Dihempas Badai Dilambung Gelombang

Posted by mayc_pkbm | 7:56 PM | 0 comments »

Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 1976

BERSATU PADU

Biasanya dalam mesyuarat agung yang lalu saya terus menyatakan bahawa pertubuhan kelab belia yang paling besar di Malaysia hanya MAYC. Namun hari ini secara kompromi dua pertubuhan terbesar di Malaysia dapat disatukan. Oleh itu, apa jua kritikan yang mahu kita keluarkan mungkin kita sembunyikan kerana jelas pada hari ini kita sudah menghulurkan tangan untuk bersahabat. Hal ini disebabkan pada waktu orang tua-tua di Malaysia berkelahi, sudah sampai masanya golongan belia menunjukkan contoh yang baik dan bersatu padu.

Dengan kehadiran tokoh yang perjuangannya berasaskan kerohanian, dengan kehadiran tokoh belia yang terkemuka, pemimpin belia di peringkat nasional, dan dengan adanya perjumpaan yang begini meriah, bererti pada hari ini ada pertemuan wajah antara dua pertubuhan belia yang terbesar mewakili hampir suku juta keluarga belia di Malaysia.


Pada hari ini, dalam mesyuarat agung nanti, kita akan membuat keputusan sama ada mahu menukar pemimpin ataupun mahu mengekalkan mereka. Jadi, mesyuarat agung ini adalah perjumpaan yang sungguh bererti bagi kita semua.

Oleh itu saudara yang datang dari seluruh pelosok Semenanjung Malaysia hendaklah menganggap pemilihan pimpinan MAYC bagi tahun '76/'77 sebagai satu tugas yang serius.

BERBILANG KAUM

Saudara sudah mendengar laporan mengenai kegiatan yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung MAYC -- seorang setiausaha agung yang sungguh cekap dan bijaksana melaksanakan tugasnya sepanjang setahun yang lalu. Saya tidak mahu menyentuh apa yang kita kerjakan sepanjang tahun lalu, kerana perkara ini akan disebut dalam Mesyuarat Agung kita nanti. Apa yang saya ingin peringatkan saudara adalah mengenai MAYC dan sifat yang ada pada MAYC.

Seperkara yang unik bagi MAYC ialah wadah yang disertai oleh belia pelbagai kaum, yang bersifat multiracialism -- MAYC sebagai The Largest Multiracial Youth Organisation in Malaysia (Pertubuhan Belia Berbilang Kaum yang Terbesar di Malaysia). Dalam konteks ini agak susah bagi seseorang pemimpin daripada mana-mana satu kaum yang menganut agama tertentu memimpin organisasi multiracial seperti MAYC.

MAYC juga sebuah organisasi yang berbilang peranan atau multifunction, iaitu ahli-ahli tidak hanya menjalankan kegiatan sukan, tidak hanya menjalankan kegiatan pendidikan, tidak hanya bergiat dalam seni, tidak hanya berdakwah, tidak hanya bergiat dalam bidang itu dan ini. MAYC ialah gabungan pelbagai interest atau kepentingan dan kesukaan belia sekalian yang kegiatannya terbatas kepada nilai hidup yang diredai Allah. Saudara menjalankan kegiatan, kami di peringkat pusat menjadi coordinator, penyelaras atau pengatur program.

Satu lagi sifat yang ada pada MAYC ialah kita bebas dalam segala hal dan kita mengambil pendirian tegas dalam segala tindakan, bersatu dan mempunyai prinsip tertentu. Kita bersatu, sekarang ini kita perhatikan di merata-rata peringkat masyarakat porak-peranda, digugat pelbagai kemelut, bermacam-macam sengketa. Bagaimanapun, syukur alhamdulillah, kerana MAYC pada tahun '75/'76 bebas daripada sebarang power struggle atau pergolakan kuasa, bebas daripada perang clique (kelompok), bebas daripada sebarang kemelut dan isu yang boleh merosakkan perpaduan anggota MAYC.

PRINSIP

Dalam MAYC kita berpendapat kita masih berpegang pada prinsip dan kita tidak akan mengorbankan strategi dengan berpegang pada sesuatu yang tidak jelas dan nyata. Kita tidak akan bergerak hanya semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan suasana.

