Usaha Gigih Hasil Cemerlang

Posted by mayc_pkbm | 7:47 PM | 0 comments »

Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 1975


PERJUANGAN

Kita juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang tidak kita sebut yang juga sama penting dalam perjuangan kerana mereka ini selain membantu dari segi moral dan datang beramai-ramai untuk memeriahkan majlis, mereka juga menjamu kita dari semasa ke semasa, dari tahun ke tahun.

Saya berharap amalan ini akan diteruskan kerana bukan sahaja menguntungkan belia tetapi juga akan mendapat faedah dan ganjaran daripada Allah S.W.T apabila kita kembali ke alam baka. Kita juga doakan supaya lebih ramai yang tampil ke hadapan untuk membantu kerana dalam suasana yang tenat dan tegang ini, MAYC memerlukan sokongan moral dan material untuk meneruskan perjuangannya.


Dalam membicarakan perjuangan MAYC tahun lalu kita katakan "This is the year of hope, inilah Tahun Harapan", maka tahun '74/'75 pula kita katakan "This is the year of maturity, tahun kedewasaan" dan kedewasaan ini telah kita tunjukkan apabila kita bersama-sama membuat keputusan yang muktamad untuk tidak keluar daripada MBM.

Pada suatu hari saya telah duduk bersama-sama seorang wartawan dari luar negara, wartawan dari Switzerland. Dia menulis dalam kepala akhbarnya, "Malay official and youth run amok, Hindus, Buddhists and Christians stay to solve problems of the Malaysia Youth Council".

Maka pada saat provokasi yang begitulah saya berkata kepadanya, "No, no and no, there are still Malay youth leaders who do not withdraw and follow popular track".

Inilah yang kita katakan dalam negara ini kita perlu sampai kepada satu peringkat, kadang-kadang kita membuat satu keputusan yang walaupun tidak meletakkan kita di pentas yang paling hebat, dipuja-puja oleh masyarakat tetapi dalam perspektif sejarah ataupun historical perspective, saya percaya keputusan yang diambil oleh MAYC adalah keputusan yang matang "A matured decision".

Disebabkan ada suasana mendung pada akhir-akhir tahun '74/'75, maka sudah tentu kerja yang kita lakukan selama satu tahun yang lalu agak kurang daripada yang kita harapkan, seperti yang telah kita nyatakan pada tahun yang kita namakan "The Year of Hope, tahun harapan".

Dahulu kita katakan kita tidak mahu lagi ada kisah-kisah seperti yang berlaku di Jakarta, iaitu belia-belia melontar batu ke arah firma-firma besar berlaku di negara kita.

Kita tidak mahu begitu, kita mahu supaya pengusaha-pengusaha besar datang bersama-sama belia dalam projek-projek usaha sama supaya belia itu sendiri mempunyai hak dalam organisasi ataupun syarikat yang terus bercambah dengan banyaknya di negara kita.

Maka untuk tujuan itu kita menubuhkan Syarikat Nurharapan. Dengan adanya Syarikat Nurharapan, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rakan usaha sama dalam apa jua bidang sekali pun yang membolehkan kita mendapat bantuan mereka.

NO MONEY, LOTS OF WILL POWER

Hasil daripada perundingan kita di Jakarta, Hong Kong dan hasil daripada pujuk rayu kita kepada Datuk Hussein Onn sebagai Menteri Kewangan, maka kita telah mendapat kelulusan untuk menubuhkan Syarikat Tugu Insurance Berhad, usaha sama antara SHAMELIN, Nurharapan, syarikat dari Hong Kong, anak syarikat PERTAMINA dan syarikat dari Australia.

Ini merupakan kejayaan besar Nurharapan "We have no money, we have lots of will power", kita tidak ada wang tetapi kita mempunyai semangat yang tinggi.

Dengan ini kita meminta supaya pengusaha dari seluruh dunia datang kepada kita dan membantu kita dalam usaha mendirikan usaha sama perniagaan agar belia negara ini merasai dan menikmati kekayaan negara.

Sekarang saya ingin bertanya kepada pengerusi PETRONAS, bagaimana kalau kita memulakan perundingan? Semoga Tengku Razaleigh akan mempertimbangkan rayuan kita ini.

Ada pihak yang datang merayu supaya Tugu Insurance ini dibatalkan, tetapi kita merayu kembali kepada mereka agar jangan dibatalkan pendaftarannya {22:2}kerana kita sudah mempunyai cukup masalah di negara ini dan kita tidak perlu menimbulkan satu lagi masalah dengan memadamkan satu harapan daripada belia-belia yang mempunyai saham melalui syarikat induknya, Tugu Insurance.

