Apakah Sumbangan Mulia Anda?

Posted by mayc_pkbm | 8:06 PM | 0 comments »

Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 1976

TERIMA KASIH

Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih bagi pihak saudara sekalian, kakitangan pejabat kita yang bekerja bertungkus-lumus menjayakan MAYC selama satu tahun yang sudah. Saya juga ucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa yang lalu kerana memberikan sepenuh kerjasama kepada saya dan saya percaya bagi mereka yang gugur dalam merebut tempat dalam jawatankuasa, gugur mereka adalah sebagai pahlawan.

Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada bekas setiausaha agung kita dan saya rasa kebijaksanaan beliau bertugas bersama-sama kakitangan pejabat telah nyata terbukti dengan berjayanya mesyuarat agung kita pada hari ini. Saya percaya saudara sekalian kelak turut bergembira. Kita pertimbangkan supaya beliau nanti mungkin kita calonkan menjadi setiausaha agung. Cuma ini memberikan endorsement daripada jawatankuasa kebangsaan mengenai peraturan kita. {51:1}


INGAT SEJARAH

Oleh sebab MAYC sebuah organisasi nasional, organisasi kebangsaan, organisasi besar, organisasi yang mewakili beribu-ribu anggota, organisasi yang mempunyai pengalaman dan tradisi selama 22 tahun, maka pada peringkat akhir saya rasa bertanggungjawab mengeluarkan beberapa pendapat yang saya harap apabila saudara pulang nanti saudara akan memikirkannya masak-masak.

Ucapan saya ini boleh dikatakan seperti ucapan belia 'Vietnam Diem' atau ucapan pemimpin belia setelah gugurnya Vietnam.

Apa yang perlu kita lihat daripada kejatuhan Vietnam ialah, walaupun Vietnam mempunyai angkatan udara yang kelima terbesar di dunia, walaupun Vietnam mempunyai political backing yang paling kuat berbanding negara-negara 'pro Vietnam', walaupun Vietnam memiliki tenaga angkatan darat yang dibantu tentera perang Amerika yang begitu besar, namun bangsa Vietnam tidak kental atau resilient untuk mempertahankan negara mereka daripada serangan komunis.

Oleh itu, kita perlu memikirkan semula kerana kita lihat contoh negara seperti Rusia yang dahulunya berpegang pada fahaman Kristian, setelah dilanda ideologi komunisme terbengkalai program-programnya sehingga tidak lagi mengakui kewujudan Tuhan.

Kita juga melihat bagaimana sebuah negara berfahaman Buddha seperti Vietnam tidak dapat mempertahankan dirinya daripada serangan komunis Vietnam Utara. Kita juga melihat bagaimana Republik China yang dahulunya berpegang pada fahaman Konfusianisme berjaya digugat komunisme hingga ideologi itu bertapak hingga ke hari ini.

Syukur, alhamdulillah, sejarah selama ini belum membuktikan kekalahan umat Islam apabila berhadapan dengan komunisme. Walaupun bangsa Melayu di Malaysia yang lemah lembut dan bangsa yang lemah gemalai seperti bangsa Indonesia pernah cuba digugat komunisme, kedua-dua bangsa daripada rumpun Melayu ini berjaya menangkis dan mengusir mereka daripada bumi masing-masing.

Persoalannya ialah apakah dengan keadaan ancaman ideologi yang anti-Tuhan dan antiagama yang semakin besar, maka umat Islam dan rakyat Malaysia yang berfahaman lain dapat memperteguh keperibadian dan kerohanian mereka?

Mereka perlu sedar bahawa kekuatan tentera atau senjata sahaja tidak mungkin menjamin kekuatan atau ketahanan sesebuah negara.