Kita tidak mahu, umpamanya, apabila kita mahu menentukan perjalanan bahtera dari Pulau Pinang ke Makkah, nanti kita tidak sampai kerana kita dilambung ombak dan dipukul taufan yang begitu besar sehingga mengubah haluan kita lalu terdampar di Canton atau Hong Kong. Maka tergendalalah perjalanan suci kita menuju ke Pelabuhan Jeddah untuk seterusnya ke Makkah menunaikan ibadat Haji.

Oleh itu, bagi kita, walau apa jua gelombang yang harus kita hadapi, kita perlu berpegang pada prinsip.

Untuk makluman saudara-saudara dan rakan saya daripada belia 4B, kami dalam MAYC sebenarnya tidak anti itu dan anti ini. Sebenarnya. Adakalanya pendirian kami berlainan, maka dalam beberapa isu, pendirian MAYC berbeza daripada pertubuhan belia yang lain ataupun dengan pendirian kerajaan sendiri.

Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu Kerajaan mengarahkan semua kelab belia supaya keluar daripada Majlis Belia Malaysia (MBM). Pada waktu itu, kelab-kelab belia dengan kebijaksanaannya dan pemikiran tersendiri mengambil keputusan untuk keluar daripada MBM. Waktu itu MAYC menghadapi satu masalah yang besar kerana kita terpaksa membuat keputusan dan keputusan itu mungkin menjadikan MAYC sebuah organisasi yang tidak popular di Malaysia, di mata satu-satu pihak.

Dari saat itu, sewaktu orang sedang keluar daripada MBM, MAYC berkata, Stop! We Shall not Quit! (MAYC tidak akan keluar daripada MBM).

Hal ini disebabkan tindakan keluar daripada MBM bererti kita salah pada tindakan tertentu. Pada waktu itu, saya back-bencher dalam Kerajaan. Mereka berkata Sanusi anti-government.

It is not the government that we are fighting against, we are fighting against all bad thinking in the government.

Bukannya Kerajaan yang kita tentang, kita tentang pemikiran lapuk dalam Kerajaan.

Hal ini disebabkan walaupun ada beratus ribu belia dan begini ramai cendekiawan yang memimpin mereka, tetapi cendekiawan yang menjadi ahli dan yang memimpin itu tidak dapat berfikir dengan waras.

There must be something wrong with our system of education.

Tentunya ada sesuatu perkara yang tidak kena pada sistem pendidikan kita.

Dalam keadaan begini kita pasti menjadi mangsa satu sistem yang salah. Bagaimanapun, kita menyanjung tinggi sistem pendidikan kita dan oleh sebab kita menyanjunginya, tidak mungkin secara demokratik kita membuat keputusan yang salah. Akhirnya setelah kita dipukul badai dan ombak ke kiri dan ke kanan, sampai juga kita di Jeddah dan sempat juga kita beribadah dan berdoa semoga ibadah kita diterima Allah S.W.T. {39:1,2}

YANG PENTING AHLI

Sekarang sudah ada rancangan untuk kembali melihat kepada MBM dan sekarang juga kita mahu menukar perlembagaan MBM. Sanusi bukan seorang yang berpegang secara buta tuli pada perlembagaan.

'What is more important is not perlembagaan, It is the Man'.

Apa yang lebih penting bukan perlembagaan, tetapi Manusia itu sendiri.

Dalam MAYC yang begini ramai orang yang hebat-hebat kalau perlembagaan tidak berfungsi pun, projek kita tetap hebat, betul atau tidak? Walau bagaimanapun, 'You can have the best constitution, but if you have people who are not prepared to do things, tiada apa akan berlaku.'

Saya bercakap dalam bahasa Inggeris kerana bukankah kita sudah mempunyai ramai kawan di luar negara, tetapi sebagai terjemahannya saya ulangi bahawa kita dalam MAYC bukannya tidak mementingkan perlembagaan tetapi kita percaya walau bagaimana baik sekalipun perlembagaan, tetapi jika anggota organisasi yang berpegang pada perlembagaan yang baik, tetapi anggota itu sendiri tidak baik, maka pasti organisasi itu menjadi tidak baik.

Tetapi kalau kita semua baik, anggota MAYC baik dan anggota 4B juga begitu, maka dengan sendirinya perlembagaan apa sekalipun yang ada tetap baik. Pernyataan ini berpandukan hakikat bahawa yang lebih penting manusia, bukannya pertubuhan.

Itulah sebabnya dalam MAYC kita mementingkan pembangunan keperibadian yang baik dan kita berdoa supaya yang beragama Islam menjadi lebih Islam lagi daripada sekarang dan yang beragama Kristian memahami agamanya dengan lebih mendalam dan yang berfahaman Buddha, berfahaman Hindu, memahami agama anutan mereka dengan lebih mendalam.