TEKSI BELIA

Kita juga mendapat kerjasama daripada Encik Ahmad Sabki daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kita telah mendapat 10 permit teksi dan tidak lama lagi kalau berhasil pula perundingan kita dengan Bank Bumiputra, dan dengan syarikat kewangan lain, kita akan membeli 10 buah teksi yang akan berkhidmat di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dan Wisma Belia, hotel saingan Hilton. Kita menjemput pengurus Hilton untuk datang bersama supaya beliau mengenali kita dari dekat "Who is your real enemy at the moment", bukan Equatorial, bukan Hotal Merlin, bukan Hotel Federal. Cuba congak-congak balik, tidak mustahil Wisma Belia.

Walau bagaimanapun, sebenarnya kita mahu bekerjasama dengan Hilton untuk melatih eksekutif Wisma Belia, kerana ingin memperbaiki mutu perkhidmatan Wisma Belia yang sekarang ini pun tidak ada tolok bandingnya di seluruh Kuala Lumpur. Kita berharap semoga teksi kita yang bertapak di Wisma Belia nanti dapat bertolak dari Subang ke Wisma Belia dan kemudian berangkat ke Hilton untuk mengambil penumpang dari sana dan membawanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Dengan cara ini saya percaya walaupun bas di Kuala Lumpur mogok, masalah dapat diselesaikan dan kita sama-sama berdoa supaya Kementerian Pengangkutan dapat mengeluarkan lebih banyak lagi permit teksi kepada MAYC melalui syarkat Nurharapan.

Saudara, itulah projek kita dalam bidang ekonomi. Kita sudah mempunyai syarikat yang dengannya kita boleh bekerjasama dengan syarikat lain.

Kita tidak mempunyai kekuatan kebendaan, hanya mempunyai kekuatan semangat dan doa, maka dengan berkat doa saudara-saudara, perundingan saya dengan Datuk Hamzah, usaha sama Nurharapan dengan syarikat Jepun akan berhasil pada tanggal 14 Februari nanti.

SASARAN NASIONAL

Kita dalam MAYC bukanlah berniaga sahaja. Pelbagai bidang lain turut diceburi. Kita mempunyai apa yang kita namakan sasaran nasional.

Kita ingin mempunyai satu pasukan bola, kita ingin mempunyai satu pasukan hoki, kita ingin mempunyai satu pasukan ping pong, kita juga ingin mempunyai satu pasukan golf yang terhandal di seluruh negara.

Kita mempunyai ahli yang terdiri daripada buruh-buruh kasar, petani dan nelayan daripada segala bangsa membuat pelbagai kerja. Itulah kelebihan yang ada pada MAYC.

Oleh itu, kita telah melancarkan satu pesta sukan. Pesta sukan yang terbesar sekali pernah diadakan dalam sejarah 21 tahun MAYC.

Inilah tahunnya dan pesta sukan dengan sinaran cahaya piala-pialanya menjadikannya tahun pesta sukan yang berjaya. Kita telah menjemput Datuk Hamzah bin Abu Samah, Pengerusi Majlis Olimpik Malaysia. Dan saya telah memberitahu beliau bahawa pada masa akan datang ada antara ahli sukan MAYC yang akan layak mengiringi beliau ke mana-mana sahaja acara sukan yang akan diadakan di dunia. Inilah sasaran nasional kita dalam bidang sukan.

MUZIK

Kita mahu melihat perubahan dalam MAYC dari segi muzik pada masa akan datang. Selain kumpulan kompang, kita perlu juga mempunyai seratus 'peniup trompet', seribu 'pemain drum' (perkadarannya mungkin tidak tepat).

Kita mahu memantapkan nada dan irama perjuangan. Nada dan irama perlu dalam satu-satu perjuangan kerana dengan adanya irama wujudlah harmoni. Belia nanti akan faham the rhythm of time, dan belia akan faham apakah rentak dan lagu yang perlu didengar pada satu-satu detik dan ketika dalam sejarah.

Inilah yang dinamakan sasaran nasional dalam bidang muzik.

Selain itu kita juga mempunyai sasaran nasional dalam bidang pidato, mengarang, berbahas dan sebagainya. Kita maklum keadaan di negara ini walaupun pembangunan pesat tetapi masih ramai orang yang tidak membaca akhbar kerana tidak mampu membelinya setiap hari. Ramai orang yang tidak memiliki radio dan televisyen. Oleh itu, untuk kita menyampaikan satu-satu hasrat kepada rakyat kita memerlukan kebolehan berpidato.