PERPADUAN/PENYELEWENGAN

Kita berbicara di sini demi keselamatan negara dan bukan kerana kita cintakan negara lebih daripada rakyatnya. Kita berbicara mengenai perpaduan negara kerana kita rasa perkara ini tidak akan kekal tanpa prinsip, kewibawaan dan tanpa berpegang pada nilai hidup yang boleh diterima. Kita melihat bagaimana bangsa Melayu di Malaysia, umpamanya, bersatu padu begitu lama. Bagaimanapun, disebabkan penyelewengan, perpaduan itu terancam.

Apakah kita perlu membendung segala penyelewengan itu bagi mengekalkan perpaduan atau apakah kita perlu menghapuskan penyelewengan supaya perpaduan yang lain nanti menjadi perpaduan yang kekal?

Saya sarankan kepada belia yang bakal menjadi pemimpin semoga kita membendung sebarang penyelewengan baik rasuah, nepotisme, atau kepentingan diri. Kita perlu tentang habis-habisan walaupun kita tegak seorang diri di bumi Allah.

Tidak ada gunanya kita cuba menahan perpaduan kerana kita fikirkan dengan cara mendedahkan penyelewengan maka kita akan menghancurleburkan organisasi. Ini disebabkan penyelewengan tidak diredai Allah s.w.t. {54:1}

Di negara berbilang kaum seperti Malaysia, kita perlu sedar bahawa usaha memimpin negara ini adalah tugas yang berat. Perlu juga diketahui bahawa kita dalam MAYC mempunyai peranan terpenting kerana kita mewakili pelbagai kaum. Mahu tidak mahu kita terpaksa berhadapan dengan kenyataan dan berusaha semoga masa hadapan lebih terjamin sebelum kita menemui Tuhan.

Saya letih mencari dalam buku-buku saya, formula yang perlu kita gunakan supaya dapat mengekalkan perpaduan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Daripada hasil pembacaan ini, saya membuat kesimpulan, iaitu untuk mengekalkan perpaduan dan melahirkan satu bangsa daripada pelbagai kaum dan agama tanpa mengorbankan nilai masing-masing, perlu ada dua perkara, iaitu:

Common Experience atau Pengalaman Bersama dan

Common Desire atau Hasrat Bersama.

Kita perlu ada common experience atau pengalamn yang sama dalam hidup.

Kita perlu bersekolah, bersukan dan melakukan semua perkara bersama-sama sebanyak mungkin.

Itulah sebabnya kita melihat sukan sebagai satu bidang yang kita punyai banyak pengalaman bersama.

Sukan ialah bidang yang amat berkesan untuk menyatupadukan rakyat.

Namun begitu, bukan hanya sukan sahaja yang dapat menyatupadukan rakyat, banyak lagi bidang lain yang kita boleh hidupkan untuk memperoleh common experience ataupun pengalaman bersama.

Rainer, ahli falsafah psikologi mengatakan experience dan desire perlu ada pada setiap anggota bangsa untuk cuba bersatu sedaya mungkin against all odds, walau apa juga halangan yang kita hadapi.

Insya-Allah, kerana bentuk organisasi kita begitu, maka pengalaman kita bersama dalam MAYC dan juga kemahuan kita untuk bersatu hendaklah mendapat response atau sambutan daripada pihak lain supaya bersatu dengan kita.

APAKAH SUMBANGAN ANDA?

Inilah prinsip yang penting untuk saudara pegang kerana saudara sendiri sekarang juga sudah menjadi pemimpin, sebagaimana saya pernah berkata dalam ucapan terdahulu bahawa dengan menjadi pemimpin saudara mesti menyediakan diri untuk hidup dalam kesunyian. Semakin tinggi kedudukan saudara dalam masyarakat, semakin sunyi rasanya alam Tuhan.

Apabila saudara bermain bola bersama-sama, keadaan hidup waktu itu tidak begitu sunyi kerana ramai rakan. Apabila saudara memikul tanggungjawab yang terpaksa saudara tanggung sendirian ataupun menentukan sendiri keputusannya, maka pada masa itu saudara akan berasa kesunyian.