AL-QURAN PEDOMAN

Saya menekankan aspek ini kerana saya seorang Muslim. Ahli MAYC yang bukan beragama Islam tidak perlu bersusah-payah mengkaji peribadi saya, sama ada saya bercakap benar ataupun tidak. Rujuk sahaja al-Quran, rujuk sahaja hadis dan saudara akan tahu sama ada apa yang saya katakan ini betul atau menyeleweng.

Orang Cina dan orang India boleh merujuk al-Quran dan Hadis dan ukur. Saudara akan tahu sama ada saya betul atau saya menyeleweng dan kalau orang Kristian betul-betul Kristian, tidak susah bagi orang Islam. Dalam pada itu bagi orang Hindu mengenali orang Kristian, dia baca sahaja Bible dan dia tahu sama ada orang itu Kristian betul ataupun Kristian yang menyeleweng.

Jika seseorang itu berfahaman Hindu atau Buddha, kalau dia betul-betul berpegang pada fahaman masing-masing, tidak susah bagi umat Islam dan orang Kristian mengenali Hindu dan Buddha. Dengan hanya membaca buku mengenai fahaman mereka, kita dengan sendirinya akan mengenali siapa sebenarnya kawan-kawan kita.

Yang menjadi masalah sekarang, kita punyai satu negara dengan belia-belia yang hipokrit.

Belia yang mengatakan dirinya Islam, tetapi tidak mencuba sedaya upaya menjadi Muslim sebaik-baiknya, hanya sekadar yang termampu.

Kita mempunyai belia beragama Islam, Hindu, Kristian dan Buddha yang tidak mempedulikan prinsip fahamannya. Dalam keadaan begini, belia Islam, Hindu, Kristian dan Buddha seperti itu semuanya half-cooked (setengah masak). Apabila berkeadaan setengah masak bererti pertimbangan akal dan nafsu untuk menentukan nilai-nilai hidup akan menjadi tidak menentu. Dalam mengatakan ini saya tidak bermaksud semua belia. Yang ada di sini semuanya baik-baik belaka. Yang saya tegur ialah mereka yang tidak ada dalam mesyuarat ini.

Bagaimanapun, saya tidak menasihatkan seseorang yang berfahaman Hindu membaca dua atau tiga buah buku agama Hindu lantas pergi berkelahi dengan semua Hindu yang lain.

Saya juga tidak mencadangkan supaya belia Islam yang setelah membaca tiga buah buku Hamka, berlagak seperti ulama sampai orang lihat naik meluat…orang itu jahat…orang ini jahat…orang itu tak betul…yang betul hanya dia seorang, walhal baru baca tiga buku.

Kita dalam MAYC hendaklah mengambil contoh sebagaimana Tuan Haji Hassan Adli, Puan Senator Salmah dan pemimpin belia Islam yang berpendirian baik termasuk saudara-saudara semua.

Bagitu juga dalam MAYC, saya percaya kawan-kawan kita yang berfahaman Buddha, Kristian dan Hindu akan menjadi manusia yang lebih baik.

Kalau mereka yang berhasrat memeluk Islam pun saya boleh berperanan seperti Tunku Abdul Rahman mengislamkan mereka.

Bukan tujuan saya menekankan kepentingan mana-mana pihak.

Yang penting ialah setiap orang daripada belia hendaklah ber-Tuhan kepada Tuhan dan jangan ber-Tuhan kepada harta, jangan ber-Tuhan kepada kekuasaan dan jangan ber-Tuhan kepada duit.

Saya takut nanti kalau kita ber-Tuhankan duit, ber-Tuhankan harta dan ber-Tuhankan kuasa, apabila komunis datang dari selatan Siam, semua kita yang berada di sini akan mencari bas MARA untuk lari ke Kuala Lumpur.

Di negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama, kita perlu memikirkan bagaimana kita menyatupadukan belia-belia di dalamnya.

Saya menyarankan dua perkara pokok yang perlu diberikan perhatian oleh semua kaum di Malaysia.

Pertama, we must cultivate a common experience and a desire to unite di kalangan belia kita, kita mesti pupuk perasaan keinginan bekerjasama dalam menghadapi pengalaman dan cabaran yang sama.

Kita juga perlu memupuk perasaan ingin bersatu.

