJARO, ada pemimpin yang menyeru kita supaya mengikut ajaran Islam tetapi tidak pernah kulit mukanya sendiri tersentuh air sembahyang. Orang ini juga sama dengan orang komunis yang menentang Islam. Kedua-duanya musuh Islam.

Saya doakan semoga Allah Taala membuka hati saudara sekalian, ahli MAYC menjadi pemimpin yang betul-betul bertanggungjwab. Sama-sama kita berjuang membangunkan mental, jasad dan roh.

Terima kasih

0 comments

Post a Comment