Kita berseru kepada semua 85,000 anggota MAYC di seluruh negara supaya belajar berpidato, berpidato pagi, berpidato petang, berpidato malam, berpidatolah walau dalam mimpi sekalipun sehingga apa yang kita ingin kata sampai ke telinga seluruh masyarakat.

PANDAI BERHUTANG

Pada waktu kita bermesyuarat di rumah Datuk Seri Haji Kamaruddin kita mempunyai hutang sebanyak RM60,430.25 dan overdraf di Bank Bumiputra sebanyak RM667,692.54. pada 1 Ogos 1973, MAYC dengan bangganya membuktikan bahawa kita orang yang pandai berhutang dan pandai membayar. Kita telah melunaskan hutang sebanyak RM51,180.05 selama 20 bulan. Ini bererti setiap bulan kita telah membayar RM2,550 kepada pemiutang.

Walau bagaimanapun, kita harus sedar bahawa kalau kita tidak mengambil alih pentadbiran pada 1 Ogos 1973 mungkin pada hari ini hutang yang bertapuk yang bercampur bunga sudah hampir mencecah satu juta. Pada hari ini kita mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Tengku Razaleigh. Walaupun sudah meninggalkan PERNAS {26:3}, jangan tinggalkan Bank Bumiputra dahulu untuk kira-kira 20-30 tahun lagi kerana kalau sudah menjadi ahli MAYC senang untuk kita berunding dan saya percaya beliau tidak ragu-ragu dan MAYC pun tidak marah kalau beliau memberikan kadar bunga yang sedikit, kadar istimewa.

MBM - BUKAN PAKSAAN

Itulah sedikit cerita yang susah, yang lain semuanya cerita senang. Satu perkara yang saya ingin nyatakan adalah mengenai kedudukan kita dalam MBM.

Saya telah katakan bahawa kita telah membuat keputusan untuk tidak keluar dan keputusan ini bukan keputusan yang bersifat dictatorial, bukan satu keputusan tanpa berunding, bukan satu keputusan yang gopoh-gapah kerana dalam jawatankuasa MAYC ada ahli pakar, ada hakim, bekas majistret, penasihat undang-undang, penganalisis ekonomi, pendidik veteran, ahli politik, jaguh wanita, eksekutif perkapalan, pakar perancang keluarga dan berbagai-bagai kepakaran lagi.

Tidak ada presiden yang boleh memaksa, malah kalau Presiden Ford menjadi Presiden MAYC pun beliau tidak boleh memaksa kerana jawatankuasa kita adalah jawatankuasa yang bertanggungjawab dan kita sekarang tidak boleh bertindak mengikut nafsu. Kita bertindak mengikut akal berasaskan faktor-faktor yang kita arif tentangnya.

Oleh itu, apabila kita bertindak tidak mahu keluar daripada Majlis Belia Malaysia, bukan bertujuan menunjukkan kita keras kepala.

Dalam soal prinsip kita sanggup jatuh bersama-sama dengan prinsip kerana itu akan tercatat dalam sejarah perjuangan.

Kita dapati dalam barisan pemimpin negara sekarang ini berapa ramai yang dahulunya kaki berontak tetapi kini menjadi tokoh, bererti bukan semestinya orang yang menentang pada hari ini, maka dia orang jahat.

Sejarah akan menentukan sebagaimana sejarah juga telah mencatat hakikat bahawa sesetengah daripada mereka yang jatuh pada hari semalam kini menjadi jaguh negara. Oleh itu, sejarah juga akan menentukan apakah keputusan MAYC itu benar ataupun tidak.

Syukur alhamdulillah, sekarang ini keputusan MAYC sudah diterima ramai, malah dari mula lagi kita maklum, kepimpinan negara juga memahami hasrat dan pendirian MAYC sebagai hasil pemikiran yang matang dan sudah sampai ke peringkat dewasa.

FIKIRAN MATANG

Oleh itu, tahun 1974 ini kita namakan tahun menemui kedewasaan, tahun '74/'75 kita harus bertindak sebagai orang dewasa, sebagai orang yang sudah 21 tahun lebih umurnya. Sebagai satu organisasi kita bergerak terus mencapai objektif segala rancangan yang disediakan.