Apabila saudara mula menjadi pengerusi dalam kelab belia di kampung saudara, saudara terpaksa membuat keputusan atau rancangan yang kadangkala tidak ada sumbangan buah fikiran daripada anggota kelab.

Apabila saudara memimpin di peringkat negeri dan persekutuan maka saudara rasa banyak sekali busy moments of silence, saat-saat yang sibuk tetapi dalam kesunyian.

Pada waktu itu jika saudara menurut hasutan syaitan dan kalau kita tidak berpegang pada prinsip tertentu, semakin tinggi kita naik, semakin mudah bagi kita untuk menyeleweng. Oleh itu, bagi mereka yang bakal menjadi pemimpin, saya berdoa kepada Allah semoga saudara akan melengkapkan diri dengan prinsip dan seterusnya berpegang teguh pada prinsip itu kerana hanya dengan berbekalkan prinsip kental, saudara dapat membuat keputusan yang baik.

Saya berharap saudara izinkan saya untuk menyatakan beberapa minit lagi apa yang saya rasa agak penting.

PENGORBANAN

Saudara perlu bertanya kepada diri sendiri, berapa minitkah dalam seminggu saudara gunakan untuk MAYC?

Berapa minitkah dalam sebulan saudara luangkan untuk MAYC?

Sekiranya saudara ingin menggelar diri saudara pemimpin, kalau dalam sebulan saudara memikirkan tentang MAYC hanya dalam mesyuarat jawatankuasa selama 30 minit, maka saya rasa saudara perlu mengkaji semula perkara ini semoga masa yang diluangkan dalam MAYC menghasilkan kerja yang lebih baik.

Perkara ini penting sebagai peringkat pertama usaha supaya MAYC menonjol sebagai sebuah organisasi yang besar dan bertanggungjawab, sebuah organisasi yang sentiasa mengagumkan pendengar dengan pendapat-pendapatnya atau sebuah organisasi yang apabila disebutkan saya dari MAYC, kalau yang bercakap itu seorang teruna, yang mendengar ingin menjadikan anak MAYC ini sebagai menantunya, dan kita mahu kalau ada seorang perawan yang menyatakan, "Mak cik, saya sudah menjadi anggota MAYC selama lima tahun". Tanpa berlengah mak cik itu menerimanya sebagai calon menantu.

Inilah saudara-saudara, satu matlamat yang sedang kita usahakan ke arahnya selama bertahun-tahun yang telah sudah dan saya rasa the turning point sudah sampai, iaitu penerimaan masyarakat terhadap anggota MAYC sekarang berada di puncak.

MENGATUR RANCANGAN

Oleh itu, saya berharap sebelum saudara melaksanakan projek, saudara perlu mengkaji kesan sosial, ekonomi, politik dan segala kesan lain semoga setiap tindak-tanduk kita itu merupakan bayangan daripada prinsip ataupun kehebatan organisasi kita.

Organisasi MAYC umpama kuda tunggangan. Kita tidak boleh, umpamanya hanya menghenyak kuda tunggangan dan tidak memberikannya makan.

Kalau kita ingin menumpang nama MAYC yang harum, maka kita yang menjadi pemandu hendaklah sentiasa mengemukakan kepada MAYC berbagai-bagai rancangan. Saya berharap saudara-saudara di semua peringkat kampung, daerah dan negeri bertindak dengan bijaksana sebagai the advisor in the village atau penasihat dalam kampung, setelah membentuk diri dengan gaya peribadi yang dapat diterima masyarakat.

Ramai orang yang berpengetahuan tetapi disebabkan lagaknya menyebabkan orang kampung naik meluat melihatnya. Ramai orang berpengalaman yang dibenci oleh orang-orang tua dan ramai orang cerdik pandai yang hidup dalam masyarakat, ingin memimpin masyarakat itu tetapi tidak dapat diterima oleh masyarakat itu sendiri kerana lagak mereka.