Saya percaya hanya dengan adanya pegangan serta prinsip sebagai garis panduan, kita akan mempunyai sebuah negara yang mempunyai masa depan yang lebih terjamin berbanding pada masa-masa lalu.

AKAL SYAITAN

Sekali lagi saya katakan bahawa mesyuarat agung kali ini sangat bererti; bererti bukan sahaja kerana saudara bertanggungjawab memilih pemimpin, tetapi saudara juga dapat mengetahui orang yang menjadi Presiden MAYC, yang menjadi ahli jawatankuasa, yang menjadi pemimpin di bandar ataupun di desa.

Ketauilah saudara-saudara, the higher you go, the more lonely you become, (semakin tinggi saudara berada, semakin sunyi rasanya hidup).

Kalau sekarang hanya sekadar memimpin MAYC, saya belum merasa begitu sunyi.

Saya percaya 'bapak-bapak' menteri yang sudah berada di tempat yang tinggi itu tentu lebih sunyi, apatah lagi Perdana Menteri kita yang menjadi orang utama dalam negara, tentu keadaannya lebih sunyi daripada orang lain.

Dalam keadaan sunyi sebegini sudah tentu ada dua pengaruh yang kuat.

Pertama, pengaruh akal.

Kedua, pengaruh syaitan.

Pada waktu kita menjadi pemimpin di mana-mana peringkat sudah tentu akan ada pertarungan daripada kedua belah pihak.

Saya berharap saudara-saudara yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan perkuatkan diri semoga apabila tiba masanya saudara-saudara memimpin dan juga mengalami kesunyian, pada waktu itu apabila bertarung antara akal dan syaitan, maka akallah yang menguasai, bukannya syaitan.

Syukur, alamdulillah, di negara kita sekarang ini semua pemimpin dikuasai akal dan dapat menguasai syaitan. Setahun yang lalu kita menyaksikan penaung kita, Tun Abdul Razak meninggal dunia. Kita juga melihat rakan baik kita Datuk Wan Kadir dan Tun Dr. Ismail meninggal dunia. Peristiwa ini bererti bukan hanya sultan dan rakyat sahaja yang meninggal dunia, semua orang akan meninggal dunia. Oleh itu, sementara mengendalikan hidup dengan baik saya berharap saudara membuat persiapan untuk menghadapi Tuhan di akhirat nanti.

Akhir kata, saya ingin menyentuh secara ringkas mengenai apa yang berlaku kepada mereka yang datang merasmikan perjumpaan MAYC pada masa lalu.

SENTIASA BERDOA

Dahulu seorang pemimpin MAYC menjadi pengerusi Lembaga Amanah Wisma Belia. Beliau, dengan berkat doa ahli MAYC sekarang ini menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Dua tahun sebelum itu, Datuk Hussein Onn menjadi Menteri Perdagangan. Dalam mesyuarat itu kita doakan semoga pada satu hari kelak beliau akan menjadi Menteri Kewangan dan beliau memberikan permit kepada Tugu Insurance milik kita. Syukur, alhamdulillah, berkat doa kita beliau menjadi Menteri Kewangan dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Tahun lalu, Tengku Razaleigh amzah, yang sewaktu menjadi Pengerusi PERNAS dan Pengerusi Bank Bumiputra, datang ke mesyuarat agung MAYC dan kita juga berdoa semoga suatu hari beliau akan menjadi Menteri Kewangan. Berkat doa kita itu beliau menjadi Menteri Kewangan.

Hari ini, mungkin oleh sebab doa Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, tuan Haji Hassan Adli lebih mustajab daripada doa saya, saya serahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T untuk meletakkan orang baik seperti beliau di tempat yang lebih tinggi daripada sekarang.

Insya-Allah, berkat doa kita siapa tahu apa akan jadi pada tahun hadapan? Itu seloroh saya, tetapi dalam seloroh pun ada seruan.

Kenyataannya sudah berlaku kepada ramai mereka yang datang ikut bersama kita.

Bukanlah tujuan saya untuk mengangkat seseorang itu setinggi-tingginya dan suatu hari kelak menghempasnya kembali, tetapi dalam MAYC, apabila kita menjemput seseorang pemimpin, kita berasa terhutang budi pada beliau dan kita tidak akan mengecamnya di belakang.

Kalau ada sesuatu yang kita tidak setuju, kita akan mengatakannya secara terbuka dan dalam suasana saling memahami.

Terima kasih

0 comments

Post a Comment