Kita juga menyokong semua projek negara yang ada, walaupun kita sendiri mempunyai projek yang kadangkala berbeza dengan projek yang sudah ada itu. Ini membuktikan bahawa belia negara ini mempunyai cara berfikir yang waras, hasil daripada sistem pendidikan yang begitu lama yang kita menjadi sebahagian daripada mereka yang merasai nikmat daripada sistem ini.

Pada hari ini kita menyambut ulang tahun ke-21 MAYC dan pada hari ini kita menyatakan pendirian kita dengan sejelas-jelasnya, dan tidak lama lagi akan ada mesyuarat agung MBM, bagi MAYC sama ada MBM itu hidup atau mati adalah soal lain.

MAYC perlu hidup dengan prinsip dan MAYC tidak boleh ditarik hidungnya, tidak boleh diheret ke kiri dan ke kanan kecuali kalau sudah dipukul terlebih dahulu. Semua orang boleh berfikir dalam MAYC. Oleh itu, mesyuarat kali ini merupakan mesyuarat yang menentukan masa hadapan MAYC.

Saya tahu kalau sekiranya orang menganggap MAYC ini sebagai golongan yang tidak baik dan tidak mengikut popular decision maka bererti tahun '75, '76 dan '77 adalah tahun 'puasa' untuk MAYC. Tahun tidak mendapat duit, tahun tidak mendapat derma, tahun tidak mendapat projek, tahun dugaan -- tahun 'puasa'. {29:4}

PRINSIP

Inilah masanya the Islamic spirit yang ada dalam diri saudara memainkan peranan. Semangat Islam dalam diri saudara ketika berpuasa, sekali lagi dicuba oleh Allah S.W.T. Apakah saudara mahu mengorbankan prinsip supaya kenyang ataupun sanggup berpuasa menegakkan prinsip? Apabila manusia sudah lebih waras dan sedar, pada waktu itu kita kenyang bersama-sama mereka.

Inilah tahun penentuan dan pada kali ini kita berharap setiap belia MAYC akan menggunakan kesempatan tiga hari ini untuk lebih mematangkan diri dalam segala bidang. Semoga apabila pulang ke kampung, masing-masing menjadi pemimpin dalam masyarakat dari bandar hingga ke desa.

Rasanya saya sudah berbicara terlalu panjang. Sebenarnya ucapan ini bukan ditulis terlebih dahulu, bukan hasil daripada fikiran spontan, hasil daripada perasaan yang tidak dicemari, perasaan yang kalau boleh dikekalkan semurni-murninya dan dengan pendirian inilah jika kita jatuh atau bangun, kita hancur ataupun kita ranap, segala-galanya kita serahkan kepada Allah s.w.t.

Saya berharap setiap individu dalam barisan kepimpinan MAYC mempunyai sifat yang sama, sementara kita berniaga kita ada program executive {30:4}, latihan kemahiran, kita berniaga untuk mencari kekayaan, kita bermain bola sepak, hoki, badminton, sepak takraw untuk kekuatan jasmani, kemudian kita beribadat siang dan malam memperkuat rohani, kemudian kita harus berhadapan dengan masyarakat, pada waktu itulah kita diduga.

Apakah sudah cukup dengan kekayaan kebendaan?

Apakah sudah cukup dengan kekuatan fizikal?

Apakah sudah cukup segala latihan pengetahuan apabila berhadapan dengan saat penentuan?

Apakah saudara akan korbankan segala-galanya, saudara korbankan segala-gala yang ada, saudara korbankan prinsip untuk menjaga kepentingan peribadi?

Dalam MAYC kita mendoakan supaya jangan ada kuman menjangkiti pertubuhan kita, pertubuhan belia terbesar di negara ini, The Only Multiracial Organisation yang berbilang peranan, yang terkemuka.

Sebagai sebuah organisasi belia dengan ahli seramai 85,000 orang, sebuah organisasi belia sebegini besar, adalah amat diharapkan bersih daripada segala tohmahan dan fitnah, bersih daripada segala kekotoran, bersih daripada segala prejudis dan bersih sebersih-bersihnya, menghadapi hidup semata-mata untuk memperhambakan diri kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu apa juga yang bertentangan dengan fikiran dan prinsip pada setiap masa.

Oleh itu, saudara bersukanlah, kalau boleh biar jatuh pengsan di tengah padang, berniagalah kalau boleh biar mati kaya seperti Onasis dan berprinsiplah biar tumbang dari takhta asalkan jangan jatuh sebagai bangkai.

0 comments

Post a Comment