Kembali kepada sebuah organisasi berbilang kaum yang pernah saya sebutkan dalam mesyuarat-mesyuarat MAYC, kita mempunyai tiga peranan yang perlu kita fikirkan.

Sukan memperkuat badan, agama memperkuat enjin dan iman.

Apa yang perlu adalah, kita sentiasa memerhatikan supaya negara yang kita warisi pada masa akan datang lebih baik daripada keadaan yang kita ada sekarang.

HIDUPKAN SEMANGAT

Fikiran Melayu dalam soal ekonomi perlu kita hidupkan bukan setakat dalam kelab kita, malah kita hidupkan semangat bermasyarakat, semangat berekonomi dan semangat berpolitik walau apa jua bidang yang menjadi pilihan.

Sebagai contoh, ada kaum Cina yang memonopoli bidang perniagaan getah manakala suku Hainan memonopoli perniagaan restoran: Dalam keadaan ini, Hainan akan menentang masyarakat Cina lain yang mahu menguasai bidang restoran. Kalau satu bangsa lain celik sahaja mereka tidak mahu menerima dengan baik, tak usahlah Melayu terhegeh-hegeh mengharapkan penerimaan di kalangan mereka, sedangkan sama-sama celik mereka sendiri, mereka tidak terima dengan hati yang bulat. Terpulanglah kepada saudara-saudara memperbaik diri barulah kita dapat duduk bersama dalam bidang ekonomi dan bercerita dengan nada yang lebih tinggi. {60:2}

Oleh itu, tinggal hanya satu bidang sahaja buat sementara waktu yang efektif untuk semua bangsa bekerjasama, iaitu bidang politik yang satu mahu lebih dan yang satu tidak mahu mengurangkan haknya, tetapi nanti bidang politik ini akan menjadi bidang yang efektif untuk cuba mengekalkan struktur dalam keadaan bersatu untuk masa-masa akan datang. {60:3}

MAYC mempunyai peranan yang berat dalam soal ini. MAYC sebagai organisasi berbilang kaum perlu memahamkan anggota-anggotanya akan sejarah perjuangan negara. MAYC perlu memberitahu perjalanan politik negara. MAYC perlu memahamkan anggota-anggotanya apakah itu Marxisme.

Apakah itu Kapitalisme?

Apakah itu free enterprise atau perdagangan bebas?

Apakah itu ateisme?

Dan apakah itu dictatorship atau kuku besi?

BACA

Semua ini perlu kita tahu kerana kita nanti akan mewarisi negara ini dan kita tidak punyai waktu belajar apabila menjadi anggota parlimen, tidak punyai waktu apabila menjadi pemimpin, kerana pada waktu menjadi pemimpin, kita terlalu sibuk. Waktu inilah kita baca dan terus baca, baca lagi dan baca bersungguh-sungguh kerana hanya dengan cara begitu, saudara dapat meningkatkan pengetahuan mengenai apa yang ingin saudara faham dalam proses melengkapkan diri untuk menjadi pemimpin masyarakat.

Dalam soal sosial juga MAYC mempunyai peranan penting untuk memahami masyarakat Cina, Melayu dan India di kampung, nampak sahaja hidup sekampung, tetapi masih tidak bersatu dalam aktiviti masing-masyarakat. Peranan kelab belia seperti kita ini adalah untuk mengadakan program yang banyak dengan melibatkan semua orang kerana kita berpendapat untuk menyatukan bangsa, kita perlu ada pengalaman yang sama, common experience -- dan kemahuan yang sama, common desire.

Kita perlu ingat tiga perkara yang jelas betapa penting peranannya, iaitu politik, ekonomi dan sosial. Tidak pernah pada masa yang lampau, saya menyeru ahli MAYC ataupun ahli belia memahami soal politik.

Disebabkan terlalu sedikit sekarang ini orang muda yang berada dalam pertubuhan politik, saya sarankan kepada saudara pilihlah apa-apa politik, parti mana yang saudara suka ataupun tubuhkan parti politik yang saudara inginkan asalkan saudara terlibat dalam politik dari tarikh 11 April 1976, dengan syarat politiknya jangan dibawa-bawa ke dalam MAYC, insya-Allah.

Apakah sebab saya sarankan pemuda perlu berpolitik sekarang?

Saya lihat ramai orang yang sudah lupa pada sejarah sehingga ramai golongan intelek muda dalam kalangan bukan Melayu telah membuat serangan terhadap golongan Melayu. Mereka lupa hakikat bahawa asal-usul kejadian negara Malaysia adalah dengan jasa baik bangsa Melayu ini. Disebabkan anak-anak Melayu tidak mahu menjawab balik, kerana tidak tahu sejarah, maka dengan sendirinya terhegeh-hegeh kita kena menghadapi lojik dunia yang tidak lojik dari segi sejarah.

Saudara sekalian, bersabarlah.

Sangat perlu saudara memiliki kefahaman tentang politik, kefahaman tentang ekonomi dan kefahaman tentang sosial.

Dalam bidang sosial atau masyarakat, susah bagi Melayu, Cina dan India untuk bersatu kerana masing-masing mempunyai fahaman yang berbeza dan kita tidak mungkin bersatu di peringkat kampung kerana mempunyai nilai agama yang berlainan. Masing-masing kaum mempunyai nilai fahaman mereka sendiri.

Tidak mungkin Melayu duduk semeja makan bersama-sama kalau didapatinya dalam kuah ada daging babi. Tidak mungkin! Kecuali orang Melayu yang sudah mengorbankan agamanya ataupun orang India dan Cina yang sudah mengetepikan fahaman masing-masing.

TETAP BERUSAHA

Di peringkat masyarakat, kita tetap berusaha untuk bersatu. Alhamdulillah kerana kita terus berpegang pada agama, kita terus bersatu. Kita bersatu kerana kita mempunyai agama. Dengan itu, dalam soal sosial kita mempunyai kesatuan yang mutlak.

Dalam ekonomi, selagi bangsa Melayu berada dalam keadaan tegang, maka selama-lamanya saya fikir kita tidak akan dihormati oleh orang yang kedudukan ekonominya lebih baik daripada kita.

Saya sendiri dahulu di Yan, mempunyai bapa saudara yang paling kaya, tetapi kerana saya anak saudara yang miskin, bapa saudara saya tidak pernah mahu mendengar pendapat saya. Saya terpaksa berusaha hingga sama-sama kaya dengannya barulah boleh duduk semeja dengan beliau, bertukar-tukar pendapat.

Maka adalah satu perkara yang ridiculous, tidak masuk akal bagi kita mengharapkan penerimaan sesiapa sahaja di dunia ini terhadap fikiran kita. Dengan adanya penerangan dakwah yang berterusan, maka dengan sendirinya usaha berterusan daripada semua pihak akan melahirkan pengalaman yang sama dan akan melahirkan dan menghidupkan kemahuan yang sama-sama memuncak.

BERSAHABAT

Sebagai presiden, saya bersemuka dengan saudara pada hari ini. Kecuali peserta yang berada di barisan hadapan, yang lain, saya percaya datang ke mesyuarat agung ini secara bergilir-gilir.

Berertilah bahawa kita tentunya tidak dapat berkenal-kenalan dan berinteraksi dengan setiap orang yang hadir. Oleh itu pandai-pandailah kita bergaul dan menjalinkan persahabatan dan sekiranya bertemu di tempat lain, tegur-menegurlah antara satu sama lain.

Kalau ada kesilapan saya semasa di peringkat kebangsaan sebagai pemimpin saudara, sudi-sudikanlah menulis surat secara berterusan kepada saya. Insya-Allah, segala yang salah itu akan saya betulkan dan saya berharap bagi mereka yang datang ke mesyuarat agung ini, menganggap mesyuarat ini sebagai one of the 22 experiences, satu daripada 22 pengalaman mesyuarat agung yang diadakan oleh MAYC.

Ada antara saudara, seminggu dua setelah pulang daripada menghadiri mesyuarat agung ini, dipinang orang. Kebetulan pula dipinang oleh orang yang bukan ahli MAYC, lebih-lebih lagi kalau bakal suami itu anak Tuan Haji. Apabila saudara dipinang orang maka pada saat itu saudara berdebar-debar menanti hari perkahwinan, waktu itu bulan dan bintang kelihatan lebih hebat sinarannya. Kemudian saudara berumah tangga, apabila saudara berumah tangga, tanya sahaja yang sudah berumah tangga bilakah saat akhir mereka bergurau senda.

Banyak perkara wujud setelah mendirikan rumah tangga, maka dengan sendirinya tiada lagi waktu untuk MAYC dan the desire to be united with MAYC (hasrat untuk bersatu dengan MAYC) sudah hilang. Tradisi baru sudah berlaku kerana suaminya bukan ahli MAYC, bermakna terpotong satu pautan dalam masyarakat. Kemudian, pengalaman hidup bersama-sama pun tidak ada.

Saya berharap saudari galakkan suami saudari untuk melibatkan diri dalam MAYC ataupun kalau saudari gagal, galakkan ayah mertua saudari menjadi anggota MAYC. Begitu juga dengan pria remaja pada hari ini bersama-sama MAYC dengan penuh semangat dan penuh iman di dada dan penuh keyakinan pada perjuangan. Banyak kerja yang harus saudara lakukan sekurang-kurangnya untuk menyelamatkan keturunan saudara daripada jatuh ke dalam keadaan yang tidak menyenangkan.

Walau bagaimanapun, sama ada saudara pulang nanti untuk terus berjuang ataupun saudara tidak datang lagi ke mesyuarat agung akan datang, ataupun saudara sudah berumah tangga dan tidak mempunyai waktu lagi untuk MAYC ataupun saudara masih menunggu lagi di peringkat bawah bersama-sama dalam MAYC, harus saudara ingat perjumpaan kita di Pulau Pinang adalah takdir Tuhan.

KENANGAN MANIS

Hendaklah jangan kita mensia-siakan takdir ini kerana kita bertemu selama tiga hari dengan kehendak Allah s.w.t. Saudara, jangan sia-siakan satu pemberian Tuhan dan dengan adanya perjumpaan sebegini, hendaklah kita lebih bersatu lagi.

Dan apabila saudara sudah berusia 60 atau 70 tahun, kenangan manis akan kembali pada tanggal 9 April 1976 di Universiti Sains Malaysia kerana di sini kita telah bermesyuarat dan menerima takdir Tuhan untuk memperkuat tali silaturrahim, untuk lebih cintakan organisasi kita dalam proses mengabdikan diri kita kepada Allah s.w.t.

Dengan ini, saya doakan ke hadrat Allah semoga saudara sekalian selamat pulang ke kampung masing-masing dan jangan bosan walaupun apa jua ketidakpuasan hati saudara sewaktu berada di Pulau Pinang kerana selagi kita belum dimasukkan ke dalam syurga, selama itulah kita tidak akan puas di dunia, apatah lagi jika dimasukkan ke dalam neraka.

Oleh itu, perjuangan hidup di dunia ini sebenarnya adalah untuk mencari kepuasan hati semaksimum mungkin dan semoga kita reda dan berpuas hati menerima restu dan ketentuan takdir daripada Allah s.w.t. Puas hati yang saya maksudkan di sini ialah satu perasaan yang terhasil daripada usaha mencari yang lebih baik.

0 comments

Post a Comment